Rezeki tidak pernah salah alamat, di mana sahaja kita berada di bumi Allah, insyaAllah rezeki itu pasti ada buat mereka yang rajin berusaha. Sama ada lambat atau cepat, sikit atau banyak itu semuanya bergantung kepada usaha serta tentunya dengan izin Maha Pemberi Rezeki.
Nurleen Binti Ibrahim, 35 tahun, merupakan pemilik kepada Leenzy Ibrahim Kitchen yang didaftarkan di bawah syarikat Leenzy Ibrahim Enterprise. Menjalankan perniagaan secara ‘online’ melalui Facebook dan Instagram. Diusahakan sepenuhnya dari rumah, Nurleen memfokuskan bidang pembuatan kuih-muih, kek, kek lapis Sarawak, pastri dan makanan bagi katering kecil-kecilan.
Wanita ini juga merupakan pelajar terbaik untuk kursus Masakan dan Pramusaji Giatmara, Stampin Kuching. Dia pernah mengikuti Kursus Pembangunan Rancangan Perniagaan RBC dibawah kelolaaan MARA dan Penerima Geran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) melalui SME CORP.
“Saya akui pandemik ini menjejaskan banyak perniagaan termasuk saya sendiri. Namun bagi saya ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk untuk mencari jalan agar perniagaan dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.
Kalau dulu saya akui tempahan bukan hanya tinggi pada hari-hari perayaan sahaja tetapi hari-hari biasa juga. Namun semenjak pandemik, kesan kekurangan tempahan itu dapat dirasai setiap hari malahan terjejas apabila hari demi hari tiada tempahan,” jelas anak Bintulu, Sarawak itu.
Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat beliau untuk bertahan dalam perniagaan. “Sebagai orang Islam apa saja yang kita buat dalam kehidupan, jalinan ukhuwah sesama manusia dan perniagaan perlu dilaksanakan dengan reda Allah. InsyaAllah rezeki itu pasti ada jika kita sentiasa menjaga perkara ini.
Rezeki dan hubungan baik dengan keluarga, adik-beradik serta masyarakat luar akan seiring jalan, ditambah dengan kualiti produk yang mesti dijaga agar semua berpuas hati dengan perkhidmatan kita.
Saya selalu pesan kepada diri dan anak-anak, jika dalam keadaan apa sekalipun kita perlu sentiasa jaga hubungan dengan Allah, solat dan sebagainya.
InsyaAllah kalau kita jaga semua tu, Allah akan jaga benda-benda lain untuk kita. Percayalah rezeki dan kesenangan itu datang dari Allah sebab kita baik pada orang lain dan keluarga,” ujar Nurleen sambil tersenyum manis.
Ads
“Kita perlu punya perancangan perniagaan yang baik. Jika gagal plan A, perlu ada plan B dan seterusnya. Kuncinya kena terus usaha, banyak mengkaji permintaan pasaran. Cuba lihat apa kekurangan perniagaan yang kita ada sekarang dan berusaha untuk memperbaiki diri.
Jangan meniru hasil kerja orang lain, tapi jadikan apa yang kita lihat itu sebagai satu inspirasi dan cuba untuk jadi lebih baik daripada itu. Jangan lihat satu masalah itu sebagai beban, jadikan ia sebagai semangat untuk bangkit kerana jikalau kita berusaha setiap kesusahan itu akan ada kemanisan di hujungnya, insyaAllah.”
Mengimbas kembali kisah bagaimana Nurleen mula bertapak, bukan mudah perjalanan dilaluinya. “Saya dilahirkan dalam keluarga besar yang memang suka berniaga. Semenjak arwah ayah tamat perkhidmatan beliau di satu syarikat pelantar minyak di Miri, ibu dan ayah balik ke kampung halaman di Bintulu dan membuat keputusan untuk berniaga.
Dari kecil saya membantu mereka. Membungkus dan mengangkat kuih-muih hingga lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan buat saya. Pengalaman inilah membawa saya memulakan perniaga secara serius pada tahun 2012.
Produk pertama yang dihasilkan ialah biskut makmur dan brownies. Niat saya buat hanya untuk suka-suka, tapi tanpa disangka jadi bahan mulut ke mulut pelanggan saya.
Boleh dikatakan setiap hari ada tempahan. Saya tidak hanya fokus pada 2 produk itu sahaja, saya juga menjalankan perniagaan katering untuk syarikat swasta dan juga badan-badan kerajaan dan masa itu pekerja saya adalah di kalangan lepasan GiatMARA, kawan-kawan saya dan juga adik-beradik.
Ads
Pada tahun 2016, saya berkahwin dan kemudian saya berpindah ikut suami ke Negeri Sembilan. Hijrah saya ini menjadi satu cabaran besar bagi saya untuk membuat rangkaian baru di Semenanjung Malaysia. Ia memerlukan perhubungan yang lebih terbuka dan persaingan agak sengit di kalangan para peniaga.
Perlu lebih komitmen tinggi dari segi masa dan tenaga serta usaha. Memang mencabar di awalnya kerana tiada orang yang mengenali saya.
Namun dengan adanya Instagram, Facebook dan rangkaian di media sosial, saya teruskan membuat promosi memperkenalkan produk saya di seluruh kawasan Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Alhamdulillah berkat usaha itu, pelanggan saya bertambah dari hari ke hari,” ujar Nurleen sambil menyatakan biskut makmur air tangannya merupakan salah satu biskut kegemaran Dato’ Rizalman Ibrahim.
Banyak suka duka dalam berniaga yang dilalui…. “Terlalu banyak sebab setelah ayah saya diberhentikan kerja, sememangnya dari kecil saya tahu ayat ‘berusaha’ dan pada tahun 2006 saya pernah melalui keperitan hidup apabila menjadi ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Pada masa itu, anak sulung saya inilah menjadi kekuatan saya. Memang lama saya nak bangkit balik daripada kekecewaan itu, tapi orang cakap ‘life must go on’ kalau saya tak buat sesuatu tiada siapa yang boleh bantu melainkan diri saya sendiri
Ads
Saya ingat ada satu masa itu saya berniaga di tepi jalan, anak sulung saya sentiasa menemani saya sampai tertidur di bawah meja jualan saya.
Tapi anak tak pernah merungut, dia seronok bersama saya. Alhamdulilah saya dikurniakan anak yang sangat baik dan tak menyusahkan.
Kami pernah melalui keadaan dalam hujan lebat basah kuyup sambil angkat barang katering penuh dalam kereta. Saya amat bersyukur Allah memberikan kudrat dan kekuatan yang sangat besar buat saya. Semua pengalaman inilah, menjadi cikgu sebenar untuk saya terus maju dalam bidang perniagaan.
Saya percaya selagi kita rajin berusaha takkan ada benda yang menjadi penghalang. Kita perlu positif dan elakkan diri daripada meminta-minta. Saya kena usaha sendiri demi membesarkan anak saya masa itu. Alhamdulillah saya tak menyusahkan sesiapa, saya mampu bagi kesenangan menyekolahkan anak saya sendiri.
Pengalaman tersebut sangat berharga bagi saya. Kalau dulu saya sedih dan anggap itu semua beban, sekarang saya bangga sebab saya pernah berada dalam situasi tersebut tapi saya berjaya melepasinya,” cerita Nurleen mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum ini.
Sekarang kebahagiaan mengiringi kehidupan Nurleen bersama suami dan tiga orang anaknya. Nurleen banyak mengikuti kelas online seperti kelas food photography, kelas perniagaan dan kelas Bahasa Inggeris. Ini semua merupakan satu pelaburan untuk perniagaannya di masa hadapan.
“Suatu hari nanti dengan izin Allah saya ingin membuka small café yang menjual pelbagai jenis produk kek, pastries dan kek lapis Sarawak. Saya berharap perniagaan saya ini nanti dapat membantu lebih banyak golongan yang susah dari segi kewangan dan pekerjaan.
Niat saya ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda atau kepada sesiapa yang ingin bekerja secara sambilan. InsyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menikmati kek coklat Mamasab dengan drizzle krim keju yang melimpah, sampai sekarang masih terasa kelazatannya. Lembut dan gebu. Tak hairanlah begitu ramai penggemar kek Mamasab sanggup repeat order. Jujur sangat sedap dan memuaskan!
“Alhamdulilah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lepas, kami dapat beroperasi seperti biasa. Malah semasa ia berkuat kuasa, tempahan yang masuk terlalu banyak. Tak menang tangan kami melayan permintaan customer.
Jualan kek juga meningkat kepada 1-2 juta sehari sehingga wujudnya istilah ‘Jutawan PKP’,” cerita CEO & Pengasas Mamasab International, Siti Noor Sabrina Soobri yang baru dinobatkan Nona Best Networking Business Award dalam Nona Superwoman Award 2020.
Tak cukup dengan bisnes kek, kini Mamasab berkembang ke bisnes kosmetik menerusi pelancaran set lipstik Mamasab dan Young & Glow. Lipstik yang didatangkan dalam pouch bag Neelofa itu tersedia dalam dua pilihan eksklusif iaitu Diva serta Primadona.
Fenomena lipstik Mamasab itu sekali lagi bergelora di jiwa para usahawan serta ejen-ejen Mamasab kerana dikatakan sangat bagus serta berbaloi dimiliki. Selain warna-warna yang cantik, ia juga setaraf lipstik antarabangsa serta menyihatkan kulit bibir. Selain itu terdapat juga pelbagai produk penjagaan wajah di bawah empayar Mamasab seperti pencuci muka dua dalam satu.
Transformasi radikal yang diperkenalkan jelas mengubah pemikiran dan norma kehidupan ramai usahawan kecil, sekaligus melahirkan jutawan-jutawan baru di bawah didikannya.
“Saya bermula dari cawangan pertama (2017) melonjak naik hingga 14 cawangan dan lima kilang operasi dalam tempoh tiga tahun dengan 40,000 ejen dan 5,000 pengedar Mamasab Warrior seluruh Malaysia.
Impian saya jelas mahu melahirkan ramai jutawan, bukan saja dalam bisnes F&B semata-mata, tapi bidang kosmetik dan sebagainya.
Kami bukan saja membuka banyak peluang pekerjaan tapi mencipta ruang untuk lebih ramai ejen menjana pendapatan hingga RM20,000-50,000 sebulan.
Sebenarnya saya bertuah kerana mempunyai tulang belakang yang kuat iaitu team saya. Dalam bisnes melibatkan network, kami perlu bijak menguruskan ahli. Dalam team Mamasab, kami ni macam sekumpulan Avengers. Semua orang ada kekuatan masing-masing.
Saya pula ibarat kapten yang menguruskan orang-orang bijak dan hebat ini. Sebab itu kalau ditanya kekuatan saya, jujur sekali ia adalah tenaga saya. Tenaga yang Mamasab ada sangat dahsyat.
Saya perlu mempunyai kekuatan dalaman tersendiri. Bila top leader dah jumpa kekuatan tu, saya mesti bantu atau coach pula team saya untuk mencari kekuatan dalaman mereka.
Gabungan tenaga-tenaga inilah yang membuatkan kami berjaya mencapai sasaran jualan RM90 juta, malah pernah diadakan Grand Award Mamasab untuk mengiktiraf kejayaan top sellers yang membanggakan.”
Mengakhiri perbualan kami, cara Mamasab berdepan kritikan jelas sangat menginspirasikan. “Kritikan paling susah dilupakan tentulah tentang produk kek dan biskut Mamasab. Faktor selera ni terkait emosi dan sangat subjektif sifatnya. Ada yang rasa sedap dan ada pula sebaliknya. Saya anggap itu semua adalah attitude.
Memang ada orang suka complaint macam semua perkara tak kena. Tapi sebagai peniaga, saya develop kekuatan diri untuk tidak melayan kritikan negatif, sebaliknya ambil sebagai cabaran untuk meningkatkan kualiti produk makanan yang dihasilkan. Itu saja.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anda memiliki dua pilihan sepanjang hayat. Sakit kerana ingin berubah atau sakit kerana tidak berubah… Natasya Zulkhurnain, 34 tahun bangkit demi mewarnai kehidupannya agar lebih baik. Baginya, kita mungkin tidak mampu mengawal apa yang berlaku sekarang. Namun kita boleh mengawal sikap dan semangat untuk ujian mendatang.
“Saya merupakan leader agen untuk dua product shampoo dan skincare. Saya mempunyai team sendiri. Biasanya aktiviti harian saya adalah membuat promosi dan jualan melalui sosial media.
Saya pernah bekerja sebagai seorang pramugari, kemudian berhenti disebabkan masalah kesihatan. Jadi saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai penyanyi di hotel, lounge dan majlis-majlis tertentu selama 12 tahun. Ketika itu jua saya sudah mula menjalankan perniagaan sedikit demi sedikit secara part time.
Bila saya dan suami (pemain muzik) sama-sama hilang pekerjaan disebabkan hotel tutup dan persembahan tidak dibenarkan, keadaan ini amat menjejaskan pendapatan kami sekeluarga. Saya bangkit untuk memberi fokus sepenuhnya dalam bidang perniagaan. Alhamdulillah, usaha ini dipermudahkan sehingga saya kini mempunyai syarikat sendiri serta simpanan yang mencukupi.
Saya sangat sayang dengan perniagaan yang dilaksanakan sekarang. Sepenuh jiwa dan masa saya fokus kepada perniagaan. Tahun lepas saya mengandung tetapi tidak sedikit pun menjejaskan usaha saya untuk berniaga. Saya keluar untuk membuat penghantaran dan berjumpa pelanggan, meskipun dalam keadaan kita dilanda COVID-19 (ketika adanya kelonggaran),” jelas Natasya.
Namun pandemik terus-terusan memberi impak besar dalam aktiviti perniagaan. “Keadaan ini memberi kesan dari segi nak follow-up dengan pelanggan. Biasanya saya berdepan sendiri dengan pelanggan untuk melihat keberkesanan produk tersebut, mengetahui lifestyle mereka dan memberi cara terbaik yang perlu. Tapi dlam keadaan sekarang, kita hanya boleh menggunakan WhatsApp dan sebagainya untuk berinteraksi.
Dalam keadaan sekarang juga pelanggan semakin kurang disebabkan mereka juga terkesan dengan pandemik, dibuang kerja atau dipotong gaji. Tindakan saya untuk mengatasi masalah ini dengan memperkasakan lagi promosi produk agar lebih dikenali dan mendapat perhatian pelanggan. Saya fokus berniaga secara online bermula sejak pandemik, sebelum ini hanya part time. Sekarang saya makin aktif dan rancak untuk jualan produk dan berharap lebih ramai akan mengenali saya, insyaAllah,” jelas Natasya.
Berniaga bukan sekadar mengejar keuntungan, Natasya turut mengambil peluang untuk membantu wanita lain. “Saya tahu ramai yang ingin berniaga dan cuba mengubah cara hidup tetapi tidak tahu mahu nak bermula di mana dan tidak cukup modal. Ditambah pula jika tiada sokongan daripada suami.
Saya simpati dengan keadaan mereka ini, bagi membantu semangat mereka ini saya akan memberi bantuan dan peluang kepada agen saya dengan mendahulukan produk. Ambil barang dulu dan jalankan perniagaan dengan khidmat bimbingan dari saya. Alhamdulillah, saya gembira melihat perkembangan mereka yang saya bantu apabila membuahkan hasil,” ujarnya yang mendapat sokongan penuh dari suami dan keluarga.
Kata-kata motivasi buat mereka yang ingin berniaga, “Perniagaan ada proses dan peringkatnya, keuntungan berpuluh ribu atau ratus ribu mungkin tidak nampak di awal berniaga. Tapi jika anda anda konsisten dan terus buat, anda akan nampak hasilnya.
Saya amat bersyukur dalam masa dua tahun berniaga ini, saya berjaya menikmati hasil bisnes seperti masuk rumah baru, selesaikan komitmen dan sebagainya, alhamdulillah. Jika kita jujur dan tidak berputus asa, pelanggan akan nampak usaha anda itu dan akan membuahkan hasil lumayan dalam jangka masa panjang.
Selalu ingat jangan dengar kata orang dan jangan mudah berputus asa. Kita hidup untuk diri kita sendiri, bukan kerana orang. Sentiasa buka diri untuk belajar dan belajar. Zaman sekarang kita tak perlu sangat berbicara tentang kemungkinan, apa jadi kalau suami curang dan sebagainya, tetapi fokus bagaimana kita ingin menempuhi hidup andai kata kita perlu berdikari sendiri suatu hari nanti,” bicara Natasya yang sentiasa bekerja dengan jadual yang teratur agar ada keseimbangan dalam kehidupan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Saya mahu kasut MEDSHOE jadi satu keperluan. Semua orang sekurang-kurangnya mesti ada sepasang, tidak kiralah untuk bekerja atau berjalan-jalan,” kongsi usahawan kasut kesihatan MEDSHOE, Nur Diana Dzulkiply atau Kak D tentang impiannya.
Jenama MEDSHOE yang dinobatkan sebagai NONA BEST MEDICAL FOOTWEAR AWARD dalam Nona Superwoman Award 2020 jelas dipacu dengan kepimpinan serta strategi terbaik pasukan Kak D.
“Saya banyak belajar erti keyakinan, sifat berani, ambil risiko dan optimistik. Yang penting mesti selalu syura (bermesyuarat) dan berarbitrari sesama team. Saya juga banyak gabungkan ilmu advocacy dan cara menyampaikan hujah ke dalam perniagaan.
Seni memujuk pelanggan perlu dilakukan secara jujur dan cara menyampaikan maklumat pun mesti berhemah,” kata Kak D yang pernah bergelar peguam syarie itu.
Sebagai Pengasas MEDSHOE dan Pengarah Urusan di Ettijar Enterprise Sdn Bhd, Kak D awalnya bermula dengan perniagaan membekal barangan perubatan dan tudung untuk jururawat. Apabila sering berjumpa frontliners, timbul pula permintaan untuk membekalkan kasut yang sesuai untuk gaya kerja mereka.
Tahun 2016, Kak D bersama seorang rakan niaga pun memulakan MEDSHOE. “Kami bermula dengan menghasilkan kasut-kasut untuk jururawat dan seterusnya kasut yang praktikal untul pelbagai acara.”
Dengan tagline Health, Comfort, Style, jenama MEDSHOE berkembang pesat menerusi 22 outlet fizikal di seluruh Malaysia. Kak D turut melahirkan konsep jualan MEDSHOE On The Go dengan trak lori ke pelbagai tempat.
Sebelum ini Kak D pernah berhasrat untuk membuka lebih banyak outlet MEDSHOE. Tapi tiba-tiba dunia dilanda pandemik COVID-19, maka niat itu terpaksa dipendam.
“Dengan sebulat suara, kami bersatu majukan MEDSHOE di platform online. Alhamdulilah kini MEDSHOE boleh didapati di laman web, Shopee, Lazada serta media sosial seperti Instagram, Facebook dan Telegram.
Walaupun menjual secara online, tapi saya masih menekankan interaksi dengan pelanggan. Bagi saya, kami tidak fokus untuk sekadar menjual saja tapi kefahaman pembeli tentang sesuatu produk itu lebih penting.
Kami juga cipta satu kitaran ekonomi agar banyak pihak dapat berkongsi rezeki melalui sistem dropship dan ejen,” terang Kak D yang turut mengadakan sesi Facebook Live setiap minggu untuk berhubung dengan potential customer.
Kasut MEDSHOE juga amat selesa dan sering menjadi pilihan jemaah haji serta umrah. Disebabkan kualiti tersebut, Kak D menyasarkan untuk membuka outlet MEDSHOE di Mekah dan Madinah beberapa tahun lagi bagi memudahkan jemaah menunaikan ibadah dengan selesa di sana.
Seperti jenama kasut Bata umpamanya, yang sentiasa menjadi pilihan ramai.
Seperkara tentang kasut kesihatan MEDSHOE yang turut diiktiraf sebagai Super Health Brand 2019 ini adalah membolehkan pemakainya berdiri lebih lama tanpa menyakiti kaki.
Lebih-lebih lagi untuk kerjaya beruniform seperti jururawat, anggota keselamatan dan guru, kasut yang betul amat penting untuk mengoptimumkan tugas mereka.
“Sebut jenama MEDSHOE, saya yakin orang sudah tahu ia adalah jenama kasut kesihatan. Selain sistem ortotik, kami juga memastikan kasut dilengkapi pelbagai ciri-ciri hebat seperti microfibre yang baik untuk pesakit diabetes. Ini kerana mereka perlu menjaga kaki agar tidak terluka atau melecet.
Terdapat juga teknologi PORON iaitu pelapik dalaman yang menyerap tekanan dalam kasut, ciri high arch, suede lining dan microfibre pada luaran kasut yang tahan lasak serta kalis air.
Bagi saya kasut kesihatan tidak semestinya membosankan. Walaupun bertujuan untuk menjaga kesihatan dan postur badan sewaktu bekerja, kami juga memastikan ia menepati cita rasa serta gaya hidup pemakainya. Umpamanya melahirkan pilihan rona-rona berani seperti ungu dan mustard dalam rekaan terkini,” akhiri Kak D.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!