Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Ads
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Ads
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Ads
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Foto: LPPKN
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang sangka, juru x-ray pemilik nama Siti Noor Sabrina Sobri yang berasal dari kampung akhirnya berjaya menempa nama gah di seluruh Malaysia apabila dia nekad berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri di bawah jenama MAMASAB Bakery.
Lebih mengagumkan, hanya dengan menjual kek, Sabrina berjaya mencipta fenomena hingga menaut keuntugan jutaan ringgit dna kini bergelar jutawan setelah keenakana dan kualiti premium disetiap potogan kek miliknya menjadi tular di kalangan wargamaya.
Sabrina berkata, semuanya bermula daripada minat menyediakan pastri, antara titik tolak awal bagaiana tercetusnya perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd.
Bermula dengan berniaga di rumah secara kecil-kecilan di Taman Medan, Petaling Jaya (PJ), jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.
Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151 ribu ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpengkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.
“Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan congo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.
“Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.
Sabrina Mula Dari Bawah, ‘Zero Knowledge’ Tentang Perniagaan
“Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar,” katanya.
Jelas Sabrina lagi, nama perniagaannya yang kini dikenali seluruh pelosok Malaysia itu terbit hasil hubungan baik dengan ejen.
“Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.
“Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.
“Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan,” katanya.
Meski Perniagaan Terjejas Akibat COVID-19, Tak Bantutkan Niat Berjaya Dalam Perniagaan
Sabrina pada masa sama tidak menafikan pandemik COVID-19 dua tahun lalu turut membantutkan perniagaannya.
“Lalu terhasilah inisiatif mewujudkan sistem mini hub untuk berniaga secara offline. Selama ini termasuk waktu PKP, perniagaan 100 peratus berpaksikan dalam talian.
“Tapi saya sedar ada ejen yang tidak pandai berniaga secara online. Ada yang segan nak buat lintas langsung atau bercakap depan kamera. Pendek kata skil mereka terbatas.
“Mini hub ini membantu ejen saya berniaga offline dan ia sebagai alternafif. Mini hub ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Sabrina berkata selama ini perniagaannya berpaksikan pemasaran dengan ‘zero cost’.
Namun, kini jenama itu berfikir perlu melaburkan wang untuk terus meningkatkan jualan termasuk menaikkan papan iklan di sepanjang lebuh raya.
“Dalam usaha untuk terus terbang tinggi, kena laburkan sejumlah wang. Pemasaran dengan ‘zero cost’ sudah tidak relevan lagi terutama selepas era pandemik.
“Kami perlu melakukan sesuatu untuk ‘boost’ jualan. Justeru, kami menaja 30 papan iklan bagi master stokis terpilih. Tapi secara keseluruhan ada lebih 200 papan iklan akan dinaikkan bermula hujung bulan ini secara berperingkat.
“Papan iklan ini bukan sekadar dihiasi wajah saya. Tapi wajah ejen juga akan menghiasi papan iklan. Saya percaya kena ada gabungan pengasas dan ejen sebegitu untuk berjaya. Tak boleh muka pengasas saja yang glamor, ejen pun perlu diketengahkan.
“Insya-Allah menjelang 2025, kita nak capai sasaran jualan RM1 bilion ” katanya yang berjaya menghasilkan jualan sebanyak 162 juta ringgit pada tahun 2021.
Untuk rekod artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Namanya mungkin kurang mendapat perhatian umum serta tidak segah penyanyi-penyanyi tersohor tanah air yang lain biarpun sudah sekian lama bertapak dalam industri muzik tempatan. Biarpun terpaksa akur dengan hakikat itu namun jauh di sudut hati Min Yasmin atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz tetap bersyukur dan tidak pernah mengeluh kerana yakin rezeki Tuhan itu luas.
Buktinya, bakat anak jati Johor lulusan International Diploma in Beauty Therapy & Cosmetology London ini dipandang hebat oleh peminat muzik di Filipina. Ternyata, rezeki dan tuah Min Yasmin tidak salah alamat. Segalanya bermula apabila album duetnya bersama penyanyi Filipina, Nikki Bacolod berjudul 2 Voices mendapat sambutan luar biasa di negara tersebut. Ternyata bakat Min Yasmin bukan biasa-biasa kerana ia menerima penghormatan masyarakat luar.
SAMBUTAN LUAR BIASA
“Saya sendiri terkejut dengan penerimaan luar biasa dan penghormatan yang diberikan sehinggalah single berjudul Sa Iyo mendapat tempat di carta Top 10 selama empat bulan di stesen radio nombor satu Filipina. Mereka di sana lebih mengutamakan bakat berbanding rupa. Layanan juga terbaik. Maka, cara saya ‘membeli’ jiwa mereka adalah melalui nyanyian,” ungkap wanita berusia 29 tahun ini. Popularitinya di Filipina melebihi populariti di negara sendiri.
BUTIK JENAMA SENDIRI
“Saya bakal membuka butik pakaian Muslimah berjenama sendiri di Selatan Filipina memandangkan peminat-peminat saya di sana suka dengan penampilan dan apa yang saya pakai contohnya headwrap.
Butik ini tertelak di bangunan dua tingkat. Ruang butik terletak di tingkat atas manakala tingkat bawah ialah restoran makanan halal. Saya sememangnya dibesarkan dalam keluarga yang gemar berniaga.
DIS 04 2017 NONA AMY WANITA CEMERLANG MIN YASMIN
Dari sudut nyanyian pula saya bakal mengeluarkan album berbahasa Melayu solo kedua berjudul Belum Lelah Setia. Kali ini saya mula berjinak-jinak dalam penghasilan lirik lagu. Saya bersyukur kerana suami banyak memberi tunjuk ajar untuk menjadi seorang artis yang versatil. Kami banyak berbincang demi kebaikan bersama.
Semoga perjalanan seni saya di Filipina berjalan lancar. Saya akan berusaha lakukan yang terbaik demi mengharumkan industri seni tanahair di mata dunia. Ini juga salah satu cara untuk saya ‘membeli’ jiwa peminat-peminat Malaysia,” luah Min Yasmin. AMY MOHD
Kredit Foto: Min Yasmin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nama besar dalam industri perkahwinan, NAS GREAT IDEA tidak perlu diperkenalkan lagi. Menjadi sifu dan inspirasi terbaik buat mereka yang terlibat dalam perniagaan ini. Tetapi sejak semenjak MCO melanda, terlihat di sosial media Nas Great Idea telah berubah bidang perniagaan. Daripada Wedding Planner Kayangan kini melibantkan diri dalam perniagaan jual baja.
“Setelah 20 tahun dalam indusri perkahwinan, saya rasa tiba masanya untuk saya mengorak langkah menerokai bidang perniagaan lain agar saya dapat pergi jauh lagi. Ramai mengetahui Nas Great Idea bemula dari bawah sehingga kepada skala yang besar dan mega. Terlalu banyak cabaran dan dugaan saya lalui dalam industri perkahwinan seperti masalah kakitangan, cabaran kemahiran dan kepakaran pekerja yang sukar kita kawal apabila mereka telah mahir dan diambil oleh orang lain.
Dari situ saya mula terfikir, sampai bila saya akan terus hidup begini. Tidak tidur malam, bersengkang mata 3 hari 4 malam dan melayan pelbagai kerenah. Adakah saya akan tua begini?” Pelbagai persoalan kehidupan mula bermain dalam fikiran Nas.
Bila tsunami COVID-19 melanda, banyak aktiviti perniagaan terjejas terutama industri perkahwinan. “Dalam keadaan kita melalui pandemik, bagi saya ada rahmat dan anugerah di sebaliknya. Saya tidak pernah terfikir untuk mengalih bidang sebenarnya.
Tetapi disebabkan keadaan dan pendedahan dalam urusan perniagaan membawa saya melangkah lebih jauh. Semasa pandemik, saya menghabiskan masa bercucuk tanam dan berkebun walaupun pelbagai tanaman saya tidak menjadi. Tiada hasil yang boleh digunakan, tanaman tidak berbuah dan pokok orkid 5 hingga 6 tahun masih tidak berbunga.
Ketika itu juga saya menjual goreng pisang di kawasan perumahan saya dan kulit pisang itu saya ambil, proseskan airnya lalu disiram pada pokok orkid dan tanaman lain. Alhamdulillah, orkid telah berbunga dengan sangat dahsyat. Satu pokok mengeluarkan beberapa tangkai bunga orkid yang meriah, sehinggakan jiran-jiran bertanya itu plastik atau betul.
Sehinggalah saya keluarkan pokok orkid yang digantung di bumbung rumah dan letak di bahagian hadapan untuk mereka dapat merasa dan melihat sendiri kemeriahan bunga tersebut. Dari situlah saya mendapat idea apabila mereka mula meminta formula baja dan sebagainya,” bicara Nas dengan rasa syukur.
“Kalau dulu pendapatan buat pelamin pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad antara RM15,000 ke RM30,000 atau kita boleh pergi lebih jauh kepada RM100,000 hingga RM300,000 tetapi itu pun bukanlah perolehan rezeki yang selalu kita akan dapat. Tetapi dengan membuat perniagaan BAJANAS ini, pendapatannya seperti membuat pelamin setiap hari. Bila saya bertekad untuk melaksanakan perniagaan ini, semua barang-barang pelamin telah saya sedekahkan kepada wedding planner lain.
Saya yakin perniagaan baja ini boleh dikembangkan. Saya mohon izin dan khidmat nasihat daripada mentor, Datuk Wira Dr. Azizan Osman supaya meneruskan perniagaan ini. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan bimbingan beliau, kami telah berjaya melaksanakan dengan jayanya dan mencapai target seperti apa yang dirancangkan.
Bayangkan pada 15 tahun lepas, Bill Gates telah bertukar bidang daripada Microsoft kepada pertanian. Beliau berkata, siapa yang pegang industri pemakanan dia akan pegang populasi. Hukum 100 tahun telah berlaku iaitu pada setiap 100 tahun akan berlaku pandemik, setiap 100 tahun akan berlaku kejatuhan, krisis dan tekanan ekonomi. Jadi apa yang tidak akan terjejas dan terus kekal ialah perniagaan pertanian. Bayangkan tanpa pertanian, ketamadunan manusia tidak akan terjadi,” tegas Nas Great Idea.
Sedikit kata nasihat buat mereka yang masih dalam industri perkahwinan, “Nasihat saya, perlulah berhati-hati kerana industri ini akan terjejas kerana sosio-ekonomi terkesan dengan keadaan yang sedikit tunggang-terbalik. Dan jika anda masih fokus kepada pasaran umum, insyaAllah mampu bertahan.
Tetapi buat mereka yang fokus kepada kumpulan high end, mungkin akan terkesan dengan banyak isu kewangan akan berlaku. Keadaan PKP ini yang mungkin akan berlangsung dalam beberapa tahun, habit masyarakat akan berubah dengan mengadakan majlis perkahwinan yang perlu sahaja bukan buat apa yang mereka inginkan.
Kepada semua rakan-rakan industri cepat-cepat cari jalan keluar dan usaha sesuatu untuk jangka masa panjang. Jalan terbaik, cari perniagaan yang sudah ada founder dan mempunyai produk energi. Jangan jadi founder syok sendiri buat masa sekarang kerana ia boleh membuatkan anda masuk ke lubuk masalah lain, boleh sakit kepala dibuatnya. Lebih baik jadi stokis dan buat bisnes di rumah,” jelas Nas mengakhiri bualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.