Keberanian Aliza Ali membawa masuk jenama Chatime ke pasaran Malaysia kira-kira 14 tahun lalu sememangnya wajar diberi pujian. Kewujudan minuman bubble tea berasal dari Taiwan tersebut ke pasaran negara ini bukan hanya satu bentuk pelaburan menguntungkan. Malah berjaya mencipta fenomena luar biasa dalam industri makanan dan minuman (F&B) tanah air.
Chatime ialah rantaian francais kedai teh terbesar di dunia yang berpangkalan di Taiwan dan Aliza merupakan Pemegang Lesen Induk serta Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia. Sepanjang lebih sedekad mengemudi syarikat makanan dan minuman berkenaan, anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini menempa pelbagai kejayaan dan pengiktirafan di dalam dan luar negara.
Dianugerahkan Nona F&B Business Award 2024, Aliza tanpa berselindung menjelaskan perjalanan beliau sebagai usahawan bermula dari bawah dan bukan berasal dari keluarga yang mempunyai latar belakang perniagaan.
CHATIME, EMPAYAR KEBANGGAAN ALIZA ALI
“Saya dibesarkan di Kuala Pilah sampai usia 11 tahun. Kemudian, keluarga berpindah ke luar Negeri Sembilan dan seterusnya menetap di Kuala Lumpur. Mengusahakan perniagaan memang menjadi impian saya. Disebabkan itu, saya tak kisah melibatkan diri dalam apa jua bidang sekalipun asalkan ia saya dapat berniaga.
Tak ada dalam kalangan ahli keluarga saya yang menceburi bisnes. Hanya saya seorang saja. Sebelum mula perniagaan F&B ini saya juga pernah cuba banyak benda lain. Saya pernah timba pengalaman dalam bisnes melibatkan pembinaan. Bahkan saya juga pernah jual produk usahawan lain hanya untuk memahami bagaimana proses perniagaan itu berlaku.
Saya tidak meletakkan minat bisnes terhadap satu-satu produk semata-mata atau kena buat perniagaan F&B saja. Saya terbuka untuk menjalankan apa juga bisnes lain. Cuma bila mengusahakan Chatime dan lihat potensi perniagaan ini yang semakin berkembang maju, saya terpaksa buat keputusan ketepikan bisnes lain untuk fokus kepada hanya satu benda.
Tak boleh bagi tumpuan kalau terlampau banyak sangat buat cabang bisnes. Lebih-lebih lagi kalau nak ia berkembang lebih besar. Saya percaya untuk fokus kepada satu bisnes saja dan tinggalkan bisnes yang lain untuk fokus dengan Chatime.”
Ujar graduan Kejuruteraan Kimia dari Imperial College London ini, mengendalikan empayar Chatime banyak mengajarnya tentang selok-belok dunia perniagaan dan menghidangkan pelbagai prospek untuk beliau meneroka peluang di peringkat global.
Mengimbas kembali momen pembukaan cawangan pertama Chatime di Genting Highlands pada tahun 2010, detik berkenaan sentiasa terpahat segar di ingatan Aliza. Beliau sama sekali tidak menyangka menerima sambutan luar biasa daripada pelanggan dari segenap lapisan umur dan bangsa.
“Saya ingat lagi waktu itu tengah bulan puasa. Tak jangkakan apa-apa pun masa pembukaan outlet pertama di Genting sebab pada tahun 2010 kebanyakan yang datang ke sana ialah mereka yang berbangsa Cina kerana ada banyak pusat hiburan. Hendak dijadikan cerita, tiba-tiba saya dapat panggilan daripada pihak pengurusan pusat beli-belah di Genting yang minta saya segera datang kerana ada masalah.
Berdebar-debar hati saya fikir apa yang dah jadi. Lagipun baru pertama kali buka outlet. Tiba saja di sana, saya terkejut tengok pelanggan beratur panjang nak beli minuman Chatime. Sampai lif-lif di depan kedai kami terpaksa ditutup sebab tak boleh masuk dan ramai orang. Itulah satu-satunya masalah yang saya sangat gembira dengar,” imbau Aliza sambil ketawa.
Ads
CABARAN
Sepanjang mengusahakan Chatime selama lebih sedekad, Aliza kini mampu tersenyum bangga apabila perniagaan tersebut sudah pun memiliki 130 buah cawangan di seluruh negara.
“Saya bermula dari bawah dan zero sama seperti orang lain. Faktor modal dan funding menjadi salah satu cabaran utama untuk majukan bisnes. Terutama sekali bila kita mahu buka banyak kedai. Bayangkan, satu kedai saja kena keluarkan modal sebanyak RM400,000. Kalau mahu buka 100 kedai sudah tentu melibatkan banyak wang.
Ditambah pula orang nampak saya ini seorang wanita muda lagi dan baru start company, jadi tak ramai orang lagi yang percaya dengan apa yang saya mampu buat ketika itu. Mereka mahu melabur dalam syarikat saya pun, mereka kurang yakin.
Those are the things that I faced. Tapi sekiranya kita sangat passionate about it, semua itu tak rasa susah sangat. Kalau kita betul-betul nak buat, insyaAllah benda itu boleh jadi kenyataan.”
Sedar kehendak dan selera pelanggan yang kian berubah-ubah, Aliza Ali rancak melakukan eksperimen dan inovasi demi memenuhi cita rasa khalayak.
Ads
“Kebanyakan orang sekarang lebih suka alternatif untuk dairy milk. Tambahan pula, orang Asia ramai yang mengalami lactose intolerance atau mengalami sakit perut atau ketidakselesaan pada perut selepas minum susu atau makanan berasaskan tenusu. Di Chatime, saya dapati pelanggan sekarang lebih memilih minuman yang ada oat milk dan tak mahu lagi minum susu lembu.”
Mengambil serius situasi tersebut, Aliza teruja menghasilkan satu produk jenama baharu berasaskan susu bijirin oat.
“Kami baru saja mula dengan jenama baharu yang menjadi produk susu berjenis oat milk pertama Malaysia iaitu OATING. Produk jenama ini akan ada di kebanyakan industri F&B macam Chatime dan beberapa jenama F&B lain. Buat permulaan, ia akan memasuki pasaran Malaysia dan Indonesia dalam Quarter 1 tahun 2025.
Dalam masa setahun yang lepas, saya banyak buat research untuk kenal pasti bisnes apa yang saya nak buat lagi pada masa akan datang. Saya dah menjalankan Chatime selama 14 tahun dan mungkin inilah masa untuk move on daripada bubble tea kepada bisnes yang lebih membawa makna lagi. Antaranya memberi fokus kepada produk lactose intolerance yang lebih berfaedah kepada kesihatan pengguna,” telus Aliza mengenai strategi perniagaannya kelak.
INSPIRASI
Atas pencapaian membanggakan sebagai usahawan, Aliza Ali melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wanita pertama Malaysia dijemput sebagai penyampai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) 2023 di samping tokoh usahawan wanita dari China.
“Saya sangat terkejut apabila dijemput untuk berada di situ bersama seorang wanita yang juga usahawan berjaya, Joey Wat. Beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Yum China yang mempunyai cawangan F&B terbesar di China.
Walau syarikat saya tidaklah segah syarikat Yum China yang bernilai berbilion-bilion Dolar, tapi mereka kagum dengan kejayaan kami yang menjadi salah sebuah syarikat Asia Tenggara yang bermula daripada zero tapi boleh berjaya dan tersenarai dalam Bursa Saham.”
Ads
Menyentuh sumber inspirasi yang menjadi kekuatan Aliza dalam kehidupan dan perniagaan, tanpa berfikir panjang nama Allahyarham ibu tersayang iaitu Fuziah Yusof meniti di bibir anak kelapan daripada sembilan adik-beradik ini.
“Allahyarham ibu saya meninggal dunia pada tahun ini ketika berusia 79 tahun. Bagi saya, beliau besarkan kami adik-beradik daripada bukan sesiapa menjadi orang berjaya. Saya ingat lagi momen bila kawan-kawan arwah ibu tanya pekerjaan saya, dia jawab saya jual air. Jadi ramai kawan-kawannya ingat saya jual air di pasar malam dan beliau tak betulkan pun sampai akhir hayatnya,” ulas Aliza.
“I learned that she was just very humble. Tiada apa pun yang mengubah peribadi dirinya dari dulu sampai beliau meninggal dunia dan itulah yang memberi saya inspirasi untuk menjadi sepertinya. Arwah selalu percaya dengan apa saja yang saya buat. Tak pernah paksa saya belajar tapi selalu percaya saya akan jadi orang berjaya. Saya tahu yang beliau selalu mendoakan kejayaan saya.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Aliza Ali turut menitipkan kata-kata semangat ini buat golongan wanita.
“Kebanyakan wanita rasa dia berdepan banyak kekangan dari segi masa, pekerjaan dan sebagainya. Saya selalu tekankan kepada staf bahawa tiada orang yang boleh bagi anda kekangan melainkan ia datang daripada mentaliti anda sendiri. Kalau anda rasa anda boleh jadi hebat, percayalah anak boleh jadi hebat.
Dengan peluang dan teknologi hari ini anda boleh berjaya walaupun tanpa ada staf dan tanpa menggunakan duit yang banyak. Kita kena ada perasaan ‘lapar’ untuk belajar dan berjaya. Selalu percaya pada diri dan rebut peluang yang ada di depan mata. Saya yakin semua orang boleh berjaya dan tidak wujud istilah lambat untuk memulakan sesuatu perniagaan dari sekarang.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu ketika dulu, berlumba-lumba orang nak buka pra sekolah dan taska sendiri. Perkhidmatan seperti ini memang tidak ‘basi’ kerana setiap hari, pasti ada kelahiran bayi dan ibu bapa memerlukan tempat untuk menghantar anak-anak. Tertubuhnya jenama Al Kauthar Eduqids bukanlah semata-mata untuk bersaing tetapi menawarkan pilihan lebih baik.
Pasangan suami isteri, Nor Fadilah Alias dan Bakhtiar Aliff Ibrahim yang datang dari latar belakang kerjaya berbeza membuka lembaran baru buat anak-anak seawal usia satu hingga enam tahun. Al Kauthar Eduqids, sebuah pra sekolah dan taska berkonsep Islamik kini sedang meningkat naik, menandingi jenama pra sekolah Islamik lain yang sudah bertapak lama di dalam industri.
Bertemu pasangan ini ketika sesi fotografi, Fadilah membuka bicara. “Al Kauthar Eduqids berhasil selepas saya melalui pengalaman mengajar selama tujuh tahun di tadika kerajaan dan swasta. Ilmu dan maklumat yang saya terima di salah sebuah tadika terkenal membuatkan saya teruja untuk membuka tadika sendiri.
Cabaran ketika bekerja dahulu yang membuatkan saya lebih teliti untuk menjalankan operasi Al Kauthar. Kebolehan menaikkan semula nama tadika swasta yang hampir bankrap menyedarkan saya tentang kebolehan sendiri. Kepada suami, saya sampaikan hasrat untuk memiliki pra sekolah sendiri. Walaupun pada awalnya suami kurang yakin dengan impian saya namun selepas saya membuktikan kemampuan, dia menerima dengan hati terbuka.
Di Al Kauthar Eduqids, kami memberi ilmu dan kemahiran dalam kehidupan. Mereka tidak hanya disogokkan dengan ilmu membaca seawal usia paling muda sehingga perlu merasai tekanan dalam pelajaran. Pada usia satu hingga enam tahun, mereka lebih cenderung untuk bermain jadi ilmu pembelajaran diserapkan dalam persekitaran yang lebih menyeronokkan. Konsep ini yang mendorong saya untuk membuka cawangan Al Kauthar Eduqids,”ujarnya.
BUKAN FRANCAIS
Tambah Bakhtiar, Al Kauthar Eduqids mula melebarkan sayap dengan pembukaan lebih banyak cawangan bukan secara francais tetapi pemberian lesen. Sehingga kini mereka sudah mempunyai 40 cawangan di seluruh Malaysia.
“Harga lesen yang perlu dibayar setiap bulan sangat rendah berbanding tadika lain berkonsep francais. Harga bayaran royalti setiap bulan kedengaran tidak masuk akal tetapi kami mahu semua yang terlibat di dalam perniagaan ini mendapat pulangan masing-masing. Setiap pendapatan yang diperolehi tidak sedikit pun kami ambil tetapi kami menggalakkan pemilik untuk memberi penghargaan kepada guru-guru.
Kami sangat menekankan pemilik untuk memberikan persekitaran yang baik dan kondusif untuk guru-guru. Di Al Kauthar, guru tadika tidak selamanya menjadi guru tadika. Ada target yang mereka perlu capai dan dari situ mereka boleh dinaikkan pangkat menjadi penyelia, pengurus atau mereka juga berpeluang untuk membuka taska sendiri bersama Al Kauthar,”katanya.
MODUL BERBEZA
Memiliki latar belakang pendidikan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, Fadilah sendiri mengambil tanggungjawab melatih guru-guru di Al Kauthar Eduqids kerana dia mahu hasil daripada pengajaran yang disampaikan kepada anak-anak seiring dengan matlamatnya.
“Saya lebih selesa mengendalikan urusan operasi AKE kerana daripada ilmu serta pengalaman terdahulu, saya perlu fokus untuk menjadikan jenama AKE dikenali dan dipercayai. Suami pula lebih kepada pengurusan. Selain kerjaya sebagai juruterbang, dia juga mempunyai pengalaman luas dalam perniagaan. Kombinasi latar belakang inilah yang menguatkan kami dalam bidang ini.
Saya tak mahu orang yang membuka perniagaan pendidikan hanya bersandarkan kepada keuntungan dan duit semata-mata tanpa ada guide atau ilmu. Mereka perlu tahu apa yang penting untuk anak-anak. Malah ibu bapa sendiri tidak tahu apa yang mereka perlu utamakan sekiranya ingin mencari taska atau tadika. Pendidikan awal kanak-kanak ini sangat penting kerana di Shah Alam sendiri kebanyakkan sekolah adalah sekolah kluster. Hanya pelajar terpilih yang boleh dapat berada di sekolah jenis kluster jadi ibu bapa perlu cakna soal pendidikan anak sedari kecil lagi.
Jadi saya di AKE cuba mengubah paradigma ibu bapa yang mempunyai mindset, ‘anak-anak perlu pandai membaca sejak umur empat tahun’ sedangkan pada usia begitu mereka masih seronok bermain. Untuk meletakkan pembelajaran dalam diri mereka ada caranya, tetapi bukan dalam bentuk keterpaksaan. Ada modul milestone yang ibu bapa perlu tahu.
Malah AKE juga menawarkan pendidikan khas untuk anak-anak autism. Yuran kami kenakan sangat berpatutan kerana kami tahu ramai ibu bapa berpendapatan rendah tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah istimewa atau kelas khusus untuk anak autism.
Di AKE, semua orang berhak mendapat pendidikan terbaik. Niat kami untuk membantu, langsung tidak terfikir untuk ‘bunuh’ perniagaan orang lain.”Ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, dan seni budaya. Mereka adalah tunjang keluarga, pendidik, dan penjaga nilai moral serta penyumbang besar kepada ekonomi melalui pelbagai sektor pekerjaan.
Semalam telah berlangsung Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.
KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan berangkat mencemar duli hadir ke majlis bersama anakandanya, YAM Tengku Puteri Daulath. Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad serta Tan Sri Sharizat Jalil.
Mingguan Wanita dan NONA dengan bangganya menganjurkan program “Sehebat Wanita Ini,” yang bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan wanita-wanita hebat di Malaysia. Program ini merupakan inisiatif daripada team Wanita di Ideaktiv bertujuan mengetengahkan kisah-kisah inspirasi, pencapaian luar biasa, dan dedikasi wanita-wanita yang telah memberi impak besar dalam pelbagai bidang.
Program sehari yang berlangsung dari pagi hingga malam ini terbahagi kepada dua (2) aktiviti iaitu “Forum Anak Syurga” berlangsung pada sebelah siang dihoskan oleh Nani Roslan yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids yang menampilkan panel-panel seperti Dr. Norzila Zakaria, selebriti Zarina Zainuddin, Datin Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Dr Malar, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah yang mengupas mengenai isu perkembangan, kesihatan dan kecerdasan anak-anak istimewa.
Dr Malar dan Norhaidda HassanZarina Zainuddin bersama Editor Pengurusan Mingguan Wanita & Nona, Kiffy Razak dan Dr. Norzila ZakariaFynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah
Seramai 500 orang ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa yang menyertai forum ini yang menunjukkan betapa besarnya minat dan keperluan untuk membincangkan topik-topik seperti Power Up Mental & Fizikal, Kapsul Sihat & Cergas Dan Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga. Forum ini bukan sahaja memberikan platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tetapi juga bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Melalui perkongsian ini, diharapkan para ibu bapa dapat memperoleh pengetahuan baru, sokongan moral, dan inspirasi dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.
Manakala pada sebelah malamnya berlangsung “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids di mana wanita-wanita hebat ini diraikan pada majlis “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang gilang-gemilang bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat menyerikan majlis. Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahamd, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga turut hadir ke malam gala ini.
“Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” bertujuan memartabatkan dengan memberi anugerah kepada ibu-ibu dan wanita -wanita berjaya dalam pelbagai bidang. Malam Gala ini dirancakkan lagi dengan pengacara terkenal Fiza Frizzy dan persembahan nyanyian oleh artis Atilia Haron dan ibunya Salamiah Hassan serta Mila Jirin. Ia merupakan malam yang penuh dengan kegemilangan, di mana pencapaian dan dedikasi wanita-wanita ini akan diraikan dengan penuh kemeriahan.
Wanita seringkali dikaitkan dengan mempunyai kesabaran dan kekuatan dalaman yang tinggi. Melalui program “Sehebat Wanita Ini,” Mingguan Wanita dan Nona ingin menonjolkan sifat-sifat murni ini yang telah mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Program ‘Sehebat Wanita Ini’ bukan sahaja platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga untuk memupuk jaringan sokongan antara wanita. Ia adalah satu inisiatif daripada Mingguan Wanita dan Nona dalam menghubungkan wanita-wanita hebat ini dengan peluang-peluang baru, sumber-sumber penting, dan hubungan yang boleh membantu mereka berkembang dan berjaya dalam bidang masing-masing. program ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan kemajuan wanita di Malaysia.”
Program ini menampilkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan, selebriti, ahli profesional, serta individu-individu yang telah membawa perubahan positif dan memberi impak positif dalam masyarakat.
Dengan dua aktiviti utama ini, program “Sehebat Wanita Ini” tidak hanya meraikan kejayaan dan sumbangan wanita, tetapi juga memberi peluang untuk pendidikan dan sokongan komuniti yang sangat diperlukan. Ideaktiv berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita-wanita di Malaysia.
Editor Pengurusan Grup Wanita, Kiffy Razak berkata, “Kami sangat bangga dapat memainkan peranan dalam penganjuran program ‘Sehebat Wanita Ini.’ Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang luar biasa. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai perkara-perkara hebat dan program ini adalah platform untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan mereka. Diharapkan program ini dapat menginspirasikan lebih ramai untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Pengasas Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata “Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids ini merupakan platform yang sangat bermakna untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi dalam usaha Al Kauthar Eduqids mendidik anak-anak syurga, khususnya mereka yang berkeperluan khas. Al Kauthar Eduqids komited dalam menyediakan pendidikan inklusif yang terbaik, memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya. Semoga dengan adanya forum ini, kita dapat memperkukuhkan lagi usaha Al Kauthar Eduqids dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak syurga kita”.
Pengasas Datin Nor Fadilah Alias bersama suami Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff menyembahkan cenderahati istimewa buat KDYMM Sultanah Nur Zahirah
“Selain itu, hari ini, kita berkumpul untuk meraikan Ibu Inspirasi, wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan ketabahan, kasih sayang, dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk keluarga dan masyarakat. Mereka adalah contoh teladan yang bukan sahaja menginspirasi kita semua tetapi juga membuktikan bahawa peranan seorang ibu adalah sangat berharga dan tak ternilai. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyayangi ibu-ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua Ibu Inspirasi, tahniah diucapkan, dan semoga terus sukses dalam setiap langkah yang diambil” tambah Datin Dr Nor Fadilah Alias lagi.
Senarai Penerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan NONA.
Anggun jelita ibu kepada adik-beradik selebriti popular Syatilla Melvin ini. Meniti usia 59 tahun, keperibadian Robiah Rahman nyata menjadi kebanggaan dan inspirasi kepada anak-anak tersayang. Bersandarkan statusnya sebagai ibu selebriti, pasti Robiah tidak terlepas daripada perhatian khalayak dan tempias dunia glamor.
Difahamkan ibu penyayang ini mendirikan rumah tangga bersama Amirol Melvin Abdullah pada tanggal 23 Oktober 1988. Meskipun perbezaan jarak usia 20 tahun dengan suami tercinta, namun Robiah Rahman bahagia melayari alam rumah tangga di samping lima cahaya mata perempuan mereka.
Ternyata membesarkan lima anak yang kesemuanya perempuan bukan tugas mudah. Namun berkat kesabaran dan didikan sempurna Robiah, anak-anak yang kian dewasa dan sudah pun bergelar ibu tetap mengutamakan kedua-dua ibu bapa hingga ke hari ini.
Salah seorang anaknya iaitu Syifa Melvin atau nama penuhnya Nur Syifa Assyidda yang ditemu bual Nona menyatakan rasa kagum dengan sikap ibunya.
“Ibu seorang yang sangat penyabar. Saya sangat kagum semangat sabarnya dalam menjaga anak-anak. Nak menjaga lima anak perempuan susah. Kami pula tak ada adik beradik lelaki.
Saya boleh bayangkan macam mana risaunya dia bila tidur waktu malam, fikir tentang anak. Anak-anak tak ada depan mata sebab bila umur 18 tahun kami akan keluar dari kampung pergi ke KL. Pergi sambung belajar atau cari kerja.
Bila dah jadi ibu sekarang ini, kami rasa risau hendak membesarkan anak sendiri. Bayangkan ibu ada lima anak. Adakah lima anak ini elok atau berperangai ‘bukan-bukan’ di luar?”
Tambah isteri Safawi Rasid ini lagi, “Dia adalah seorang ibu yang sangat tabah dan sabar. Saya bangga dengan dia sebab dia berjaya didik kami yang kami ni pun bukanlah perfect. Tak baik mana pun tapi saya bangga sebab ibu didik kami adik-beradik bersatu.
Bila kami dah besar ni kami bersatu. Macam mana dia didik kami dari kecil untuk rapat sampailah dah besar dan berkeluarga ni pun kami rapat. Itulah benda yang saya kagum dengan ibu.”
Sebelum mengakhiri perbualan, Syifa turut berkongsi nasihat ibu tersayang yang dipegangnya hingga ke hari ini.
“Nasihat ibu, dia suruh kami bersatu dan jangan lupa diri. Bila kita tak lupa diri, apa-apa pun kita utamakan family terlebih dahulu. Kita akan lebihkan family sebab kita tahu dari mana asal usul kami.
Kami dari kampung je. Budak kampung! Kalau Orang Utara kata berlengas je dulu, berlemoih. Tapi kami akan sentiasa tanamkan dalam diri agar tidak lupa diri sampai bila-bila. InsyaAllah.”
Hasil perkahwinan Robiah dan Amirul Melvin selama hampir 37 tahun mereka dikurniakan lima anak perempuan iaitu Syafiqa Melvin, Syatilla Melvin, Syida Melvin dan Melveena Melvin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.