Pernahkah terlintas mengapa dapur rumah anda terasa kurang selesa? Mungkin ada yang salah dengan penataan dan dimensinya. Sudah diubah suai namun masih ada yang kurang. Kemungkinan besar anda sudah melakukan kesilapan pada pengubah suaian dapur. Justeru, sebelum menetapkan untuk mengubah suai dapur sebaiknya anda kaji semula semua aspek termasuk yang paling kecil.
Ini kerana dapur juga merupakan salah satu ruang penting yang sering digunakan. Semak 8 kesalahan berikut yang mungkin kita sering terlepas pandang.
KOMPONEN KECIL
Semua komponen di dapur penting dan memerlukan ruang penyimpanan. Meskipun ia hanyalah mesin pengisar kopi mahupun ruang rempah ratus anda tetap perlu ambil berat. Ketika anda mengubah suai dapur fikirkan di mana semua perabot yang sudah atau bakal dibeli akan diletakkan. Apatah lagi, perabot dapur yang sering digunakan pastinya memerlukan ruang ekstra di meja dan rak-rak terjangkau.
TIDAK PEKA KEPADA ALIRAN AKTIVITI
Rekaan minimalis moden yang sering dilihat di internet dan majalah tidak cukup untuk menjadikan dapur sebagai ruang memasak yang selamat. Sertakan rutin anda di dapur iaitu apa yang biasa anda lakukan di pagi hari, tengahari, petang dan malam. Pertimbangkannya dalam ubah suai ruang dapur. Contoh, jika setiap pagi anda memasak nasi kemudian mencuci peralatan maka susunan kelengkapan dapur haruslah saling berdekatan bagi memudahkan anda memasak.
Ads
PAKSA DIRI BUAT SEMUA SENDIRI
Kita boleh menjadi seorang yang kreatif mahupun pencinta DIY. Namun begitu, kalau memang tidak mempunyai pengetahuan asas mahupun kemampuan dalam mencipta atau mengubah suai ruang sebaiknya jangan memaksa diri. Jangan anggap bahawa tidak menggunakan khidmat profesional mampu menjimatkan wang. Jangan terkejut jika ia akan menimbulkan banyak lagi masalah di kemudian hari.
MENGABAIKAN RUANG LAIN
Sepanjang anda mengubah suai rumah jangan sampai ruang-ruang lain kelihatan kotor dan rosak. Jangan sampai lupa untuk membentangkan kain penutup di bahagian pintu dapur agar debu cat serta material tidak sampai ke ruangan lain. Pilih pintu terdekat dengan dapur untuk memasukkan material-material ubah suai.
Ads
TIDAK MELAKUKANNYA DENGAN BAIK
Ubah suai seharusnya menjadikan ruang yang lama lebih baik. Namun sayangnya, terdapat segelintir pemilik rumah hanya mengubah suai untuk menukarkan model tetapi tidak menjadikannya lebih baik. Oleh itu, ketika ubah suai tetapkan target supaya dapur sesuai untuk keperluan keluarga bukan hanya pada masa sekarang bahkan akan datang juga.
MENGABAIKAN CARA PEMBAIKAN
Kebanyakan memilih kabinet dapur yang tingginya hampir mencapai langit-langit. Ada yang menggunakannya untuk menyimpan perabot yang jarang digunakan mahupun membiarkannya kosong. Akhirnya ia terbiar tanpa dibaiki, lapuk dan rosak. Inilah pentingnya pengubah suaian sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Jika anda tidak tahu bagaimana membaiki setiap perabot dan kelengkapan dapur, sebaiknya jangan menggunakannya.
Ads
MEMILIH KELENGKAPAN MEMASAK DI LANGKAH TERAKHIR
Ada juga, setelah selesai memasang kabinet dapur dan mengecat dinding kemudian baru terfikir ada buat silap. Contohnya ruang untuk meletakan peti sejuk tidak cukup, tidak tahu di mana hendak meletakkan ketuhar dan tiada tempat untuk meletakkan rak gelas serta pinggan. Sedangkan rak, peti sejuk dan segala peralatan memasak seharusnya menjadi perkara paling utama ketika mengubah suai dapur.
MENGABAIKAN KEINDAHAN
Bahagian backsplash dan kabinet dapur merupakan kawasan yang boleh dijelajah antaranya ialah mainan warna kabinet dapur. Jangan malas untuk mencipta rekaan backsplash yang unik atau skema warna kabinet dapur yang berbeza daripada kebiasaan untuk impak yang lebih menarik.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ratu Jordan, Rania Al Abdullah dilahirkan pada 31 Ogos 1970 dan merupakan graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari American University of Cairo pada tahun 1991 yang
pernah berkhidmat di sektor perbankan dan teknologi sebelum berkahwin dengan anak lelaki sulung Raja Jordan, King Hussein iaitu Putera Abdullah Al Hussein pada 10 Jun 1993. Hasil perkahwinan selama hampir 30 tahun, Queen Rania dan Putera Abdullah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Putera Hussein, Puteri Iman, Puteri Salma dan Putera Hashem.
Sebagai Ratu Diraja Jordan, Queen Rania dikenali di seluruh dunia bukan saja kerana kecantikan yang dimiliki bahkan jiwa penyayang beliau membela nasib golongan kurang
bernasib baik terutamanya kanak-kanak dan wanita di Jordan. Selain itu, beliau juga dilihat sangat komited merapatkan jurang perbezaan kaum dan budaya di peringkat antarabangsa.
Tumpuan utama Queen Rania adalah pendidikan dan beliau percaya setiap kanak-kanak Jordan sama ada lelaki mahupun perempuan perlu diberikan hak pembelajaran sepenuhnya
mengikut peredaran masa kini. Demi memastikan ia bukan sekadar cakap kosong, Queen Rania mewujudkan pelbagai inisiatif antaranya menerusi Jordan Education Initiative, Queen Rania Teachers Academy, Madrasati (atau bermaksud sekolah) dan Edraak yang bermaksud kesedaran.
Tidak cukup dengan itu, Queen Rania juga terlibat dengan United Nations Foundation dan World Economic Forum serta menjadi individu penting dalam UNICEF dan dilantik UN sebagai Panel Kehormat yang berperanan meningkatkan taraf kehidupan penduduk dunia menjelang tahun 2030.
Paling mengagumkan, kerana naluri keibuan yang menebal dalam diri… Queen Rania berpeluang menghasilkan beberapa buku kanak-kanak yang berkisar pengalaman beliau
sewaktu kecil. Antara naskhah istimewa karya Queen Rania adalah The Sandwich Swap, Eternal Beauty, Maha of the Mountains dan The King’s Gift.
Memang terinspirasi dengan semangat dan jiwa besar Ratu Jordan ini. Malah, personaliti Queen Rania turut menjadi perhatian penggemar fesyen lantaran gaya dan cita rasa
menawan yang ditampilkan Queen Rania tatkala berada di khalayak. Tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau tidak ubah seperti supermodel yang cantik berjalan di karpet merah. Cukup memukau!
https://www.instagram.com/p/Bx9T6FihoBn/
Disebabkan kecantikan, usaha murni dan peribadi menarik yang dimiliki, Queen Rania turut diberi julukan sebagai antara Personaliti Diraja Tercantik Di Dunia. Sebaris dengan kenamaan diraja terkenal seperti mendiang Lady Diana. Setiap kali muncul bertemu rakyat dan menghadiri majlis rasmi, kelibat Queen Rania pasti mencuri tumpuan. Apa sahaja busana yang dipakai nampak terletak kemas di tubuh langsingnya.
Terbaru, kunjungan makan malam Queen Rania dan King Abdullah bersama Raja dan Permaisuri Norway sekali lagi menarik perhatian dunia. Top satin rona keemasan yang dipadankan bersama skirt labuh biru yang digayakan Queen Rania menyerlahkan sisi elegan beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka, wanita cantik Thailand yang dulunya pernah bertugas sebagai pramugari kini wanita pertama Negara Gajah Putih berkenaan! Dari kerjaya di awan biru, Suthida Tidjai beralih ke bidang ketenteraan diraja sebelum dilamar ‘majikan’ dan kini bergelar Permaisuri Thailand. Bertuahnya!
Dilahirkan pada 3 Jun 1978 di Songkla, Thailand, portal Royal Central UK melaporkan Permaisuri Suthida ialah anak kepada Kham dan Jangheang Tidjai. Baginda memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Komunikasi pada tahun 2000.
Selepas tamat pengajian, Permaisuri Suthida menyertai JALways Airlines selama tiga tahun sebagai pramugari. Baginda kemudian berhijrah ke Thai Airways dari tahun 2003 hingga 2008 sebelum menyertai Royal Thai Army pada tahun 2010.
Permaisuri Suthida turut pernah berkhidmat sebagai Royal Security Command. Pada 1 Disember 2016, Baginda dinaikkan pangkat sebagai Jeneral dan Komander Unit Operasi Khas King’s Guard. Tidak sampai setahun, Baginda menerima pelantikan Komander Royal Thai Aide-de-camp.
Oktober 2017, Baginda menerima First Class The Most Illustrious Order of Chula Chom Klao apabila Raja Maha Vajiralongkorn menaiki takhta.
Sekian lama menjaga keselamatan dan melindungi Raja Maha Vajiralongkorn, Permaisuri Suthida yang dilaporkan berusia 44 tahun pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Pemerintah Unit Pengawal Peribadi Raja Maha Vajiralongkorn pada tahun 2014 dan menerima kenaikan pangkat sebagai Jeneral pada Disember 2016.
Sepanjang tempoh itu kelibat Permaisuri Suthida sentiasa berada di samping Raja Maha Vajiralongkorn demi memastikan keselamatan pewaris takhta Thailand tersebut dikawal rapi. Baginda juga sering dilihat lengkap berpakaian tentera ketika mengiringi Raja Maha Vajiralongkorn ke acara-acara rasmi.
Istana Thailand mengumumkan Raja Vajiralongkorn berkahwin dengan Permaisuri Suthida pada tahun 2019. Pasangan ini berkahwin pada 1 Mei 2019 yang menyaksikan upacara perkahwinan disiarkan secara langsung di kaca televisyen.
Pada 4 Mei, Suthida secara rasmi diisytihar Her Majesty Queen Suthida (Somdet Phra Nang Chao Suthida Bajrasudhabimalalakshana Phra Borommarajini).
Dikurniakan raut wajah cantik, penampilan Permaisuri Suthida yang sopan dan bijak berfesyen juga menarik perhatian rakyat Thailand.
Upacara menandatangani ikrar perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida turut disaksikan adindanya Puteri Siridhorn dan salah seorang pemimpin tertinggi Thailand, Prem Tinsulanonda.
Turut menghadiri upacara tersebut ialah Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha dan beberapa ahli pemimpin Thailand.
Ia merupakan perkahwinan keempat Baginda Raja selepas bercerai dengan isteri ketiganya, Puteri Srirasmi pada 2014 setelah 13 tahun berkahwin.
Raja Maha Vajiralongkorn yang menggunakan gelaran King Rama X, menaiki takhta selepas kemangkatan ayahandanya, Raja Bumibol Adulyadej pada Oktober 2016 selepas memegang takhta diraja Thailand selama 70 tahun.
Sumber: Channel News Asia
Credit photo : Instagram Her Majesty Queen Suthida
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
KARIER
Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.
DATUK BANDAR KUALA LUMPUR
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.