Setiap kali melihat buah tamar, saya teringat satu peristiwa benar ini. Ketika itu saya bertanggungjawab membimbing sejumlah pegawai dan kakitangan sebuah syarikat korporat terkemuka menunaikan umrah haji.

Mereka ni masih muda-muda belaka dan ada juga yang kebaratan, sama ada dari percakapan mahupun gaya penampilan. Antara yang turut serta dalam rombongan itu ialah seorang wanita muda berpangkat eksekutif yang berkahwin dengan seorang lelaki mat saleh.

IKLAN

Suami wanita itu, biarpun saudara baru tapi nampak bersungguh-sungguh menyelami ajaran Islam. Orangnya taat beribadah, sopan dan sangat menghormati orang lain.

Namun berbeza dengan isterinya. Saya tak mahu menyentuh soal amal ibadat, tapi tentang sikap dan perwatakan beliau yang sangat jauh berbeza daripada suami.

Wanita cantik ini biarpun lahir dan dibesarkan sebagai orang Melayu, tapi nampak sangat kebaratannya apabila berbicara. Bunyinya memang seperti orang Inggeris bercakap Melayu.

Mungkin kerana sudah terlalu lama tinggal di negara Barat, dia sudah terbiasa dengan makanan Barat. Oleh itu tak hairanlah dia langsung tak menyukai makanan yang dihidangkan kepadanya, terutama buah tamar dan air zamzam.

Kebetulan peristiwa ini terjadi pada Ramadan lalu, oleh itu tamar dan air zamzam menjadi makanan utama untuk berbuka puasa.

Maka riuhlah mulut wanita ini membebel-bebel menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap buah dan minuman tersebut.

“Hisy, apalah buah dan air ini yang dihidangkan untuk kita?! Macamlah tak ada makanan lain. I ni memang tak suka buah tamar! Tak boleh terima tekak ni tau,” sungutnya tak henti-henti.

Keluhan ini pasti didengari setiap kali tiba waktu berbuka. Nampak sangat dia tidak gemar pada makanan dan minuman ini sehingga langsung tak mahu menjamah hidangan di depan mata.

Selalunya kami nampak dia membeli makanan sendiri untuk berbuka puasa. Teman-teman yang berada dalam rombongan itu sudah faham benar dengan perangainya sampai mereka pun malas melayan sungutan tersebut.

Ramadan di Tanah Suci memang meriah, jauh lagi meriah daripada di tempat kita. Langsung tidak timbul isu pembaziran, sama ada dari segi masa mahupun duit. Rezeki memang melimpah ruah.

Masa itu juga, orang-orang kaya Arab mengambil kesempatan untuk bersedekah dengan cara memberi makan kepada orang ramai yang akan berbuka puasa.

IKLAN

Mereka selalunya akan menempah ruang di dalam masjid untuk menyediakan juadah berbuka. setiap petang, setiap saf di masjid akan terhidang juadah untuk berbuka puasa bagi jemaah yang berbuka di masjid.

Hidangan selalunya terdiri daripada tamar sebagai hidangan utama disertai dengan air zamzam, dadih dan roti. Selain itu, remaja-remaja Arab ditempah khas oleh orang-orang kaya itu untuk ditugaskan mempelawa jemaah agar berbuka di saf mereka.

Setiap hari beberapa minit sebelum berbuka, para jemaah akan beramai-ramai ke masjid untuk berbuka. Terasa seronok dan meriah apabila beramai-ramai memilih saf untuk berbuka tetapi wanita muda berpangkat eksekutif tadi tidak merasakan kemeriahan tersebut.

Dia bukan saja selalu lambat tapi juga tidak berhenti bersungut. Suatu hari, entah apa sebabnya wanita itu lebih lambat daripada kebiasaannya.

Nak dijadikan cerita, jemaah yang datang berbuka tersangatlah ramai sehingga melimpah ke luar masjid menyebabkan semua tempat penuh. Ini membuatkan wanita tadi menggelabah dan tak tentu arah.

IKLAN

Maklum sajalah, berseorangan dan tak tahu dimana tempat duduk. Lalu tercegatlah dia sambil meninjau-ninjau tempat kosong.

Lebih malang lagi, dia terlupa membeli makanan pada hari itu. Jemaah yang ada sekadar memandang kosong ke arahnya. Mereka tak pula mempelawa duduk bersama mahupun menghulurkan sedikit makanan ke arahnya.

Tanpa diduga seorang wanita masuk lalu menghulurkan sekotak kecil tamar kepadanya. Eksekutif wanita tadi tanpa teragak-agak terus menyambut pemberian wanita itu.

Dek kerana terlalu lapar, tamar itu dimakannya. Ketika itu dia merasakan betapa lazatnya buah yang selama ini dihina-hina.

Kemudian wanita tersebut terasa sangat haus. Dengan perasaan malu, dia mencapai air zamzam yang tersedia dan diminumnya. Sekali lagi dia merasakan betapa nikmatnya air kosong yang dihinanya itu.

Kejadian tersebut segera menimbulkan keinsafan di hati eksekutif wanita itu. Dia sedar betapa selama ini mulutnya terlalu celupar menghina dan mengeji rezeki yang Allah beri. Dengan penuh rasa rendah diri, dia memohon keampunan dan sejak hari itu, dia amat berhati-hati menjaga mulutnya.

Seperti diceritakan oleh Bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Lembaga Urusan Tabung Haji, Ustaz Haji Daud Che Ngah melalui naskhah Ingatan Dari Kaabah. Norzalina Mohd Alias

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI