Kalau tak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya itu ungkapan yang sesuai menggambarkan perjalanan karier anak seni yang juga penyanyi bervokal mantap, Aina Abdul.
Menurut Aina, bukan mudah untuknya sampai ke tahap ini. Pelbagai liku serta onak duri terpaksa ditempuhinya seorang diri demi mencapai impian menjadi bintang di arena seni.
Terima Bayaran RM 50, Lepas Nyanyi 20 Buah Lagu?
Antara pahit getir yang kekal terpahat dalam ingatanya sehingga hari ini, adalah menerima hanya RM 50 untuk menyanyikan 20 buah lagu bagi persembahan satu malam.
“Pernah juga saya menyanyi tiga malam berturut-turut tanpa ada penonton di hadapan. Ada ketika, hanya dua hingga tiga orang sahaja.
Ads
“Ada masa dapat RM50 sahaja. Kadang-kadang, bayaran pun tak ada. Kena bahagi lagi dengan ahli band. Itu memang pengorbanan dan pengalaman yang saya tidak akan lupa.
“Tetapi, saya pegang satu prinsip dari zaman menyanyi di kelab. Walaupun tidak ada orang, bayaran tidak untung, saya kena teruskan juga,” lapor Utusan Malaysia.
Aina Tak Pilih Rezeki, Grab Semuanya Selagi Boleh
Ads
Jelas Aina lagi, perjalanan karier seni nya bermula lambat, ketika usianya 28 tahun, jadi dia tidak punya masa yang ampuh untuk memilih ‘rezeki’ seperti orang lain.
Sehubungan itu, sebarang peluang dan rezeki yang diterimanya digarap dengan sebaik mungkin, walaupun kadangkala tidak terlepas dari menerima kecaman dan kritikan dari wargamaya.
Ads
“Saya kena all out. Saya bermula pada usia 28 tahun dan orang anggap lambat. Bila dapat peluang, saya tidak akan sia-siakan.
“Disebabkan itu, saya tidak kisah orang kata fesyen pelik atau dikritik melampau, semuanya saya telan sahaja. Itu bayaran untuk mimpi saya,” ujar Aina.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Hijabista
Sekali imbas sepertikan tidak percaya usia wanita ini sudah memasuki 56 tahun. Berkat minatnya dalam sukan bolasepak dan dilantik pula sebagai Pengerusi pasukan kebangsaan Thailand, penampilan Nualphan Lamsam atau ‘Madame Pang’ terlihat sungguh awet muda. Namun di sebalik kecantikan itu, siapa sangka beliau adalah usahawan berjaya dan digelar Crazy Rich Thai!
Tuah anak emas dan dilahirkan dalam salah satu keluarga terkaya di Thailand, Nualphan Lamsam adalah keturunan generasi kelima keluarga Lamsam Thai-Cina yang mengasaskan Bank Kasikorn.
Dengan nilai aset terkumpul keluarga mencecah AS$100 bilion, wanita ini juga merupakan pemimpin disegani dalam dunia insurans.
Wajah sosialit berusia 56 tahun ini cukup terkenal di Negara Gajah Putih. Wanita lulusan Sarjana Muda Pemasaran Universiti Chulalongkorn dan Sarjana Pengurusan Universiti Boston Amerika Syarikat itu merupakan ibu kepada seorang anak perempuan bernama Nuanwan Phanchet.
USAHAWAN
Selain bekerja meluaskan empayar Muang Thai Insurance PCL sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Madame Pang juga menerajui Port Football Club, pasukan bolasepak kebangsaan Thai sebagai Pengerusi.
Madame Pang memulakan kerjayanya sebagai pengasas Saint Honorè iaitu pengedar sah jenama Hermès di Thailand. Tidak lama kemudian, beliau terus mengembangkan koleksi beg dan pakaian mewahnya sendiri dari pelbagai himpunan maison Perancis.
Menurut Prestige, Madame Pang melihat Hermès lebih daripada sekadar objek fesyen. Baginya, jenama yang sinonim dengan rona oren dan kereta kuda itu adalah karya seni yang sebenar.
“Saya suka membeli-belah dan membelanjakan banyak wang untuk membelinya.
Ambil Birkin, sebagai contoh – ia mengambil masa tidak kurang daripada 16 jam untuk dihasilkan.” Madame Pang
Madame Pang juga menyenangi barangan kemas. Beliau sering tampil dengan barangan kemas yang indah dan tepat di setiap acara yang dihadiri.
Graduan Universiti Boston itu juga gemar menghabiskan masa mengunjungi bandar Chiang Mai untuk menjamu selera. Kata Madame Pang kepada Prestige, beliau adalah seorang penggemar makanan panas, masam dan pedas.
“Saya suka berjalan-jalan mencari tempat makan yang lazat. Antara makanan kesukaan saya adalah Isaan, larb (salad daging yang dipotong dadu pedas dengan sayur-sayuran) atau somtam (salad betik hijau).”
PENGERUSI PASUKAN BOLASEPAK
Sering dilihat mengenakan persalinan Hermès daripada seluar jeans kepada gaun mewah, Madame Pang juga dikenali sebagai seorang dermawan.
Antara kerja kebajikan yang sering menjadi sebutan adalah ketika Madame Pang menerbitkan buku autobiografinya pada tahun 2017. Menurut The Nation, beberapa peratus daripada hasil jualan buku itu telah disalurkan kepada Yayasan Orang Buta di Thailand.
Malahan ketika bergelar pengurus besar pasukan bola sepak kebangsaan wanita Thailand dahulu, Madame Pang berbesar hati menghadiahkan pelbagai hadiah lumayan kepada para pemain, antaranya jam tangan Rolex, iPhone dan beg berjenama. Seronoknya!
Foto: Instagram @panglamsam
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejarah tercipta di New York apabila Zohran Mamdani mengangkat sumpah sebagai Datuk Bandar menjelang awal tahun 2026. Namun dalam momen yang sarat simbol dan makna itu, perhatian dunia turut terarah kepada seorang wanita muda yang berdiri tenang di sisinya. Rama Duwaji, 28, kini menjadi First Lady New York Muslim Gen Z pertama, satu wajah baharu yang melambangkan perubahan zaman, identiti dan keberanian untuk kekal setia pada diri sendiri.
Di Old City Hall Station, Zohran Mamdani, 34, mencipta sejarah sebagai Datuk Bandar New York beragama Islam pertama dari Asia Selatan. Dengan tangannya diletakkan di atas Al-Quran, upacara itu bukan sekadar formaliti politik, tetapi pernyataan terbuka tentang kepelbagaian dan keterangkuman. Rama Duwaji pula berdiri di sisi suaminya bukan sebagai bayang-bayang, tetapi sebagai individu yang membawa cerita dan suara tersendiri.
Dilahirkan pada 30 Jun 1997 di Houston, Texas, Rama Sawaf Duwaji merupakan seorang seniman visual yang dikenali melalui ilustrasi, animasi dan karya seramik. Hasil seninya pernah diterbitkan oleh The New Yorker dan The Washington Post, selain dipamerkan bersama institusi ternama seperti BBC, Apple dan Tate Modern.
Rama Duwaji membesar dalam keluarga Muslim Syria yang menjunjung nilai ilmu dan kemanusiaan. Bapanya seorang pembangun perisian, manakala ibunya seorang pakar pediatrik yang aktif dalam misi kemanusiaan di zon konflik.
Zaman kecil Rama Duwaji banyak dihabiskan di Dubai selepas keluarganya berpindah ke sana pada 2006. Pengalaman hidup merentas budaya itu membentuk pandangan dunia yang luas dan empati yang mendalam, sesuatu yang kemudiannya diterjemahkan dalam bahasa seni dan pendekatan hidupnya.
Pendidikan seninya bermula di Virginia Commonwealth University, bermula di kampus Doha sebelum berpindah ke Amerika Syarikat. Di sana, Rama menamatkan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dengan kepujian, sebelum meneruskan perjalanan seninya di Beirut dan Paris.
Pada 2021, dia menetap di New York untuk menyambung pengajian Sarjana Seni Halus di School of Visual Arts. Tesis akhirnya memberi tumpuan kepada makanan sebagai medium kebersamaan, satu refleksi mendalam tentang komuniti, perkongsian dan kemanusiaan.
Komitmen Rama Duwaji terhadap seni dan nilai sosial diiktiraf apabila dia terpilih menyertai program residensi seni di Catskill Mountains, New York. Di sinilah pendekatan seninya semakin matang, menjadikan pengalaman hidup sebagai naratif visual yang menyentuh isu kemanusiaan.
Namun, Rama Duwaji bukan sekadar seniman. Gaya peribadinya turut menjadi bahasa yang halus tetapi jelas. Pada malam pengangkatan sumpah suaminya, Rama Duwaji memilih mantel hitam vintaj Balenciaga yang dipinjam, dipadankan dengan seluar culottes hitam dan but.
Penampilan serba hitam itu ditatarias oleh Gabriella Karefa-Johnson, bekas editor Vogue, yang menyifatkan Rama sebagai pencinta thrifting dan penyewaan pakaian, satu pilihan yang jujur, sedar dan berprinsip.
Bagi Rama Duwaji, fesyen bukan tentang kemewahan semata-mata. Ia adalah pernyataan nilai. Dalam dunia politik yang sering mengutamakan imej selamat, Rama Duwaji memilih untuk tampil autentik dan membumi, mencerminkan realiti warga kota serta kesedaran kelas pekerja.
Pendirian itu diteruskan apabila dia mengenakan mantel cokelat rekaan pereka Palestin-Lebanon, Cynthia Merhej, ketika menyapa warga New York. Sebelum ini, dia juga memilih busana rekaan pereka Palestin-Jordan pada malam kemenangan pilihan raya suaminya.
Setiap pilihan itu membawa mesej solidariti tanpa perlu slogan atau ucapan panjang. Gaya Rama Duwaji sebagai cerminan sempurna kepada pemerintahan Zohran Mamdani yang progresif dan berani berubah.
Dalam keheningan sikapnya, Rama Duwaji membuktikan bahawa pengaruh tidak selalu perlu lantang. Kadangkala, ia hadir melalui pilihan yang jujur, pendirian yang konsisten dan keberanian untuk kekal menjadi diri sendiri.
Sebagai First Lady New York, Rama Duwaji bukan hanya mencipta sejarah. Dia memperkenalkan definisi baharu tentang wanita, kepimpinan dan keindahan yang berakar pada nilai, empati dan keaslian.
Menjelang Syawal, pelbagai persiapan mula direncanakan sebaik mungkin. Bukan sahaja perlu menyediakan pelbagai hidangan untuk menjamu para tetamu, persiapan diri juga perlu diberi keutamaan. Baik daripada segi pemilihan pakaian yang bakal digayakan, solekan dan sebagainya menjadi keutamaan. Tampil anggun menjadi pilihan adik-beradik ini yang mengekalkan unsur tradisi dalam busana Aidilfitri mereka.
Nama: Nik Suhaila Megat Deraman
Umur: 37 Tahun
Pekerjaan: Naib Pengerusi, Nang Surya House Of Beauty
1.BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suhaila: Bagi menyambut kedatangan Syawal tahun ini, saya selesa memilih kurung moden bermotifkan batik dengan perincian manik serta lace. Pada pandangan saya, fesyen batik sesuatu yang malar segar dan sesuai digayakan untuk Hari Raya mahupun kegunaan harian.
2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?
Nik Suhaila: Tidak dinafikan saya amat meminati corak batik sejak dahulu lagi. Pada pandangan saya, corak batik amat unik dan selesa untuk digayakan ke mana sahaja. Tambahan pula, kini rekaan corak batik telah dipelbagaikan dengan suntikan elemen moden dan memberi nilai komersil terhadap hasil seni turun-temurun ini. Selain itu, perkembangan fesyen batik juga berada pada tahap membanggakan dengan permintaan yang semakin berkembang di kalangan generasi muda.
3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suhaila: Sudah tentu dengan menjaga pemakanan dan amalan gaya hidup yang sihat menjadi pilihan saya tidak kira di musim perayaan atau sebaliknya. Selain itu, saya mengambil peluang kedatangan Ramadan dengan mengamalkan diet seimbang dan pemakanan yang sihat. Amalan tersebut akan diteruskan ketika menyambut kedatangan Syawal dan seterusnya.
4. DARIPADA SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?
Nik Suhaila: Apa sahaja menu yang disediakan oleh ibu pastinya menjadi kegemaran saya. Antara menu wajib ibu termasuklah Sate Jawa, Nasi Minyak dan Nasi Dagang. Bercerita mengenai Sate Jawa menariknya menu ini menjadi menu utama kami sekeluarga yang dimasak secara tradisional dengan mengekalkan keaslian resipi turun temurun. Seawal jam 5 pagi kami adik-beradik akan membakar sate secara bergilirgilir. Juadah resipi Sate Jawa ini hanya dinikmati di Hari Raya Aidilfitri sahaja.
Nama: Nik Suryani Megat Deraman
Umur: 38 Tahun
Pekerjaan: Pengacara TV/CEO Nang Surya Group Sdn Bhd
1.BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suryani: Saya gemar mengenakan baju kurung moden bercorak batik atau kurung moden batik bermotifkan abstrak.
2.NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?
Nik Suryani: Saya amat menggemari corak batik. Saya berasal dari Terengganu dan keluarga mula terbabit secara langsung dalam perniagaan batik di Singapura pada awal 50-60an lagi. Di mata saya, batik ketika dahulu old fashion kerana selalu dijamu dengan pelbagai corak dan motif. Namun selepas nenek meninggal dunia, saya mula merindui perniagaan itu.
Tiga tahun lalu, atas sokongan suami saya, saya telah mereka cipta beberapa helai batik yang diinspirasikan dari motif kegemaran saya. Dari motif itu, minat saya kembali menebal terhadap batik. Saya ilhamkan rekaan eksklusif dan ilusi si pemakai nampak lebih kurus. Batik adalah identiti dan Warisan Melayu. Tidak kira motifnya ia akan memperlihatkan si pemakai lebih ayu dan cantik beridentiti Melayu. Secara tak langsung mengingatkan diri erti bersopan santun dan menjaga tingkah laku
3.KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suryani: Tampil asli dan sederhana sentiasa menjadi keutamaan saya. Definisi cantik itu sangat luas dan apabila cantik dalaman, baik tutur kata, diserikan cantik busana yang mengekalkan identiti diri pasti memperlihatkan seseorang itu unik dan ada aura sendiri. Walaupun saya arif dengan tuntutan fesyen kini lebih kepada motif elegan. Namun pada saya, tampil sederhana itu lebih cantik dan manis.
4.DARIPADA SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?
Nik Suryani: Pasti juadah di masak oleh ibu saya Zaimah menjadi pilihan. Kebiasaan setiap kali raya, apabila giliran saya dan keluarga beraya di Kuala Terengganu juadah Sate daging, nasi impit dan kuah kacang menjadi pilihan. Tidak dilupakan menu seperti nasi minyak, bersama gulai daging dan acar. Nasi dagang ikan tongkol asli (cara masakan ala tradisi) juga Laksa Terengganu menjadi menu pilihan saya. Apa sahaja masakan air tangan ibu pasti menyelerakan.
Nama: Nik Sutiny Megat Deraman
Umur: 31 Tahun
Pekerjaan: Kontraktor
1. BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Sutiny: Bagi menyambut kedatangan Syawal tahun ini, saya selesa memilih fabrik dan corak yang bersesuaian dengan bentuk tubuh. Batik dan fabrik broked kurung moden menjadi pilihan.
2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?
Nik Sutiny: Pada pandangan saya, batik sememangnya menjadi pakaian tradisi keluarga. Sejak kecil ibu menyediakan baju raya dan fabrik batik menjadi pilihan.Saya melihat corak batik kini lebih fashionable seiring dengan pasaran masa kini. Batik bukan hanya di pakai di musim perayaan, malah ia mula diperkenalkan sebagai pakaian rasmi kakitangan kerajaan pada hari khamis. Sekaligus menunjukkan perkembangan batik pada tahap terbaik
3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Sutiny: Dalam memastikan penampilan menarik di musim perayaan, sudah tentunya soal pemakanan perlu diberi perhatian khusus terutamanya ketika di bulan Ramadan. Saya lebih selesa mengamalkan pemakanan yang seimbang dan minum air secukupnya. Selain itu, saya amat mementingkan penjagaan kesihatan untuk mengekalkan berat badan ideal.
4. DARI SEGI PEMAKANAN PULA, APAKAH MENU PILIHAN ANDA DI HARI RAYA?
Nik Sutiny: Sudah tentu makanan tradisi Terengganu menjadi pilihan. Antara menu wajib yang sering disediakan oleh ibu termasuklah Sate Jawa, Nasi Minyak dan Nasi Dagang. Menu Sate Jawa merupakan menu istimewa keluarga kerana ia disediakan dengan menggunakan resipi warisan keluarga. Juadah resipi Sate Jawa ini hanya dinikmati di Hari Raya Aidilfitri sahaja.
Nama: Nik Suzana Megat Deraman
Umur: 48 Tahun
Pekerjaan: Penasihat Fesyen Nang Surya House of Beauty
1. BOLEH KONGSIKAN FESYEN YANG MENJADI PILIHAN ANDA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suzana: Saya tidak terlalu cerewet dalam soal pakaian yang bakal digayakan di musim perayaan. Apa yang penting, pakaian tersebut selesa untuk digayakan.Selain itu, ia masih menerapkan ciri-ciri kemelayuan.
2. NAMPAKNYA ANDA AMAT MEMINATI FESYEN BATIK. MENGAPA ANDA MEMILIH BATIK SEBAGAI SEBAHAGIAN DARI GAYA FESYEN ANDA?
Nik Suzana: Pada pandangan saya, corak batik amat unik dan selesa untuk digayakan ke mana sahaja. Saya lebih gemar memilih pakaian yang menerapkan ciri-ciri kemelayuan. Motif batik Terengganu menjadi pilihan dimana motifnya berlatarkan unsur semulajadi seperti ombak, bunga dan lakaran abstrak.
3. KEBIASAANNYA, BAGAIMANA ANDA KEKAL CANTIK TERUTAMANYA DI MUSIM PERAYAAN?
Nik Suzana: Saya amat mementingkan soal pemakanan diet seimbang bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi untuk hari-hari biasa juga. Dalam membuat persiapan untuk berpuasa, saya pastikan mendapat rehat yang cukup dan tidak membuat persiapan di saat akhir.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.