
Dua penyanyi era 80an Francissca Peter dan Siti Fairuz menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk. Francissca Peter yang terkenal dengan lagu Sekadar Di Pinggiran, manakala Siti Fairuz yang popular dengan lagu Bila Rindu Ke Sebut Namamu.

Mereka berdua menerima anugerah tersebut dari Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang berkenan menyempurnakan istiadat pengurniaan kepada dua penyanyi itu serta 99 penerima darjah kebesaran dan pingat Pahang.

Ini bersempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shayang berlangsung di Istana Abu Bakar di Pekan hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga berkenan mencemar duli berangkat ke majlis santapan yang berlangsung selepas istiadat pengurniaan berkenaan selesai.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan pentadbiran negeri diketuai Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Francissca atau nama sebenarnya Luciana Francissca Lucian G Peter berumur 61 tahun dan merupakan anak kelahiran Ipoh Perak, manakala Siti Fairuz Sheikh Mohamed pula lahir di Kuantan Pahang.

Sementara itu, selain mereka berdua antara lain yang mendapat penganugerahan tersebut ialah empat bekas pemain bola sepak dan jurulatih juga menerima DIMP iaitu Dollah Salleh yang kini Ketua Jurulatih Interim Pahang, Zainal Abidin Hassan (Ketua Jurulatih Penang FC), Ahmad Yusoff (Jurulatih Sri Pahang Football Club) dan Ahmad Yunus Mohd Alif.
Sumber: Utusan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Imej Janggut Panjang Dimanipulasi, Nama Jutawan Dato’ Sri Mahadi Tercalar Lepas Kahwin!

Imej janggut panjang dan populariti Dato’ Sri Mahadi Badrul Zaman yang semakin meningkat naik selepas berkahwin, menjadikan beliau ‘modal’ sindiket yang kini berleluasa di Internet.
Suami kepada selebriti dan aktivis kemanusiaan terkenal, Datin Sri Nur Heliza Helmi itu terpaksa membuat sidang media tergempar bagi menjernihkan keadaan selepas namanya tercalar hebat dan menjadi sasaran orang ramai.
“Ramai guna video dan muka saya untuk menipu.” Dato’ Sri Mahadi


Enggan terus dikaitkan, beliau juga terpanggil untuk mendedahkan nama-nama individu serta syarikat skim pelaburan tidak wujud yang aktif memperdayakan orang ramai sejak kebelakangan ini.
Akibat daripada aktiviti tersebut, pihak Dato’ Sri Mahadi dibanjiri panggilan telefon lebih daripada 100 orang mangsa melibatkan kerugian antara RM500 hingga RM10,000.
Aktiviti penyalahgunaan namanya semakin menjadi-jadi apabila ada pihak yang menggunakan akaun media sosial palsu untuk mengaburi mata.
Selain menggunakan identiti dan gambar Dato’ Sri Mahadi, sindiket terbabit turut memanipulasi video serta petikan kata-kata motivasi beliau sebagai modus operandi.
Jutawan yang juga perunding kewangan serta Presiden AUF MBZ Consortium sebelum ini pernah menerima anugerah The Jewels of Muslim World 2019, Youngest Million Dollar Producer serta banyak lagi.

DISEGANI
Kejayaan lelaki berusia 39 tahun dari Pulau Pinang itu sememangnya cukup disegani, khasnya mereka yang berkecimpung dalam bidang kewangan.
Dato’ Sri Mahadi juga rajin berkongsi ilmu dan dakwah Islamik di platform media sosial. Bahkan selepas berkahwin pada awal tahun ini, pasangan yang mesra disapa Abang Dee dan Kak Ja itu kerap berbahagi pengetahuan serta pengalaman bermanfaat kepada followers.
Walau bagaimanapun, situasi yang melanda Dato’ Sri Mahadi kini bukan saja mencalarkan nama serta menjejaskan reputasi baiknya, malah mengganggu urusan syarikat beliau.
Sebagai langkah melindungi perniagaan, pihak syarikat AUF MBZ Consortium telah membuat beberapa laporan polis kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dan difahamkan pihak Suruhanjaya Komunikasi MultiMedia (SKMM) juga turut telah dimaklumkan untuk tindakan lanjut.



Didoakan semoga semua urusan pasangan ini dipermudahkan. Yang penting, dapatkan maklumat pelaburan yang sah daripada perunding yang bertauliah serta usah terpedaya dengan taktik licik di Internet!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“3 Legenda Dalam 1 Gambar” AZIZUL HASNI AWANG Bangga Berkongsi Pentas Dengan NICOL DAVID Dan LEE CHONG WEI

Malam kelmarin berlangungnya majlis penutup temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang diraikan penuh gilang gemilang di mana menyaksikan Johor muncul juara Sukma buat kali pertama selepas mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa pada temasya dwi tahunan itu.

Upacara yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menyaksikan kehadiran jaguh lumba basikal tanah air, Datuk Azizulhasni bersama-sama legenda badminton, Datul Lee Chong Wei serta ratu skuasy, Datuk Nicol David diberi penghormatan untuk menyerahkan trofi kepada atlet terbaik lelaki, wanita serta juara keseluruhan edisi kali ini iaitu kontinjen Johor.

Menerusi hantaran di Instagramnya tadi, Azizul memanjatkan kesyukuran dan berkongsi rasa gembira dan bangga apabila pertama kali berdiri di pentas sama dengan dua legenda sukan negara, Datuk Lee Chong Wei serta Datuk Nicol David.

“Malam tadi saya berkesempatan berkongsi pentas dengan dua lagi legenda sukan Malaysia @nicoldsquash @leechongweiofficial pada majlis penutup Sukma. Sentiasa seronok dapat melihat dua rakan saya ini dan kami sempat berbual bersama.
“Tahniah kepada Johor kerana menjadi juara keseluruhan untuk edisi kali ini dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada negeri lain untuk bekerja lebih gigih dan lebih berdaya saing pada masa hadapan.
“Kepada semua pemenang, syabas, terus bekerja keras dan kekal konsisten. Kepada mereka yang tidak berjaya mendapat sebarang pingat, lakukan perubahan yang diperlukan, jangan berputus asa dan berusaha untuk menjadi lebih baik,” katanya di laman sosial miliknya.

Meninjau ruangan komen, ramai yang menitipkan kata dan rasa bangga mereka apabila melihat ketiga-tiga legenda sukan yang berbeza disatukan dalam satu gambar serta pentas yang sama. Perkara sama turut dikongsi Lee Chong Wei di laman sosialnya yang turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang menyertai edisi Sukma kali ini.
Kredit foto: Instagram @azizulhasniawang
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kudratnya Dikerah, Tubuh Badannya Diratah! Sengsara Balu Miskin Ini Makin Bertambah Sejak DIBELA Lelaki Tak Guna

Dua tahun lalu, penulis bertemu Khatijah, seorang balu yang mempunyai empat orang anak. Suami yang menjadi tempatnya bergantung hidup baru saja diambil Allah.
Penyakit kulit yang serius dihadapi arwah ditanggung selama hampir tiga tahun, memberikan Khatijah satu tamparan hebat kerana dia terpaksa bekerja lebih kuat untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.
Namun, Allah lebih mengasihi arwah. Kehidupan Khatijah diteruskan dengan pelbagai ranjau. Khatijah hilang arah kerana dia tidak tahu bagaimana harus memulakan kehidupan tanpa seorang suami di sisi.
Dia hilang tempat mengadu dan lebih menyakitkan, keluarga mertua menyalahkannya kerana tidak pandai menjaga suami. “Akak hidup dengan anak-anak saja. Rumah ini adalah peninggalan arwah ibu akak tetapi rumah ini pun satu isu juga.
Ia bukan milik akak seorang kerana rumah ini sepatutnya hak adik-beradik lain juga. Selepas ibu meninggal dunia, adik-beradik lain datang dan maki hamun akak, kata akak menumpang.
Kalau nak pindah pun, akak tidak ada duit. Sedangkan untuk makan kami anak-beranak pun kais pagi makan pagi, inikan pula hendak pindah rumah. Akak nak ke mana?”
Pahit untuk menelan kisah Khatijah. Harta pusaka, jika tidak diwasiatkan pasti akan mencetus huru-hara dalam keluarga. Adik-beradik pun boleh berbunuhan!
Baru-baru ini penulis ke kediamannya untuk bertanya khabar. Ya Allah, rumahnya dipenuhi besi-besi buruk! Anak-anaknya pula comot menyambut kedatangan saya.
Tetapi, ada dua orang kanak-kanak lebih kurang usia setahun dan beberapa bulan memeluk erat Khatijah. “Ini anak akak. Tahun lepas akak kahwin dengan abang Udin. Masa akak dalam kesusahan, akak kutip sampah di merata-rata tempat termasuklah kedai besi abang Udin.
Lama-lama kenal, akak pun pinjam duit abang Udin buat beli makanan. Dari situlah abang Udin sudi terima akak sebagai isteri. Mujur abang Udin ada kerana dialah yang banyak ajar akak soal agama.”
Wajah Khatijah seakan tersenyum tetapi senyuman itu penuh maksud tersirat. Matanya melirik ke arah suami yang duduk bersama-sama kami di ruang tamu.
Banyak yang kami bualkan. Hidup Khatijah lebih teruk dari sewaktu arwah suaminya masih ada. Pelik juga kerana dia kini sudah ada pengganti, seorang suami yang sepatutnya menjadi pelengkap kehidupan.
Entah kenapa Khatijah mengajak saya ke tempat yang biasa dia mengutip sampah. Dengan rela hati, kami berdua ke sana, anak-anak ditinggalkan bersama suaminya di rumah.
Sebaik kereta melepasi kawasan perumahannya, Khatijah tiba-tiba terus menangis.
“Akak dah tak sanggup macam ni dik. Akak tak tahu apa status akak dengan abang Udin. Ini kali kedua akak rasa susah. Akak pernah gantung diri pada kipas sebab dah tak tahan dengan semua ni!” jerit Khatijah.
Panik juga dibuatnya kerana baru sahaja sebentar tadi Khatijah seronok bercerita kisah anak-anaknya.
“Akak terima duit bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan beberapa bantuan lain lagi. Tapi, duit anak-anak untuk kegunaan sekolah semuanya habis dikerjakan abang Udin.
Dik, kamu tahu tak, sebelum mak meninggal abang Udin bawa kami ke sebuah rumah, kononnya untuk bernikah. Tetapi rumah itu adalah rumah kongsi pendatang asing! Dia tipu akak dik. Sijil nikah pun kami tak ada!” ujarnya.
Masya Allah! Maknanya selama ini Khatijah bersekedudukan dengan lelaki yang bukan mahramnya. Lebih dahsyat, dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan abang Udin bukan anak sah taraf?
Tidak sanggup lagi saya membiarkan otak ini ligat berfikir kerana segala-galanya membawa kepada tanggapan negatif sahaja. Khatijah memang lurus orangnya. Mungkin kerana tidak berpelajaran tinggi menyebabkan dia hanya terima bulat-bulat penipuan seorang lelaki.
Menurut Khatijah, hasil daripada dia mengutip sampah di tepi jalan untuk dijual tidak sampai ke tangan. Apa sahaja yang ditemui, kicap yang sudah tamat tarikh luput, jem dan air botol antara barang-barang yang dibawa pulang untuk dimakan bersama anak-anak walaupun sudah melebihi tarikh luput!
“Akak pernah cuba gantung diri kerana terlalu tertekan. Tetapi abang Udin sempat selamatkan akak. Kamu tahu kenapa? Dia balik ke sini semata-mata untuk mengadakan hubungan seks sedangkan dia mempunyai isteri lain! Kononnya nak kahwin untuk membantu akak tetapi tidak lama selepas berkahwin, dia jatuh bankrap.
Dia ambil duit belanja anak-anak dan duit hasil jualan sampah-sarap yang akak kutip kononnya dia akan bayar nanti. Tapi sebenarnya dia penipu!” keluh Khatijah.
Memang benar, abang Udin hanya mempergunakan Khatijah. Dia sendiri akui. Dia tiba di kawasan pengumpulan sampah dan hanya duduk di dalam kereta. Dia langsung tidak membantu Khatijah mengutip sampah kerana baginya, dia hanya ‘membantu’ Khatijah.
Kehadiran dia di rumah ini pada hari itu juga hanya untuk berlakon dan memastikan Khatijah tidak ‘buka mulut’. Hidup Khatijah seperti keluar dari mulut buaya dan masuk mulut naga.
Penulis berdoa agar Khatijah dapat melarikan diri daripada abang Udin kerana tidak mahu dia terus diselubungi dosa.
Beberapa pihak telah kami temui untuk membawa Khatijah jauh dari sini. Insiden Khatijah dipukul abang Udin gara-gara Khatijah cuba melarikan anak-anaknya sungguh terkesan di hati. Semoga ada sinar dalam hidup Khatijah selepas ini. KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


