Pereka asal Australia menjadi antara pereka fesyen jemputan ketika Kuala Lumpur Fashion Week 2017 berlangsung. Mempersembahkan koleksi resort 2018, Yousef banyak bermain dengan fabrik labuci kilau berkilat. Biarpun menggunakan fabrik yang kelihatan sarat, pereka fesyen ini bijak dalam memotong helaian fabrik agar setiap satu rekaan nampak lebih relaks dan tidak keterlaluan ditambah pula dengan peragawati yang tidak memakai sepatu ia seolah-olah memberikan satu simbolik yang memegang erat konsep rekaannya yang bersifat bebas.

IKLAN
Rekaan yang ringkas dengan potongan bias menjadikan gaya keseluruhan tidak nampak sarat walaupun penuh kilau labuci dan bulu burung kasawari

 

Boleh dikatakan, rekaannya seperti memberikan gaya bebas disuntik ciri ala futuristik dengan potongan tidak simetri. Sesekali pada beberapa rekaan potongan cut out memberikan gaya sensual dalam nada yang cukup chic.

Menyerlahkan lagi kemewahan, adunan perincian bulu kasawari diletakkan pada sesetengah rekaan seperti gaun labuh dan juga blaus tali spageti. Warna-warna yang diterapkan untuk koleksi ini lebih bersifat aura dramatik dengan pemilihan rona ungu gelap, merah hati, hijau gelap, hijau zaitun, coklat dan juga merah jambu kusam.

Yousef Akhbar

Terdapat satu perincian yang menarik mata penulis iaitu penyambung kayu yang digunakan untuk menyambung pabrik. Ia kelihatan seperti pengait kayu yang diskru pada baju, pelik tetapi menjadi dan ia menjadikan rekaan lebih istimewa.