Pasangan sensasi, David dan Victoria Beckham baru sahaja meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-23 tahun pada 4 Julai 2022 lalu. Mereka bergelar suami isteri pada tahun 1999 di Luttrellstown Castle, Ireland.
Sempena mengenang momen bahagia mereka, Victoria dan David memuat naik gambar yang berbeza di akaun Instagram masing-masing. Menjengah di Instagram Victoria, bekas ahli kumpulan Spice Girls ini berkongsi satu gambar dirinya dan suami yang sedang tertawa dengan kapsyen:
“Mereka kata dia tak kelakar, mereka kata saya tak pernah senyum, mereka kata ini tak akan bertahan lama. Hari ini kami meraikan ulangtahun perkahwinan yang ke-23 tahun. David kau lah segalanya, I love you so much!!!”
Ads
Berusia 48 tahun, Victoria yang merupakan ibu kepada 4 orang anak ini seolah-olah berkias kepada pihak yang sering beranggapan dirinya seorang wanita yang terlalu serius dan jarang tersenyum.
Berbeza pula dengan suaminya, David yang berkongsi satu video ‘throwback’ di mana mereka pernah ditemu bual dalam satu pogram TV. Ketika itu mereka masih di awal percintaan dan masih muda. Dalam video tersebut mereka menceritakan bagaimana detik-detik perkenalan sehinggalah saling jatuh cinta.
Waktu itu Victoria sedang diambang populariti bersama kumpulan Spice Girls manakala David merupakan bintang bola sepak tersohor dunia, Manchester United.
Turut dikongsi oleh David ialah beberapa gambar lama dan baru bersama isteri tersayang di Instagram Story. Ianya memaparkan momen-momen mereka menghabiskan masa bersama termasuklah detik makan malam romantik di hadapan Menara Eiffel, Paris.
Ads
Pasangan ini kelihatan sangat gembira menghabiskan masa berdua dan masih romantik seperti di awal perkahwinan.
Ternyata, Victoria dan David pasangan serasi dan bijak menjaga keharmonian rumahtangga biarpun pernah beberapa kali diuji sebelum ini. Semoga pasangan selebriti popular ini kekal bahagia selamanya.
Kredit Foto: Instagram Victoria Beckham
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu bertambah apabila melihatkan kesihatan Tun Hasmah yang tidak banyak terjejas kecuali penglihatan. Pada usia 95 tahun, beliau juga masih mempunyai memori yang bagus.
Pelbagai peristiwa bersejarah termasuk nama dan tarikh-tarikh penting masih tidak luput dari ingatan Tun Hasmah. Beliau bercerita seperti seorang diari yang bergerak. Ingatannya begitu kuat, mungkin ada rahsia yang diamalkan Tun Hasmah?
Jawab beliau, “Yang pertama sekali tu, kita kena buat sesuatu berulang-ulang, khasnya pemikiran. Selalu saya berdoa, ‘Waraskanlah pemikiran hamba’ sebab ini penting. Kalau kita tak berulang-ulang buat sesuatu tu, kita lupa.
Khasnya sekarang ni saya tak nampak. Jadi saya kena hafal untuk masukkan dalam memori. Contohnya lagu-lagu. Kalau lagu-lagu yang saya ingat, bolehlah saya ingat tapi kalau yang baru, kenalah kita dengar lagu tu berkali-kali supaya otak kita tu meresap,” dedah Tun Hasmah sambil mengakui bermain muzik dapat menajamkan fikiran.
MAHIR GESEK BIOLA
Mendengar alunan gesekan biola ‘The Moon Represents My Heart’ ini begitu syahdu rasanya. Mungkin kerana melihat wajah bonda Tun Hasmah, wanita tertua yang bermain biola pada usia bakal mencecah 95.
Bercerita kepada Nona, rupa-rupanya banyak sejarah di sebalik kemahiran beliau menggesek biola. Kemahiran muzik pun salah satu cara bijak untuk kuatkan ingatan.
Cerita Tun Hasmah, “Saya mula bermain biola pada usia 16 tahun. Masa tu zaman Jepun tiga tahun je. Disebabkan tidak bersekolah dan tiada apa yang boleh dibuat, ayah suruh saya main biola dan kakak-kakak main piano.
Lepas British masuk balik, saya terus sambung pengajian di Singapura. Sejak itu saya tak pernah main biola, dan biola itu pun dah dicuri dari rumah mak.
Selepas saya balik semula ke tanah air, bekerja, berkahwin, pindah ke Alor Setar dan ada famili semua, saya tak usik sikit pun biola. Cuma sesekali saya main keyboard bila ada masa.
Apabila Tun Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau kena jelajah satu negara untuk terangkan tentang Kod Raja-Raja. Ketika di Melaka, mereka beri sebuah biola kepada beliau kerana ingatkan Tun pandai main biola. Tapi biola tu cuma dibawa pulang dan disimpan di pejabatnya.
Begitu juga artis Wah Idris pun pernah beri saya sebuah gitar, siap dengan tanda tangannya… pun saya simpan. Dapat trompet, simpan.
Sehinggalah pada tahun 2012, Petronas Philharmonic Orchestra (MPO) datang kepada saya yang pada masa tu Penaung MPO. Mereka nak adakan sebuah konsert kebajikan.
Masa tu saya boleh menyanyi koir je. Tapi Tun cakap pada saya, buatlah yang ganjil sikit dan orang tak pernah nampak. Saya pun fikir.
Jadi okay, BIOLA!
Bayangkan jarak 70 tahun, baru saya mula balik (main biola) sampai sekarang.
Bahu dan tengkuk saya ni pun baru rasa sakit-sakit. Doktor tak bagi saya main biola seketika.
Setiap hari Selasa, guru muzik akan datang mengajar di rumah saya. Winnie, guru saya, dia seorang yang tegas. Saya pernah cakap, ‘Winnie, pelajar baru ni dah tua.’ Dia tanya saya balik, ‘How old?’ dan saya jawab, 86. Dia pun diam tapi setuju mahu mengajar saya,” cerita Tun Hasmah.
Tidak hanya terkenal sebagai isteri pemimpin negara dan doktor perubatan, bonda Tun Hasmah terus meniupkan inspirasi kepada generasi wanita moden seperti kita semua agar lebih bijak memberi masa untuk menjaga diri sendiri.
Dari hobinya yang suka menulis, bermain muzik dan mengambil tahu perihal isu semasa, beliau jelas melambangkan sisi Nona Superwoman yang sebenar… She’s truly a living legend.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu #JusticeForBella di Facebook peribadinya pada Julai 2021 demi membela nasib seorang anak syurga bernama Bella.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, beliau berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang merupakan anak sulungnya, seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira berusia 14 tahun yang juga anak Down Syndrome.
“Arwah anak sulung saya, Nur Salima atau dikenali sebagai Kak Mar meninggal dunia ketika umurnya 12 tahun. Arwah meniggal pada Syawal terakhir 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 30 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 18 tahun. Arwah ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap.
Bagi saya, arwah Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 18 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Setelah saya bersara 6 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome.
Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hujung Jun lalu pastinya menjadi detik bermakna bukan saja bagi Nourul Depp tetapi juga anaknya, Ayu Nazirah. Berkat kerja keras menamatkan pengajian di peringkat universiti, akhirnya Ayu berjaya menggenggam ijazah dan lebih manis dengan meraih keputusan cemerlang.
Nourul sebagai ibu sudah tentu berbangga dengan kejayaan Ayu. Apatah lagi dia melihat betapa anak gadisnya itu ‘berjuang’ memberikan yang terbaik dalam pelajaran selepas melalui bermacam-macam pengalaman hidup sejak dia berusia lapan tahun lagi.
Pujian memang patut diberikan kepada ibu dan anak ini kerana saling memberikan yang terbaik di antara satu sama lain. Tahniah Nourul dan Ayu!
29 Jun lalu, Ayu Nazirah Mohd Faizal menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains dan Pengurusan Sumber Haiwan), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Majlis Konvokesyen Komemoratif.
Nourul di Instagram miliknya meluahkan rasa sebak dan syukur kerana berpeluang melihat kejayaan anak tersayang. “Betapa bangganya mama melihat kamu dalam jubah konvokesyen. Untuk gadis yang paling bertuah di dunia, untuk cinta pertamaku, kamu berhak memperoleh yang terbaik di dalam dunia selepas apa yang kamu lalui.
Ayu telah melalui banyak perkara sejak berusia lapan tahun lagi. Namun dia berjaya mengharungi segalanya. Lebih kuat dan lebih baik. Jadi tegas tetapi bukan kurang ajar, berbuat baik untuk diri sendiri, berbuat baik kepada orang lain, sentiasa berbuat baik. Pilih menjadi baik dan sopan.”
Kebijaksanaan Ayu dalam pelajaran sering mendapat perhatian peminat ibunya sejak di bangku sekolah lagi. Ketika bergelar penuntut universiti, Ayu berjaya merangkul Anugerah Dekan UNIMAS sebanyak empat kali.
Malah gadis berusia 24 tahun ini juga memperoleh keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Rata-rata rakan artis dan peminat Nourul turut tidak ketinggalan mengucapkan tahniah atas kejayaan pelajar pintar ini.
Ayu merupakan anak sulung daripada perkahwinan terdahulu Nourul dengan komposer terkenal, Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bangga tengok kejayaan usahawan muda, Azzim Zahid Azmi. Pada usia 29 tahun dia mampu mengusahakan sebuah empayar perniagaan yang besar dan terkenal dalam kalangan selebriti dan VIP. Malah, setiap kali menjelang Syawal jenama miliknya iaitu Bulan Bintang sentiasa meniti di bibir pelanggan.