FARA FAUZANA Siar Penderitaan Pelarian SYRIA Secara Live! Galas Tugas Duta Bagi Misi Kemanusiaan Musim Sejuk #FaFau4Syria

Kagum! Bukan mudah bagi seorang selebriti popular sepertinya untuk menyertai sebuah misi bantuan kemanusiaan ke negara asing. Namun atas dasar persaudaraan Islam dan Lillahi Taala, Fara Fauzana atau lebih dikenali sebagai Fafau meneruskan usaha murni yang dianjurkan Malaysia Life Line For Syria (MLLFS).

Hasil menandatangani persetujuan menjadi Duta MLLFS bagi tempoh setahun, bekas penyampai radio Hot FM ini turut akan menyertai beberapa lagi misi bantuan akan datang untuk terus menyantuni pelarian Syria yang mendapatkan perlindungan bukan hanya di Turki malah di Jordan dan juga Lubnan.

Telah pun berlepas ke Turki pada 18 Disember lalu, Fafau bersama wakil MLLFS dan Pusat Zakat Pulau Pinang membawa dana bantuan sebanyak RM300, 000 yang diperoleh dari sumbangan orang awam menerusi kempen #FaFau4Syria. Ia termasuk bantuan Pusat Zakat Pulau Pinang berjumlah RM200, 000 dan dijangka pulang ke tanah air pada 26 Disember depan.

Antara bantuan yang akan dihantar adalah set kelengkapan kit musim sejuk, bantuan bahan bakar, makanan, susu bayi dan juga bantuan kepada pusat pembangunan pendidikan anak-anak pelarian Syria serta pusat rehabilitasi mangsa peperangan Syria yang mendapatkan rawatan di sempadan Syria dan Turki.

Di samping itu, sebahagian daripada sumbangan yang dibawa juga akan turut diagihkan untuk meringankan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Syria yang masih berada di Syria seperti di pinggir bandar Aleepo dan juga Idlib. Bantuan ini akan diselia dan diagihkan oleh wakil MLLFS iaitu Organisasi Bonyan.

Menerusi klip video Live yang disiarkan Fafau menerusi Instagramnya @therealfafau, semalam dia sempat meluangkan masa bersarapan bersama anak-anak yatim di Ash Sham Association. Dan malam tadi, Fafau turut bersama seorang pegawai perhubungan awam Organisasi Bonyan iaitu Ola yang juga rakyat Syria berusia 20 tahun.

Ikuti perkembangan semasa Fafau di Instagramnya mahupun Facebook MLLFS. Anda juga boleh menghulurkan sumbangan di www.billplz.com/donateforsyria atau hubungi 03-4141 6732 / 012-2409173.

Buat Fafau, teruskan suntik semangat dan inspirasi kepada semua wanita untuk berjuang ke jalan kebaikan! Syabas

 

 

 

IKLAN
Share