Di bumi Manchester, lahir sebuah kisah kejayaan yang membanggakan.
Iman Mohamad Afif telah mencipta sejarah gemilang apabila dinobatkan sebagai Best Student of the Year bagi program Master of Engineering (MEng) in Chemical Engineering with Energy and Environment (Fourth Year Course Prize) di University of Manchester.
Kredit Foto: FB Pejabat MARA London & Ireland
Kejayaan meraih First Class Honours bukan sekadar bukti kecerdikan dan ketekunan beliau dalam bidang akademik malah mengangkat nama anak bangsa sebagai contoh bahawa ilmu dan usaha mampu melahirkan insan luar biasa.
Namun, perjalanan Iman tidak terhenti di bilik kuliah semata.
Ads
Pengiktirafan
Lebih manis lagi, beliau turut diiktiraf sebagai Juara Manchester Intellectual Debate (Kategori Bahasa Inggeris, 2024) membuktikan bahawa kecemerlangan sebenar lahir apabila seseorang berani mengimbangi ilmu dengan bakat, disiplin dengan kepimpinan.
Anak muda tajaan MARA dan bekas pelajar Kolej MARA Banting ini adalah cerminan bahawa kejayaan tidak datang bergolek, tetapi lahir daripada dedikasi, disiplin, dan semangat juang yang tidak pernah pudar.
Ads
Kredit Foto: FB Pejabat MARA London & Ireland
Hari ini Iman Mohamad Afif berdiri sebagai sumber inspirasi mengingatkan kita bahawa tiada impian yang terlalu tinggi untuk dicapai selagi kita percaya dan berusaha tanpa mengenal penat lelah.
Syabas
Semoga langkah ini menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak kejayaan sekaligus menjadi teladan buat generasi muda yang ingin terus melakar kecemerlangan di persada dunia.
Sumber: Facebook Pejabat MARA London & Ireland
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Atlet kebanggaan negara ini bukan calang-calang wanita. Beliau sememangnya layak diangkat sebagai ikon. Bukan hanya meraih kecemerlangan dalam kerjaya sukan bahkan keputusan akademik Datuk Nicol juga patut dijadikan inspirasi. Jika dihitung pencapaian anak jati kelahiran Pulau Pinang ini, memang tak terkira banyaknya. Meskipun namanya dalam industri sukan terkenal di seluruh dunia namun Datuk Nicol cukup merendah diri.
Baru-baru ini nama Datuk Nicol Ann David menjadi bualan tidak hanya di dalam negara bahkan seluruh dunia apabila beliau merangkul gelaran berprestij Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia! Menerusi undian yang dibuat secara dalam talian di laman web Sukan Dunia itu, Datuk Nicol mendapat 318,943 undi menewaskan 23 atlet lain dari seluruh dunia. Hebat!
Dilahirkan pada 26 Ogos 1983, Datuk Nicol merupakan anak kepada Desmond David dan Ann Marie David. Beliau mempunyai dua beradik perempuan iaitu Lianne Marie dan Cheryl Therese. Minat Datuk Nicol dalam sukan skuasy mula disedari bapanya ketika beliau berusia lima tahun. Difahamkan, ketiga-tiga beradik ini didedahkan dengan sukan berkenaan sejak kecil lagi.
Seawal usia 15 tahun, Datuk Nicol sudah berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia. Kejayaan meraih pingat emas di Sukan Asia Pattaya, Thailand pada tahun 1998 menjadi pembakar semangat buat tokoh sukan ini untuk terus melakar pelbagai sejarah. Sebelum itu pun, Datuk Nicol telah beberapa kali memenangi kejohanan peringkat antarabangsa Terbuka Junior Scotland Under-12 dan Kejohanan Hong Kong Under-13.
Sepanjang pembabitannya sebagai atlet skuasy, Datuk Nicol merangkul gelaran Juara Dunia sebanyak 8 kali! Beliau kemudian mengumumkan persaraan pada tahun 2019.
Yang pasti, Datuk Nicol merupakan antara atlet yang berpendidikan tinggi. Pada tahun 2019, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan dari Universiti Sains Malaysia (USM). Berkongsi momen istimewa itu, ujarnya, “I’m so honoured! Never thought I would get this. Thanks to USM for this Honorary Degree of Doctor of Sports Science.”
Biarpun meraih pelbagai kejayaan di pentas dunia tapi Datuk Nicol tetap setia menimba ilmu sehingga ke hari ini. Walau sudah bersara, beliau masih menjadikan ilmu sebagai keutamaan. Tambahan pula pada akhir Januari lepas Datuk Nicol berkongsi rasa teruja dan gembira selepas berjaya menamatkan pembelajaran secara dalam talian dalam Foundations of Positive Psychology, University of Pennsylvania!
“I never thought I would be studying after squash but I gave it a shot during the pandemic. I have always been interested in understanding more how our mind works for us and against us and this specialization has given me better insights and tools for understanding our thoughts better. Never too late to learn something new.”
Datuk Nicol yang meniti usia 38 tahun pernah menarik perhatian masyarakat ketika masih bergelar pelajar sekolah apabila beliau memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ramai mengagumi kepintaran jaguh sukan kebanggaan ini apatah lagi waktu itu beliau sudah mula aktif dengan skuasy. Moga kejayaan Datuk Nicol terus menjadi sumber inspirasi ramai wanita!
Kredit foto: Instagram Datuk Nicol David
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kegagalan sekali hingga mengakibatkan kerugian RM2 Juta saat kilang kosmetik dibuka bersama suami pada tahun 2016 tidak pernah membantutkan perjuangan usahawan kosmetik Eiyma Jalil.
Episod kegagalan akibat isu kesilapan teknikal bancuhan bahan digunakan dalam produk kosmetik tidak memenuhi piawaian pelanggan itu dilihat sebagai isyarat berharga buat dirinya. Bagi bekas pekerja bank dan bekas jurusolek artis dengan nama penuh Norazimah Jalil ini, kegagalan itu menjadi titik tolak kepada kejayaannya kini.
“Hasil duit simpanan, saya berjaya dan nekad membuka kilang kosmetik sendiri sekitar 2016. Masa itu cita-cita besar dan melangit kerana kilang berkenaan menjanjikan formula halal bertaraf antarabangsa.
“Tapi malang tak berbau, kilang itu kerugian mencecah RM2 Juta pada tahun kedua ia beroperasi pada tahun 2017. Saya termenung dan jatuh terduduk mengenangkan nasib diri. Jumlah kerugian itu bukannya sedikit.
Namun gagal sekali, bukan bererti gagal selamanya. Tapi kita perlu bangkit, konsisten dan fokus dengan impian yang mahu digapai. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun setiap yang terjadi terselit hikmah bermakna,” kata Eiyma.
Tambah pemilik syarikat GIM Cosmetic Industries Sdn Bhd ini lagi, istilah putus asa tiada dalam kamus hidupnya.
“Saya berusaha bangkit semula memikirkan idea baharu. Allah bagi jalan keluarkan jenama kosmetik Haus pada 2017. Saya, suami, staf dan ejen bertungkus lumus menaikkan jenama ini siang dan malam.
“2020 saya juga mula memberanikan diri membuat lintas langsung di media sosial, walaupun muka saya tak lawa. Saya optimis mengajar masyarakat dan pengguna mengenai bahan, teknologi dan cara cari produk selamat.
“Siang malam lintas langsung, walaupun tak ada orang ‘view’. Selepas beberapa tahun konsisten, ia membuahkan hasil,” katanya.
Eiyma menjelaskan rezeki Tuhan tidak pernah salah alamat.
“Tahun 2021, Tuhan beri nikmat terindah di era pandemik COVID-19 apabila bedak Magicpink Compact terjual 100,000 unit. Taruhan produk baharu, suplemen Beaubright juga berjaya dicetuskan dengan kolaborasi saintis dari Switzerland yang juga pengasas Mibelle Biochemistrry, Dr Fred Zullie.
“Lebih manis kembara perjalanan ini turut diiktiraf anugerah Superbrand dan NONA Best Halal Beauty Award di Nona Superwoman Award 2020. Harapnya akan ada banyak lagi kejayaan manis, kecemerlangan dan terus kaya menyusul selepas ini,” katanya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Detik kehilangan arwah bapa menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup wanita berusia 30-an ini. Miesya Yunus atau mesra digelar sebagai Miesya, seorang yang pandai berdikari.
Walaupun dilahirkan sebagai anak bongsu namun Miesya tegas dengan diri sendiri serta tidak bergantung harap kepada keluarga. Kini Miesya mampu menarik nafas lega setelah segala susah payahnya selama ini terbayar apabila berjaya memiliki empayar perniagaan sendiri iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Miesya juga bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO sekaligus dia telah berjaya menunaikan janjinya terhadap arwah bapa.
BERKAT DOA
“Alhamdulillah, kejayaan saya hari ini semestinya dengan izin Allah SWT. Kedua, berkat doa dan redha ibu saya. Selepas arwah bapa meninggal saya berjanji pada diri sendiri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah yang ‘pergi’ ketika umur saya 18 tahun.
Sepanjang hayatnya, arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek. Saya anggap arwah abah hero keluarga selain mentor dan sahabat baik saya. Kami memang suka berbual macam-macam isu bersama,” kongsi Miesya yang memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
Bagi Miesya setiap perkara yang dilakukan haruslah bermula dengan niat yang ikhlas sebagai ibadah kepada Allah SWT. Hati akan menjadi lebih tenang, minda juga akan lebih mudah untuk bekerja serta mengawal perjalanan hidup.
CABARAN
“Apa yang boleh saya katakan, perjalanan hidup saya tak semudah orang lain. Keindahan hari ini hadir selepas saya melalui pelbagai cabaran. Untuk memiliki sesuatu yang berharga memerlukan pengorbanan dan keikhlasan.
Dia boleh bagi kita kejayaan Dia juga boleh ambil semula apa jua milik kita sekelip mata. Jangan susah hati jika diuji kerana ujian Allah datang untuk insan-insan yang terpilih. Sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. A positive vibes will attract a positive energy!” ungkap Miesya.
Perjalanan hidupnya yang cukup mencabar menjadi salah satu faktor Miesya aktif sebagai aktivis sosial sehingga membentuk siapa dirinya hari ini. Bergelar anak yatim juga membuatkan Miesya sedar bahawa ramai lagi yang senasib sepertinya mampu berjaya.
“Melalui platform sukarelawan saya mampu membentuk kepimpinan diri yang kuat. Selain itu, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sedikit ini semoga ia menjadi infak buat mereka yang memerlukan,” bicara Miesya.
IMPIAN
“Saya mengimpikan untuk membina syarikat yang auto run supaya pada usia 45 tahun saya boleh memberikan perhatian sepenuhnya terhadap diri serta keluarga. Ketika ini juga saya berharap dapat mendalami ilmu Al-Quran setelah empayar perniagaan kukuh dan memberi manafaat kepada ummah.
Impian saya seterusnya ialah untuk membina ‘istana’ indah serta surau buat ibu. Saya juga berharap Miesya Holding Sdn Bhd menjadi hub one stop centre demi pembangunan insaniah,” kongsi Miesya.
NASIHAT BUAT WANITA
“Wanita tanpa ilmu dan iman yang kuat adalah wanita yang rugi. Kita tidak akan mampu berjaya jika tiada ilmu. Dan, kita tidak akan mampu menghadapi cabaran kalau pegangan agama rapuh.
Semoga seluruh wanita mampu menjadi srikandi hebat yang berjuang untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. Jangan pernah berputus asa pada rahmat Allah SWT yang sangat luas. Apa yang kita ungkapkan, rasa dan fikir akan mejadi doa harian kita,” akhiri Miesya.
Kredit : Instagram Miesya Yunus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meskipun sudah setahun berlalu namun pemergian isteri tercinta ke rahmatullah masih meninggalkan kesan mendalam terhadap Ridz Okumura sampai ke hari ini. ‘Kehilangan’ Allahyarham Akiko Okumura pada 28 Februari 2025 bukan hanya mengejutkan warga maya yang sentiasa mengikuti perkembangannya di media sosial suami, Ridz Okumura.