Pasangan suami isteri yang dilahirkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU), Siti Zainab Yusof (45) dan Muhammad Zulfakar Tong Abdullah (44) membuktikan golongan seperti mereka juga mampu menjalani kehidupan seperti mana insan yang sempurna.
Usia perkahwinan mereka kini sudah pun mencecah 20 tahun. Kecacatan fizikal yang dialami sejak lahir bukan alasan untuk mereka tidak berbuat apa-apa.
Jika dahulu Siti Zainab aktif memenuhi permintaan menjahit pakaian namun kini tidak lagi kerana tahap kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Bukan sekadar mengalami kecacatan di kaki kiri sejak lahir sehingga terpaksa menggunakan kaki palsu yang digunakan sejak kecil, Siti Zainab juga diuji dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan batu karang.
Sumber Rezeki
Siti Zainab gigih membantu suaminya yang mencari rezeki dengan menjaja makanan ringan di pasar pagi dan pasar malam. Setiap hari Siti Zainab akan membantu suaminya membungkus barangan jualan di rumah.
Ads
Bilangan stok barangan yang dibeli bergantung kepada jumlah modal yang ada. Setiap hari bertemankan motosikal roda tiga yang diubahsuai, suaminya akan berulang alik dari Meru ke kawasan sekitar termasuk Kapar dan Puncak Alam untuk menjaja. Motosikal tersebut telah pun digunakan sejak 12 tahun lalu hasil sumbangan BAKTI.
“Saya menjaja di pasar malam dan pasar pagi sejak 13 tahun lalu. Terdahulu saya pernah bekerja di kilang membuat beg golf di Meru selama 10 tahun. Semasa ekonomi merudum kilang tempat saya bekerja itu ditutup.
Saya diberhentikan dan diberikan pampasan. Demi kelangsungan hidup bersama isteri saya menggunakan sebahagian daripada wang pampasan sebagai modal berniaga. Alhamdulillah, kini kami menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor.
Ads
Dalam sehari paling banyak keuntungan yang saya dapat ialah sekitar RM30-RM60 sahaja. Jika ada rezeki lebih kami simpan dan berjimat.
Jiran dan rakan-rakan tidak pernah memandang serong terhadap kami sebaliknya mereka banyak membantu. Sepanjang menjaja di pasar, pernah juga saya di saman oleh pihak berkuasa kerana tidak memiliki lesen perniagaan.
Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana tidak mempunyai wang untuk ambil lesen berniaga. Mujurlah rumah sewa kami ini ditanggung oleh Lembaga Zakat Selangor. Begitu juga dengan bantuan-bantuan lain seperti perbelanjaan harian dan makanan asas,” ungkap Zulfakar yang memiliki kemahiran menjahit baju Melayu.
Ads
Rahsia Bahagia
Sewaktu usia lima tahun, Zulfakar dihantar ke rumah anak-anak yatim di Perak. Dia membesar di situ sehinggalah usianya 17 tahun. Kemudian Zulfakar dihantar ke Pusat Pemulihan Cheras, Selangor.
Sebaik bergelar mualaf, kehidupan Zulfakar mulai berubah. Jiwanya semakin tenang. Sebaik bertemu dengan Siti Zainab mereka mengambil masa selama tiga tahun untuk mengenali hati budi sebelum berkahwin. Siti Zainab merupakan anak yatim piatu dan anak keempat daripada lima beradik.
Hingga kini pasangan ini belum dikurniakan zuriat. Zulfakar sudah biasa menguruskan dirinya sendiri. Selagi mampu dia akan berusaha berdikari kerana memahami isterinya juga memiliki kekurangan.
Mereka saling memerlukan dan hasrat Zulfakar biarlah mereka hidup dan mati bersama. Buat anda yang ingin membantu pasangan ini bolehlah menyalurkan sumbangan ikhlas ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 10154-29-00002007-0 atas nama Muhammad Zulfakar Tong Bin Abdullah. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Di sebalik senyum dan tawanya, tersimpan kisah hidup yang sukar diungkapkan selebriti bernama Zarina Zainuddin. Meskipun status sebagai isteri kedua bukan lagi rahsia namun segala onak ranjau yang dilalui ibu kepada empat cahaya mata ini disimpan kemas daripada perhatian masyarakat. Kedengaran agak cliche, tapi hakikatnya wanita yang hidup bermadu pasti tidak lepas daripada pandangan serong khalayak.
Bersikap terbuka menzahirkan kisah pelayaran bahtera rumah tangga yang dinikmatinya selama 25 tahun, luahan hati Zarina yang menyambut ulangtahun perkahwinan pada Jumaat lepas ini nyata menyentuh emosi ramai wanita.
“13 Julai 1993 tarikh keramat saya selamat dinikahkan dengan seorang lelaki dan menjadi isteri keduanya.. saat ini saya tahu sekeping hati wanita lain hancur berderai.. Walaupun perkahwinan saya atas izinnya tapi dia terluka di saat saya baru mengejar bahagia. Perkahwinan dalam usia saya 22 tahun.. saat itu saya cuma katakan padanya saya takde sesiapa kakak hidup saya macam lalang ditiup angin, ke kiri ke kirilah saya ditiup angin. Ke kanan ke kananlah saya.
Kalau kakak izinkan saya kahwin, alhamdulillah dengan izinnya kahwinlah saya nun jauh di seberang sana.
Selepas 3 bulan kahwin suami saya berkata pada saya. Abang kahwin dengan Ina sebab abang kesian saja. Kakaklah segala-galanya dalam hidup abang. Lepas kahwin baru abang sedar abang lebih perlukan dia. Kalau Ina nak cinta, cinta ni tak ada.
Kalau sabar adalah nanti.. kahwinlah saya tanpa cinta dan saya masih ingat lagi kata suami saya, abang taknak isteri yang abang keluar ikut depan dia keluar ikut pintu belakang. Kalau nak jadi seorang wanita harus belajar bersabar dan sabar dan sabar..
Terima kasih abang.. sabar itu separuh dari iman. Semoga ini semua menjadi pedoman dan pengajaran untuk semua. Anda boleh dapat cinta tapi anda tidak akan dapat menguasai cinta. Cinta itu mahal dan hanya untuk Allah sahaja yang lain berserahlah padanya. Saya pernah buat silap.. tapi anak-anak ini banyak menyedarkan saya kuasa Allah lebih hebat dari segalanya.”
Mungkin selama ini ada yang beranggapan menjadi isteri kedua pasti dibuai dengan belaian mesra dan serba indah belaka. Realitinya nyata berbeza dengan apa yang ditanggung aktres berbakat ini. Pun begitu, Nona pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan menjadikan Zarina lebih matang mendepani hari-hari mendatang di samping keluarga tersayang.
Allah tidak menduga hambaNya melebihi kemampuan mereka. Berlapang dadalah menempuh dugaan yang ‘dikirimkan’. Moga ujian ini membuatkan kita lebih cekal.
Sumber: Instagram Zarina Zainuddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tidak ramai yang sedar implikasi kecurian data, selagi tidak terkena batang hidung sendiri. Majoriti daripada kita menganggap ia tak akan berlaku sedangkan sudah banyak kes penipuan Internet terbentang di depan mata.
Menurut statistik terkini dari Kaspersky, Malaysia tersenarai dalam ranking ke-13 kes mangsa stalkerware tertinggi Asia Tenggara pada tahun 2019.
Penjenayah semakin bijak. Memahami kelemahan wanita yang mudah terpedaya dengan kata-kata, biasanya mangsa ditipu hidup-hidup agar memuat turun sesuatu Apps atau diberi ganjaran jika ‘menekan’ link tertentu.
Lalu tanpa disedari, stalkerware atau perisian intipan dipasang ke telefon pintar kita tanpa pengetahuan. Dengan cara ini, pihak ketiga dapat mengakses maklumat mangsa seperti imej, video, data geolokasi dan sebagainya.
Di pasaran juga terdapat perisian malware berkos murah, kadang serendah USD7 sebulan untuk seseorang ‘menghendap’ aktiviti Internet mangsanya. Selain kes jenayah melibatkan transaksi bank, mangsa juga berisiko diugut atau diculik gara-gara stalkerware ini.
Demi meningkatkan kesedaran wanita terhadap ancaman jenayah siber, kita harus bersama-sama memperkasakan satu sama lain agar jenayah berunsurkan stalkerware dapat dibanteras.
Untuk mengelak daripada menjadi mangsa penghendap online, Kaspersky mencadangkan:
Sekat semua program yang dimuat turun daripada sumber tidak diketahui dalam telefon pintar anda.
Jangan dedahkan password atau passcode telefon kepada sesiapa.
Jangan simpan fail-fail atau aplikasi tidak dikenali dalam telefon pintar.
Tukar tetapan keselamatan telefon pintar jika hubungan anda dan si dia putus di tengah jalan. Bekas kekasih anda mungkin memanipulasi informasi sulit anda tanpa diketahui.
Selalu semak aplikasi yang dimuat turun dan perhati jika ada program mencurigakan di dalamnya.
Gunakan perisian keselamatan yang mampu mengesan kebarangkalian spyware di telefon pintar seperti Kaspersky Internet Security.
Segera dapatkan bantuan atau hubungi pihak keselamatan jika anda syak telah dihendap.
Semoga mendapat manfaat dan berbahagi info ini dengan orang tersayang. Boleh jadi dengan ibu bapa kita kerana statistik jenayah online menunjukkan majoriti mangsanya adalah golongan wanita dan warga emas!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rehat yang tidak cukup bukan sahaja menyebabkan anda mengantuk ketika di pejabat, bahkan boleh mengganggu kesihatan. Sebahagian daripada anda mungkin menghabiskan banyak waktu untuk kepentingan pekerjaan tapi sebenarnya kurang tidur boleh memberi kesan kepada kerjaya anda. Antaranya anda mudah hilang tumpuan, jatuh sakit dan boleh membawa kepada tekanan dan sebagainya. Agar tidur lebih berkualiti dan cepat mengantuk di malam hari, hindari kebiasaan berikut:
Pengambilan ubat tidur.
Hindari mengambil ubat-ubatan yang boleh membuatkan anda mengantuk. Meskipun anda mungkin lebih cepat tidur bahana ubat tersebut yang mengandungi bahan penenang akan mengganggu proses tidur alami. Ketika proses ini, tidur pun menjadi kurang berkualiti. Anda boleh saja sering terbangun pada malam hari bahkan mengalami mimpi buruk.
Tidur balas dendam
Sebahagian orang berasa tidak pernah mendapat tidur yang cukup saat hari kerja. Maka ada yang memutuskan untuk berehat seharian pada waktu cuti seolah-olah mahu membalas dendam. Hal ini juga kurang baik kerana waktu terjaga jadi tidak konsisten. Apabila anda mula bekerja pada hari Isnin misalnya, tubuh anda akan keletihan kerana sebelum itu sudah terbiasa berehat. Justeru menyebabkan anda berasa mengantuk dan malas membuat kerja.
Membuat kerja waktu malam
Agar lebih cepat mengantuk, hindarilah menyelesaikan pekerjaan sebelum tidur. Kegiatan yang memerlukan otak untuk berfikir seperti itu akan membuat anda susah terlelap. Elakkan meletakkan telefon bimbit anda di hujung kepala supaya anda dapat berehat sepenuhnya dan tidak sibuk memeriksa facebook, e-mel dan sebagainya terutama yang berkaitan dengan pekerjaan yang boleh membuatkan otak anda berfikir sekali gus menyebabkan anda tidak boleh tidur lena.
Bangun pada masa yang berbeza-beza
Sebaiknya anda tidak bangun pada waktu yang berubah-ubah. Pastikan anda set jam bangun tidur yang konsisten kerana ini akan membentuk kebiasaan yang membuatkan anda menjadi terbiasa dengan waktu itu. Lama-kelamaan anda tidak perlu lagi jam untuk mengejutkan anda. Secara automatik anda akan terjaga pada jam tersebut. Waktu bangun tidur yang teratur akan melatih otak mengirim peringatan untuk bangun satu jam sebelumnya. Jika waktu bangun tidur tidak teratur otak tidak akan tahu bilakah waktunya untuk melengkapi proses tidur dan harus bersiap untuk membangunkan anda.
Cara atasi:
Kurangkan aktiviti luar
Mungkin anda keletihan kerana kerja-kerja di pejabat semakin padat. Justeru, cuba anda fikirkan apakah aktiviti yang sesuai untuk anda kurangkan. Misalnya, berjalan-jalan sewaktu makan tengah hari. Sekiranya tidak penting, elakkan aktiviti tersebut yang sebenarnya membuatkan anda mudah letih dan kurang produktif.
Tentukan jadual
Agar kerja lebih sistematik, cubalah sediakan jadual. Letakkan pekerjaan paling berat atau penting sebagai keutamaan anda. Lalu berikan tumpuan penuh pada tugas harian tersebut. Hal ini akan memotivasikan anda supaya tidak menangguhkan tugasan.
Lapangkan fikiran
Apakah tubuh anda jadi cepat letih kerana banyak tekanan? Sebaiknya lakukan aktiviti yang boleh melapangkan fikiran. Misalnya dengan berjalan santai sebelum atau sesudah kerja atau melakukan senaman ringan untuk mengurangkan tekanan. Selain dapat membuat fikiran lebih tenang ia juga mungkin boleh membantu memberikan idea yang lebih baik.
Bersyukur
Seseorang yang sering bersyukur umumnya merasa lebih ikhlas dalam menjalankan kegiatan, termasuk yang meletihkan. Selain memberi kesan baik untuk diri sendiri, bersyukur juga memberi aura positif untuk orang lain. Dengan begitu, fikiran anda juga akan menjadi lebih positif sekali gus membantu menurunkan kadar stres dan menyelesaikan apa jua masalah yang ada.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!