Pada pandangan umum, pasangan Dato’ Syahmie dan Datin Shairah terlihat sentiasa bahagia. Dikurniakan tiga cahaya mata serta hidup dilimpahi kemewahan.

Tapi hakikatnya, mereka saja yang tahu. Hubungan suami isteri itu bagai retak menanti belah, bagaikan tali yang menanti saat putus. Kasih sayang yang dipupuk terlerai.

IKLAN

Semuanya bermula sejak Datin Shairah memberhentikan Ustaz Samaon yang diupah mengajar anaknya mengaji. Dengan bayaran RM60 sebulan, Ustaz Samaon akan datang mengajar tiga kali seminggu.

Suatu hari, Ustaz Samaon tiba agak lewat dari biasa. Datin Shairah mula marah-marah mengenangkan selepas itu ketiga-tiga anaknya ada kelas muzik di sebuah pusat muzik terkemuka.

Setengah jam kemudian, Ustaz Samaon muncul dengan wajah berpeluh-peluh. “Minta maaf Datin. Motosikal saya rosak kat bawah bukit. Terpaksa saya menolak sampai ke atas,” katanya sambil mengelap peluh di muka.

Tapi Datin Shairah tak peduli. Tiada langsung rasa simpati pada Ustaz Samaon yang terpaksa menolak motor lebih 2km ke rumah agamnya yang terletak di sebuah kawasan elit di puncak bukit.

“Ustaz, kalau motor tu dah buruk belilah motor baru. Tak cukup ke duit yang saya bayar RM60 sebulan tu, buatlah bayar ansuran motor. Jangan menyusahkan orang. Ini sebabkan Ustaz, anak-anak saya lambat ke kelas muzik.

Kalau nak mengajar, ajarlah betul-betul. Jangan nak ikut sendiri saja. Kalau tak, berhenti!” tempik Datin Shairah. Terkejut bercampur penat menolak motor, Ustaz Samaon rasa cukup terhina dengan kata-kata wanita kaya itu. Terus dia meminta izin untuk berhenti.

Apabila Dato’ Syahmie pulang malam itu, dengan bangganya Datin Shairah memberitahu dia telah memberhentikan khidmat Ustaz Samaon. Disebabkan hal itu, mereka berdua pun bertengkar.

Keesokan harinya, Dato’ Syahmie segera ke pejabat di mana Ustaz Samaon bekerja sebagai jaga. Dia mahu meminta maaf atas keceluparan isterinya dan mengajak Ustaz agar datang mengajar semula. Tapi Ustaz Samaon enggan.

Marah besar Datin Shairah bila tahu tentang hal tersebut. Sejak itu hubungan keduanya semakin tegang, mereka tak lagi sebulu dan ada saja yang ditengkarkan bila berjumpa.

Amalan

Dari Tanah Suci, “Di Bawah Lembayung Kaabah, Mak Datin Ini Terima Hidayah”

Merasa kasih sayang Dato’ padanya tergugat, Datin Shairah tekad mencari jalan singkat dengan amalan syirik.

Wajah Datin Shairah yang masih cantik itu dipakaikan susuk penyeri supaya semakin menawan. Tidak cukup lagi, dia juga mengenakan ilmu supaya Dato’ sentiasa patuh dan tak mempertikaikan tindakannya.

Sejak itu Dato’ Syahmie benar-benar berubah. Biarpun di luar dia berjaya mengendalikan projek jutaan ringgit, tapi di rumah dia bagaikan seekor tikus yang sentiasa mengikut telunjuk isterinya. Dia tiada kudrat untuk melawan.

Suatu hari, dengan kuasa Allah timbul keinginan dalam hati Dato’ Syahmie untuk menunaikan haji. Tanpa berfikir panjang, dia terus mendaftarkan namanya dan isteri ke pihak Tabung Haji. Itulah keputusan pertama yang dibuat tanpa menunggu persetujuan Datin Shairah.

Bila perkara ini disampaikan kepada isterinya, Datin Shairah tak marah sebaliknya cukup gembira dan puas hati. Memang dia sendiri sudah terfikir tentang perkara tersebut.

IKLAN

Terbayang di matanya keseronokan mengerjakan haji dan membuat amal ibadah seperti orang lain. Sedikit pun tak terfikir yang dia bakal melalui satu pengalaman paling hebat dalam hidupnya di sana nanti.

Bertolak Ke Mekah

Setelah seminggu di Tanah Suci, dia dapat melihat perubahan jelas suaminya. Lelaki itu bagai menjauhkan diri, tak mempedulikan dirinya dan sentiasa cuba menghindarinya.

Entah kenapa jadi begitu. Biarpun berusaha berbuat sebaik mungkin, tapi Dato’ Syahmie seakan alergi dengan dirinya. Apatah lagi sejak tiba di Tanah Suci, Datin Shairah asyik sakit-sakit hingga ibadahnya terganggu.

Dalam keadaan begitu, Datin Shairah tetap gembira kerana dapat teman-teman baru yang sangat mengambil berat. Antaranya seorang Ustazah iaitu Ustazah Aminah.

Suatu hari penyakit Datin Shairah semakin berat hingga terpaksa dibawa ke hospital. Apabila mendapat tahu keadaan tersebut, Ustazah Aminah terus pergi melawat. Puas dicari tapi kelibat Datin cantik itu tetap tak kelihatan.

Dengan bantuan petugas hospital, akhirnya dia menemui Datin Shairah dalam keadaan yang sangat mengejutkan. Wajahnya berubah sama sekali.

IKLAN

“Datin sakit apa sampai macam ni sekali?” tanya Ustazah ingin tahu.

“Berubah macam mana?” tanya Datin Shairah dalam nada pelik.

Melihat wajah Datin yang kehairanan, Ustazah Aminah mencapai sebuah cermin dan diserahkan padanya. Bagaikan gugur jantung Datin Shairah melihat wajahnya sendiri yang amat tua. Dia terus menjerit hingga terpaksa ditenteramkan.

Apa yang berlaku pada Datin Shairah membingungkan Ustazah Aminah. Atas dasar ingin membantu, dia kemudiannya meminta pandangan orang-orang alim di situ.

“Mungkin ada kena-mengena dengan amalan ilmu tak baik,” beritahu mereka.

Bila perkara ini ditanyakan pada Datin, wanita itu tanpa sembunyi mengakui tentang susuk dan ilmu yang diamalkan. Sambil menangis tersedu-sedan dia menyatakan kesalan dan mahu membuang ilmu hitam tersebut dengan apa cara sekalipun.

“Beginilah Datin. Susuk tu susah sikit sebab ia hanya boleh dikeluarkan oleh orang yang memasukkannya. Tapi ilmu tu mungkin kita boleh usahakan. Kita cuba solat hajat enam rakaat di depan Kaabah serta bertaubat dan minta ampun daripada Dato’,” kata Ustazah Aminah.

Insaf atas kesilapannya, Datin Shairah menggagahkan diri berbuat apa yang disarankan. Dengan kuasa Tuhan, penyakitnya beransur sembuh hingga membolehkan dia mengerjakan semua ibadah haji walaupun belum begitu sihat. Hubungan dengan suaminya pun beransur pulih.

Sekembalinya ke tanah air, Datin Shairah tekad membuang susuk dan semua ilmu sesat yang diamalkannya. Gaya hidup juga ditukar menjadi lebih sederhana. Wajahnya yang masih muda tetap kelihatan cantik, malah lebih berseri daripada kebiasaan. Bagi Datin, dia betul-betul bertaubat atas segala perbuatannya dan menyesal terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan.

(Kisah ini diceritakan semula oleh Ustaz Haji Daud Che Ngah, Bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Urusan Tabung Haji melalui naskhah ‘Ingatan Dari Kaabah’)

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI