Sejujurnya kisah gadis ini pernah membuat penulis bergenang air mata. Kagum betul dengan semangatnya, biar tak mudah namun Siti Nurhikmah Razlan, 22 tahun, melalui kehidupan ini dengan tenang dan senyuman.
I tak mampu nak adakan satu mata lagi you, tapi later i belajar jadi yang terbaik okay… @hikhokkkk
Ciapan di atas pernah tular sekitar hujung tahun lepas disamping beberapa foto selfie-nya. Seorang gadis muda bertudung ayu, Hikmah namanya, tersenyum manis dengan hanya sebelah mata kanan.
Kekuatan itu bagai memanggil penulis menjejaki akaun Hikmah di Instagram @hikmahrazlan. Bermula di situlah perkenalan kami, Hikmah yang kini masih menuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Kuantan rupa-rupanya seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Sebenarnya sejak lahir lagi memang asal dah macam ni. Ramai ingat (hilang satu penglihatan) sebab kemalangan tapi bukan. Mungkin itulah rezeki Allah untuk Umi dan Abah saya serta dugaan untuk mereka.
Sejak kecil lagi saya selalu tengok Umi bersusah payah dengan Abah cari rezeki, mereka juga sanggup bersusah ulang-alik ke hospital untuk bagi rawatan terbaik untuk saya,” cerita gadis dari Utara itu.
Tambahnya, “Umi saya, Puan Diana Hussain, tak penah penat nasihat kami supaya jadi manusia terbaik. Dia taknak anak-anak dikeji atau menjadi orang tak berguna, lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang istimewa ni.
Ads
Sejak berjauhan dengan Umi kerana menuntut ilmu, saya rindu sangat bihun goreng dia. Rindu nak jumpa Umi dan dengar bebelan manjanya, meriah sangat! Kebetulan hari ni adalah hari jadi Umi yang ke-44, jadi saya teringin nak ucapkan ‘happy birthday and I love you, Umi!’.
Doa saya supaya Umi selalu sihat, dapat tengok kejayaan anak-anak, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Saya nak jadi macam Umi, seorang wanita yang kuat tapi penuh kasih sayang.
Saya juga selalu doa supaya Allah kembalikan semua yang Umi penah hilang dulu dia akan dapat balik satu hari nanti, insyaAllah.”
Kenangan paling sukar dilupakan tentang Umi? Soal penulis.
“Ada satu momen ni takkan saya lupakan sampai bila-bila. Masa tu saya dapat join satu brand ni dan telah diminta #OOTD dengan tudung tersebut.
Ads
Dengan perasaan teruja, saya pun dimekapkan oleh Umi. Umi cuba pakaikan eyeliner dekat sebelah mata saya yang takde ni, tapi nampak pelik sangat. Lepas tu tahu dia buat apa? Umi sapu buang balik eyeliner tu dan cakap dengan lembut, ‘Isy anak bertuah Umi ni’. Sampai sekarang kalau teringat momen tu, saya akan nangis sebab terlalu sebak.
Satu lagi bila saya nak exam, Umi selalu akan minta semua orang doakan kejayaan saya. Alhamdulilah, mungkin kerana doa Umi dan semua orang, saya mampu berada di sini sekarang.
Terapi Mekap
Dulu saya langsung tak pandai mekap. Saya cukup segan bila nak bersiap lawa-lawa. Takut orang cakap, ‘Budak tu dahlah macam tu, ada hati nak lawa-lawa.’ Jadi sebab kurang keyakinan diri, saya tekad belajar sendiri je.
Satu benda yang paling saya ingat, masa pertama kali belajar pakai kanta lekap. Sebelum ni saya takut sebab mata saya sebelah je, dan selalu tertanya-tanya boleh ke pakai sebelah mata? Punyalah curious sampai pegi tanya sorang akak di kedai cermin mata. Rupa-rupanya boleh.
Ads
Saya makin seronok bila dapat belajar mekap sikit-sikit walaupun yang ringkas. Ada sekali tu, Umi pakaikan eyeliner kat mata saya sebab saya fikir macam mana nak pakai sendiri kan? Kalau kita garis mata tentu kena tengok guna sebelah mata lagi.
Satu hari, saya try garis sendiri. Ya Allah, boleh sebenarnya! Kalau teringat perasaan saya masa tu, boleh menangis tau. Bukan sebab sedih, tapi sebab bangga dah boleh buat sendiri,” katanya sambil tertawa.
Positifkan Diri Sendiri
Sebagai wanita istimewa, Hikmah tentunya mempunyai cara tersendiri hingga jadi berani dan selamba ke tahap ini. Paling utama, dia boleh bergaul dengan semua pihak tanpa rasa segan, malah menginspirasikan pula orang lain.
“Saya rasa rugi kalau wujud perasaan down. Rasa membazir masa je nak sedih-sedih. Kalau dengar benda negatif, selalunya saya cakap dengan diri saya, jangan benci orang tu, boleh jadi kita pula jadi sumber kekuatan mereka satu hari nanti, atau sebaliknya.
Cukuplah saya selalu gembirakan orang lain walaupun dengan perkara yang ringkas. Itu pun dah buat saya jadi happy bila mudahkan orang lain. Saya juga harap masyarakat akan lebih terbuka dan beri peluang sama rata kepada golongan istimewa macam kami. Kita semua tak sempurna, bukankah Allah bagi ujian yang berbeza untuk hamba-hamba-Nya?”
Mengakhiri perbualan, Hikmah turut menyatakan penghargaan pada rakan-rakan sebayanya yang selalu ada dari dia kecil sampai dewasa. “Selain Abah dan ahli keluarga saya, terima kasih juga untuk kawan-kawan sebab tak pernah malu ada kawan ‘kurang sempurna’ macam saya. Terima kasih sebab selalu ada dan terima kasih sebab ‘tolong bangunkan’ saya bila down.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berderai air mata syukur Norzie Pak Wan Chek dan Aidid Marcello atas kejayaan anak sulung lelaki, Muhammad Iman menghafal 30 juzuk Al-Quran baru-baru ini. Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila anak berjaya menguasai ilmu akademik dan Al-Quran. Apatah lagi anak inilah yang menjadi harapan utama kedua-dua ibu bapa.
Berkongsi momen indah dan Aidid Marcello menjadi saksi anak sulung lelaki iaitu Muhammad Iman menghafal Al-Quran di media sosial, video yang dimuat naik bekas personaliti televisyen berkenaan meraih lebih 300 ribu tontonan.
Rata-rata mereka turut berbangga dengan kejayaan anak muda berkenaan.
Ujar Aidid, “Alhamdulillah. Terima kasih Allah. Bagi kami ayah dan ibu, tak ada apa lagi dah hadiah yang lebih berharga jika nak dibandingkan dengan apa yang Iman Marcello berikan kepada kami. Terima kasih Iman kerana menjadi anak yang taat dan berjaya mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang proses hafazan ni.
Semoga Iman terus berjaya dan jadikan Al-Quran sebagai sahabat terbaik sehingga ke penghujung usia. Jangan lupa daddy dan mummy ya bila kami dah tak ada nanti. Ingat, Iman anak sulung lelaki kami.”
Muhammad Iman merupakan salah seorang daripada sembilan Al-Hafiz dan Al-Hafizah yang dianugerahkan New Legend Al-Hafiz atas kejayaan menghafal 30 juzuk Al-Quran. Dia berkemampuan menghafal kandungan kitab suci itu dalam tempoh 350 hari bersamaan 11 bulan 20 hari di Akademi Al-Quran Amalillah pada 30 Mei lalu.
Dalam pada itu, Aidid berkata tujuan dia berkongsi video tersebut sekadar mahu meluahkan rasa gembira. Jauh sekali ingin menunjuk-nunjuk.
“Bacaan Quran dan doa anak yang soleh sahaja yang mampu membantu kami kelak. Daddy dan mummy tulis di sini bukan untuk riak tetapi sebagai tempat untuk Iman baca kembali dan insyaAllah menjadi peringatan untuk anak cucu Iman nanti, insyaAllah.
Saya doakan juga kepada mak ayah lain yang sedang berhempas-pulas dengan anak yang sedang habiskan Al-Quran, untuk terus sabar dan semoga anak kita semua sayang Al-Quran sampai mereka dijemput Ilahi, insyaAllah.
Maafkan saya kalau ada silap kata dan bahasa, sekadar ingin luahkan rasa gembira setelah pengorbanan selama ini membuahkan hasil.”
Aidid dan Norzie mendirikan rumah tangga pada 5 Mei 2005 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya matai aitu Alyea Nai Lina, Muhammad Iman, Muhammad Yusuf dan Muhammad Ibrahim.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Hati anak mana yang tak sedih bila sedang berusaha gigih untuk membalas balik jasa mak ayah tetapi disuruh berhenti untuk meneruskan usaha tersebut. Pelakon Zara Zya yang kelihatan ligat berniaga di samping meneruskan aktiviti lakonan telah ‘diarahkan’ untuk berhenti meniaga dan fokus pada dunia lakonan semata-mata.
Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 34 tahun rasa terkesan dengan mesej yang telah diterimanya. Zara yang mula dikenali menerusi drama Love You Mr. Arrogant turut berkongsi mesej yang telah diterimanya di laman media sosialnya.
Kongsi Zara, “Hina sangat ke kalau saya nak meniaga? Tak tau la kenapa, tapi ayat yang dia tulis tu betul-betul buat saya sedih sangat…Saya sedar saya ni bukan hebat sangat meniaga. Tapi apa salah saya? Siap cakap pasal family saya,” ucap Zara.
Hati Zara lebih terluka apabila disentuh tentang ahli keluarganya yang langsung tidak terlibat dalam kegiatan kariernya. Kata Zara, “Kalau kritikan tu untuk saya je, saya boleh terima, tapi bila sentuh bab family, memang saya sedih sangat.
Saya takkan lupa betapa susahnya parents saya cari rezeki siang malam untuk bagi kami adik-beradik makan, pakai dan pelajaran yang cukup. Ni la masa untuk saya balas balik untuk parents saya,” ungkap Zara.
Bukan senang dalam zaman moden ini anak-anak punya kesedaran hendak membalas balik jasa mak dan ayah yang bersusah payah membesarkan dari sebesar kaki dua tapak kaki sehingga sekarang. Kriteria anak seperti Zara ini wajar dijadikan contoh untuk anak-anak yang lain.
Luahan hati Zara lagi, “Saya kena tipu, bukan orang tahu. Saya tak tido pun tak ada sapa tahu. Takkan saya nak canang cerita pulak kesusahan saya?
Produk saya tu tak haram. Sampai hati cakap macam tu. Kalau berani, jumpa saya depan-depan lah. Apa yang dia sakit hati sgt dgn saya?” bicara Zara.
Semoga Zara tidak tewas dengan dugaan ini dan terus bersemangat mengembangkan karier demi membalas balik jasa mak dan ayah. Apabila anak memuliakan ibu dan bapanya, pasti ganjarannya tidak terfikirkan dek akal kita. Teruskan usaha murnimu Zara Zya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Awal tahun 2000, tagline ‘Comel Tak Kak Ton’ cukup popular di kalangan masyarakat. Kini walau dah lebih dua dekad produk usahawan Zaiton Hassan atau mesra di sapa Kak Ton sudah berada di pasaran, ramai yang masih mengingati wanita berjaya tersebut.
Pernah beberapa tahun menyepi dari industri, Pengasas Pravenus Beauty Sdn Bhd ini kembali aktif mengembangkan legasi. Sebagai usahawan produk kesihatan dan kecantikan, Kak Ton mementingkan kecantikan dari segi dalaman mahupun luaran.
Mengimbas perjalanan empayar Kak Ton seperti yang dikongsikan bersama Nona suatu ketika dulu, dia mengaku antara jenama kosmetik yang berada pada era sepertinya kira-kira 20 tahun lalu termasuklah Sendayu Tinggi yang diasaskan Bonda Rozita dan Nouvelle Visage milik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya.
“Tahun 2002 saya buat White Pearl dan tahun 2010 pula saya fokus buat Umar dan Beauty Umaira. Nak berniaga ni bukan tengok orang lain buat 10 jenis, kita nak buat juga. Kualiti kena jaga begitu juga keikhlasan berniaga sebab saya tak nak esok-esok mati benda ni ‘berat’.
Seperti mana saya selalu pesan dekat anak saya, Nadia Annuar mimpi biar tinggi yang penting kita kena capai. Mimpilah setinggi mana pun tapi jangan duduk sahaja. Kena pegang mimpi tu.
Bila kita berniaga, ikhlas dan jujur sangat penting. Keselamatan orang awam juga sangat penting. Biar kalau makan selamat dan jangan ambil mudah. Selain itu, kita kena jaga diri dan kesihatan untuk terus beramal ibadah kepada Allah SWT.
Memang ujian itu datang dalam macam-macam cara. Saya sendiri pun ada ujian yang tak boleh cerita dengan orang. Cuma apa yang boleh saya cakap, kita terima ujian tersebut dan reda.”
Dalam merancang pemasaran dan memastikan produk keluarannya dijamin selamat, Kak Ton turut tidak alpa terhadap tanggungjawab sebagai seorang hamba Yang Maha Esa.
Semakin banyak rezeki dan kejayaan yang diperoleh, semakin banyak amal ibadah yang dilakukan. Enggan riak dalam menjaga hubungan dengan Allah SWT, Kak Ton sebaliknya menjelaskan amalan tersebut telah lama dilakukan sejak berpuluh-puluh tahun lepas.
“Dah berpuluh tahun saya buat solat sunat. Bila dah berjaya dan sampai peringkat yang kita mahu, saya akan pastikan saya buat solat Tahajud 4 pagi. Diikuti solat Subuh, solat Tasbih, sampai ke solat Dhuha. Baru saya tidur balik dan bangun pukul 11 pagi,” ujarnya.
Mendengar pengakuan ibu tersayang, Nadia Annuar yang berada di sisi turut menyusun bicara. “Saya sebagai saksi semua perubahan yang mummy alami dalam hidup dia. Sebelum ini, iya memang mummy mengamalkan. Tapi selepas berjaya, semakin banyak mummy amalkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT.”
Meskipun berjaya dalam bidang yang diceburi namun usahawan yang berdarah kacukan Thailand, Laos, Pakistan dan Arab ini tetap gemar menjalani gaya hidup sederhana. Ujar Kak Ton, dia enggan menunjuk-nunjuk kesenangan hidup kerana tidak mahu orang sekelilingnya merasa kekurangan.
Semoga kejayaan dan peribadi baik Kak Ton sentiasa menjadi inspirasi ramai. Nona juga berharap usahawan jiwa kental yang sudah ‘melekat’ tagline Comel Tak Kak Ton ini terus berkembang maju.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Buat pertama kalinya Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Dato’ Abdul Aziz hadir ke majlis ulang tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.