Bahang Anugerah Juara Lagu (AJL) kian terasa. Seketika, terkenang kemantapan vokal penyanyi yang menjadi juara AJL 1988, Ramlah Ram menerusi lagu ‘Kau Kunci Cintaku (Dalam Hati)’. Persembahan beliau dalam persalinan gaun putih dengan lampu berbentuk hati itu sampai sekarang masih tersemat kemas di jiwa peminat muzik tempatan.
Masih cantik dan memukau, begitulah pesona selebriti popular 80-an Ramlah Ram yang kini lebih aktif menumpukan masanya sebagai usahawan kosmetik.
Menyentuh perkembangan baru, Ramlah Ram kini kelihatan fokus terhadap bisnes pewangi dan kosmetik miliknya secara atas talian.
Bisnes di bawah jenama RVR Cosmetics itu mula dijalankan sewaktu pandemik COVID-19 akibat banyak undangan menyanyi terpaksa dibatalkan.
Bermula dengan produk pewangi RVR Perfume, kini Ramlah Ram sudah mengembangkan sayap kepada produk bedak padat dan gincu di bawah jenama tersebut.
Kerana penangan produk ini juga, beliau semakin aktif muncul di platform TikTok Shop untuk promosi berterusan.
Selain itu, beliau yang kini khabarnya hidup bersendirian kembali aktif menerima undangan nyanyian.
Berkat silaturrahim dengan rakan-rakan artis seperjuangan seperti Rohana Jalil dan Datin Salwa Abd Rahman menambah seri kehidupan wanita Muslimah berusia 57 tahun ini.
Ads
KECANTIKAN
Pada usia emas, Ramlah Ram masih kelihatan awet muda dengan bentuk badan langsing seperti anak gadis.
Paling tertarik melihat penampilan beliau yang mengenakan semula persalinan ikonik gaun dengan lampu bentuk hati rekaan Zuraidah Said Creation.
Bezanya kali ini, gaun tersebut diolah semula dalam rona hitam dan dipadankan hijab sepadan untuk persembahan Ramlah Ram sempena Konsert Seniman Negara pada Julai 2022.
Ads
Bagi generasi 80-an, pasti masih terkenang aura Ramlah Ram yang merupakan artis Malaysia pertama meraih jualan album melebihi 300,000 unit.
Penyanyi bersuara emas ini tampil dengan album pertama sekitar tahun 1986 berjudul Sabarlah Sayang. Penerbit album tersebut pada ketika itu merupakan seniman veteran, Datuk Ahmad Nawab.
Kejayaan album tersebut mengangkat namanya, meletakkan diri wanita ini sebaris bintang seni tersohor pada ketika itu. Sehingga ke hari ini, anak jati Johor ini telah melahirkan lebih 13 buah album. Antaranya seperti Cintaku Hanyut Dilautan Sepi pada tahun 1989, Duri Dalam Cinta (1990), Dangdut (1994) dan banyak lagi.
Pernah digelar Whitney Houston Malaysia Malaysia kerana nada tinggi beliau iaitu ‘F Sharp’ adalah setanding diva terkenal Amerika Syarikat itu, Ramlah Ram juga pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Golden Voice yang dimenanginya di ASEAN Song Festival, Vietnam pada tahun 1996.
BAKAT SENI
Menerusi Utusan Malaysia, anak jati Johor itu mengakui mewarisi bakat seni turun-temurun daripada keluarganya.
Ads
“Adik beradik saya pandai bermain muzik. Semua belajar sendiri. Bakat dan keinginan itu memang sudah dibina dari dalam (diri). Boleh bermain gitar, piano. Mungkin mereka belajar dari arwah ayah yang mahir bermain biola, gitar dan piano.
Ibu saya suka baca Al-Quran dan sering mewakili kampung dalam pertandingan. Saya pula tidak bercita-cita menjadi penyanyi. Suka, memang suka. Saya ingat lagi, kalau di rumah, tak ada orang, saya akan tutup pintu dan nyanyi sepuas-puasnya.
Di sekolah, bila cikgu tanya tentang minat, saya akan jawab menyanyi. Dari situlah, ketika darjah satu, cikgu tahu saya boleh menyanyi dan sering minta saya membuat persembahan dalam apa sahaja majlis dan sambutan yang berlangsung di sekolah.” Ramlah Ram
Perjalanan seni wanita ini bermula ketika dia bukan sesiapa. Hanya seorang gadis kampung yang membawa keberanian hadir ke uji bakat Bintang RTM sekitar tahun 1985.
Namun tidak siapa menyangka, langkah yang diambil itulah yang menentukan haluan kerjayanya sehingga ke hari ini.
“Saya sertai Bintang RTM pada tahun 1985 dan menang pada Februari, 1986. Saya pergi uji bakat bukan sebab nak jadi penyanyi. Kerana suka dan satu lagi atas desakan abang sulung.
Saya tak berapa yakin ketika itu. Dalam fikiran, macam mana nak menang, saya ini hanyalah budak kampung.
Abang kata pergi sahaja, dia nak sangat tengok saya keluar TV. Sekali pun jadilah. Cuba-cuba nasib. Saya pergi ujibakat untuk Zon Selatan. Pergi tanpa pengetahuan keluarga.
Hampir tak jadi disebabkan kehadiran orang yang terlalu ramai pada sesi uji bakat tersebut. Masa itu saya berseorang. Tak ada sesiapa yang datang meneman. Orang lain dengan kawan-kawan, menyanyi sama-sama, berseronok.”
Persembahan Ramlah Ram menerusi lagu ‘Rindu’ yang dipopularkan oleh Hetty Koes Endang pada malam akhir satu-satunya pertandingan berprestij ketika itu berjaya mengangkat namanya sebagai juara.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Peminat K-Pop pasti tidak terlepas pandang kehadiran salah seorang bintang Blackpink ini. Memiliki wajah yang menawan, pesona Kim Jisoo mampu memikat hati siapa sahaja yang memandang.
Bersama-sama dengan anggota Blackpink, Lisa, Jennie dan Rose wanita yang berusia 27 tahun ini cemerlang dalam sesi jelajah dunia untuk berjumpa dengan BLINK.
Teruja melihat tour mereka menjelajah dunia dan bagaimana mereka berlatih tanpa henti demi menghiburkan peminat di seluruh dunia dalam Blackpink The Movie.
Bukan sahaja mencipta nama sebagai salah seorang anggota nyanyian lagu How You Like That, Jisoo juga semakin mendapat tempat di hati penggemar drama Korea yang melakonkan watak sebagai Eun Young-ro dalam drama Snowdrop yang ditayangkan di Disney Hotstar.
Melakonkan watak seorang pelajar Universiti Hosoo yang mengambil jurusan Kesusasteraan Inggeris dan jatuh cinta dengan Jung Hae-in (Im Soo-ho) yang melakonkan watak sebagai agen Korea Utara.
Drama ini merupakan drama pertama lakonannya dan nyata bakat lakonan yang ada dalam diri wanita yang lahir pada 3 Januari 1995 ini memang menyinar. Drama ini telah diterbitkan oleh JTBC.
Gandingan pasangan ini memang comel dan ramai peminat mendoakan agar mereka benar-benar bercinta di alam realiti. Melalui drama ini juga lagu One Way Ticket dendangan Eruption popular semula.
Foto: Instagram @sooyaaa__
Karier wanita yang gemar tersenyum ini tidak tertakluk kepada dunia nyanyian dan lakonan semata-mata. Kejelitaan dan populariti yang ada padanya telah menjadi pilihan Dior Beauty sebagai duta jenama tersebut.
Pada bulan Mac 2021, Dior telah menyenaraikan Jisoo sebagai duta global mereka. Ini menjadikan penyanyi ini salah seorang daripada 3 orang duta antarabangsa Dior. Dua daripada mereka ialah selebriti Natalie Portman and pelakon-model Cara Delevingne.
Foto: Instagram @sooyaaa__
Malah, Jisoo juga terlibat dalam industri kosmetik negara asalnya iiatu Korea. Sebagai contoh wanita yang hebat menari ini merupakan Wajah atau Juru Cakap kepada jenama Kiss Me.
Hasil pendapatan yang diperoleh oleh wanita yang mempunyai 54.9 juta pengikut di laman Instagram ini khabarnya mencecah USD$10 juta setahun.
Dalam menuntut ilmu tiada batasan usia terutama bagi mereka yang berfikiran jauh dan mengimpikan masa depan yang lebih baik. Kuncinya ialah kemahuan dan tekad.
Mantan Menteri Besar Pahang ke-14, Tan Sri Adnan Yaakob hari ini telah mencetuskan kebanggaan dan inspirasi buat semua apabila berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada usia 72 tahun.
Lebih membanggakan, beliau turut dianugerahkan Rector’s List (Anugerah Rektor) kerana berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.62. Hebatnya!
Tan Sri Adnan merupakan antara 414 graduan penerima ijazah pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ke-38.
Berkongsi perjalanan akademiknya kepada Bernama, Tan Sri Adnan berkata walaupun beliau sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera daripada Universiti Malaya pada 1984, beliau bertekad terus mengejar ilmu dalam bidang perundangan pula.
“Ramai orang tanya, mengapa saya sambung belajar. Sebenarnya saya daripada kecil suka mencari ilmu. Itulah sebab walaupun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sastera, saya masih berminat untuk melanjutkan pelajaran.
Sebenarnya saya pernah buat (belajar) undang-undang di sini pada 1984 dan saya termasuk dalam kelompok kedua jurusan ini, tetapi tidak tamat sebab saya dipanggil untuk bertanding pilihan raya pada 1986,” katanya.
Tan Sri Adnan yang berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang dari 1999 hingga 2018, turut meluahkan beliau gembira dikelilingi rakan-rakan ketika sedang mengulang kaji pelajaran.
“Saya dapati belajar ini mudah walaupun saya sudah tua. Saya lebih suka dikelilingi rakan-rakan. Semasa mereka datang minum kopi, semasa itulah saya belajar kerana ia lebih cepat untuk saya. Ramai orang agak hairan mengapa saya kalau tiada kawan, saya tidak boleh belajar,” katanya.
Tan Sri Adnan berjaya menamatkan pengajiannya setelah tiga semester mengikuti pembelajaran secara dalam talian manakala selebihnya secara bersemuka dalam kuliah khas bersama pensyarah.
“Saya diberi tempat yang khusus untuk mengadakan sesi pembelajaran dengan pensyarah, tetapi, saya sempat berkenalan (dengan rakan sejurusan) lain melalui dalam talian. Semua pangkat anak-anak, ada yang panggil saya pak long, atok dan sebagainya,” katanya berseloroh.
Apabila ditanya adakah beliau mempunyai perancangan menceburi bidang guaman selepas ini, beliau berkata: “Saya bercadang begitu, besar kemungkinan saya akan buat ‘chambering’ di Kuantan, Insya-Allah.
Namun begitu saya kena tengok mungkin ada tawaran tertentu untuk melibatkan diri dalam bidang tertentu.”
Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Baginda berdua menzahirkan kebanggaan dan menyeru rakyat meneladani kejayaan Tan Sri Adnan.
Untuk info, Tan Sri Adnan menyertai politik pada 1969 dan memegang pelbagai jawatan antaranya Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bentong dan Ketua UMNO Bahagian Bentong pada 1987 sebelum beliau dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 25 Mei 1999.
Beliau merupakan Menteri Besar Pahang paling lama berkhidmat iaitu selama 19 tahun sebelum melepaskan jawatan itu pasca Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagumnya dengan mindset usahawan ini, Yaana Lee tak sia-siakan market kini jual tiramisu viral dan baju raya haji dalam satu masa.
Bijak rebut peluang perniagaan umpamanya menjual dessert tiramisu yang sedang tular ketika ini, siapa sangka usahawan fesyen Muslimah, Nur Liyana Abdul Rahman atau Yaana memiliki bakat terpendam.
Yaana memiliki pemikiran yang bernas sebagai seorang usahawan yang sentiasa mengambil peluang untuk meningkatkan pendapatan.
Bukan saja pandai mereka fesyen sehingga mendirikan empayar LEEYANARAHMAN serta terbaru, YNALEE, beliau kini mengembangkan bisnes makanan terbaharu di bawah sayap YNALEE Bakehouse.
Dalam perkongsian Yaana, ibu anak tiga itu tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan dan menjual manisan tiramisu yang diberi nama Tyaramisu di butiknya. Tengoklah, nampak sedap dan menyelerakan!
Laku keras dan cepat sold out, ramai yang puji kesedapan tiramisu buatan Yaana. Bukan saja di butik, Tyaramisu ni pun pernah dijual di event Havoc Food Festival serta dapat sambutan menggalakkan.
Kerajinan usahawan bertaraf jutawan ini jelas menjadi inspirasi wanita. Kagum dengan mindset Yaana yang berani meneroka peluang dalam bidang makanan meskipun sudah memiliki empayar fesyen yang terkenal di Malaysia.
Anak Terengganu ini juga baru melancarkan koleksi baju kurung Aidiladha YNALEE sempena Hari Raya Haji tak lama lagi. Rambang mata tengok koleksi Yaana yang bakal dipasarkan tak lama lagi, cantik dan terletak elok, pandai sungguh Yaana membaca cita rasa fesyen wanita Malaysia.
Isteri kepada Muhamad Hafiz Abdul Hamid itu juga terkenal sebagai seorang yang dermawan serta kerap menyampaikan sumbangan kebajikan kepada golongan yang memerlukan. Antaranya sejumlah dana sekitar RM128,000 melalui Yayasan Nurjiwa buat saudara seislam di bumi Aqsa.
Inspirasi kerja keras Yaana turut meraih pujian banyak usahawan lain. Seorang individu di Threads turut meluahkan rasa kagum dengan kesungguhan Yaana untuk menjual manisan tersebut meskipun sudah memiliki perniagaan pakaian yang stabil.
Tengok orang kaya, dia tamak. Yaana Lee rasanya sudah ada perniagaan dan untung juta-juta dari hasil jualan tapi dia masih buat perniagaan lain iaitu tiramisu.
Orang akan cakap, orang kata suka ambil kesempatan. Bagi saya inilah pemikiran orang kaya.
Mereka tetap berniaga walaupun sebenarnya boleh je selesa dengan satu jenis perniagaan yang sudah untung.
Sama macam Datuk Aliff Syukri. Saya harap saya pun ada pemikiran yang sentiasa ligat.
Pengguna media sosial lain turut bersetuju dengan perkongsian individu berkenaan. Sifat rajin yang ditonjolkan Yaana boleh dijadikan inspirasi kepada orang lain.
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.