Pasti ramai pernah menikmati hidangan enak di Madam Kwan’s, bukan? Restoran yang terkenal dengan hidangan Malaysia sebenar dengan rasa karinya yang enak, rendang serta juadah nasinya yang terkenal.
Tapi pernahkah terfikir, bagaimana wanita bertopi dan memakai kaca mata yang selalu tersenyum itu memulakan perniagaannya?
Madam Kwan Swee Lian, kini sudah mencecah usia 83 tahun ini masih gigih untuk bangun setiap awal pagi untuk memantau penyediaan makanan di dapur utama.
Sosok ini biasa berada di cawangan Pavilion Kuala Lumpur pada waktu siang dengan perawakan yang ramah, cermin mata berbingkai besar serta topi yang menjadi identitinya.
Sebagai penghormatan kepada tokoh yang fasih bertutur dalam Bahasa Kantonis dan Bahasa Malaysia ini, perniagaan milik keluarga itu telah menerbitkan biografi khas untuk berkongsi mengenai kisah hidup Kwan yang penuh suka duka di samping menampilkan resipi-resipi kegemaran beliau dari zaman kanak-kanak selain resipi dari Madam Kwan’s sendiri.
Buku yang ditulis oleh cucu perempuan beliau, Catherine Foo yang bertajuk, ‘Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes’ menceritakan bagaimana usahawan salon kecantikan yang tidak mempunyai pengalaman dalam bidang masakan ini beralih kepada perniagaan restoran yang seterusnya membangun menjadi perniagaan yang berjaya dengan usaha sama anak lelaki serta menantunya, Rudy dan Maureen Ooi.
Hari ini, Madam Kwan’s bertapak di pusat membeli-belah utama seperti Suria KLCC, Pavilion KL, Mid Valley Megamall, Bangsar Shopping Centre, One Utama Shopping Centre, Empire Shopping Gallery dan Sunway Pyramid serta di Genting Highlands Resort.
Ads
Biografi ini turut menyentuh mengenai kehidupan peribadi beliau dan kisah tentang beliau kehilangan anak lelaki sulung serta keluarganya yang mendukacitakan dalam tragedi runtuh Highland Towers pada tahun 1993.
Diikuti pula dengan kematian seorang lagi anak lelakinya dalam tempoh jarak sepuluh tahun kemudiannya, lantas berkongsi bibit-bibit sukar yang jarang diketahui mengenai kekuatan, semangat dan keupayaan Swee Lian dalam menangani dugaan yang menimpa beliau.
Dengan sifat cintanya terhadap bidang masakan selama lebih 60 tahun, tidak hairanlah buku biografi ini dipenuhi dengan resipi-resipi lazat yang melambangkan latar belakang beliau yang berasal dari keturunan Hakka, selain menu kegemaran Barat dan Malaysia dari Madam Kwan’s.
Dua puluh lima resipi dipilih teliti termasuklah kegemaran klasik dari restoran seperti Hainanese Chicken Chop, Udang Petai beraroma harum, Kari Kepala Ikan yang lemak berkrim serta Nasi Bojari yang ikonik.
Ads
“Di sebalik jenama Madam Kwan’s yang terkenal dan hidangannya yang enak adalah kisah menambat perhatian tentang seorang wanita bersemangat kental dan tabah yang tidak diketahui oleh ramai orang.
Bagi cucu perempuan beliau, “Saya amat berbangga kerana dapat memberi penghormatan kepadanya kerana beliau adalah sangat gigih dan bakat besar. Beliau sememangnya seorang wanita yang menakjubkan, dan saya fikir kisah beliau, yang diceritakan buat kali pertama secara terperinci ini adalah bukti kekuatan dan semangat yang ada dalam diri beliau.
Saya harap anda semua selesa membaca mengenai kisah nenek saya sebagaimana saya seronok belajar mengenai kisah pahit manis yang beliau lalui,” kata Foo semasa majlis pelancaran.
Madam Kwan dengan rendah diri mendedikasikan kejayaan beliau selama beberapa tahun ini kepada para pelanggan, keluarga serta pembekalnya.
“Kejayaan bukan milik saya seorang tetapi saya perlu berterima kasih kepada keluarga saya atas kesabaran, kesetiaan dan usaha keras mereka dalam mengendalikan perniagaan ini.
Ads
Selain itu, sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada kakitangan dan pembekal selama bertahun-tahun kepada kedua-dua perniagaan Madam Kwan’s dan Sakura sebelum ini meringankan beban saya. Kegembiraan yang terpancar di wajah pelanggan apabila mereka keluar dari restoran menjadikan semua ini berbaloi kepada saya,” kata Madam Kwan Swee Lian.
Meraikan kehidupan yang penuh warna-warni dan sumbangan beliau dalam mempromosikan juadah Malaysia, selebriti tempatan serta rakan kongsi perniagaan, ahli keluarga terdekat turut hadir di majlis pelancaran, di mana jenama itu turut memperkenalkan Pes Kari Madam Kwan, yang mempunyai rempah-ratus beraroma seperti kunyit, serai, belacan dan buah keras.
Dengan adanya pes kari sedia dimakan yang memudahkan ini, para peminat juadah istimewa Madam Kwan’s kini boleh menikmati rasa enak rendang daging lembutnya yang popular, kari ayam, kari kepala ikan serta laksa kari di rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Maureen Ooi berkata, “Saya dan Rudy mahu menerbitkan buku mengenai kisah hidup Ibu bagi memberi penghormatan kepada pencapaian beliau yang didatangkan bersama beberapa resipi kegemarannya.
Kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting dalam hidupnya sejak dari awal lagi. Buku ini adalah penghormatan kepada wanita yang bersemangat kental ini.”
Kedua-dua pes kari dan buku Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes boleh didapati di semua cawangan Madam Kwan’s selagi stok masih ada.
Buku ini dijual pada harga runcit RM89.00 senaskhah, manakala Pes Kari Madam Kwan pula dijual dengan harga RM13.90. Untuk tawaran yang lebih bernilai, para pelanggan boleh membeli set buku dan pes kari ini secara kombo dengan harga RM100.00 bersih yang akan diisi dalam sebuah beg jinjing khas.
Mereka yang berhasrat mendapatkan naskhah yang ditandatangi oleh Madam Kwan dan ingin berjumpa dengannya sendiri boleh hadir di restoran di Pavilion KL pada 30 September dan Mid Valley Megamall pada 7 Oktober, antara jam 3.00–5.00 petang. Rosmah Idayu Abu Samah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Islam memandang emas sebagai simbol kekayaan harta yang berharga dan mampu berkembang. Pada masa dahulu emas diguna sebagai wang dalam urusan jual beli. Emas-emas ditempa menjadi kepingan berbentuk syiling (dinar) dan juga dibentuk menjadi barang perhiasan wanita. Oleh sebab keistimewaan yang dimilik oleh emas dan menjadi ukuran kekayaan maka Islam mewajibkan zakat ke atas emas.
Terlalu banyak persoalan berkaitan zakat emas. Masih ramai sebenarnya kabur dengan kewajipan yang satu ini
Sejak akhir-akhir ini, terdapat trend penurunan harga emas pasaran dan membolehkan individu yang berkemampuan menambah koleksi emas sebagai salah satu medium pelaburan yang berharga dan mampu berkembang. Tetapi disebalik itu, keperluan membayar zakat emas tidak harus dipandang sepi. Antara sebab zakat hanya diwajibkan atas harta yang berkembang ialah agar pembayaran zakat tidak membawa kepada penyusutan harta. Lebih-lebih lagi sekiranya harta tersebut hanya satu-satunya sumber untuk kelangsungan hidup pemiliknya, maka jikalau zakat tetap dikenakan sudah tentu akan membawa kesusahan kepada pemiliknya.
Islam memandang emas sebagai unsur kekayaan alam yang hidup, yakni mampu berkembang dan dikembangkan.
Terlalu banyak persoalan berkaitan zakat emas. Masih ramai sebenarnya kabur dengan kewajipan yang satu ini. persoalan seperti, “Ustaz, saya sudah pun mengeluarkan zakat emas saya tahun lalu. Jadi, tahun ini tidak perlu lagi kan?” atau “Emas yang menjadi kegunan perhiasan juga wajib dikenakan zakat?” Itu di antara persoalan timbul dikalangan umat Islam kini. Apa itu zakat emas?
Surah At-Taubah ayat 34 bermaksud:
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka beritahulah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih.”
Hadis Rasulullah menyebut:
“Tiadalah bagi pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya untuk menzakatkan keduanya, melainkan pada hari kiamat dia akan didudukkan di atas padang batu yang lebar dalam neraka, maka dibakar di dalam neraka jahannam, diseterika dengannya pipi, kening dan punggungnya.” (Sebahagian hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a)
5 syarat wajib zakat:
Islam Merdeka Milik sempurna Cukup nisab Cukup haul
Hikmah Islam mewajibkan zakat emas
Di dalam sejarah tamadun manusia, emas sejak dahulu lagi telah berperanan sebagai mata wang dan menjadi sandaran dalam urusan jual beli untuk menggantikan sistem barter.
Bahkan Islam memandang emas sebagai unsur kekayaan alam yang hidup, yakni mampu berkembang dan dikembangkan.
Dengan nilai emas yang tinggi, maka manusia mampu menjana kekayaan lain.
Bahkan emas merupakan sejenis logam yang istimewa yang berbeza dengan logam-logam lain. Atas dasar keistimewaan dan kemampuan berkembang itulah Islam telah mewajibkan emas dizakatkan, sama ada dalam bentuk mata wang mahu pun yang diukir ke bentuk yang lain.
Emas adalah harta yang amat sinonim dengan kekayaan.
Memiliki emas menandakan seseorang itu kaya. Apabila kekayaannya berlebih, maka wajiblah zakat. Itulah konsep zakat harta dalam Islam.
Kadar zakat emas
Kadar nisab (jumlah minima) bagi emas ialah 20 misqal ataupun bersamaan 85 gram emas. Apabila emas seseorang mencapai tahap nisab itu, maka wajiblah zakat. Namun begitu, Islam masih meraikan emas sebagai alat perhiasan diri wanita. Maka Islam memberikan kelepasan berdasarkan corak pemakaian emas setempat. Ia dinamakan uruf.
Wanita yang memakai emas tetapi tidak melebihi uruf, maka mereka tidak wajib zakat. Hanya yang melebihi had uruf sahaja, maka wajib zakat. Kadar uruf ini boleh dirujuk kepada pihak berkuasa zakat di negeri masing-masing. Emas yang berlebihan uruf hendaklah dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Bagi negeri Selangor, kadar uruf ialah sebanyak 800 gram. Contoh pengiraannya ialah: Jumlah emas melebihi uruf yang dimiliki (gram) x harga emas semasa x 2.5% Contoh: (900 gram) x RM 70 x 2.5% = RM1,575.00
“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak membelanjakannya pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka beritahulah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih.”
Emas tidak dipakai dinamakan emas simpanan termasuk gelang emas yang rosak, rantai emas yang putus ataupun jongkong emas yang disimpan.
Emas seperti ini perlu ditimbang dan jika beratnya menyamai atau melebihi 85 gram, wajiblah dizakatkan sebanyak 2.5 peratus.
Contoh pengiraannya:
Jumlah emas menyamai atau melebihi nisab yang dimiliki (gram) x harga emas semasa x 2.5%.
Contoh: (90 gram) x RM 70 x 2.5% = RM157.50
Emas dipakai dan emas yang disimpan?
Emas dipakai: Bermaksud ia dipakai walaupun hanya sekali dalam tempoh setahun.
Emas simpanan: Emas yang langsung tidak dipakai walau sekali dalam setahun. 3. Emas Pelaburan Patuh Syarak
Pelaburan emas yang patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; i) pelaburan dalam emas fizikal dan ii) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) Pelaburan Emas Fizikal
Emas fizikal yang dimiliki lazimnya diniatkan sebagai pelaburan untuk mendapatkan keuntungan. Biasanya emas ini berbentuk syiling, jongkong, bar dan wafer. Wajib dizakatkan sekiranya berat emas menyamai atau melebihi nisab 85 gram.Sebagai contoh, jumlah emas yang dimiliki diniatkan untuk pelaburan adalah sebanyak 400 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 400 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM1,400
Akaun Emas (Passbook)
Terdapat bank menawarkan emas pelaburan berbentuk passbook atau Akaun Simpanan Emas. Akaun ini mencatatkan jumlah simpanan dalam unit gram emas yang dilaburkan. Pelaburan yang patuh syarak ialah fizikal emas itu wujud dan boleh dimiliki oleh pelabur. Wajib dizakatkan sekiranya ada niat pelaburan dan berat emas mencukupi nisab 85 gram.
Sebagai contoh, jika jumlah emas yang dimiliki dalam passbook sebanyak 200 gram maka:
Zakat Emas (pelaburan/perniagaan)
= Berat Emas x Harga Semasa x 2.5%
= 200 gm x RM140 (contoh) x 2.5%
= RM700
4.Emas Pelaburan Tidak Patuh Syarak
Pelaburan emas yang tidak patuh syarak lazimnya dibahagikan kepada dua bentuk iaitu; i) pelaburan dalam bentuk akaun emas (Passbook) yang tidak menyediakan emas fizikal dan ii) pelaburan emas melalui alam maya.
Akaun Emas (Passbook) Tanpa Fizikal Emas
Emas pelaburan passbook atau akaun simpanan emas tidak patuh syarak sekiranya tiada pegangan emas fizikal. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sahaja sekiranya jumlahnya melebihi nilai nisab tahunan. Ia dikira mengikut formula Zakat Wang Simpanan. Akaun Emas Maya
Emas maya adalah emas yang diniagakan untuk pelaburan secara bukan fizikal. Perniagaan emas maya menggunakan platform elektronik. Pelabur yang mempunyai akaun di broker tertentu boleh membuat arahan belian dan jualan emas dengan harga semasa dipaparkan di platform tetapi tidak boleh menuntut emas fizikal yang dibelinya.
Memandangkan jualbeli emas ini tidak melibatkan emas fizikal maka ia adalah tidak patuh syariah. Zakat hanya dikenakan ke atas pelaburan pokok sekiranya jumlah melebihi kadar nisab tahunan. Ia dikategorikan sebagai bayaran Zakat Wang Simpanan.
Kaedah kiraan Zakat emas pelaburan tidak patuh syarak:
Zakat
= Pelaburan pokok @ baki terendah x kadar zakat
= RM40,000 (contoh) x 2.5%
= RM1,000
Nota 1 Uruf Emas ialah kebiasaan pemakaian emas masyarakat setempat. Berat uruf emas di Wilayah Persekutuan bersamaan dengan 800 gram.
Nota 2 Nisab ialah nilai semasa 85 gram emas.
Persoalan?
Bagaimana pula emas perhiasan yang mempunyai batu perhiasan seperti batu permata dan sebagainya?
Jawapan: Semasa proses taksiran zakat emas, hendaklah dibahagi dua berat emas perhiasan itu dengan andaian separuh daripada beratnya adalah berat batu perhiasan tersebut.
Setiap Muslim bertanggungjawab untuk memastikan hak Allah SWT yang tersimpan di dalam hartanya dikeluarkan sebagai zakat. Ia bukan sekadar membersihkan harta daripada unsur-unsur yang tidak halal kerana termakan harta milik asnaf malah dapat melestarikan keberkatan. Zakatlah satu cara bagi menjamin keberkatan yang dapat pula menjamin kebahagiaan umat manusia.
Info: www.zakat.com.my
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Empat dekad berkecimpung dalam industri hiburan dan menjadi anak seni, pelakon Imuda kini bergelar Dato’! Bintang sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan cukup sinonim dengan watak Budin berkenaan menerima penganugerahan tersebut pada 30 Julai lepas.
Dato’ Imuda atau nama sebenarnya A Rahim Muda menghadiri Hari Kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan (DKBP) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 bersempena Hari Ulang Tahun TYT Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak ke-75.
Dalam istiadat itu, Imuda menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’.
Menerusi perkongsian di akaun Facebook Imuda Art, anak jati Pulau Pinang berkenaan kelihatan segak dalam persalinan Baju Melayu rona hitam lengkap bersampin.
Turut hadir menemani pelakon berusia 65 tahun itu ialah isteri tercinta, Zabarina Haja Mushadi Ali yang anggun berbusana tradisi warna merah jambu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2010 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 14 dan tujuh tahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Dato’ Imuda mempunyai dua orang anak. Bekas isterinya iaitu Roslinda Rosli meninggal dunia pada Disember 2008.
Selain bergelar pelakon, Dato’ Imuda juga aktif sebagai pelukis dan kartunis menerusi komik popular Gila-Gila.
Dalam istiadat sama, TYT Tun mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat keapda 343 individu.
Memetik kenyataan di Instagram rasmi TYT Pulau Pinang, pada hari kedua istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan (DKBP) Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 seramai tujuh individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri, dua individu dianugerahkan Darjah Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Dato’, 26 individu dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), 24 orang menerima Darjah Johan Negeri (DJN), 10 individu dianugerahkan Bintang Cemerlang Negeri (BCN), 52 orang menerima Pingat Kelakuan Terpuji (PKT), 87 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 130 orang dianugerahkan Pingat Jasa Masyarakat (PJM) dan 5 orang dikurniakan Pingat Bakti Setia (PBS).
Pelakon dan usahawan Fizo Omar berkongsi yang dia kini adalah seorang bapa kepada 3 cahaya mata perempuan apabila isterinya, Fazeera Nazri selamat melahirkan cahaya mata kedua mereka di sebuah pusat perubatan di Seri Kembangan, Selangor petang tadi.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata, dia bersyukur proses kelahiran bayi perempuan secara normal itu berjalan lancar dan dipermudahkan Allah SWT.
“Syukur alhamdulillah. Isteri saya @ffezyranesry telah pun selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.07 kilogram pada jam 5.57 petang tad di @andorrahospitalofficial.
“Syukur Ya Allah, semuanya di permudahkan dan berjalan lancar. Hanya mengambil masa beberapa jam sahaja di labour room untuk melahirkan secara normal,” tulisnya.
Fizo berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik sekeping gambar di laman Instagram memaparkan dirinya berada di sisi isteri dalam wad di pusat perubatan berkenaan, dan keceriaan jelas terpancar di wajah kedua-duanya sambil wajah dan nama anak masih belum didedahkan kepada umum.
Sementara itu, Fizo turut menyifatkan kelahiran ini adalah pengalaman berharga apabila berpeluang menyambut sendiri bayi tersebut ke muda dunia ini elain mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital atas layanan yang diberikan.
“Pengalaman yang sangat berharga dalam hidup saya apabila diberi peluang untuk menyaksikan proses bersalin dan diberi peluang untuk menyambut sendiri bayi keluar dari rahim ibunya. Ya Allah, tak terkata. Terima kasih buat doktor Kamsiah dan seluruh warga @andorrahospitalofficial di atas pengalaman yang luar biasa ini dan layanan yang sangat baik,” kongsinya lagi.
Untuk maklumat, Fizo dan Fazeera mendirikan rumah tangga pada 21 Oktober 2021 dan dikurniakan anak sulung Wan Khaleeda yang kini berusia setahun.
Sebelum ini, Fizo sebelum itu pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim namun bercerai talak satu pada 10 Julai 2019. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Wan Maryam yang berusia enam tahun.
Sumber: Instagram Fizo Omar
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rezeki aktres Hollywood ini pada usia 62 tahun, Demi Moore muncul sebagai wanita tertua dinobatkan gelaran 'Orang Tercantik Di Dunia' oleh Majalah People.