Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Bila sebut sahaja barangan kemas pasti sudah terbayangkan jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Habib Jewels. Sudah pasti wanita yang berada di sebalik jenama gah ini ialah Datin Sri Zarida Noordin.
Memiliki personaliti yang lemah-lembut, wanita yang gemar menyarung baju kurung moden ini terus komited menempatkan dirinya dalam kelasnya tersendiri dalam industri barangan kemas. “Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut. Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas isteri kepada Dato’ Seri Meer Sadik Habib ini.
Ads
Bukan mudah untuk Datin Sri Zarida menyeimbangkan tugas sebagai usahawan, isteri dan ibu kepada Mirzan, 28 tahun, Marissa, 26 tahun, dan Mirsham, 25 tahun ini. Namun Pengarah Urusan PANDORA Malaysia & Brunei ini telah menlaksanakan tugas dengan jayanya.
Ads
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan. Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini.
Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan. Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Ads
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu. Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama.
Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik. Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sempena ulang tahun kelahiran pelawak terkenal Achey pada 17 Ogos yang lalu, isterinya telah membuat kejutan dengan bayi di bawah tudung saji.
Bayi yang berada di bawah tudung saji itu merupakan anak angkat yang diambil oleh mereka setelah 8 tahun berkahwin namun masih belum dikurniakan zuriat.
Achey dilihat menitiskan air mata ketika menerima kejutan hadiah tersebut dan turut mengundang rasa sedih netizen serta rakan artis lain yang menonton video tersebut.
Video kejutan yang penuh dengan seribu makna itu dimuat naik oleh isterinya di laman instagram.
Apa yang lebih menyentuh hati, isterinya itu turut menyatakan bahawa anak angkat yang baru 4 bulan berada dibawah jagaan mereka itu sebagai hadiah yang tidak ternilai.
“Saya tak dapat bagi hadiah yang lebih mahal daripada ni. Ini je hadiah yang ternilai yang saya ada sekarang ni”, luah Nor Hasanah yang mesra dipanggil Anne.
Achey dan isteri sebelum ini bersepakat untuk mengambil anak angkat perempuan pada awal Ramadhan yang lalu dan telah melalui prosedur pengambilan anak angkat secara sah mengikut undang-undang.
Bayi perempuan comel itu diberi nama Nur Tiara Zinnirah Nasir dan dilahirkan pada 15 Mei 2018.
Nona mendoakan yang terbaik untuk Achey dan isteri serta semoga cepat dikurniakan cahaya mata sendiri. InsyaAllah kerana Dia adalah sebaik-baik perancang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bakat luar biasa yang dimilikinya satu dalam sejuta. Dialah ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli. Satu nama besar dalam sejarah sukan boling negara sehingga mencetuskan fenomena pada era 1990-an.
“Saya berkorban lebih 30 tahun buat negara bukan untuk pangkat, tetapi sebab nak dengar lagu negaraku berkumandang di podium dan bendera Malaysia berkibar di peringkat dunia.” – Shalin Zulkifli
Ternyata, perjalanan kariernya hampir tiga dekad dalam skuad kebangsaan tenpin boling dan menjadi pemain profesional adalah satu tempoh cukup panjang bagi seorang atlet.
Dengan deretan kejuaraan dan pingat sejak remaja sehingga persaraannya pada Januari tahun lalu, Shalin Zulkifli atau lebih mesra disapa Shalin antara atlet paling berjaya pernah negara miliki.
BAHAGIA BERSAMA SUAMI & ANAK Menjengah ke akaun Instagramnya selain berkongsi aktiviti-aktiviti berkaitan karier, atlet kelahiran London, England berusia 44 tahun ini juga sering berkongsi momennya bersama anak dan suami.
Shalin kini bahagia bergelar isteri kepada Azidi Ameran yang juga bekas pemain boling negara. Mereka berkahwin pada Disember 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aleya Azidi yang kini berusia 11 tahun. Aleya turut mewarisi bakat dalam bidang sukan seperti ibu dan bapanya. Ke mana tumpahnya kuah, kan?
Sejak bergelar isteri dan ibu, keluarga menjadi keutamaan Shalin dan dia mahu melihat anaknya membesar di depan mata. Semestinya bagi Shalin ingin mencurahkan sepenuh kasih sayang serta memberikan yang terbaik buat keluarga kecilnya itu. Pada waktu terluang, Shalin dan suami lebih gemar melayan kerenah anak mereka.
Shalin dan suami juga dikatakan tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga anak mereka, sebaliknya bergilir-gilir menjaga Aleya.
Shalin bertuah kerana dikurniakan suami yang menyayanginya sepenuh hati dan sentiasa menyokong kariernya tanpa berbelah-bahagi.
Menyingkap sejarah perkenalan, mereka sebenarnya sudah saling mengenali sejak 27 tahun lalu. Sama-sama bergelar pemain boling negara, segala detik pahit manis dilalui bersama oleh Shalin dan suami.
ATLET PALING BERJAYA Tidak keterlaluan jika kita katakan, Shalin merupakan antara pemain boling paling berjaya dalam sejarah Malaysia kerana sering meraih pelbagai gelaran tidak kiralah di peringkat kebangsaan, Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Sukan Komanwel.
Malah, Shalin juga lima kali diangkat sebagai olahragawati kebangsaan (1994, 1996, 1997, 2001 dan 2002) termasuk menjuarai kejohanan dunia serta menerima anugerah Pemain Boling Antarabangsa sehingga namanya dicatatkan di International Bowling Hall of Fame.
Jasa Shalin dalam mengharumkan nama negara sangat banyak sejak beliau menceburi sukan boling ketika berusia sembilan tahun. Pencapaian terhebatnya adalah menjuarai Kejohanan Dunia 2003 di Malaysia, Mexico (2007) dan Las Vegas, Amerika Syarikat (2017).
Selain itu, Shalin bukan hanya disenangi oleh jurulatih dan pegawai pasukan malah seluruh peminat sukan. Dedikasinya tidak dapat disangkal lagi dalam memartabatkan sukan boling dan meletakkan Malaysia di peta dunia.
Maka, tidak hairanlah Shalin terus menjadi idola kepada ramai pemain remaja dan senior boling di seluruh negara hingga ke hari ini.
Shalin yang meminati legenda boling dunia, Parker Bohn serta legenda bola keranjang, Micheal Jordan ini merupakan pemegang Ijazah Sains Sukan pengkhususan Psikologi dan Latihan Sukan, Universiti Malaya (UM).
Pesanan Shalin, pentingnya pendidikan demi masa depan atlet. Itulah yang membezakan seorang atlet dengan orang lain.
Kredit Foto: IG & FB Shalin Zulkifli
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Laungan ‘Terbang Latif, Terbang’ umpama suntikan semangat buat atlet para ini setiap kali menyertai kejohanan dunia. Mula mencipta nama sejak memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, Abdul Latif Romly sekali lagi mengharumkan nama negara selepas berjaya mengulangi kejayaan sama di pentas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu dalam acara Lompat Jauh T20 (masalah pembelajaran).
Kejayaan Latif dalam arena sukan bukan hanya menceriakan seluruh rakyat Malaysia bahkan turut menarik perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Memiliki ketinggian 1.77 meter, Latif yang tiba tepat di studio penggambaran berseluar jeans biru dan T-shirt hitam serta beg silang Gucci mesra menyambut salam penulis. Nona sebelum ini pernah mengadakan sesi fotografi bersama Latif pada tahun 2016 selepas berjaya merangkul emas di Sukan Paralimpik Rio. Kini setelah empat tahun berlalu, Latif tidak hanya kelihatan berbeza dari segi penampilan. Malah semakin matang dalam berbicara.
Tatkala ditanya bagaimana dia boleh menceburkan diri dalam bidang sukan, Latif sambil tertawa membuka rahsia. “Saya mula serius ceburi sukan lompat jauh ini ketika di Tingkatan 3, umur 15 tahun. Banyak sukan yang saya masuk sebelum ini dan saya pilih lompat jauh atas saranan cikgu. Mungkin cikgu nampak fizikal saya yang tinggi, sesuai dengan kategori sukan ini. Jadi, cikgulah yang nampak bakat saya di situ.
Ikutkan dulu semua sukan saya main. Bola sepak, bola baling, bola tampar dan untuk olahraga pula saya pernah turut serta larian 100 meter, lompat kijang dan lompat tinggi. Lepas jurulatih nampak potensi saya, mereka bawa pergi buat ujian kecergasan sama ada layak masuk Majlis Sukan Negara (MSN) atau tidak.
Alhamdulillah saya diterima masuk MSN pada bulan Julai 2014. Dua tahun lepas tu, nama saya tersenarai sebagai atlet untuk Sukan Paralimpik Rio,” katanya yang menjadikan jaguh lompat jauh dunia, Aleksandr Menkov dan Datuk Wira Lee Chong Wei sebagai sumber inspirasi.
CABARAN COVID-19
Tambahnya lagi, sepanjang bergelar atlet dia turut berdepan pelbagai cabaran. Salah satu daripadanya ialah soal disiplin. “Ya, cabaran paling susah untuk menjaga disiplin. Pada awalnya memang susah hendak sesuaikan diri terutamanya apabila melibatkan waktu tidur, makan, senaman dan latihan intensiti tinggi. Saya akui nak jaga disiplin dalam semua ini bukan mudah. Selain sokongan jurulatih, atlet itu sendiri perlu ada ketahanan mental dan fizikal.”
Lebih memberi kesan kepada Latif apabila dia terpaksa ‘bertarung’ dengan diri sendiri sepanjang musim pandemik Covid-19 sejak hampir dua tahun lepas. Bukan dirinya sahaja tetapi semua atlet menjalani latihan dan kuarantin di MSN dalam persediaan menghadapi Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“Lapan bulan saya tak jumpa keluarga sebab berlatih waktu Covid-19. Setiap hari kami hanya training dan tak boleh keluar ke mana-mana langsung. Memang susah dan mental kena kuat sebab hari-hari hadap benda sama. Terkurung dan kuarantin sesama kami saja. Sebelum ini kalau waktu cuti rehat bolehlah juga keluar untuk release tension dan jalan-jalan.
Ini 100 peratus fokus kepada latihan ditambah pula dengan tak berjumpa keluarga berbulan-bulan. Jadi waktu itu, saya cuma main game atau tengok orang main bola di padang saja untuk lepaskan stres. First time jadi situasi macam ini sebab penularan wabak Covid-19. Apa-apa pun saya bersyukur pengorbanan selama lapan bulan ini ada hasil dan berbaloi,” ujar anak bongsu kepada Romly Mat dan Salmah Yatim ini.
Mengulas lanjut mengenai amalan diet sebagai atlet para lompat jauh, Latif mendedahkan tiga bulan sebelum menyertai kejohanan dia perlu mengikuti gaya pemakanan yang disarankan pakar nutrisi. “Memang saya jaga diet harian. Gula saya tak ambil langsung kecuali cheat day atau hari Ahad. Tiga bulan sebelum kejohanan biasanya saya elak makan daging untuk elak lemak.
Tambahan pula daging nak proses dalam badan lambat. Saya lebihkan pengambilan protein seperti ikan. Buat jus buah-buahan pun tanpa gula dan pergi ke gim seminggu dua kali iaitu pada pagi hari Selasa dan Khamis selama kira-kira satu setengah jam.”
Diaju soalan mengenai dirinya jika tidak menjadi ahli sukan, ini jawapan jujur Latif. “Saya pun tak terfikir. Mungkin saya kerja di kedai makan atau tolong mak mengusahakan bisnes kerisik. Mak berniaga kerisik di kampung secara kecil-kecilan dan buat jika ada tempahan. Dulu saya bercita-cita nak jadi polis tapi tak kesampaian.
Impian dalam bidang sukan saya berhasrat nak buat lompatan sejauh 8.03 meter dan memecahkan rekod milik Andre Anura Anuar selain berjaya masuk Sukan Olimipik. Buat masa ini sepenuh tumpuan saya hanya kepada karier sukan. Saya target untuk terus aktif dalam kerjaya sukan dalam tempoh 10 tahun lagi.
Apa-apa pun saya amat berharap agar akan ada pelapis sukan lompat jauh ini yang boleh meneruskan kesinambungan legasi yang pernah saya sertai ini. Bukan hanya bakal atlet para yang berbakat dalam sukan ini tetapi juga dalam sukan lontar peluru menggantikan Muhammad Ziyad Zolkefli, jaguh lari pecut Mohammad Ridzuan Puzi dan lain-lain,” tegas Latif yang turut merancang mengakhiri zaman bujang pada hujung tahun 2022.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!