Dah Buat Terbaik Tapi Bukan Rezeki, ZIYAD ZOLKEFLI Mohon Maaf ‘Terlepas’ Emas Paralimpik Tokyo!

Prestasi cemerlang jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nyata membanggakan rakyat Malaysia. Datang ke bumi Jepun dengan semangat berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaannya membawa pulang pingat emas seperti di Sukan Paralimpik Rio 2016, impian Ziyad musnah sekelip mata apabila penyertaannya dibatalkan selepas mendapat bantahan daripada kem Ukraine.

Kem sukan negara berkenaan melakukan protes berikutan Ziyad serta dua lagi atlet dari Australia dan Ecuador dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Tindakan membatalkan penyertaan Ziyad meskipun sudah membuat beberapa lontaran sebelum itu turut mendapat perhatian meluas rakyat, atlet dan pemimpin negara. Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan jaguh keirin, Datuk Azizulhasni Awang.

Lebih menyedihkan, Ziyad telah berjaya pecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter. Bagaimanapun, susulan protes terbabit persembahan hebat Ziyad tidak dikira. Sekaligus menyaksikan atlet Ukraine meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.

Walau kem sukan Malaysia, Australia dan Ecuador sudah membuat rayuan terhadap perkara itu namun ia tetap ditolak.

Sementara itu, Ziyad menerusi perkongsian di Instagram beberapa jam lepas turut memuat naik luahan hati berhubung situasi berkenaan. “Saya mintak maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya.”

Menelusuri kejayaan Ziyad, nama atlet berusia 31 tahun ini mula dikenali ramai selepas dia meraih pingat emas Paralimpik Rio, Brazil pada 2016. Dua bulan selepas memenangi acara temasya sukan paralimpik, November 2016 menjadi detik bersejarah buat dirinya apabila selamat bergelar suami kepada Zafirah Mohd Nasir.

2 Ogos 2017, pasangan ini dikurniakan anak perempuan Zuhayra Zafra dan pada 6 April 2019 pula mereka menimang cahaya mata kedua, Thariq Zavier.

Sepanjang pembabitannya dalam bidang sukan, Ziyad pernah mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik 2013 oleh Anugerah Sukan Negara.

Sering ‘dahaga’ kejayaan, Ziyad meneruskan aksi cemerlang di Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 apabila memecahkan rekod temasya dengan catatan 16.81 meter sekali lagi merangkul pingat emas menerusi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).

Dalam usia muda, pencapaian membanggakan Ziyad wajar dijadikan inspirasi buat semua. Malah dia cukup bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya. Nona juga tertarik dengan pesanan yang pernah dikongsikan Ziyad di media sosial.

“Betullah orang dulu berkata ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Tapi tiada istilah NASIB, setiap apa yang kita buat, nak berjaya perlu kerja keras. Apa yang kita nak tu kita perlu ada pengorbanan dan rintangan.

Apa pun juga kekurangan kalau ada kemahuan anda akan berjaya suatu hari nanti. Mungkin lambat lagi atau mungkin korang buat terus menjadi. So jangan pernah mengalah dalam setiap apa yang hendak dilakukan. Terima kasih pada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya sekarang ini. Saya akan ingat mana asal usul saya.

Tiada sedikit pun di hati nak menunjukkan kemewahan apa yang ada. Saya cuma ingin memberikan motivasi untuk rakan-rakan semua. Apa yang kita inginkan tak mustahil terjadi jika kita benar-benar mahukannya dan buat dengan ikhlas. Prinsip saya, biar sampai jadi. Kalau tak jadi betulkan balik apa yang silap.”

Syabas Ziyad sebab berani keluar dari zon selesa dan gigih mencari platform terbaik saban tahun. Moga bakat yang dimiliki terus bersinar dan kembali mengharumkan nama negara di persada dunia!

 

 

Kredit foto: Instagram Ziyad Zolkefli

IKLAN
Share