
Bahang minggu fesyen kini terasa! Dalam dunia di mana Fesyen, Fantasi, Rakan berkumpul, semua orang dijemput ke perjalanan ubah suai ini, di mana impian fesyen pemain akan bertembung.
Fashion Dream menampilkan lebih daripada 10,000 pilihan pakaian untuk dipilih. Pemain boleh mencipta penampilan unik mereka sebagai bidadari halus, diraja elegan, ataupun polis wanita bandar.
Yang menariknya, aplikasi ini boleh dijadikan salah satu ‘tool’ untuk anda bermain dengan imaginasi serta kreativiti anda, dan mungkin suatu hari nanti anda boleh menjadi seorang pereka fesyen terkenal!
Dalam pelbagai peraduan pentas peragaan, pemain boleh bersaing dengan pemain lain untuk menjadi peneraju terkemuka dalam industri fesyen.
Memandangkan semuanya di hujung jari, dengan semua pilihan fesyen, saiz permainan hanya 200M, menjadikannya mudah diakses dan serasi dengan hampir semua jenis telefon mudah alih.
Bagi pemain yang mencari perjalanan ubah suai untuk menjadi terkenal, Fashion Dream memberikan akses mudah bagi sesiapa yang ingin merealisasikan visi fesyen mereka di luar imaginasinya.
Untuk maklumat lanjut, pastikan anda mengikuti laman web Fashion Dream rasmi, atau pada platform media sosial yang berkaitan Facebook, Instagram, Twitter,dan Discord. Aplikasi ini boleh dimuatturun di Google Playstore dan Apple App store.
Kredit foto: Getty Images
Elak Minuman Berkarbonat Jika Enggan Gigi Rompong Sebelum Usia!

Sebut sahaja air berkarbonat pasti kita semua tidak kira sama ada dewasa mahupun kanak-kanak akan teruja dan tidak sabar untuk membasahkan tekak dengannya. Walaupun sudah acap kali dilaungkan pada umum akan kandungan yang terdapat di dalamnya bakal membawa kesan negatif, namun masih ada yang memandang enteng mengenai isu ini.
Sememangnya mulut mengandungi bakteria semula jadi dan bakteria ini akan memakan gula serta membentuk asid yang boleh membahayakan gigi. Jadi, pengambilan minuman berkarbonat yang mengandungi kandungan gula yang agak tinggi akan menyumbang kepada obesiti sekali gus mendedahkan pengguna kepada kerosakan gigi yang serius.
Untuk rekod, minuman berkarbonat juga mengandungi asid fosforik, asid sitrik atau asid karbonik yang boleh menghakis enamel gigi. Walaupun kalsium dalam air liur berfungsi untuk menguatkan kembali permukaan gigi selepas terdedah kepada sejumlah kecil asid yang menghakis, tetapi dengan peningkatan minuman berkarbonat, hakisan pada permukaan gigi tetap akan berlaku.
Antara penyakit lain yang memudaratkan hasil pengambilan air berkarbonat ialah penyakit gastroesopaheal reflux atau lebih dikenali sebagai pedih ulu hati. Kebiasaannya ia akan menyerang pada waktu malam. Jangan tidak tahu, ginjal anda juga mungkin akan mengalami kerosakan seterusnya mengurangkan kekuatan tulang, menyebabkan sakit pada rongga hidung dan sinus serta kerosakan gigi seperti karies gigi dan erosi pada permukaan gigi.
Kerosakan gigi akibat daripada minuman berkarbonat akan bertambah teruk jika ia tidak dirawat dengan segera. Kanak-kanak dengan masalah karies teruk biasanya mempunyai berat badan yang kurang dari ideal, dan selepas rawatan gigi reput terdapat pertambahan berat badan lebih cepat dan peningkatan dalam kualiti hidup mereka lebih ketara. Ini mungkin disebabkan oleh pengurangan pengambilan makanan kerana sakit dan menjejaskan kuantiti dan kepelbagaian makanan yang dimakan .Karies gigi juga menyebabkan keradangan kronik pada pulpa gigi dan menyebabkan abses. Ini diketahui akan menyekat pertumbuhan melalui laluan metabolik dan mengurangkan hemoglobin.
Tip Amalan Penjagaan Gigi Yang Boleh Diamalkan:
- Gosok Gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.(Masa terbaik untuk memberus gigi adalah selepas makan. Pilih berus gigi yang mempunyai kepala kecil untuk akses yang lebih baik untuk gigi belakang)
- Gunakan ubat gigi berfluorida. (Fluorida membantu menguatkan enamel gigi dan mengurangkan risiko kerosakan)
- Flos gigi setiap hari.(Gunakan gerakan menggergaji dengan perlahan dan lembut sehingga flos masuk ke celah gigi.
- Hadkan minuman berasid seperti minuman ringan, kordial dan jus buah-buahan.
- Elakkan daripada menggunakan gigi anda untuk apa-apa selain daripada mengunyah makanan. Jika anda menggunakan mereka untuk memecahkan kacang, keluarkan penutup botol atau merobek pembungkusan terbuka, anda berisiko untuk memecahkan gigi anda.ROSMAHIDAYUABUSAMAH
“Tolong, Bos Saya Macam Singa Lapar… Garang!” Kalau Anda Seorang LADY BOSS, Please Baca Ni!

Perasaan amarah memang ada dalam diri setiap individu. Dengan pelbagai tekanan hidup yang dihadapi membuat perasaan marah mudah meluap dalam diri.
Tambahan bagi mereka yang berkerjaya dan memikul tanggungjawab yang berat di pejabat, beban masalah lain sudah cukup untuk menjadikan kita seorang yang mudah marah.
Namun, perlu diingat bahawa sikap pemarah yang melampau bisa memusnahkan kerjaya anda. Oleh itu adalah penting bagi anda belajar mengawal kemarahan untuk menjadi orang yang berjaya.
Kesan Amarah Terhadap Kerjaya
- Sikap marah yang tidak dikawal akan menjejaskan hubungan sesama rakan pejabat. Tugasan kumpulan sukar berjalan lancar akibat masalah komunikasi yang timbul daripada sifat pemarah yang kurang menyenangkan rakan sekerja yang lain. Akibatnya, tugas yang dipertanggungjawabkan tidak mendapat hasil yang sempurna.
- Untuk menjadi ketua yang berjaya, anda memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pekerja bawahan. Namum sekiranya lagak anda bak ‘singa lapar’, anda hanya mencipta rasa takut staf terhadap anda, bukan rasa hormat kepada seorang ketua. Kerja yang dilakukan oleh pekerja anda mungkin bukan dengan perasaan ikhlas. Malah yang lebih teruk, mereka hanya bekerja seperti melepas batuk di tangga.
- Urusan dengan pihak ketiga, misalannya pelabur ataupun pelanggan boleh terjejas dengan sikap panas baran anda. Anda mungkin akan hilang peluang perniagaan.
- Sebagus manapun kerja anda, ketua anda mungkin berfikir berkali-kali sebelum menaikkan pangkat anda. Pasti mereka kuathir dengan sikap pemarah anda yang akhirnya mengundang masalah dalam menguruskan tugas atau jabatan yang di ketuai.
- Orang yang pemarah, mudah mengalami kemurungan. Jiwa yang tidak tenteram ini boleh membawa pelbagai masalah kesihatan dan akhirnya menjejaskan prestasi kerja anda.
Petua Kawal Marah
(a) Pernafasan
Apabila berada dalam keadaan marah, tarik nafas dalam-dalam selama 10 saat dan helakan sekuat hati. Lakukan untuk beberapa kali sehingga rasa marah anda reda. Walaupun kelihatan mudah namun tetap berkesan. Anda akan rasa lebih lega dan minda lebih rasional dalam membuat setiap keputusan.
(2) Kira dari 1 hingga 10
Ketika marah anda sedang meluap-luap, cubalah mengira 1 hingga 10. Percayalah, kaedah ini pasti akan dapat meredakan tekanan dan mengurangkan kemarahan anda. Walaupun ia tidak dapat memadamkan keseluruhan perasaan marah, sekurang-kurangnya 10 saat ini sempat memberi peluang anda berfikiran dan bertenang. Oleh itu, setiap tindakan yang dibuat tidak dikuasai oleh perasaan.
(3) Luahkan kemarahan anda
Sekiranya seseorang itu telah membuat anda marah, larikan diri anda daripada situasi tersebut untuk seketika. Bercakap dan luahkanlah apa yang terbuku dengan orang yang rapat dengan anda. Sekiranya tiada sesiapa yang boleh pendengar luahan hati anda, cari kawasan yang tiada orang di sekeliling, bercakaplah dengan diri sendiri. Katakan atau menjeritlah apa yang ingin anda luahkan. Ambil masa tenangkan diri sebelum kembali semula kepada situasi tadi.
(4) Mulakan dengan “saya” dan bukannya “awak”
Apabila berlaku pertengkaran, pastikan setiap pernyataan yang anda buat terhadap pihak kedua bermula dengan perkataan “saya” dan bukannya “awak”. Misalnya, “Saya berasa amat kecewa dan hampa!”, bunyinya lebih baik berbanding “Awak mengecewakan saya!”. Pernyataan yang dibuat ini tidak bersifat menyalahkan dan pihak kedua juga tidak akan bersifat defensive. Sikap finger point to each other dapat dielakkan dan seterusnya api kemarahan dapat dikurangkan mahupun dielakkan.
(5) Salurkan tenaga kemarahan anda
Dalam keadaan marah, tenaga yang dikeluarkan adalah berlipat ganda tingginya. Daripada anda bertindak menumbuk dinding, meja, mahupun orang yang anda marah, ada baiknya tenaga itu disalurkan ke tempat yang lebih berfaedah. Berlarilah sekuat hati, pumping, kick boxing, atau apa sahaja riadah sekiranya anda dalam keadaan marah. Lakukan sesungguh hati sehingga anda berasa puas dan letih. Percayalah, ia dapat membantu. Perasaan marah anda akan hilang. Oleh itu, simpanlah tali skipping atau kasut joging di pejabat. Anda pasti memerlukannya nanti.
(6) Menerawangkan fikiran
Ketika marah, pejamkan mata anda seketika. Bayangkan wajah orang yang tersayang, ataupun tempat yang indah. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan untuk anda memejamkan mata, cukup dengan menerawangkan fikiran sebentar. Kaedah ini dapat melarikan fikiran anda daripada perkara yang menimbulkan kemarahan. Anda akan kembali tenang untuk menghadapi situasi tegang.
Tak Ikut Jejak Langkah Keluarga Ceburi Dunia Hiburan, AZRIEL HERMANSYAH Buka Bisnes Guna Wang Sendiri

Diva kesayangan Indonesia, Kris Dayanti baharu sahaja selesai mengadakan konsert solonya “Semesta” yang berlangsung di Jiexpo Kemayoran, Jakarta baru-baru ini. Meskipun anak sulungnya, Aurel mengikut jejak langkahnya dalam dunia hiburan, nampaknya tidak buat anak keduanya, Azriel Hermansyah. Aurel Hermansyah dan Azriel Hermansyah merupakan anak Kris Dayanti dan bekas suaminya, Anang Hermansyah.
Azriel Hermansyah baru saja mengumumkan melibatkan diri dalam bidang perniagaan berkaitan penubuhan pusat kesihatan atau fitness centre yang terletak di BSD City. Anak kepada Anang Hermansyah ini dikhabarkan melaburkan wang tabungannya sendiri untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Berbeza dari kakaknya, Azriel Hermansyah memilih untuk terjun dalam bidang perniagaan.
Baharu menginjak usia 23 tahun, Azriel menunjukkan minat dalam bidang perniagaan dan telahpun memulakan langkah pertama dalam perniagaan yang diusahakan. Ternyata perniagaan yang dipilih oleh Azriel berkaitan fitness dan gymnasium yang dekat dengan jiwa anak muda ini.
Lulusan Ekonomi dari Universitas Bina Nusantara ini ternyata menggunakan ilmu dalam bidang ekonomi yang dipelajarinya untuk berjinak-jinak dalam perniagaan baharunya itu.
“Alasan saya memberanikan diri untuk terjun ke dunia fitness kerana melihat bidang ini untuk satu jangkamasa panjang. Kita memerlukannya dan ia menjadi ekosistem juga buat saya,” ujar Azriel Hermansyah memetik petikan dari channel The Hermansyah A6.
Lebih membanggakan, anak muda ini berani mempertaruhkan simpanannya untuk memulakan perniagaanya ini. Kenyataan tersebut turut disokong oleh Ashanty yang juga merupakan ibu tiri Azriel.
“Azriel menggunakan simpanannya sendiri untuk modal perniagaannya itu. Bayangkan, wang simpanan selama ini boleh dijadikan modal untuk perniagaan,”ujar Ashanty memetik dari laman youtube The Hermansyah A6.
Selain baharu memulakan langkah dalam bidang perniagaan, anak lelaki Kris Dayanti ini juga mempunyai beberapa hobi pilihan antaranya termasuklah fotografi, berkuda, dan bermain mobile game. Selain itu, Azriel juga aktif dalam aktiviti permotoran terutamanya skuter vespa klasik.
Meniti usia 23 tahun, kematangan jelas terserlah pada perwatakan Azriel yang lebih mengutamakan keluarga dalam pelbagai aspek. Meskipun sudah mempunyai teman istimewa, Sarah Menzel, pemuda ini mempunyai hubungan yang akrab dengan kedua ibu bapanya serta adik-adik tiri dari perkahwinan ibu dan bapanya. Malah dia sering menghabiskan masa bersamakeluarga sama ada bercuti mahupun berkumpul bersama keluarga tersayang.