Menjunjung kasih, pesona DYMM Tengku Permaisuri Selangor yang berangkat meraikan sambutan Hari Ibu PEKAWANIS 2025 menawan rakyat jelata.
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menyerikan Majlis Sambutan Hari Ibu PEKAWANIS 2025 Peringkat Negeri Selangor cukup mencerminkan keprihatinan dan kasih sayang Baginda terhadap para wanita dan ibu di negeri ini.
Sebanyak 30 DUN/Parlimen dari seluruh Negeri Selangor telah terlibat, dengan pengiktirafan khas diberikan kepada 120 tokoh ibu tunggal muda yang diraikan atas ketabahan dan sumbangan mereka dalam membesarkan anak-anak serta membina masyarakat yang sejahtera.
Lembut dan mempesona, saksikan rakaman eksklusif Majalah Nona ketika keberangkatan Tengku Permaisuri Selangor di majlis sambutan ini…
Menjunjung kasih, pesona DYMM Tengku Permaisuri Selangor yang berangkat meraikan sambutan Hari Ibu PEKAWANIS 2025 menawan rakyat jelata.
Ads
Majlis penuh bermakna itu telah berlangsung dalam suasana penuh adat dan santun di Kediaman Rasmi YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada Sabtu, 31 Mei lalu. Keberangkatan Baginda telah disambut mesra oleh Yang Di-Pertua PEKAWANIS, Datin Seri Masdiana Muhamad; Pengerusi PERKEP Selangor, Datin Liliyana Haryanti; Pengerusi PUSPANITA Negeri Selangor, Datin Syarmila Yahaya; Pengerusi BAKAT 11 Briged Infantri Malaysia, Datin Rosmira Ramlee, ahli-ahli PEKAWANIS dan PUSPANITA Negeri Selangor serta tetamu jemputan.
Acara kemuncak majlis menyaksikan Baginda berkenan menyaksikan program Bicarawanis bertajuk ‘Wanita Biasa Jiwa Luar Biasa: Cerita Seorang Ibu’ yang disampaikan oleh tokoh tersohor, Dato’ Ustazah Siti Nor Bahyah dan moderator oleh Yana Samsudin.
Sesi bicarawanis tersebut mengangkat kisah ketabahan dan pengorbanan insan bergelar ibu dalam membesarkan anak-anak, sekaligus menyuntik inspirasi kepada para hadirin.
Majlis turut diserikan dengan persembahan istimewa oleh pelajar-pelajar dari Rumah Puteri Arafiah, Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Tadika Permata Ehsan PKPS yang menyampaikan persembahan berunsurkan kasih sayang serta nilai murni kekeluargaan.
Ads
Dalam suasana penuh mesra dan kasih, Baginda turut berkenan memotong pulut kuning sebagai simbolik sambutan Hari Ibu PEKAWANIS. Suasana bertambah istimewa apabila Baginda diraikan dengan kejutan kek sempena ulang tahun kelahiran Baginda yang turut diraikan bersama para tetamu dengan penuh kasih dan hormat.
Majlis ini jelas mencerminkan keindahan budaya serta penghargaan mendalam kepada peranan wanita dan ibu dalam masyarakat Selangor yang terus menjadi tunjang keharmonian dan pembangunan negeri.
Anak muda berusia 28 tahun dari suku kaum Dusun-Idahan ini seorang yang berjiwa halus dan kreatif. Biarpun menceburi bidang kerjaya yang sinonim dengan kaum Hawa tetapi demi minat anak jati Lahad Datu, Sabah ini yang dikenali sebagai Azmier Hisyamuqris Juadio Mading kini bukan saja terkenal di negeri kelahirannya bahkan di Semenanjung Malaysia dan Indonesia.
Solekan ‘mahalnya’ sering menjadi pilihan golongan kenamaan serta selebriti terkenal antaranya Puan Sri Nisa Bakri, Datuk Khatijah Ibrahim, Diana Danielle, Erni Zakri, Zizi Kirana, supermodel tersohor Amber Chia, Fatiya Latiff dan selebriti dari Indonesia Randy Pangalila.
Biarpun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun anak bongsu dari 4 beradik yang mesra disapa sebagai Azmier ini seorang yang berjiwa ‘besi’. Antara anugerah yang pernah diterimanya ialah Makeup Artist Terbaik AVON Malaysia 2014, Celebrity Makeup Artist Malaysia 2017, dan Makeup Trainer Miss Grand Sabah/Malaysia 2020/2021.
“Sebelum bergelar makeup artist saya pernah berkerja sebagai juruwang di sebuah restoran makanan segera. Pada masa sama, saya pernah mencuba nasib menyertai pertandingan Hero Remaja tapi tiada rezeki.
Saya mula berjinak-jinak dalam bidang solekan sekitar tahun 2010. Ketika itu baru saja habis SPM. Saya memilih bidang ini kerana saya seorang yang sangat menjaga penampilan diri terutama wajah.
Paling penting, saya mahu mendidik masyarakat agar sentiasa menjaga penampilan dan kekal cantik walau tanpa dengan solekan tebal. 11 tahun berkecimpung dalam bidang ini saya bersyukur kerana hasil karya diterima baik.
Saya tidak malu bergelar jurusolek malah bangga dengan gelaran tersebut.
Tulang belakang di sebalik kejayaan saya selama ini semestinya ibu, Rosminah Kam dan bapa, Juadio Mading @ Azlan Abdulah. Tak lupa adik beradik dan rakan-rakan. Sehingga kini mereka tak pernah lupa mendoakan saya, menyokong dan memberi nasihat.
CABARAN
Saya bermula dengan kekangan dana. Untuk membeli barang makeup saja saya terpaksa menabung. Pengalaman pahit pula bila terpaksa berjauhan dengan keluarga saat bapa sakit di hospital. Ketika itu saya terikat dengan beberapa program TV dan tak dapat balik ke Sabah.
Saya juga pernah menitiskan airmata ketika mula-mula menceburi bidang ini. Karya saya tidak dapat diterima kerana saya menukar trend solekan tebal kepada yang tidak tebal. Saya nekad jika suatu hari nanti ada rezeki lebih saya akan bantu insan yang kurang berkemampuan tapi mempunyai minat yang sama seperti saya.
Dari segi cabaran masa pula, saya kerap ulang alik Kuala lumpur-Sabah. Jika masa bekerja, saya akan betul-betul fokus sampai kadang-kadang terlupa untuk rehat. Kalau di Sabah, saya akan duduk di rumah dan beriadah bersama keluarga.
IMPIAN & PERANCANGAN
Saya mengidolakan penyanyi nombor satu negara, Dato’Sri Siti Nurhaliza kerana tertarik dengan keperibadiannya. Impian saya adalah untuk menyolek wajah Dato’ Sri Siti Nurhaliza agar dapat dijadikan potret istimewa.
Dari segi perancangan, saya akan meneruskan Makeup Workshop di beberapa buah tempat. Pada masa sama, saya masih memilih beberapa produk Malaysia untuk dibawa ke Indonesia pada Disember 2021 atau Januari 2022. Saya juga akan melancarkan produk sendiri awal tahun depan, Insha-Allah.
Nasihat saya buat yang memilih kerjaya sebagai makeup artist pastikan ada ilmu. Jadi diri sendiri, cekal, sentiasa merendah diri dan beringat di mana permulaan karier.
PERNAH POSITIF COVID-19
Sebenarnya tiada siapa yang tahu saya pernah positif COVID-19 stage-4 awal tahun lalu. Bagi saya kesakitan bukan untuk dikongsi. Hanya keluarga terdekat dan beberapa rakan artis saja tahu. Saya mengalami kesukaran bernafas, kekejangan, hilang deria rasa dan bau. Saya disarankan oleh beberapa pakar kesihatan untuk banyak mengambil vitamin C dan berdiri di bawah matahari setiap pagi. Berkat doa ibu bapa dan keluarga saya kembali sembuh dan sudah lengkap divaksin.”
Disember 2021 Azmier bakal berkolaborasi dengan makeup artist dan pereka fesyen Indonesia antaranya Bennu Sorumba dan Eko Tjandra. Di sana Azmier akan menata rias beberapa selebriti Indonesia terkenal untuk program di Indosiar. Semoga Azmier terus melakar kejayaan pada masa akan datang dan menjadi inspirasi anak muda.
Kredit Foto: Instagram @azmierhisyamuqris
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kecoh diperkatakan tentang isu gelaran Datuk yang ‘dibeli’ melibatkan beberapa suami kepada personaliti tanahair. Bermula dengan ciapan seorang netizen yang mendakwa tidak melihat nama-nama penerima dipaparkan dalam sebuah laman sesawang, pastinya membuatkan ramai yang ingin mengetahui kesahihan penerimaan anugerah tersebut.
Bermula dengan isu gelaran Datuk Seri dan Datuk suami Datin Seri Heliza Helmi dan seterusnya Datin Paduka Eina Azman turut didakwa palsu. Terpalit sama adalah suami kepada pelakon popular Fauziah Gous, iaitu Datuk Zhafran Md Yusof. Menyedari hakikat isu ini semakin diperkatakan ramai, Fauziah Gous akhirnya membuka mulut dan menjelaskan untuk suami membuktikan yang dia memiliki gelaran Datuk.
Memetik laporan akhbar, Fouziah berkata, gelaran kebesaran itu diterima daripada pihak istana sebuah negeri pada 2016, dan suaminya menhadiri istiadat pertabalan pada 2017. Malah, katanya dakwaan itu tidak sepatutnya djadikan isu memandangkan suaminya mempunyai bukti berhubung watikah pelantikan yang membawa gelaran Datuk kepada suaminya.
“Sekiranya tidak tersenarai, kenapa perlu nak tanya kami? Sudah tentu kami sendiri nak tahu mengapa perkara tersebut terjadi tetapi takkan nak terus terjah sebab semuanya perlu dilakukan secara beradab,” katanya. Pelakon drama Cinta Medik itu turut meminta orang ramai yang mempertikaikan gelaran Datuk suaminya untuk menyemak perkara itu dengan pihak bertanggungjawab. Individu terbabit juga mendakwa tindakan itu dibuat selepas dia didesak oleh banyak pihak bagi mendedahkan perkara sebenar.
Sumber: Harian Metro | Kredit foto: Instagram @fouziahgous
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tak sangka Arni Nazira sebenarnya mempunyai hubungan keluarga dengan artis legenda tanahair, Noorkumalasari. Arni Nazira pernah memuat naik gambarnya bersama Noor Kumalasari di Instagram dengan kapsyen “Small family gathering…” Posting itu juga telah mendapat perhatian para pengikutnya dan ada yang bertanya bagaimana Arni dapat bertemu dengan seniwati tersohor itu.
Melihat kepada gambar tersebut kedua-duanya nampak sangat mesra dan rapat. Sementara Noorkumalasari pula masih kelihatan anggun dan bertenaga biarpun telah lama bersara daripada industri seni.
Noorkumalasari merupakan pelakon dan penyanyi terkenal era 70an. Beliau merupakan anak kepada Datuk S. Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum. Umum mengetahui, Noorkumalasari adalah adik kepada penyanyi versatile, Anita Sarawak.
“Auntie Noor (gelarannya kepada Noorkumalasari) adalah saudara sebelah suami saya. Sebenarnya kami jarang berjumpa melainkan kalau ada majlis-majlis keraian contohnya kenduri atau family gathering. Kalau dulu ada jugalah kami bertandang ke rumah Auntie Noor untuk bertanya khabar.
Sekarang usianya pun dah mencecah 60an dan dah bersara dari dunia seni. Secara peribadi saya cukup menyenangi Auntie Noor kerana kalau kami berjumpa beliau sangat friendly. Sikapnya itu yang menginspirasikan saya, tidak sombong walaupun dirinya seorang legenda. Kami akan berbual macam-macam topik. Selain bertanya khabar, saya juga suka bertanyakan tentang lakonan dulu-dulu.
Memang banyak pengalaman menarik yang Auntie Noor suka kongsi, memang seronok dengar. Walau pun saya sendiri dah lama meninggalkan dunia seni tetapi saya suka dengar Auntie Noor bercerita tentang lakonannya dulu-dulu. Dan kalau tak dapat berjumpa macam sekarang, masing-masing akan bertanya khabar,” kongsi Arni Nazira kepada Nona.
ANNIVERSARY 12 TAHUN PERKAHWINAN Sedar tak sedar sudah 12 tahun Arni Nazira menyepikan diri dari bidang seni setelah mendirikan rumahtangga buat kali kedua pada tahun 2009. Dan pada tahun ini, 12 tahun jugalah usia perkahwinannya bersama suami, Wan Mohd Hazrie Wan Mokhtar yang merupakan seorang usahawan.
Kini pada usia 42 tahun Arni Nazira masih kekal cantik walaupun bergelar ibu kepada 5 orang anak iaitu Puteri Aleeya Antasha (21), Puteri Aleefa Antasha (19), Wan Muhammad Mua’dz (11), Wan Ayesha Maserra (9) dan Wan Muhammad Mushrief (6).
Puteri Aleeya Antasha dan Puteri Aleefa Antasha adalah zuriat hasil perkahwinan Arni Nazira yang pertama. Kedua-duanya kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej yang sama sekitar Kuala Lumpur dalam bidang event management. Disebabkan minat serta hubungan dua beradik ini sangat rapat, kedua-duanya memilih bidang pengajian yang sama.
“Alhamdulillah saya sangat bahagia dan selesa dengan kehidupan sekarang, apatah lagi suami memang suka saya tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga. Dulu ada juga perancangan untuk berbisnes namun tertangguh kerana tanggungjawab terhadap keluarga lebih utama.
Sebagai suri rumahtangga sepenuh masa saya menguruskan keluarga dan hal-hal rumahtangga. Semuanya saya lakukan sendiri tanpa pembantu rumah. Sejujurnya tawaran berlakon masih ada tetapi saya menolaknya dengan cara baik.
12 tahun hidup bersama pasti ada pasang surutnya. Sebagai isteri kena banyak bersabar, bertolak ansur dan sentiasa berbincang. Saya dan suami suka berkongsi apa jua perkara termasuk masalah. Tak sembunyi apa-apa kalau ada tak puas hati. Masing-masing kena jujur demi kebaikan bersama.
Alhamdulillah rezeki saya dikurniakan seorang suami yang boleh give and take, memahami, bertanggungjawab dan sehati sejiwa. Me-time saya pun hanya dengan suami. Kalau ke mana-mana selalu berdua atau berlima dengan anak-anak. Keluarga adalah harta dan segala-galanya buat saya. Kalau sedih atau stres saya tetap perlukan suami di sisi.
AMALKAN JAMU & PANTANG Atas nasihat ibu dan nenek saya amalkan jamu, minum air kosong secukupnya dan ulam-ulaman sejak usia muda. Alhamdulillah berkat konsisten dengan amalan itu ia telah menjadi salah satu asbab untuk kelihatan awet muda dalam usia sekarang. Paling penting kesihatan dalaman turut terjaga.
Satu lagi amalan ialah disiplin ketika berpantang. Dulu setiap kali bersalin ibu akan jaga saya sepanjang berpantang. Ibu seorang yang sangat menitikberatkan amalan berpantang. Kalau ikut cara berpantang dulu-dulu memang sangat ketat. Contohnya, cara berjalan dan makan ada pantangnya. Makanan sejuk-sejuk tak boleh ketika dalam pantang. Amalan bertungku dan ‘menyalai’ juga penting untuk kecutkan peranakan.
Kita wanita ni bila dah cecah usia 40 tahun dan ke atas kena beringat, jaga badan elok-elok luar dan dalam. Kerana pada usia ini badan akan mula mudah jatuh sakit. Tahap kesihatan kita dah tak sama seperti muda-muda dulu. Jadi amalkan gaya hidup sihat termasuk jaga pemakanan.
Sebagai isteri dan ibu saya sentiasa ingin menjadi yang terbaik di mata suami serta anak-anak. Begitu juga hubungan saya dengan anak-anak bekas suami iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha, kami selalu berhubung. Kalau tak berjumpa kami akan berhubung melalui Whatsapp atau video call setiap hari.
Saya mendoakan agar mereka menjadi anak-anak yang soleh serta solehah, berakhlak mulia, kental jiwanya dan tidak mudah tersasar dari landasan kehidupan yang sebenar. Seterusnya menjadi insan yang berilmu. InshaAllah.”
Arni Nazira Anuar, anak kelahiran Terengganu ini mula digilap bakatnya menerusi pertandingan nyanyian Asia Bagus 1996. Setelah bergelar penyanyi, lagu nyanyian Arni Nazira berjudul ‘Cinta Antara Benua’ mula menjadi siulan sekitar tahun 1997. Manakala filem lakonan Arni Nazira ialah Nafas Cinta (1998) dan Bara (1999).
Kredit Foto: Instagram @arninazira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.