
Mengalir legasi cicit P. Ramlee, Ghazia Gurnawan cecah 22 tahun dan mahir petik gitar, kini mahu sambung Ijazah!
Sudah semula jadi darah seni mengalir dalam keluarga Seniman Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, kini diteruskan pula oleh cicitnya iaitu Ghazia Gurnawan, 22 tahun. Gadis pintar ini baru saja menamatkan pengajian Diploma Seni Muzik di UiTM Shah Alam.
“Tak terkata perasaan bangga dan terharu dengan ucapan tahniah dari semua. Saya seronok sangat sebab masih ramai yang menghargai karya-karya Arwah. Saya juga mahu memberi inspirasi pada generasi seterusnya agar gigih menimba ilmu hingga ke peringkat tertinggi,” luah Ghazia.
Cicit kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ini sangat meminati filem 3 Abdul (1964) iaitu scene Arwah bermain gitar dan memainkan lagu ‘Bunyi Gitar’. Kongsi Ghazia, itulah yang mendorongnya mengambil gitar sebagai intrumen utama.
Berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, anak sulung daripada dua beradik ini bercita-cita ingin mengembangkan bakat dalam pelbagai cabang seni termasuk muzik, filem dan penulisan skrip.
“Saya tak main muzik dari kecil tapi belajar sendiri ketika mengambil diploma. Masa tu zero background in music tapi alhamdulillah berjaya kuasai dengan baik. Cuma adik lelaki saya ikut jejak arwah datuk, Nasir P. Ramlee bermain bass, dia pun main bass,” ceritanya.
Sayangnya, bapa Ghazia iaitu Gunawan Nasir tidak mempunyai kenangan dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee kerana dilahirkan pada tahun arwah meninggal dunia. “Tapi ayah ada kenangan dengan Biduanita Negara, Allahyarhamah Saloma.”
“Kata ayah, Saloma seorang yang lemah lembut dalam tutur kata. Pernah dia bermain di rumah Saloma dulu sewaktu kecil. Saloma juga menggelarkan ayah sebagai ‘JJ Boy’ dan gelaran tu melekat sampai sekarang. Rakan-rakan dan keluarga panggil ayah sebagai JJ.”
Bakal melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Muzik, UiTM Shah Alam tidak lama lagi, gadis manis ini berharap agar dapat menempatkan diri di pentas besar atau bekerja dengan syarikat media hiburan di Malaysia. Pasti menurut jejak langkah moyangnya, bergelar pemuzik dan pengarah filem.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/anak-tanah-merah-kelantan-dilantik-akauntan-negara-zainani-jusoh-urus-wang-amanah-rakyat/
This website uses cookies.