Dr Noor Hisham Tersenarai Tiga Doktor Terbaik & Diyakini Dunia Perangi COVID-19

Dalam menangani pandemik COVID-19, nampaknya bukan netizen Malaysia saja yang memuja kredibiliti Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. Figura yang diangkat sebagai Our National Hero itu juga kini tersenarai sebagai tiga doktor terbaik dan diyakini dunia atas ketangkasan beliau menangani krisis wabak di negara ini.

Memetik kata-katanya:

It is not about me. What is important at the moment is what we can do together as one for (the nation to break the chain of the) COVID-19 (transmission).

Dr. Noor Hisham pernah berkali-kali menyatakan bahawa bukan gelaran atau sanjungan yang dicari. Beliau sebaliknya menekankan misi utama Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu membendung penularan Coronavirus dengan secepat dan sebaik mungkin.

Pengiktirafan tiga doktor terbaik dunia ini diberikan oleh sebuah stesen televisyen China, Global TV Network yang turut menyenaraikan Dr. Anthony Fauci dari Amerika Syarikat dan Dr. Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Dr. Anthony Fauci, 79 tahun, merupakan wajah utama Amerika dalam menentang wabak COVID-19 di negara tersebut. Setiap hari beliau muncul di sidang akhbar White House bersama Presiden Donald Trump untuk mengemas kini perkembangan semasa.
Dr. Ashley Bloomfield, 54 tahun, merupakan lelaki terpenting di sebalik pembendungan wabak COVID-19 di New Zealand. Beliau menjadi tumpuan dan kesayangan rakyat di negaranya kerana selalu bersifat tenang serta meyakinkan.

Ketiga-tiga mereka menerima pujian masyarakat sejak beberapa minggu ini kerana menjadi sumber maklumat paling dipercayai dan berjaya menenangkan orang ramai di negara masing-masing ketika panik melanda akibat penularan wabak berkenaan.

Tenang Tapi Tangkas

Nona juga pernah menyiarkan pelbagai jasa serta sumbangan Dr. Noor Hisham sebagai salah seorang frontliners kerajaan. Baca artikel tentang beliau di sini.

Dr. Noor Hisham, 56 tahun, yang memegang jawatan Ketua Pengarah sejak 2013, dilabel sebagai individu paling dipercayai oleh rakyat Malaysia kerana kekerapannya mengemas kini situasi semasa berkenaan COVID-19 di platform media sosial.

Dr. Noor Hisham kerap dipuji kerana sentiasa sabar menjawab apa sahaja persoalan yang diajukan wartawan semasa sidang media.

Dr. Fauci dan Dr. Bloomfield juga disifatkan sebagai individu berpengaruh di negara masing-masing apabila secara konsisten mengemas kini maklumat terbaharu, selain sering dilihat bertugas dalam tempoh masa yang lama.

Sumber: Astro Awani

IKLAN
Share