Sebut sahaja nama Agnes Monica pasti ramai peminat di Malaysia mengingati lagu popularnya, Matahariku. Pernah mencetus fenomena menerusi sinetron remaja popular, Ku Tlah Jatuh Cinta pada tahun 2004, wajah cantik dan nama selebriti Indonesia ini masih meniti di bibir peminat meskipun sudah 18 tahun berlalu.
Menginjak usia 36 tahun pada 1 Julai nanti, Agnes Monica Muljoto atau dikenali sebagai Agnez Mo ini nyata seorang wanita yang berbakat besar. Sepanjang pembabitan seni di Indonesia, pelbagai anugerah telah berjaya diraih antaranya 18 Anugerah Musik Indonesia, 8 Panasonic Awards, 4 MTV Indonesia Awards, 3 Asia Song Festival Awards dan banyak lagi.
Tidak hanya berbakat sebagai penyanyi dan pelakon, Agnes juga dikagumi kerana bakat koreografi yang menarik. Tidak hairanlah, dia mampu melebarkan sayap sampai ke industri seni Amerika Syarikat. Bukan calang-calang!
Menelusuri latar belakang Agnes, dia ialah anak bongsu kepada pasangan Ricky Muljoto dan Jenny Siswono. Agnes mempunyai seorang abang iaitu Steve Muljoto yang juga berkhidmat sebagai pengurusnya.
Ketika zaman persekolahan, Agnes pernah mendapat pendidikan awal di SD Tarakanita, Jakarta sebelum melanjutkan pelajaran di SLTP Pelita Harapan dan SMA Pelita Harapan. Dia kemudian meneruskan pelajaran di Universitas Pelita Harapan (UPH) dalam jurusan undang-undang.
Namun kerana kesibukan kerjaya sebagai selebriti dan penyanyi, Agnes mengambil keputusan untuk cuti daripada pengajian dan gred terakhir yang diperoleh ialah 3.67. Satu keputusan yang cukup baik bagi seorang penuntut yang sibuk dengan karier seni. Difahamkan, Agnes juga pernah mengikuti pengajian di Oregon State University (OSU) di Amerika Syarikat dalam bidang Sains Politik.
Ads
Agnes ketika kanak-kanakAgnes ketika kanak-kanakZaman persekolahan
Bakat nyanyian Agnes mula bersinar ketika zaman kanak-kanak. Menyedari bakat terpendam itu, ibu bapa enggan mensia-siakan kebolehan anak tersayang dan sentiasa menyokong mengembangkan bakat serta minat Agnes.
Seawal usia enam tahun, Agnes sudah merakam album pertama berjudul ‘Si Meong’. Dia kemudian menerbitkan album kedua pada tahun 1995 dan dinobatkan sebagai Album Anak-Anak Terbaik pada tahun 1999.
Pada tahun 2003, Agnes melancarkan album dewasa pertamanya iaitu ‘And the Story Goes’. Menariknya, album ini adalah kolaborasi bersama pemuzik terkemuka Indonesia, Ahmad Dhani dan Melly Goeslaw yang menyaksikan dia menerima double platinum dengan jualan melebihi 300,000 unit.
Bersandarkan kejayaan cemerlang dalam bidang muzik, Agnes diberi gelaran sebagai ‘Diva Muda’ dan dari situ dia mula menyimpan impian untuk ke peringkat antarabangsa. Dia pernah menerima anugerah Artis Pop Wanita Terbaik dan Karya Produksi R&B Terbaik di Anugerah Musik Indonesia 2006 menerusi lagu Bukan Milikmu Lagi. Di samping kategori Most Favorite Female di MTV Indonesia 2006 dengan lagu Tak Ada Logika.
Pada tahun 2008, Agnes melancarkan album ketiga, Sacredly Agnezious dan single Matahariku yang menjadi single terlaris. Selain itu, klip video Matahariku meraih puluhan juta tontonan di YouTube.
Tidak hanya nyanyian, Agnes juga seorang pelakon hebat di Indonesia. Bakat lakonan Agnes bermula pada tahun 1999 menerusi sinetron ‘Lupus Millenia’. Setahun kemudian, dia menjadi teraju utama sinetron Pernikahan Dini yang sekaligus melonjakkan namanya di persada seni.
Ads
Agnes pernah membintangi drama bersiri Asia berjudul The Hospital di Taiwan bersama anggota kumpulan popular F4 iaitu Jerry Yan. Juga, berjaya mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada tahun 2007.
Jun tahun lalu, nama Agnes kembali menjadi bualan para peminat apabila figura ini berbesar hati mendirikan klinik vaksinasi Covid-19 secara percuma di Rumah Sakit Lapangan AGP di Ancol, Jakarta Utara khusus untuk masyarakat di sana. Inisiatif tersebut nyata mendapat pujian ramai kerana meskipun dia kini menetap di luar negara namun masih menyumbang jasa di negara kelahirannya.
Dilaporkan klinik vaksinasi tersebut adalah usaha sama Agnes dengan Yayasan Artha Graha Peduli (AGP) yang didirikan oleh pengusaha Tomy Winata.
Kredit foto: Instagram Agnez Mo
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bertuah Hairul Azreen dikurniakan isteri serba boleh macam Hanis Zalikha. Iyalah, bukan sahaja cantik, bijak dan pandai masak… hias rumah pun boleh! Kalau selama ini Hanis pernah mendedahkan dia terlibat dengan sebuah projek interior design namun selepas usahawan Cakenis dan suaminya berkongsi gambar kediaman baharu mereka di media sosial masing-masing, peminat percaya ‘projek’ tersebut adalah projek dekorasi Hanis sendiri untuk mahligai miliknya.
Jika diteliti video perkongsian Hanis mahupun Hairul, jelas terserlah cita rasa mewah dan eksklusif pasangan romantis ini. Dilatari dengan warna-warna terang dan wainscoting di segenap ruang, pemilihan perabot moden serba mewah turut menyerlahkan lagi ruang kediaman Hanis. Jika kediaman dahulu pun memang dikagumi ramai, rumah terbaharu ini berkali-kali ganda luas, mewah dan eksklusif!
Tumpang gembira dengan kejayaan suami isteri ini. Muda-muda lagi dah pandai urus kewangan dan kumpul aset.
Rata-rata peminat meluahkan rasa teruja dan kagum melihat dekorasi indah kediaman pasangan muda ini. Tidak kurang juga yang mahu mereka membuat house tour. Bagaimana pun Hanis dan Hairul belum bersedia untuk mendedahkan suasana rumah mereka buat masa ini. Nona percaya, kalau mereka buat house tour mesti cecah jutaan views! Apatah lagi kedua-duanya merupakan selebriti popular dan Instafamous.
Tidak dinafikan, Hanis Zalikha sangat berbakat dalam bidang interior design ini. Kreativiti Hanis bukan hanya terserlah dalam perniagaan Cakenis bahkan dalam bab menghias rumah juga. Sebagai insan yang paling rapat dan mengenali isteri tercinta, Hairul sebelum ini pernah mendedahkan keadaan rumah mereka kira-kira tujuh tahun lalu sewaktu baru berkahwin.
Kongsinya, “Inilah rupa rumah kami, 6 tahun lepas. Sebelum Hanis Zalikha ubah. Dialah design semua. Lepas tu dia tanya apa yang awak nak? Saya cuma minta meja futsball je tapi tak dapat. Katanya kacau ID dan tak ada space.”
Pun begitu, di rumah baharu ini kelihatan sebuah ruang khas untuk aktor berbakat besar tersebut beriadah dan bersenam. Hairul kini dikhabarkan menjadi pengarah untuk filem Ada Hantu.
Sementara itu, Hanis yang merupakan pengasas Cakenis turut meluahkan rasa syukur kerana perniagaan tersebut sudah berusia 5 tahun. “Dah 5 tahun dah Cakenis. Dari sekadar tudung, Cakenis kini dah menjadi jenama yang didambakan untuk body shapers, swimming attire, make up & skincare, fashion pieces, bags and even essential oil blend! Pejam celik pejam celik dah ramai yang berCakenis.”
Hanis Zalikha dan Hairul mendirikan rumah tangga pada Jun 2015. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua orang cahaya mata comel iaitu Yusuf Iskandar dan Alisa Aisyah.
Kredit video & foto: Instagram Hairul Azreen & Hanis Zalikha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tular di media sosial mengenai perkahwinan mewah seorang wanita dari Sabah, Zarwennie binti Dato’ Laja Besar bin Lulok (lebih dikenali sebagai Lady Wennie) dengan pasangannya Khairuddin. Khairuddin merupakan anak kepada Speaker Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Majlis gilang-gemilang itu diadakan di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 Disember lalu. Dewan Sabah International Convention Centre dihias dekorasi mewah yang mana perbelanjaan dekorasi dirahsiakan oleh pihak keluarga pengantin kerana ia merupakan perkara peribadi yang tidak perlu dikongsikan secara umum. Tetapi melihat dekorasi dan perjalanan sepanjang majlis resepsi, sudah tentu ia mencecah ratusan ribu ringgit.
Menjengah laman Instagram perancang majlis tersohor, RekaTeemor milik Faiz Sabari dan Rozana Mumtaz, majlis pertunangan pasangan ini telah diadakan empat hari sebelum majlis resepsi mewah diadakan.
Majlis pertunangan bertemakan rona merah jambu menjadi pilihan pasangan ini yang dihias penuh sentuhan menawan dari pasukan Reka Teemor.
Untuk majlis resepsi pula, Reka Teemor mendapat sentuhan dan gabungan idea dari pihak pengantin perempuan yang inginkan sebuah majlis resepsi yang istimewa. Tidak salah jika dikatakan, jenama tempatan ini mampu menzahirkan rekaan yang bertarad dunia yang akan menjadi kenangan indah sehingga ke akhir hayat.
RekaTeemor mengambil masa selama dua minggu untuk merealisasikan dekorasi pelamin indah pasangan ini. Hasilnya, sememangnya spectacular!
Suasana malam yang diimpikan dan menjadi kenangan indah. Terima Kasih @ladywennie kerana memberi kebebasan yang hakiki kepada Team Reka Teemor! hakiki tu hahaha 😝
14 hari bertungkus lumus bersama-sama bergabung tenaga mengejar masa, memerah minda & tenaga dan bersengkang mata. Kita tidak dapat menghasilkan impian Lady Boss Sabah ini tanpa sokongan dan semangat untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa dari rakan seperjuangan dalam industri.
Akhirnya kami anak anak watan ini dapat menzahirkan rekaan yang bertaraf dunia yang akan menjadi kenangan indah bersama.
Sesungguhnya kami hanya merancang namun Allahlah memberi kemudahan, jatidiri, iltizam dan ilham untuk menjayakan resepsi seumpama ini, Allahummabarik, Ya Fatah Ya Razak Ya Rahman Ya Rahim, Alhamdulilah.
Sampai bertemu lagi Sabah, Boleh bah kalau kau!
“RekaTeemor”
Malah penyanyi popular dari Indonesia, Afgan diundang untuk menghiburkan para tetamu di majlis resepsi berkenaan. Selain Afgan, turut menghiburkan tetamu ialah Dayang Nurfaizah dan Velvet Aduk.
Melihat buah tangan yang disediakan untuk para tetamu pula, antara cenderahati kenang-kenangan termasuklah termos, flower tea serta manisan dengan initial Z&K.
Tidak hairanlah mengapa hasil sentuhan pasangan suami isteri ini sering menjadi pilihan golongan bangsawan dan selebriti kerana sentuhan mereka mempunyai keajaiban tersendiri bagi merealisasikan impian mempelai untuk hari bahagia mereka. Tahniah Lady Wennie & Khairuddin.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Uji Rashid sinonim dengan gelaran ‘penyanyi bersuara manja’ yang juga pemilik nama sebenar Fuziah Haroun Al Rashid atau nama pentasnya Uji Rashid sangatlah mengagumkan. Penyanyi legenda ini pernah menempa zaman kegemilangannya yang tersendiri sebagai penyanyi dan pelakon pada tahun 1970-an.
Sewaktu popularitinya berada di kemuncak, bukan sahaja gaya fesyen dan rambut beliau menjadi bualan, tetapi mata besar beliau turut menjadi ciri yang ikonik. Malah, sehingga kini ada sejenis ikan yang diberi nama Ikan Uji Rashid dan duit syiling 50 sen yang diberi gelaran duit Uji Rashid di Melaka. Populariti beliau ketika itu adalah sesuatu yang menjadi fenomena sehingga orang ramai mula mengaitkan namanya dengan benda-benda unik sebagai tanda penghargaan.
Di sebalik senyuman manis dan suara merdu yang dialunkan rupa-rupanya tersembunyi sebuah perjalanan hidup yang penuh dengan kegetiran, pengorbanan dan cinta yang mendalam terhadap keluarga serta para peminatnya. Selama 50 tahun, beliau bukan sahaja menghiburkan rakyat Malaysia, malah telah menanam benih kasih sayang yang mengikat dirinya dengan peminat-peminat setia.
Mengimbau kenangan paling sukar dilupakan Uji Rashid menyatakan dirinya trauma menyanyikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu kerana terkenangkan peristiwa berdarah kematian salah seorang peminat setianya yang bernama Siti Rashidah akibat kemalangan jalan raya. Arwah merupakan seorang remaja yang sentiasa mengikuti setiap persembahannya. Hubungan mereka bukan sekadar peminat dan idola, tetapi lebih kepada adik dan kakak, penuh kasih dan setia.
“Sehingga ke hari ini, saya masih beruka dengan tragedi peminat yang terkorban dalam kemalangan jalan raya selepas pulang berjumpa saya. Arwah sangat meminati saya dan sanggup melakukan apa saja. Saya tidak pernah menyampaikan lagu berkenaan dalam sebarang pertunjukan pentas sejak ia dirakamkan pada 1977 kerana tidak mahu mengingati detik tersebut,” kongsi Uji Rashid.
Tanpa sedar air mata mengalir tatkala bercerita tentang arwah Siti Rashidah, gadis remaja itu sanggup memandu dari Pulau Pinang bersama rakan-rakannya semata-mata untuk bertemu Uji Rashid. “Di mana sahaja saya buat persembahan, gadis muda itu pasti ada, setia menyokong dan memberikan dorongan. Malah arwah Siti Rashidah sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menunjukkan dia berjaya mendapat lesen memandu dan seolah-olah kejayaannya itu perlu diiktiraf oleh saya dulu.
Kenangan itu sangat menyentuh hati, malah menjadi bukti betapa peminat telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya. Namun, perpisahan juga menghampiri apabila arwah Siti Rashidah dan rakan-rakannya terlibat dalam kemalangan tragis. Pemergian mereka menyentap jiwa saya yang menganggap mereka seperti keluarga sendiri.
Saya menangis apabila mendapat perkhabaran tersebut. Lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu dihasilkan sebagai penghormatan kepada arwah dan saya masih tidak berupaya untuk menyampaikan lagu itu sehingga kini walaupun lagu itu sudah berusia lebih 47 tahun. Setiap kali dengar lagu itu, saya akan menangis terkenangkan arwah yang pernah baik dengan saya. Walaupun ramai yang meminta saya dendangkan lagu itu, saya tidak mahu berbuat demikian. Biarlah keindahan lagu itu diabadikan saja sebagai kenangan,” ungkap Uji Rashid sambil mengelap air mata yang jatuh di pipi.
Uji Rashid merupakan anak yang sangat baik dan mentaati orang tua. Seawal usia remaja lagi dirinya sudah memikirkan bagaimana hendak mengumpul duit dan memberikan kehidupan yang senang buat ibu tercinta. Membesar dalam keluarga yang berpindah-randah kerana pekerjaan ayahnya sebagai Pegawai Kastam, Uji Rashid menggalas tanggungjawab besar untuk membantu ibunya, seorang wanita cekal yang membesarkan lima anak sendirian dalam keadaan ibunya yang tidak tahu membaca. Malah Uji Rashid juga memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran demi kekal bersama ibu tercinta dan terjun ke dunia seni sebagai satu-satunya jalan yang mampu membantunya menjana pendapatan untuk keluarga.
Menerusi gaji yang diterima sebagai pelakon dan penyanyi, Uji Rashid menyimpan wang untuk ibunya dalam laci bertingkat, seolah-olah penyanyi itu mahu memastikan setiap hari ibunya tahu bahawa dia dicintai, dijaga dengan baik. Uji Rashid juga bersyukur pada ketika itu dirinya mampu menghadiahkan kesenangan kepada ibu, walaupun dalam bentuk yang sederhana namun kasih sayang seorang anak yang mahu memastikan tiada satu hari pun ibunya menghadapi masalah kewangan.
Ditebak mengenai dirinya adakah pernah menerima apa-apa gelaran seperti Datuk? Lantas Uji Rashid menyatakan dirinya berniat hadir dalam dunia seni demi ibu. “Saya tolak gelaran. Niat saya pada mulanya nak mak saya hidup senang. Bila gaji pertama saya terima RM160 saya cuma ambil RM10 selebihnya saya beri pada mak. Jadi bila saya dapat RM2000 dari hasil lakonan saya akan serahkan pada mak.
Orang takkan percaya saya buat laci 10 tingkat. Tiap-tiap laci ada duit. Dulu nak pergi bank susah, nak ke pejabat pos mak saya tak kenal huruf. Jadi pulang saja ke rumah saya akan letak duit dalam laci. Bila mak susah dia boleh ambil bila-bila masa.
“Mak saya pula pemurah orangnya, macam kedai pajak gadai. Mak saya tak pinjamkan orang tapi dia beri orang duit. Dalam sebulan saya cuma pulang ke rumah empat hari, jadi memang kaya-raya mak ketika itu. Apa saja mak nak dia akan beli. Kerusi meja ada dua set. Bila saya balik rumah saya tengok satu set lagi hilang sebab mak sedekahkan pada orang,” luahnya.
Bagi Uji Rashid, ibu merupakan teman dan penyokong setia. Walaupun pada masa itu pandangan masyarakat terhadap wanita yang menceburi seni seringkali dipandang rendah, ibunya berdiri teguh menyokong dirinya. Namun seiring waktu, takdir memisahkan mereka dan kehilangan ibu adalah kehilangan paling besar dalam hidup.
“Saya tak tahu nak bercerita dengan siapa lagi selepas ibu pergi buat selamanya,” luahnya penuh kesedihan. Malah Uji Rashid juga sangat bersyukur kerana diberi peluang menjaga arwah ibu sepanjang terlantar sakit sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Uji Rashid juga memegang prinsip jika sesuatu rezeki itu kalau dah bukan rezeki kita, dah masuk mulut pun boleh jatuh ke tanah jua. Rezeki tidak pernah salah alamat. “Kalau rezeki tak masuk mulut kita ertinya ia bukan rezeki kita. Macam-macam orang janji. Apapun kalau bukan rezeki, tak akan dapat. Semakin dewasa semakin banyak yang kita belajar. Saya serahkan segalanya pada Allah dan reda. Setiap rezeki itu Allah akan aturkan,” ungkap Uji Rashid.
Sebagai penerima Nona Legend Award, Uji Rasjid berasa sangat terharu. Ini kerana dia beranggapan dirinya tidak layak sebaris dengan wanita hebat yang terpilih. “Masa team Nona hubungi dan nyatakan saya sebagai penerima anugerah, ada terfikir nak nak undur diri sebabnya saya tengok ramai wanita hebat yang terpilih sebagai penerima anugerah. Saya cuma orang biasa.
Saya sedar kebanyakkan lagu-lagu ciptaan Datuk Ahmad Nawab, saya hanya menyampaikan saja. Saya tak pandai menyanyi dan saya tak suka menyanyi pada awalnya. Kemudian saya tersedar daripada nyanyianlah rezeki itu datang untuk mak dan anak-anak saya,” sambung Uji Rashid.
Ibu tunggal yang kuat bekerja ini juga menasihati golongan muda agar patuhi perintah Allah dan hormatilah orang yang lebih tua. InsyaAllah hidup akan senang. Menyentuh tentang isu dirinya yang kini sudah berniqab, tenang jawapannya berniqab kerana masalah kesihatan.
“Pasti ada yang keliru kenapa dalam gambar tak berniqab tapi di atas pentas dan sewaktu temu bual vodcast saya berniqab. Sebenarnya berniqab ni tak wajib. Masa pandemik COVID-19 kita semua pakai mask. Kakak saya meninggal dunia sewaktu era pandemik, saya tengok ketika itu kita tak boleh dekat dengan jenazah. Pada ketika itu Cico dan menantu arwah kakak yang turun ke dalam liang lahad. Kalau tak ada orang nak sambut, jenazah akan dicampak saja. Pada ketika itu semua orang pakai mask untuk perlindungan.
Saya pula disahkan ada penyakit lelah. Masa saya pakai mask saya tak boleh bernafas. Saya cakap kenapa saya tak cuba niqab, saya pergi nyanyi pun pakai. Tak ada masalah saya nak selamatkan diri saya agar dilindungi dari kuman. Saya nak semua orang gembira dan dengan nyanyian dapat hiburkan peminat,” akhiri Uji Rashid.