Prestasi cemerlang jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 nyata membanggakan rakyat Malaysia. Datang ke bumi Jepun dengan semangat berkobar-kobar untuk mengulangi kejayaannya membawa pulang pingat emas seperti di Sukan Paralimpik Rio 2016, impian Ziyad musnah sekelip mata apabila penyertaannya dibatalkan selepas mendapat bantahan daripada kem Ukraine.
Kem sukan negara berkenaan melakukan protes berikutan Ziyad serta dua lagi atlet dari Australia dan Ecuador dikatakan lewat memasuki bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.
Ads
Tindakan membatalkan penyertaan Ziyad meskipun sudah membuat beberapa lontaran sebelum itu turut mendapat perhatian meluas rakyat, atlet dan pemimpin negara. Antaranya Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan jaguh keirin, Datuk Azizulhasni Awang.
Lebih menyedihkan, Ziyad telah berjaya pecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter. Bagaimanapun, susulan protes terbabit persembahan hebat Ziyad tidak dikira. Sekaligus menyaksikan atlet Ukraine meraih pingat emas dan perak bagi acara lontar peluru F20.
Walau kem sukan Malaysia, Australia dan Ecuador sudah membuat rayuan terhadap perkara itu namun ia tetap ditolak.
Sementara itu, Ziyad menerusi perkongsian di Instagram beberapa jam lepas turut memuat naik luahan hati berhubung situasi berkenaan. “Saya mintak maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan pada saya.”
Menelusuri kejayaan Ziyad, nama atlet berusia 31 tahun ini mula dikenali ramai selepas dia meraih pingat emas Paralimpik Rio, Brazil pada 2016. Dua bulan selepas memenangi acara temasya sukan paralimpik, November 2016 menjadi detik bersejarah buat dirinya apabila selamat bergelar suami kepada Zafirah Mohd Nasir.
2 Ogos 2017, pasangan ini dikurniakan anak perempuan Zuhayra Zafra dan pada 6 April 2019 pula mereka menimang cahaya mata kedua, Thariq Zavier.
Ads
Sepanjang pembabitannya dalam bidang sukan, Ziyad pernah mendapat pengiktirafan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik 2013 oleh Anugerah Sukan Negara.
Sering ‘dahaga’ kejayaan, Ziyad meneruskan aksi cemerlang di Sukan Para ASEAN ke-9 Kuala Lumpur 2017 apabila memecahkan rekod temasya dengan catatan 16.81 meter sekali lagi merangkul pingat emas menerusi acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).
Dalam usia muda, pencapaian membanggakan Ziyad wajar dijadikan inspirasi buat semua. Malah dia cukup bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan kepadanya. Nona juga tertarik dengan pesanan yang pernah dikongsikan Ziyad di media sosial.
Ads
“Betullah orang dulu berkata ‘Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’. Tapi tiada istilah NASIB, setiap apa yang kita buat, nak berjaya perlu kerja keras. Apa yang kita nak tu kita perlu ada pengorbanan dan rintangan.
Apa pun juga kekurangan kalau ada kemahuan anda akan berjaya suatu hari nanti. Mungkin lambat lagi atau mungkin korang buat terus menjadi. So jangan pernah mengalah dalam setiap apa yang hendak dilakukan. Terima kasih pada semua yang selalu mendoakan kejayaan saya sekarang ini. Saya akan ingat mana asal usul saya.
Tiada sedikit pun di hati nak menunjukkan kemewahan apa yang ada. Saya cuma ingin memberikan motivasi untuk rakan-rakan semua. Apa yang kita inginkan tak mustahil terjadi jika kita benar-benar mahukannya dan buat dengan ikhlas. Prinsip saya, biar sampai jadi. Kalau tak jadi betulkan balik apa yang silap.”
Syabas Ziyad sebab berani keluar dari zon selesa dan gigih mencari platform terbaik saban tahun. Moga bakat yang dimiliki terus bersinar dan kembali mengharumkan nama negara di persada dunia!
Kredit foto: Instagram Ziyad Zolkefli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kisah pelajar yang membawa bekalan mangkuk tingkat ke sekolah yang tular dan menjadi bualan hangat baru-baru ini sememangnya menarik tumpuan ramai. Ada yang memuji tindakan prihatin si ibu, tidak kurang juga yang kecam kerana beranggapan situasi itu menyusahkan kanak-kanak dan terpaksa mengangkat ‘beban’ ke sekolah.
Yang pasti, isu tersebut telah mencuri perhatian Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Mengikuti perkembangan isu itu dari semasa ke semasa, Tengku Zatashah menerusi laman Instagramnya meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pihak yang cenderung membuka ruang berlakunya gejala buli.
Selaku individu yang terlibat aktif dalam kempen berkaitan isu buli di sekolah, beliau rasa terpanggil untuk meminta masyarakat menghentikan persepsi negatif berkenaan. Ujar Tengku Zatashah, “Baru-baru ini ada beberapa individu yang menghantar kepada saya tentang kisah viral seorang pelajar perempuan sekolah rendah yang dibuli hanya kerana membawa bekal mangkuk tingkat ke sekolah.
Saya rasa sangat sedih dan sudah pasti ramai yang turut berkongsi rasa yang sama apabila kanak-kanak ini dibuli disebabkan mangkuk tingkat.
Saya mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada pelajar sekolah tersebut dan keluarganya bahawa saya sangat bangga melihat mereka bawa mangkuk tingkat ke sekolah kerana saya juga bawa mangkuk tingkat ke mana saja!
Tidak kira ketika berkunjung ke bazar Ramadan, ke pasar malam juga ke gerai food trucks. Dan saya bersimpati kerana pelajar ini dibuli hanya disebabkan perkara tersebut.
Ramai di antara kita yang bawa dan menggunakan mangkuk tingkat dengan bangga. Bahkan saya juga kerap dipanggil ‘the girl with the tiffin’. Jadi, buat Adik… berbanggalah dan kami sayang anda.
Sedih melihat situasi buli dan komen-komen negatif mereka yang berniat jahat terhadap anak kecil ini. Mereka tak buat salah. Kita kini berada dalam situasi sukar Covid-19 dan tunjukkan kebaikan hati masing-masing. Kita perlu saling bersatu dan berbuat baik di antara satu sama lain.”
Kira-kira lima tahun lalu, Presiden AllianceFrancaise Kuala Lumpur ini sudah mula membawa mangkuk tingkat atau ‘tiffin’ ke mana sahaja tanpa rasa segan. Memang jarang-jarang dibuat oleh seorang puteri diraja!
Mengikuti perkembangan Tengku Zatashah, Puteri Diraja Selangor ini sudah mula mempraktikkan budaya membawa mangkuk tingkat sejak tahun 2016 lagi. Malah, beliau turut memuat naik gambar ketika mengunjungi bazar Ramadan dan pasar malam sambil memegang bekas makanan tersebut demi mengurangkan penggunaan plastik.
Selain aktif menjayakan kempen Say No 2 Plastic, penglibatan Tengku Zatashah dalam badan kebajikan bukan lagi rahsia. Ada sahaja peluang untuk membantu golongan kanak-kanak, orang kurang berkemampuan dan warga emas pasti kelibatnya muncul dalam aktiviti kemasyarakatan sedemikian. Termasuklah perlindungan bagi hidupan liar dan laut yang kini diancam kematian akibat pencemaran.
Sebelum ini, Tengku Zatashah turut terlibat menyertai kempen Zero Food Wastage, Women Empowerment, No Bully, dan Save Wild Life. Moga usaha murni Tengku Zatashah dalam mempromosikan budaya Malaysia dan melindungi kebajikan semua pihak termasuk haiwan mencetus inspirasi kepada wanita lain untuk mengikut jejak langkah beliau.
Kredit foto: Instagram Tengku Zatashah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terpaksa bergegas melunaskan tanggungjawab hakiki seorang ibu dan isteri di rumah, kemudian kembali ke pejabat membereskan tugas-tugas profesional, mencari rezeki, memimpin pasukan… ini antara realiti dihadapi seorang wanita berkerjaya.
Selain cabaran masa yang terhad serta kesukaran menjaga emosi atau kesihatan mental yang stabil, ramai juga yang tidak sempat mempunyai hobi atau waktu ‘me time’ sendiri.
Inilah antara yang dibincangkan dalam sesi ‘Women in Cyber Luncheon‘ bersempena acara CYDES 2023 atau Persidangan Cyber Defence and Security Exhibition and Conference.
Bersempena dengan CYDES 2023, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Alpine Integrated Solution berbesar hati menganjurkan program Women in Cyber Luncheon untuk meraikan wanita-wanita yang terlibat dalam bidang keselamatan siber.
Program ini secara tidak langsung mengangkat kredibiliti wanita sebagai salah satu persada untuk memberi galakan dan menyokong penglibatan golongan wanita dalam bidang keselamatan siber, terutama daripada sudut kepimpinan.
Program bual santai yang berlangsung dari jam 12.30 tengah hari sehingga 2.00 petang ini bertujuan untuk meraikan sumbangan luar biasa wanita dalam bidang keselamatan siber, memupuk pemerkasaan dan seterusnya dijadikan sumber inspirasi kepada generasi pemimpin akan datang.
She Inspires Leaders telah diketengahkan sebagai konteks perbincangan di mana buku ini merupakan ilham daripada 18 pengarang dari seluruh dunia yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin wanita dalam bidang masing-masing.
Ia merupakan satu projek buku yang mengumpulkan 18 pengarang yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing daripada seluruh dunia.
Pengarang berkongsi pengalaman dan cabaran yang dihadapi untuk mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.
Dihadiri seramai 100 orang peserta daripada pelbagai latar belakang, program ini dimulakan dengan kata aluan daripada Pemangku Ketua Eksekutif NACSA; Puan Shariffah Rashidah Syed Othman secara virtual.
Sesi diteruskan dengan perkongsian daripada Dr. Raja Yasmin Raja Abdul dan diikuti dengan pengarang bersama; Zeynep Bakan, Kathryn Jones, Saalihah Seedat, Hannah El-Gashingi yang bersiaran dari Australia serta Dr. Norzila; Pakar Psikiatri dan Pensyarah daripada USM Kubang Kerian, Kelantan yang hadir secara fizikal.
Perspektif dan pandangan unik daripada kesemua wanita hebat ini telah memberi inspirasi berharga kepada penonton peserta yang hadir.
Lebih menarik, program ini turut menampilkan moderator daripada Microsoft APAC iaitu Puan Adilah Junid ; Pengarah Urusan Undang-Undang & Kerajaan Microsoft APAC dan Dr. Jasmine Begum.; Pengarah Wilayah, Urusan Undang-Undang & Kerajaan Microsoft APAC sebagai moderator.
Dalam program ini, kesemua tetamu ahli panel telah berkongsi pengalaman peribadi dan cabaran serta strategi yang digunakan untuk memacu perubahan positif dalam memperkasakan wanita dalam mencapai kejayaan sebagai pemimpin.
Renungkan cabaran yang telah dihadapi, pengajaran yang telah dipelajari, dan strategi yang telah digunakan untuk memacu perubahan positif dan memperkasakan wanita.
Perkongsian ini menggalakkan mereka pada laluan kepimpinan mereka sendiri. Program diakhiri dengan sesi soal jawab daripada para peserta dan sesi cabutan bertuah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas kemenangan Hero Remaja 2020 berpihak kepada Ahmad Nadhir Ahmad Nasar pada bulan Julai lalu, kesemua dua belas orang finalis edisi tersebut telahpun mula mengorak langkah dalam industri seni, fesyen dan pelbagai bidang tempatan lain.
Ia membuktikan bahawa platform pencarian Hero Remaja merupakan platform terbaik untuk mencungkil potensi, personaliti, bakat dan kebolehan remaja lelaki dari seluruh Malaysia.
Berdasarkan respon pemain industri tempatan yang mendambakan lebih ramai anak-anak muda berbakat untuk ditonjolkan pada waktu ini, NU Ideaktiv menerusi Majalah Remaja kembali bersama penyiar rasmi, Astro Malaysia Holdings Berhad (Astro) membuka peluang uji bakat pencarian Hero Remaja bermula 7 Disember sehingga 20 Disember 2020.
Bagaimanapun, satu perkara baru yang diperkenalkan untuk uji bakat kali ini adalah penghantaran penyertaan peserta secara atas talian (online) bagi peringkat pertama. Ini seiring dengan norma baharu yang ditetapkan oleh pihak kerajaan pada musim pandemik COVID-19 yang masih berleluasa di seluruh negara.
Peserta perlu menghantarkan borang penyertaan secara online di link ini dengan mengisi butiran diri secara lanjut, memuat naik foto dan video pengenalan diri. Kesemua arahan buat para peserta ada dinyatakan dalam halaman borang penyertaan.
Setelah mengamati maklumat peserta yang memenuhi kriteria yang dicari oleh produksi Hero Remaja 2021 kali ini, peserta yang disenarai pendek akan melalui sesi uji bakat secara fizikal pula. Butiran mengenai uji bakat peringkat kedua ini akan dikongsikan kepada peserta setelah mereka terpilih.
Pengikut dan penonton pencarian Hero Remaja 2020 dapat menjangkakan pelbagai cabaran akan diberikan untuk mengasah kemampuan para finalis dari aspek berbeza. Skil sebagai seorang model, pelakon, pengacara, duta produk dan semangat keakraban di antara mereka diuji bagi mencari seorang juara yang layak menyandang gelaran tersebut.
Pencarian Hero Remaja 2021 bakal dipancarkan di saluran Astro Ria HD (saluran 104). Perkembangan terkini pencarian dan bakal para peserta boleh disaksikan melakui liputan menyeluruh di laman digital serta media sosial Majalah Remaja.
Untuk mengikuti info terbaru mengenai pencarian Hero Remaja 2021, kunjungi laman web www.remaja.my/hero, Facebook [majalahremaja], Instagram [majalahremaja], Twitter [majalahremajaMY] dan YouTube [majalahremajaOfficial].
#HeroRemaja
#HeroRemaja2021
#majalahremaja
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Nama Edry Abdul Halim sememangnya dikenali dalam industri muzik tanah air yang pernah menggegarkan pentas hiburan menerusi kumpulan KRU yang dianggotai tiga adik-beradik berbakat. Sejak kumpulan tersebut dibubarkan pada 2018, adik Datuk Norman dan Datuk Yusry ...