Kesusahan hidup yang dilalui Dato’ Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sejak kecil membentuk jati dirinya menjadi seorang wanita berjiwa kental dan berdaya saing. Meskipun dibesarkan sebagai anak penoreh getah namun figura hebat ini bersyukur kerana kedua-dua ibu bapa mendidik mereka enam beradik dengan penuh kasih sayang dan sanggup berkorban apa sahaja demi memberikan pendidikan terbaik.
Tiada sekelumit pun rasa segan terbit di sanubari wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tatkala bercerita mengenai realiti hidup beliau yang pernah mendiami rumah beratapkan rumbia dan tiada bekalan elektrik mahupun air bersih. Bagi Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif itulah perangsang motivasi untuk mengubah taraf hidup keluarga.
Detak hatinya berkata alangkah indah andai kedua-dua ibu bapa tersayang masih hidup dan menyaksikan kejayaan beliau menjadi wanita inspirasi negara dan melakar sejarah sebagai wanita pertama bergelar Datuk Bandar Kuala Lumpur.
PERJALANAN HIDUP DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
“Saya berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mak ayah saya penoreh getah. Sewaktu kecil, saya menyiapkan kerja sekolah di bawah lampu minyak tanah. Saya bangun seawal 4 pagi setiap hari untuk membantu mak ayah cuci bekas tadahan susu getah pada waktu Subuh sebelum pergi ke sekolah.
Saya bertekad untuk membawa keluarga saya keluar daripada kepompong kemiskinan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran. Alhamdulillah sejak sekolah rendah hingga menengah, saya selalu mendapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan.
Hal ini bukan sebab saya terlalu mengejar gred. Sebaliknya saya mahu mendapatkan ganjaran daripada pihak sekolah berupa kelengkapan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan lain-lain. Saya tak mahu membebankan mak ayah dan pastikan dapat nombor satu dalam kelas sebab mahu dapat sebanyak hadiah yang boleh supaya saya dapat agihkan kepada adik-adik saya,” tuturnya memulakan bicara.
Ditanya pengorbanan ibu bapa yang tidak mungkin terpadam dari ingatan, dalam nada sebak Dato’ Seri Dr Maimunah menyingkap rahsia. “Saya masih ingat kenangan menyiapkan kerja sekolah dengan hanya diterangi pelita minyak tanah. Arwah mak akan ambil kain sarung dan saya duduk dalam kain sarung tersebut.
Ads
Jadi arwah mak akan pegang kain itu supaya api pelita tak padam ditiup angin dan saya dapat siapkan kerja sekolah. Kalau dua jam, dua jam jugalah arwah mak berdiri. Sampai sekarang tiap kali tengok kain sarung, saya sedih sebab dengan kain sarung itulah saya boleh dapat biasiswa ke England,” imbasnya yang menjadikan ibu tersayang sebagai sumber kekuatan dan inspirasi.
Berkat usaha dan doa ibu bapa, tokoh wanita berusia 63 tahun ini berjaya memperoleh biasiswa dan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam jurusan perancangan bandar di University Cardiff. Usai menamatkan pengajian, Dato’ Seri Dr Maimunah kembali ke tanah air pada tahun 1985 dan berkhidmat sebagai perancang bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
Kemahiran beliau dalam dunia perancangan bandar diperakui pelbagai pihak sehingga diberi kepercayaan menjawat tugas-tugas utama antaranya Pengarah Jabatan Perancangan, Pengurus Besar pertama Georgetown World Heritage Incorporated, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai dan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang pada tahun 2017.
Lebih mengagumkan, agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengintai kebolehan dan mengiktiraf kredibiliti Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif apabila beliau ‘disunting’ badan dunia berkenaan.
“Tahun 2018, saya diberi mandat sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat selaku wanita Asia pertama memegang jawatan tersebut yang merupakan ahli Kumpulan Pengurusan Kanan Setiausaha Agung berperanan sebagai role model dalam menegakkan nilai-nilai PBB seperti keterangkuman, intergriti, rendah hati dan kemanusiaan.
Ads
Saya dipilih untuk penggal kedua yang berakhir pada Januari 2024. Saya juga memegang jawatan pemangku Ketua Pengarah PBB di Nairobi, Kenya sebelum kembali ke Malaysia pada Februari 2024.
Pengalaman sebagai Ketua Pengarah PBB, Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan mengetuai PBT di Pulau Pinang dan Seberang Perai serta pengalaman hidup yang serba kekurangan membentuk pemikiran dan jati diri dalam diri saya supaya menjadi seorang yang cekal, kental dan positif dalam hidup,” tegasnya yang menyandang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat selama enam tahun.
Hasrat Dato’ Seri Dr Maimunah untuk bersara selepas tamat perkhidmatan di Nairobi tidak berjalan seperti yang dirancang. Demi berbakti kepada tanah air dan kesejahteraan masyarakat khususnya di ibu negara, beliau akhirnya bersetuju menerima pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 15 Ogos 2024.
“Pelantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur bukan hanya satu penghormatan. Malah tanggungjawab dan amanah yang amat besar untuk menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebenarnya menjadi Datuk Bandar bukanlah kerjaya impian saya sejak dulu. Namun saya sentiasa mempunyai keinginan untuk berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan negara khususnya di bandar-bandar utama.
Ekspektasi yang tinggi daripada warga kota Kuala Lumpur dengan populasi berjumlah 1.9 juta orang dari pelbagai latar belakang demografik merupakan cabaran untuk saya. Sebagai penjawat awam, kita harus berkhidmat secara profesional tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik.”
Ads
Bagi menjayakan usaha itu, Dato’ Seri Dr Maimunah Sharif melaksanakan pentadbiran CATEE iaitu Competent, Accountable, Transparent, Effective dan Efficient Governance. Ujarnya, beliau percaya dengan tenaga kerja DBKL seramai 4,000 orang beliau yakin dapat melakukan yang terbaik.
“Dari perspektif perbandaran, saya memastikan DBKL secara konsisten membina bandar yang berdaya tahan, berdaya saing, berdaya huni dan disayangi. Saya turut melancarkan Program Flagship DBKL yang terdiri daripada lima teras dan 15 projek. Lima teras tersebut ialah Pembangunan terancang, keterangkuman masyarakat, bandaraya hijau dan mampan, komunikasi dan tadbir urus.
Saya pernah menjadi YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang kemudian Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Seterusnya berpeluang menjadi ‘Datuk Bandar’ di peringkat global sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Datuk Bandar di ibu kota Malaysia. Perjalanan ini meyakinkan saya bahawa ‘Once Mayor always a Mayor.”
KEKUATAN DATO’ SERI DR MAIMUNAH SHARIF
Pastinya kejayaan yang ditempa Dato’ Seri Dr Maimunah hari ini memerlukan banyak pengorbanan. Tanpa semangat dan sistem sokongan yang baik di sisi, tidak mungkin beliau mampu berada di tahap sekarang.
“Pengorbanan terbesar saya untuk sampai ke tahap sekarang sebenarnya melibatkan masa dan komitmen terhadap keluarga serta kesihatan diri. Sepanjang perjalanan ini banyak masa telah dikorbankan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Kadangkala, masa yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga terpaksa diketepikan demi memastikan kesejahteraan warga awam tidak terjejas.
Keluarga adalah tonggak utama kejayaan yang saya kecapi pada hari ini. Suami dan anak-anak memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada saya. Paling penting, restu daripada suami saya. Beliau sentiasa ada dengan saya. Beliau mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap saya untuk menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan cemerlang. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga saya. Tanpa sokongan jitu mereka, saya tidak mungkin berada sehingga tahap ini,” luahnya penuh syukur.
Selaku penerima Nona Superwoman Award 2024, Dato’ Seri Dr Maimunah memanfaatkan peluang ini untuk menyebarkan aura positif dan kata-kata semangat buat seluruh wanita Malaysia agar tabah mendepani apa jua cabaran.
“Sebagai wanita, kita hendaklah berusaha sehabis baik, mempunyai komitmen dan keyakinan yang tinggi dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Tiada yang mustahil dalam hidup ini. Yakin dan bangga dengan keupayaan diri sendiri. InsyaAllah, kita pasti boleh melakukannya.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tuah orang nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu. Meskipun penglibatan awal dalam dunia perniagaan adalah sebagai pengasas produk kosmetik namun langkah berani Kak Ell menghasilkan koleksi elegan skirt Keklaa x Ashraff Zainal dan menceburi bidang fesyen wanita turut membuahkan hasil.
“Impian saya melihat para pengguna yang berpenampilan cantik tidak hanya pada kecantikan kulit tetapi juga pakaian yang elegan dan menarik.
Mengambil inspirasi dari interaksi dengan followers, saya terdorong membangunkan jenama Keklaa yang menawarkan pilihan pakaian, tudung dan inner yang selesa dan cantik dengan harga berpatutan.”
Usaha Kak Ell atau nama sebenarnya Sharmila Johan menjenamakan produk Keklaa nyata bukan sia-sia apabila Volumnizer Inner yang diusahakan itu terjual di pasaran lebih 14 ribu helai dalam masa hanya dua bulan!
Ekoran sambutan hangat yang diterima menerusi jenama tersebut, Kak Ell mengembangkan lagi produk keluaran Keklaa. Kali ini menjalin kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Ashraff Zainal bagi menjayakan koleksi RTW Keklaa.
“Kolaborasi pertama antara Keklaa x Ashraff Zainal dilancarkan pada 22 September 2023. Pereka fesyen pilihan saya ini memang sangat memahami cita rasa fesyen saya yang simple, sweet tetapi tetap elegan dan menawan.
Dengan pengalaman Ashraff Zainal yang mencipta buzz fesyen untuk nama besar seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Aina Abdul, beliau bukan saja menjamin kualiti tetapi juga beri kepercayaan kepada pengguna Keklaa untuk mendapatkan koleksi skirt RTW Keklaa x Ashraff Zainal yang limited edition ini.”
Koleksi yang julung kali Kak Ell dilancarkan koleksi skirt Keklaa iaitu Lauren Skirt berjaya mengukuhkan kedudukan usahawan ini dalam dunia fesyen. Terdapat empat pilihan warna menarik ditawarkan kepada penggemar fesyen iaitu hitam, putih, navy blue dan fuchsia pink.
“Lauren Skirt diperbuat daripada material kain Twill Dutchess yang mewah dan berkualiti tinggi. Material ini tidak hanya memberikan keselesaan maksimum, tetapi juga mengekalkan penampilan yang elegan dan menawan sepanang hari.
Jangan lepaskan peluang menjadi yang pertama memiliki koleksi terbaharu kami nanti kerana anda pasti akan jatuh cinta pada pandangan pertama!”
Lebih istimewa, ada berita baik yang disampaikan Kak Ell khas buat pelanggan setia Keklaa.
“Dengan besar hati, kami ingin mengumumkan bahawa koleksi Lauren Skirt menarik perhatian dan terjual dalam tempoh hanya dua bulan pada tahun 2023!
Namun jangan risau kerana kami sedang bersiap sedia untuk menggegarkan pasaran sekali lagi selepas Hari Raya Aidilfitri dengan koleksi terbaharu kami yang bakal dilancarkan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi orang yang terawal untuk menantikan tarikh rasmi pelancaran koleksi terbaharu kami yang akan diumumkan secara eksklusif melalui semua platform media sosial Keklaa.”
Sementara itu, Kak Ell mendedahkan dia sudah pun merangka pelbagai strategi dan hala tuju bagi tahun 2024 untuk melonjakkan lagi empayar niaga miliknya ke pasaran lebih luas.
“Pada Januari 2024, LAWWA SKIN diperkenalkan kepada pasaran. Ia adalah suplemen mencerahkan kulit dalam bentuk serbuk yang mudah dikemam. Awalnya, ia hanya hadir dalam perisa ceri, tapi atas permintaan ramai saya melancarkan perisa baru iaitu coklat pada Mac lepas.
Dalam tempoh dua bulan, LAWWA SKIN menjadi fenomena dengan terjual sebanyak 270,000 kotak. Feedback positif dari pengguna telah menjadikan produk ini viral di TikTok.
Saya berjanji untuk terus membawa inovasi baru untuk membantu lebih ramai orang mencapai penampilan yang cantik dan sihat.
Tahun 2024 mungkin penuh dengan cabaran tetapi saya yakin misi akan tercapai dengan sokongan daripada pengguna setia. Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada Kak Ell dan Keklaa.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Demi mematuhi standard kecantikan, bidang pergigian kosmetik kini menjanjikan pulangan lumayan buat pengamalnya. Selain rawatan tampalan komposit, rawatan pemutihan gigi juga selalu mendapat permintaan tinggi di kalangan wanita. Tapi adakah ia dibenarkan dalam Islam?
Bagi mendapatkan penjelasan tepat, Nona bertemu doktor gigi dari Klinik Pergigian Anitawaty, Shah Alam yang juga Pengarah di Manarah Cure Sdn. Bhd., Dr. Anitawaty Mukhtar.
Kata Dr. Anita, beliau bimbang melihat trend pemutihan gigi ini, tak kira dari jenis rawatan di klinik atau di rumah kerana ia bukan saja memudaratkan, tapi boleh memesongkan akidah tanpa disedari.
Dr. Anitawaty Mukhtar
Kit pemutih gigi biasanya mengandungi bahan hydrogen peroxide atau bahan peluntur kepekatan tinggi. Bayangkan gigi yang keras pun boleh putih, kemudian bayangkan pula bagaimana tisu-tisu lembut lain di sekeliling gigi? Hakikatnya cedera parah.
Gigi merupakan bahagian tulang manusia yang paling kuat. Bayangkan bagaimana kondisi tulang-tulang kita yang lain jika gigi pun mula mereput, sudah tentulah ia mencerminkan masalah kesihatan diri yang lain, makin merosot. Ikuti temu bual kami di bawah.
(1) Hukum Berjumpa Doktor Gigi
Nona: Apakah hukum berjumpa doktor gigi untuk mencabut gigi yang sakit?
Dr. Anita: Hukum rawatan pergigian adalah harus untuk tujuan kesihatan. Cuma elakkan membuat rawatan berasaskan kosmetik atau pemutihan gigi supaya tak menambah kemudaratan seperti ngilu atau gigi semakin rapuh.
(2) Sunnah Dalam Pergigian
Nona: Apakah yang dimaksudkan dengan rawatan pergigian berasaskan sunnah?
Dr. Anita: Selain daripada masalah kesihatan, para pengamal kesihatan gigi seharusnya mendapatkan bimbingan ulama sebelum menjalankan sebarang rawatan mencantikkan gigi.
Secara saintifiknya, saraf-saraf dan kapilari dalam mulut saling berkait dengan otak manusia. Betapa penjagaan dalam mulut dengan bahan-bahan tampalan yang berkualiti seperti emas dan perak sangat ditekankan oleh Baginda Nabi. Emas adalah bahan asas pergigian yg sangat utuh dan stabil sepanjang zaman.
Ada alim ulama beritahu saya, betapa sakaratul maut itu sangat sakit tapi sunnah bersugi itu dapat mengurangkan kesakitan roh keluar dari jasad semasa ia ditarik oleh malaikat Izrail.
Dengan itu disunnahkan umat Islam bersugi dan Rasulullah SAW bersabda, ‘Jika tidak membebankan umatku, setiap waktu nak bersolat disunnahkan untuk bersugi dahulu’. Malah Rasulullah sendiri bersugi bersungguh-sungguh sebelum wafat.
Nona: Maksud bahan tampalan berkualiti?
Dr. Anita: Yang mengikut sunnah dan lebih afdal. Ia seharusnya tahan lama kerana jangka hayat gigi kekal adalah seumur hidup.
(3) Hukum Memutihkan Gigi
Nona: Komen Dr. Anita tentang rawatan pemutihan gigi, seperti yang terang-terangan dibuat oleh ramai wanita sekarang?
Dr. Anita: Kalau gigi tersebut sudah non-vital (mati atau jadi hitam), diharuskan untuk kita memutihkannya agar sekata dengan warna gigi yang lain. Sebatang dua gigi yang hitam itu mungkin terjadi akibat trauma (terhantuk waktu kemalangan) dan ia boleh diputihkan bagi menutup aib.
Perubahan warna gigi dan masalah gigi hitam sering berlaku akibat kecederaan
Tapi kalau nak putihkan gigi yang sedia elok, dari segi akidah boleh dianggap salah. Saya rasa konsep kecantikan juga banyak mendorong orang kita nak buat gigi nampak putih dan tersusun. Mudaratnya gigi akan mula ngilu yang keterlaluan sebab bahan pemutih tu merosakkan tisu-tisu lembut dan keras dalam mulut kita.
Kalau untuk kecantikan atau sekadar ‘menambah keyakinan diri’, hukumnya haram kerana kita mengubah kejadian asal ciptaan Allah SWT. Wallahualam.
(4) Penggunaan Cecair Kumur
Nona: Pendapat Dr. Anita tentang sejauh mana keberkesanan cecair kumur?
Dr. Anita: Saya lebih syorkan pesakit-pesakit saya kembali pada sunnah. Berkumur air garam banyak-banyak selepas memberus gigi. Jika perlu, hentikan guna cecair kumur di pasaran tu.
Sebenarnya dulu saya pernah cuba pakai. Tapi saya perasan karang gigi tumbuh lebih cepat dan lidah rasa berat. Jadi saya berhenti gunakan cecair kumur tu sampailah buka klinik sendiri. 10 tahun pertama perkhidmatan saya, saya dapati jika gigi pesakit goyang dan gusi bengkak, 90% daripadanya mempunyai sejarah penggunaan cecair kumur.
Jadi saya nasihatkan mereka berkumur dengan air garam biasa dan bila pesakit datang semula, alhamdulillah majoriti gigi-gigi yang goyang dan gusi lembut tu kembali pulih.
Satu lagi petua yang baik, gunakan berus gigi lembut dengan ubat gigi halal (sebesar biji kacang hijau saja) dan celup sedikit garam halus (maknanya di singki tempat kita memberus gigi tu dah siap sebekas kecil garam halus). Sambil berus gigi, sambil kita ambil keberkatan sunnah. InsyaAllah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ketika berlangsungnya Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, busana warna putih gading yang disarung Yang Amat Mulia Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah nyata mencuri tumpuan tetamu. Semuanya kerana persalinan puteri bongsu KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini mengingatkan kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.
Meskipun usia busana tradisi berkenaan sudah lebih tiga dekad namun ia masih terletak cantik tatkala Tengku Puteri Jihan memakainya dan yang lebih penting memiliki nilai sentimental tersendiri.
Mana tidaknya, persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulaman renda Perancis itu merupakan persalinan bondanya, Tunku Azizah ketika menyaksikan pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada November 1984.
Tengku Puteri Jihan (kiri)Nostalgia Tunku Azizah mengenakan persalinan sama ketika pertabalan ayahanda Almarhum Sultan Iskandar
Maknanya sejarah sama kembali berulang. Dahulu, Tunku Azizah yang menyaksikan ayahanda ditabalkan Yang di-Pertuan Agong… tapi kini giliran Tengku Puteri Jihan pula mengulangi momen serupa dan memakai persalinan sama bonda tersayang!
Tengku Puteri Jihan yang berusia 17 tahun berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri. “Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah dan anakanda-anakanda baginda, diberi tanggungjawab mengubah suai saiz baju kurung Tunku Azizah itu untuk disesuaikan dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.
Lensa kamera pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 turut berjaya merakam kelibat putera dan puteri baginda. Kelima-lima puteri baginda tampak cukup manis dengan persalinan baju kurung tenun Pahang dan dihiasi dengan selendang putih serta mahkota di kepala.
Istimewanya, persalinan indah yang dipakai adalah dari Tenun Pahang Diraja yang ditenun oleh banduan-banduan terpilih dari Penjara Penor dan Penjara Bentong.
Manakala putera-putera baginda pula segak menggayakan busana songket dengan corak jalur menegak.
Istiadat yang berlangsung dengan gilang-gemilang penuh tradisi Raja-raja Melayu itu secara rasmi menandakan pemerintahan Sultan Abdullah sebagai Ketua Utama Negara untuk tempoh lima tahun.
Sumber: BERNAMA / Kredit foto: Instagram Malaysia Royal Family & Istana Negara
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!