Bukan sekadar sukses dalam bisnes interiornya bahkan wanita berimej urban ini turut mengubah persepsi bahawa wanita mampu berjaya walau hanya dengan titik peluh sendiri.
Memiliki kediaman indah berteraskan idea dekorasi tersendiri menyerlahkan sisi kreatif pemilik nama sebenar Fazila Filipi ini. Malah syarikat miliknya, Trendale Sdn Bhd menawarkan khidmat nasihat, rekaan dan tatarias dalam interior.
“Saya seorang pencinta seni dekorasi dan memiliki kebolehan dalam hiasan dalaman. Maka saya menubuhkan syarikat Trendale Sdn Bhd. Bertitik tolak dari situlah kediaman ini menjadi tempat untuk saya berkarya,” kongsi Fazila yang turut mencintai seni lukisan.
Di sebalik jiwa seninya yang halus, siapa sangka Fazila juga seorang wanita lasak. Bukan calang-calang aktiviti yang disertai antaranya ialah sukan polo sehingga pernah bergelar juara kategori wanita dalam satu kejohanan.
“Saya menggemari sukan outdoor seperti polo, golf dan berbasikal kerana dapat mencabar diri. Selama 12 tahun aktif dalam sukan polo, saya pernah memiliki pasukan sendiri dan bermain ketika menetap di Manila dan Singapura. Saya juga pernah menyertai kejohanan polo di Thailand dan Argentina.
“Sekitar tahun 2013/2014 pasukan saya, La Pampa berjaya mempertahankan gelaran juara Malaysian Ladies dua tahun berturut-turut. Menariknya, belum ada lagi pasukan polo wanita yang memegang gelaran itu selama dua tahun. Kami bermain bersama dua pemain polo wanita profesional England iaitu Sarah Wiseman dan Claire Brougmn.
“Antara kenangan terindah semasa bersukan polo ialah bertemu dengan idola saya, Adolfo Cambiaso yang merupakan pemain polo terbaik dunia. Selain polo, saya juga pernah bermain kriket di Kelab Kriket Hong Kong,” jelas Fazila yang fasih berbahasa Perancis.
Fazila menjadikan Permaisuri Jordan, Queen Rania yang disifatkannya sebagai lambang wanita Islam yang moden dan dinamik.
“Baginda sangat prihatin dengan rakyat selain sering melawat serta membantu golongan wanita dan kanak-kanak. Pada masa sama, Permaisuri masih menjaga penampilan diri,” akhiri Fazila yang pernah bergelar Presiden Kelab Zonta cawangan Malaysia yang merupakan kelab kebajikan untuk wanita berpusat di Amerika.
Namun Fazila terpaksa melepaskan jawatan itu kerana sibuk dengan kerjaya dan urusan peribadi.