Nama, Noor Faezah Md Elai atau Faezah Elai mula melonjak naik dalam industri hiburan tanah air sejak membintangi drama slot Akasia di TV3 yang berjudul Sutera Maya. Meski pembabitan seninya tidak lagi seaktif dulu, namun penampilan ibu kepada lima cahaya mata ini sering menjadi sorotan dan meraih perhatian!
Sehubungan itu, Pelakon Faezah Elai sememangnya menekankan setiap pemakaian yang digayakan olehnya. Malah, jelasnya makna sebenar fesyen itu terletak pada penampilan setiap individu yang menggayakannya.
Fesyen Tidak Terletak Pada Jenama
Tegasnya lagi, fesyen tidak hanya berladaskan pada sebuah penjenamaan semata-mata, sebaliknya keserasian dan keselesaan pemakai ketika berfesyen adalah antara perkara yang perlu diutamakan.
Bintang jelita anak jati kelahiran Pulau Mutiara ini, turut mempunyai sudut pandang sendiri mengenai cara berpakaian, berfesyen dan menutup aurat.
“Satu perkara yang saya fahami tentang fesyen adalah, ia tidak terletak pada jenama. Anda tidak perlu menyandarkan fesyen pada jenama seperti Prada, Chanel atau Louis Vuitton untuk kelihatan ‘Fashionable’, tetapi semuanya tertakluk bagaimana anda menggayakanya.
“Fesyen bermakna selesa dan berkeyakinan.. Tapi sedih bilamana pemahaman orang kita tentang fesyen, sampai orang luar tengok, keliru yang menggayakan fesyen itu beragama apa.
Ads
“Saya tak bermaksud bila berfesyen perlu menggayakan tudung labuh, pakai jubah, pakai seluar atau skirt, sebab saya tidak menilai orang dari apa yang mereka pakai.
“Islamnya seseorang itu terletak pada Rukun Islamnya, bukan baju dia. Kalau semua tutup aurat sekalipun hingga nampak mata saja.
“Tapi Rukun Islam pun tak penah buat, yang tu bukan islam, setakat pakai jubah dan tudung labuh ke lutut, perempuan arab yang bukan islam pun pakai yang sama,” kongsinya.
Ads
Faezah Elai Ajak Orang Ramai Gayakan Fesyen ‘Patuh Syariah’
Dalam pada itu, Faezah, 38, turut mengajak orang ramai untuk istiqamah berhijab dengan cara yang sempurna dan mematuhi syariah.
“Cuma, untuk yang bertudung tu, bila orang tengok, orang tau hang tu Islam.. tak kisah lah hang lilit tudung macam mana pun.
Ads
“Contoh macam sis, walaupun sis macam Jessica Alba, tapi memang semua tau dah sis Muslim. Kalau Trumph tengok, dia tembak terus. Walaupun langsung tak sempurna cara sis tutup aurat..
“You know what I mean? Jangan salah faham pulak.. Don’t manipulate my words okay.. Moga kita terus istiqamah,” akhirinya.
Untuk rekod, Faezah Elai mula yang mula berhijab sekitar tahun 2015 dan sehingga kini Faezah Elai amat menitikberatkan soal penampilan agar selari dengan imejnya sebagai seorang muslimah.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Detik kehilangan arwah bapa menjadi titik tolak kepada perubahan dalam hidup wanita berusia 30-an ini. Miesya Yunus atau mesra digelar sebagai Miesya, seorang yang pandai berdikari.
Walaupun dilahirkan sebagai anak bongsu namun Miesya tegas dengan diri sendiri serta tidak bergantung harap kepada keluarga. Kini Miesya mampu menarik nafas lega setelah segala susah payahnya selama ini terbayar apabila berjaya memiliki empayar perniagaan sendiri iaitu Miesya Yunus Holding Sdn Bhd.
Miesya juga bergelar perunding imej dan penjenamaan korporat, jurucakap profesional, tenaga pengajar dan aktivis NGO sekaligus dia telah berjaya menunaikan janjinya terhadap arwah bapa.
BERKAT DOA
“Alhamdulillah, kejayaan saya hari ini semestinya dengan izin Allah SWT. Kedua, berkat doa dan redha ibu saya. Selepas arwah bapa meninggal saya berjanji pada diri sendiri mahu berjaya yang luar biasa agar dapat menjaga ibu seperti mana arwah abah yang ‘pergi’ ketika umur saya 18 tahun.
Sepanjang hayatnya, arwah abah sangat memuliakan ibu dan nenek. Saya anggap arwah abah hero keluarga selain mentor dan sahabat baik saya. Kami memang suka berbual macam-macam isu bersama,” kongsi Miesya yang memiliki darah campuran Melayu, Jawa, Arab dan Pakistan.
Bagi Miesya setiap perkara yang dilakukan haruslah bermula dengan niat yang ikhlas sebagai ibadah kepada Allah SWT. Hati akan menjadi lebih tenang, minda juga akan lebih mudah untuk bekerja serta mengawal perjalanan hidup.
CABARAN
“Apa yang boleh saya katakan, perjalanan hidup saya tak semudah orang lain. Keindahan hari ini hadir selepas saya melalui pelbagai cabaran. Untuk memiliki sesuatu yang berharga memerlukan pengorbanan dan keikhlasan.
Dia boleh bagi kita kejayaan Dia juga boleh ambil semula apa jua milik kita sekelip mata. Jangan susah hati jika diuji kerana ujian Allah datang untuk insan-insan yang terpilih. Sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT. A positive vibes will attract a positive energy!” ungkap Miesya.
Perjalanan hidupnya yang cukup mencabar menjadi salah satu faktor Miesya aktif sebagai aktivis sosial sehingga membentuk siapa dirinya hari ini. Bergelar anak yatim juga membuatkan Miesya sedar bahawa ramai lagi yang senasib sepertinya mampu berjaya.
“Melalui platform sukarelawan saya mampu membentuk kepimpinan diri yang kuat. Selain itu, berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sedikit ini semoga ia menjadi infak buat mereka yang memerlukan,” bicara Miesya.
IMPIAN
“Saya mengimpikan untuk membina syarikat yang auto run supaya pada usia 45 tahun saya boleh memberikan perhatian sepenuhnya terhadap diri serta keluarga. Ketika ini juga saya berharap dapat mendalami ilmu Al-Quran setelah empayar perniagaan kukuh dan memberi manafaat kepada ummah.
Impian saya seterusnya ialah untuk membina ‘istana’ indah serta surau buat ibu. Saya juga berharap Miesya Holding Sdn Bhd menjadi hub one stop centre demi pembangunan insaniah,” kongsi Miesya.
NASIHAT BUAT WANITA
“Wanita tanpa ilmu dan iman yang kuat adalah wanita yang rugi. Kita tidak akan mampu berjaya jika tiada ilmu. Dan, kita tidak akan mampu menghadapi cabaran kalau pegangan agama rapuh.
Semoga seluruh wanita mampu menjadi srikandi hebat yang berjuang untuk keluarga, agama, bangsa dan negara. Jangan pernah berputus asa pada rahmat Allah SWT yang sangat luas. Apa yang kita ungkapkan, rasa dan fikir akan mejadi doa harian kita,” akhiri Miesya.
Kredit : Instagram Miesya Yunus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita perceraian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos dengan isterinya MacKenzie telah mendapat perhatian seluruh dunia. Usia perkahwinan menjangkau 25 tahun itu musnah di tengah jalan lantaran kecurangan suami. Jeff Bezos dikatakan bermain cinta dengan Lauren Sanchez yang pernah mengacarakan program “So You Think You Can Dance?”
Namun, MacKenzie tidak perlu meratapi nasib dan boleh move on serta tersenyum bangga dengan perceraian tersebut kerana menjadi wanita TERKAYA di dunia. MacKenzie menerima separuh daripada harta kekayaan mereka yang mencapai USD140 bilion (RM574 bilion).
Pembahagian harta sama rata ini terjadi kerana pasangan ini dikhabarkan tidak memiliki perjanjian pra perkahwinan. Mengikut undang-undang di Amerika Syarikat semua aset yang diperoleh sepanjang perkahwinan atau harta sepencarian ini perlu dibahagi sama rata jika berlaku perceraian kecuali jika mempunyai perjanjian pra perkahwinan.
Hasil pembahagian harta yang dimiliki oleh MacKenzie ini akan mengambil alih posisi wanita terkaya di dunia yang selama ini dipegang oleh Francoise Bettencourt Meyer, 65 tahun, yang merupakan pewaris perusahaan kecantikan global, L’oreal. Kekayaan Meyers mencapai sebanyak USD46.6 bilion (RM191 bilion).
Siapakah wanita yang bernama MacKenzie ini? MacKenzie S. Tuttle lahir pada 7 April 1970 di San Francisco, California, Amerika Syarikat. Ayah Mackenzie merupakan seorang Perancang Kewangan manakala ibunya seorang suri rumah tangga sepenuh masa.
MacKenzie merupakan graduan Universiti Princeton yang memiliki Sarjana dalam Bahasa Inggeris. Beliau merupakan pelajar yang pintar dan menjadi kesayangan pensyarah. Jeff Bezos juga merupakan graduan dari universiti yang sama tetapi mereka tidak pernah berjumpa sewaktu zaman belajar mereka.
Mereka berdua bertemu dan bercinta di tempat kerja, sebuah syarikat pelaburan. Setelah tiga bulan mengenali hati budi masing-masing pasangan ini sepakat untuk bertunang dan seterusnya berkahwin pada tahun 1993. Sebaik sahaja mengikat tali perkahwinan, Bezos meletakkan jawatannya di sebuah syarikat pelaburan di New York dan mendirikan perniagaan sendiri yang diberi nama Amazon dalam garaj rumah sewaan mereka. Kehebatan perniagaan atas talian Amazon ini telah meningkatkan harta mereka hanya dalam sekelip mata. Kini Amazon terkenal di seluruh dunia.
Pasangan ini mempunyai empat orang anak, termasuk tiga orang lelaki dan seorang anak angkat perempuan yang berasal dari China. Anak sulung pasangan ini berusia 18 tahun. Pasangan ini terdahulu banyak memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan seperti pernah menghulurkan USD2 bilion (RM8 bilion) kepada keluarga gelandangan untuk membantu anak-anak mereka memulakan persekolahan.
Januari tahun lalu pasangan ini juga telah menyerahkan USD3 juta (RM12 juta) untuk membiayai biasiswa untuk pelajar sekolah menengah Amerika Syarikat dengan status Deferred Action for Chilhood Arrival (DACA), sebuah program era Obama yang melindungi imigran muda yang dibawa ke Amerika Syarikat secara haram oleh ibu bapa mereka.
MacKenzie telah mengumumkan akan mendermakan separuh daripada harta kekayaannya untuk tujuan kebajikan. Kuat sungguh semangat wanita yang berusia 50 tahun ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum betul dengan wanita hebat ini, YM Tengku Khairul Adena Tengku Abdullah. Biarpun berstatus ibu tunggal namun wanita berusia 49 tahun dan berketurunan kerabat Perak dan Selangor ini seorang yang sangat humble dan berjiwa mulia. Mesra disapa sebagai Tengku Adena, seorang yang sangat berjiwa prihatin serta memahami permasalahan yang dihadapi oleh insan sekeliling.
Kerana tanggungjawab dan amanah terhadap sesama insan, Tengku Adena sering turun padang membantu golongan susah dan dhaif tanpa mempedulikan beza status antara dirinya dan mereka. Bagi Tengku Adena, amalan sedekah menjadi asbab seseorang itu berjaya dalam kehidupannya malah lebih berkat. Jika diizinkan Allah SWT, ia juga menjadi jalan untuk kita ke syurga. Tengku Adena merupakan ibu kepada seorang anak perempuan yang kini sudah pun berkahwin. Tengku Adena kini aktif dalam dunia perniagaan dan pertubuhan NGO dalam melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan.
“Antara kenangan paling memberi kesan kepada saya ialah misi bantuan ke tempat yang didiami oleh keluarga dhaif. Saya bersyukur dan terharu kerana mendapat support daripada pertubuhan-pertubuhan NGO lain yang sudi membantu. Dalam misi tersebut saya tak sangka ada lagi insan yang duduk di bawah jambatan. Ada 3 keluarga di situ, duduk di rumah kayu dan tepi sungai. Saya terkedu dan ia benar-benar mengusik jiwa saya. Pada mulanya mereka menolak untuk dibantu kerana tak mahu meminta-minta.
Perjumpaan seterusnya saya pujuk lagi akhirnya mereka terima. Ketika itu ramai pihak yang tampil hulur bantuan antaranya individu, syarikat dan NGO. Bagi saya kena belajar redha baru hati tenang. Sangka baik, Allah SWT akan bagi yang baik-baik,” kongsi Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Ekosistem Malaysia (MEEDC), serta Presiden Srikandi ini. Tengku Adena merupakan penerima Anugerah Ikon Usahawanita Selangor dari Dewan Ekonomi Usahawan Malaysia.
Satu lagi rahsia ketenangan dan kejayaan Tengku Adena ialah dengan sentiasa bersedekah. “Jangan berhenti bersedekah. Saya didik diri sendiri, setiap hari sebelum tiba ke pejabat saya akan singgah surau atau masjid berhampiran untuk bersedekah. Bermula dengan nilai yang kecil, kemudian naikkan sedikit demi sedikit. Yang penting ikhlas,” kongsinya.
AKTIF BERSAMA NGO
“Ada 3 perkara dalam kehidupan yang saya buat dan ia satu cabaran dari segi masa. Tetapi saya belajar dalam proses menjadi ibu tunggal dan seorang usahawan. Sambil tu aktif dalam pertubuhan NGO. Itu semua adalah proses. Alhamdulillah, ia satu proses pembelajaran yang mengajar saya erti hidup yang sebenar.
Dalam kesungguhan, kekuatan dan semangat pada awalnya memang saya rasa sangat mencabar. Bergerak sendiri, buat semua sendiri tetapi itu satu pengalaman yang sangat hebat. Saya salute dengan ibu-ibu tunggal di luar sana yang mampu bergerak sendiri, bersama anak-anak lagi. Saya ini anak seorang saja itu pun dah berkahwin, tapi bayangkan ibu-ibu tunggal yang anak ramai, bagaimana mereka survive, nak tanggung beban kiri kanan nak fikir anak, diri sendiri dan mungkin ada juga yang tak dapat masa untuk diri sendiri. Dalam dunia ni setiap orang ada cabaran dan chapter kehidupan masing-masing.
Saya redha dengan perjalanan hidup sebagai seorang ibu tunggal. Kena betul-betul uruskan masa, lagi-lagi saya seorang yang sentiasa nak sibukkan diri. Kena selalu positif. Alhamdulillah anak dah kahwin jadi beban tugas sebagai ibu tu dah lepas. Saya ada masa untuk diri sendiri. Bila berkecimpung dalam dunia korporat saya ada team, segala urusan dipermudahkan. Saya juga ada masa untuk NGO. Saya memang aktif dan banyak NGO yang saya dah sertai.
Kekuatan tu Allah yang bagi dan Dia permudahkan segala perjalanan. Kadang saya terfikir juga, macam mana saya mampu buat semuanya. Bersendirian tapi boleh buat. Jadi, kena kembali kembali kepada fitrah. Dia yang cipta masa dan bagi masa kepada kita. Jadi manfaatkan masa tu dan letakkan Allah SWT sebagai prioriti. Itulah kekuatan dan semangat Allah SWT kurniakan untuk saya.
Jangan bergantung kepada manusia kerana ia asbab saja di dunia. Sejak pandemik ni lagi banyak masa yang saya ada bila stay at home. Pagi ke malam tu kena penuhkan dengan benda bermanfaat. Untuk urusan NGO saya tak perlu keluar sebab boleh online. Jadi di rumah saya juga sibuk berhubung dengan usahawan-usahawan seluruh Malaysia.
KEPUASAN BUAT KEBAJIKAN
Bila kita sedar dan belajar itu adalah nikmat, belajar bersyukur. Bila tengok orang susah baru kita sedar, ada yang tidurnya tanpa tilam tapi mereka tetap bersyukur. Kita jangan asyik merungut atas segala kekurangan. Kita kena muhasabah diri dan menghargai orang sekeliling kita terutama keluarga. Jangan letakkan semua kesalahan ke atas orang lain. Kepuasan dalam membuat kebajikan tu membuatkan kita rasa bahagia, gembira dan tenang sebab kita dapat buat orang tersenyum.
ISU KETELUSAN NGO
Saya akui, pertubuhan NGO ni adakala dipandang serong, dikatakan tak telus, ambil kesempatan dan sebagainya. Isu-isu ni sebenarnya dah lama ada dan ada segelintir yang tak ikut perlembagaan yang ditetapkan dalam NGO. Disebabkan golongan segelintir inilah yang menyebabkan NGO lain mendapat tamparan. Tapi yang telus pun ada banyak. NGO ada etika dan perlembangaan, tak boleh buat sesuka hati. Kerana dalam NGO ada audit. Jadi niat awal tu kena tetapkan untuk apa. Bukan mudah kerana ia satu tanggungjawab. Kena ada kesatuan hati.
Alhamdulillah NGO yang saya bawa ini on track sebab saya dah ada pengalaman. Saya akan lihat pada setiap portfolio NGO yang mana ada misi, visi dan niat membantu itu yang saya akan tetap bersama. Kalau ada yang untuk kepentingan diri, tiada tindakan dan hasil saya akan ‘angkat kaki’ dan ini pernah berlaku. Ini sangat buang masa kerana saya seorang usahawan jadi masa tu sangat penting. Kalau betul-betul berjiwa NGO, kena bersedia untuk korbankan masa, tenaga dan wang ringgit. Bila NGO bergabung mereka tak akan sewenangya buat benda yang tak betul. Bila bergabung bermakna mereka ada kesatuan hati untuk capai matlamat bersama.
Kini, saya dilantik sebagai Presiden Pertubuhan Pusat Data Usahawan Ekosistem Malaysia (MEEDC). Ia ditubuhkan tahun lalu di saat bisnes terkesan semasa PKP. Ramai usahawan yang rasa down dan putus asa kerana bisnes dah nak tutup. MEEDC nak bantu usahawan dengan kepakaran dan connection yang kami ada. Kami nak wujudkan komuniti usahawan bersama-sama kami sebab kita tak boleh bekerja dan berniaga sendirian. Termasuk mendidik mereka agar ada kesatuan hati dan belajar ilmu yang benar, jelas dan tepat.
Berniaga adalah untuk progres dan diwarisi. Kita tak mahu mereka berniaga sekadar untuk sara diri. Kita rakyat Malaysia, dan Bumiputera Islam kena jadi usahawan Muslim yang berjaya. Itu yang saya tekankan dalam MEEDC sebab nak wujudkan ramai lagi usahawan Muslim yang berjaya. Saya nak lahirkan lebih ramai ‘Ebit Lew’ dalam MEEDC ni agar kita menjadi hartawan dan dermawan. Dengan itu kita dapat menderma. Bila semua Bumiputera Islam ni dah maju kita dapat membantu dalam kebajikan.
Di MEEDC kami memang ada buat pendidikan keusahawanan dan kursus agar mereka dapat kenalpasti di mana level mereka seterusya mengembangkan lagi bisnes mereka. Kami sentiasa memantau, sentiada berikan ilmu dan idea. Kena ada exit plan juga dalam bisnes, contoh dari Enterprise, Sendirian Berhad, dan Berhad. Antara projek sasaran kami ialah mengadakan Pusat Khidmat Usahawan di setiap wilayah seluruh Malaysia, dan SPV pembukaan Grocer Mart setiap negeri seluruh Malaysia.”
Kredit foto: Instagram @tengkuadena_official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.