Wenanita Angang, gadis berusia 26 tahun dari Sabah dinobatkan Miss World Malaysia selepas menewaskan 15 peserta lain di pertandingan ratu cantik tersebut yang berlangsung di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, semalam. Penyandang gelaran Miss World Malaysia 2021, Dr Lavanya Sivaji turut hadir menyerahkan mahkota tersebut kepada acara gilang gemilang tersebut yang dihoskan oleh Jimmy Pamo dan Melisha Lin.
Wenanita Angang yang kini sedang menyambung pengajian di Sunway University, Subang Jaya, juga merupakan seorang penerbit persidangan antarabangsa. Selain itu, Wenanita juga seorang penyokong kepada usaha hippotherapy kanak-kanak autistik.
Untuk pengetahuan, Hipoterapi merupakan sejenis terapi fizikal, pekerjaan ataupun pertuturan yang mana ahli terapi menggunakan pergerakan kuda untuk membekalkan input motor dan deria secara bertingkat-tingkat, dengan pelbagai kegiatan seharian untuk mewujudkan suatu asas untuk meningkatkan fungsi neurologi dan pemprosesan deria.
Ketika ditanya pada pusingan Beauty With Purposes, Wenanita berhasrat untuk menubuhkan pusat program hippotheraphy di Hospital Bukit Padang di Kota Kinabalu. “Kemajuan kanak-kanak ini pasti dapat dilihat dalam tempoh yang singkat sekiranya mereka diberi peluang mengadakan program yang mampan”.
Semasa pusingan itu, dia memberitahu pada pihak juri masalah geografi menyukarkan memberitahu pihak hospital menyediakan program tersebut. “Ia adalah projek yang mudah dan semestinya tidak mustahil, yang pasti boleh membentuk dunia kanak-kanak ini,” katanya yakin.
Wenanita juga bukanlah pendatang baru dalam dunia pertandingan ratu cantik kerana dia sebelum ini pernah mewakili Malaysia di Miss Planet 2016 di Batumi City, Georgia, dan menyandang tempat kedua. Dia juga pernh memenangi Miss Sabah Model of the Year Musim 6.
Wenanita akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 2022, yang akan berlangsung hujung tahun ini.
Kredit foto: Instagram (@wenanitaangang)
Raih PhD Di Usia 31, Dr. Hajah Oki Setiana Dewi Ajar Tip Lunas Hutang
Di sebalik wajahnya yang lembut dan manis, pendakwah dan pelakon terkenal dari Negara Seberang ini mempunyai semangat yang luar biasa dalam mengapai cita-citanya. Terkenal dengan filem Ketika Cinta Bertasbih, Dr. Hajah Oki Setiana Dewi telah berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah atau PhD di usia 31 tahun.
Lebih istimewa lagi ketika menyiapkan kajian dan penulisan tesis bertajuk “Pengajian Selebriti Hijrah Kelas Menengah Muslim (2000-2019): Respons Atas Dakwah Salafi dan Jamaah Tabligh”, Dr. Oki Setiana Dewi sarat hamil anak keempatnya. Kagum dengan semangat wanita yang pernah mengutip dana untuk mendirikan sebuah Masjid di Sepanyol ini.
Tertarik dengan perkongsian Dr. Oki Setiana Dewi tentang masalah hutang. Menurut wanita ini, ramai yang mengadu kepadanya tentang kesulitan hidup termasuk masalah ekonomi sehingga membuatkan mereka terpaksa berhutang. Namun, Dr. Oki Setiana Dewi menasihati agar seboleh-bolehnya jangan berhutang. Jika sudah terlanjur berhutang segera dilunaskan.
“Jika tak mampu bayar semua, bayarlah sebahagian atau secara ansuran. Ingat, bayar secara ansuran itu wujud kesungguhan. Biar si pemberi hutang juga reda dengan kita.
Terhadap mereka yang bertanya soal kesulitan ekonomi, biasanya saya menganjurkan dua hal. Pertama, ayuh berdoa dan kedua, ayuh jualan (berniaga),” kata Dr. Oki Setiana Dewi di laman media sosialnya.
Dr. Oki Setiana Dewi juga pernah mengingatkan agar sentiasa bersangka baik demi mendapatkan reda Allah SWT. “Jika kita sentiasa bersangka baik dengan ujian yang diberikan akan membuatkan hidup lebih tenang. Allah Maha Adil dan tidak pernah bersifat kejam terhadap hambaNya. Tetapi kita sebagai manusia tidak pernah faham tentang sifat Allah Maha Adil,” jelas Dr. Oki Setiana Dewi.
Menurut Dr. Oki Setiana Dewi kita perlu berdoa bersungguh-sungguh dan bersangka baik terhadap Allah SWT pasti doa akan dikabulkan. Dr. Oki Setiana Dewi juga berkongsi tentang sepotong ayat yang menjadi ‘penghibur’ hatinya jika doa tidak dimakbulkan seperti dalam surah Al-Baqarah ayat 216;
“Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka pasa sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya,” tutur Dr. Oki Setiana Dewi.
“Dari Kecil Ditatang, Cukup Umur 17 Tahun Allah Jemput Pulang!” Shaliza Aziz Reda Pemergian Anak Leukemia
Ketika semua ibu bapa mengharapkan anak-anak untuk menguruskan jenazah mereka, takdir pula berkata sebaliknya. Bayangkan anak kecil yang pernah riang ditimang, kini dewasa menunggu kita untuk dikafankan.
Kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga sesungguhnya menjadi dugaan terbesar buat usahawan hebat bernama Shaliza Aziz ini. Sejak penulis mengenalinya beberapa tahun lepas, ex-banker itu sentiasa ceria dan menyenangkan setiap kali kami bersua.
Namun beberapa hari lepas, perkhabaran buruk tiba ke cuping telinga. Anak lelaki Shaliza, Muhammad Fariz Eskandar, 17 tahun, telah dijemput pulang ke negeri abadi. Selepas 60 hari arwah bertarung dengan penyakit Acute Myeloid Leukemia, akhirnya dia kembali kepada Sang Pencipta.
Di antara kelemahan dan sisa kekuatan yang tinggal, hajat Nona mahu berkongsi kesedihan seorang ibu diperkenankan. Shaliza sudi berkongsi memori yang ada, sebagai tanda abadi buat arwah anak yang meninggal dunia.
Pahit untuk di telan tapi itulah ujian untuk kami sekeluarga. Ramai yang tanya macam mana tahu Fariz ada kanser?
Fariz asalnya demam panas dalam 39 Celcius. Kebetulan waktu tu sedang hangat kes COVID-19, jadi kami risau jugak. Bila ke klinik (8 April 2020) doktor buat blood test. From the test nampak white blood cell tinggi tapi doctor ingatkan infection.
Masa tu dia demam panas, suhu dalam 39, tekak sakit dan sakit tengkuk. Doc cakap lepas 4-5 hari ambil antibiotik akan kurang.
5 hari kemudian, demam dah baik tapi tengkuk Fariz masih sakit lagi. Ingatkan salah bantal. Tapi dalam masa yang sama, ujian darah dibuat semula dan kami diberi referral letter untuk ke hospital.
Ingat lagi masa tu Isnin pagi, 13 April. So lepas ke klinik, husband bawa Fariz ke private hospital. Dekat emergency ward, doc check tak ada apa. Ada infection kat tekak Fariz dan kami pun mati-mati ingat salah bantal. Tu dia susah nak makan masa tu sebab sakit tekak.
Tiba-tiba tengah Ija kemas rumah petang sikit, dapat call from doktor klinik. Dia cakap ingatkan mesin dia salah baca blood test pagi tadi. So rupanya dia hantar sampel darah Fariz ke makmal darah. From result sama, dia terus cakap suspek leukemia.
Masa tu gugur jantung Ija. Terbayang mama, coz mama dulu pun kanser darah, but different type. Terus mengalir air mata. Doc advise untuk kami bawa Fariz ke Hospital Ampang for further check up. Masa ni kami tak bagitau Fariz lagi, risau Fariz terkejut dan lagipun belum sah waktu tu.
Since tengah musim COVID-19 ni, takut la nak ke hospital kerajaan. Ija tanya doctor tak boleh ke kalau pergi private hospital, tapi doctor cakap Hospital Ampang centre for blood cancer, ramai doktor pakar di sana. For some cases, even private akan rujuk ke Hospital Ampang. Dalam hati still in denial mood, keep cakap blood test tu silap.
On the next day, husband bawa Fariz ke hospital for check up. Sedih Ija tak dapat ikut sebab PKP kan, hanya seorang boleh dalam kereta. In this situation, driver dan pesakit sahaja.
Masa tu pun Fariz lemah sangat. Dah seminggu tak makan, of course badan lemah. Lebih kurang 2.00 petang, husband call bagitau result, anak kami positif leukemia. Hanya Allah yang tahu betapa sedihnya Ija waktu itu. Doc pun advise suruh terus admitted sebab HB Fariz masa tu hanya 6 dan dia pun sangat lemah.
Ija bersiap, ambil GRAB dan terus ke hospital. Dalam GRAB tu memang mengalir air mata ni. For the next few days, Ija masih macam tak percaya dengan ketentuan-Nya. Cuma depan Fariz kami kena kuat. Jujur Ija rasa Fariz pun lebih kuat dari Ija sendiri.
The next day buat bone marrow test, dapat tahu jenis leukemia Fariz. AML or Acute Myeloid Leukemia. Esoknya terus mula kemoterapi (16 April 2020). Semua berjalan dengan pantas. Next post Ija share pasal kemoterapi dan sambungan cerita ye. Ija harap jika ada salah dan silap ija dengan sesiapa, mohon maaf serta doakan kesihatan anak Ija ye.
Masuk hari ke-56, doc cakap jantung Fariz terhenti selama 10 minit (pukul 9.40 malam). Lepas pump dan CPR baru jantung tu okey. Tapi update dari doktor setiap hari buat mama abah takut. Bila tengok awak di ICU nampak kuat tapi dalaman makin merosot.
Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk awak. Kami tak pernah give up, tapi mama abah redha. Tak nak seksa jiwa, roh dan jasad awak. Apapun ketentuan dari Allah mama abah terima.
HARI KE-60
Hari ni jumpa Dr. Zakky, salah seorang Pakar Haematologist di Hospital Ampang. Dia update Fariz lebih kurang semalam. Hari ni akan buat dialisis for 4-6 hours. Ubat tido pun hari ni sambung sebab nak buat dialisis.
Hari ni mama abah tak boleh masuk isolation room. Jadi tengok dari jauh je. Jadi la kan, buat lepas rindu pada anak. Apa yang terbaik untuk awak kami reda dan akan terus berdoa.
Hari yang sama, arwah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Allah lebih sayangkan anak kami. Fariz dah tinggalkan kami 5 minit yang lepas (12 Jun 2020, 10.11 malam). Maafkan jika ada salah silap dia.
CORETAN TERAKHIR BUAT ARWAH FARIZ
Nona: Ceritakan perasaan Ija yang terbuku sejak dapat tahu arwah dah tak mampu bertahan? Hati Ija mcmn masa tengok mata anak, pegang tangan dia, usap rambut dia?
Masa dapat tahu anak sakit kanser pun dah rasa sebak, inikan masa anak koma di ICU. Bila tengok keadaan dia dalam ICU dan bila dengar update dari doktor memang buat Ija rasa sayu. Kemuncak bila doktor minta kami bersedia untuk terima segala kemungkinan selepas jantung dia berhenti buat pertama kali (5 min x 2 kali).
Masa tu Ija bisikkan di telinga anak, jika dia tak mampu bertahan dan apa yang terbaik dari-Nya, Ija sebagai ibu reda untuk lepaskan dia. Ija maafkan segala dosa dia dan Ija ucap terima kasih kerana menjadi anak yang baik buat kami. Masa tu nampak air mata dia bergenang biarpun dia dalam keadaan koma.
Satu ayat dalam hati Ija waktu dia hembuskan nafas terakhir? Dan apa doa Ija ke langit sampai sekarang kalau ingat psl arwah?
Dia menghembuskan nafas ketika dalam ICU dan kami tak ada di sisi arwah. Di ICU penjaga tak dibenarkan berada bersama pesakit. Baru je selesai baca Yasin dengan ahli keluarga di rumah, kami dapat panggilan minta ke hospital. Tapi nurse tak cakap apa-apa.
Bila sampai sahaja di ICU, doktor inform anak kami sudah tak ada 5 minit yang lepas, Ija dan husband terus menangis. Tapi dalam hati terdetik inilah yang terbaik dari-Nya. Hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untuk anak kami. Ija hanya doakan dia diampunkan dosa seperti kain putih.
Bila nurse buka kain yang menutup anak kami, Ija kucup dahi dan pegang erat tangan dia. Masa tu dahi arwah masih terasa suam. Itulah kali pertama Ija dapat genggam tangan anak selepas seminggu koma dan berada dalam ICU. Sepanjang di ICU kami tak di galakkan sentuh dia kerana takut infection semakin teruk. Rindu dengan sentuhan itu tapi itulah kali terakhir buat kami
Nona: Macamana Ija dan suami hadapi dugaan ni? Dan cara bagi kekuatan pada suami? Sebab suami pun tentu pendam kesedihan dia.
Sejujurnya Ija tak kuat pun. Cuma bila Ija ingat kesakitan yang anak lalui tu, Ija redha. Dalam situasi Ija, suami yang banyak bantu untuk kuat. Family pun. Kami saling ingatkan di antara kami bahawa ini mungkin yang terbaik untuk Fariz daripada dia menderita terlalu lama. Kami sentiasa panjatkan doa supaya dia berada di kalangan orang beriman dan berharap moga kami satukan di sana suatu hari nanti
Nona: Perkara yg Ija belajar selepas selesai urusan pengebumian arwah?
Kalau kita baik, ramai akan sayang. Dari bilik jenazah sehingga ke masjid dan pengebumian, ramai kawan-kawan anak yang bantu kami uruskan jenazah. Apa yang paling kami belajar dari ujian ini, hidup ni hanya pinjaman. Selagi ada masa dan peluang, hargailah orang yang kita sayang. Sebab kita tak tahu siapa akan pergi dahulu. Macam contoh anak Ija, sebelum ni tak ada sakit pun. Sekurangnya selepas mereka pergi kita ada momen yang indah untuk dikenang.
Nona: …dan barangan dia yg Ija selalu tengok bila rindu?
Gambar dan video arwah. Sebab arwah periang orangnya, jadi keletah dia dalam video dapat kami lepaskan rindu. Video dan gambar ini juga akan kami simpan, supaya adik-adik kenal arwah bila mereka dah besar dan faham. Betapa arwah sayang adik-adik dia, lama dia tunggu nak dapat adik.
Selain itu, arwah ada binatang peliharaan, kura-kura. Dia pesan pada kami untuk jaga bila dia tak ada (waktu itu nak admitted, tak sangka tak ada selamanya).
Salam takziah buat Shaliza Aziz seisi keluarga. Semoga arwah ditempatkan di kalangan mereka yang soleh dan beriman. Alfatihah buat arwah Muhammad Fariz Eskandar Bin Nor Shaliza (2003-2020)**
Berhijab & Pakaian Labuh, Penampilan First Lady Turki Berjiwa Penyayang Ini Disenangi Ramai!
Apabila tengok kelibat dan penampilan Wanita Pertama Turki, Emine Erdogan ini terus terbayangkan pesona Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Mana tidaknya, kedua-dua wanita hebat ini berkongsi penampilan yang hampir sama dan disenangi ramai. Apatah lagi Tunku Azizah dan Emine Erdogan dipertemukan baru-baru ini selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tiba di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 pada 18 Disember lepas.
Lahir pada 16 Februari 1955 di Istanbul, isteri Recep Tayyip Erdogan bukan hanya dikagumi rakyatnya kerana sifat ramah dan penyayang bahkan Emine juga aktif menceburi bidang sosial, kebajikan dan politik. Penglibatan wanita berusia 64 tahun ini dalam dunia kebajikan sudah mula berputik sebelum beliau menyandang jawatan Wanita Pertama Turki lagi. Namun, kegiatan Emine dalam bidang berkenaan semakin rancak selepas berkahwin dengan Presiden Turki berkenaan pada 4 Julai 1978.
Hasil perkahwinan selama 41 tahun tersebut, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu dua perempuan dan dua lelaki. Anak sulung mereka Ahmet Burak Erdogan berusia 40 tahun, diikuti Necmettin Bilal Erdogan, 38 tahun, Esra Erdogan, 36 tahun dan anak bongsu perempuan yang pernah berkhidmat sebagai ketua penasihat presiden yang juga bapanya pada tahun 2013 iaitu Sumeyye Erdogan berumur 34 tahun.
Meskipun kerap bertemu pemimpin-pemimpin dunia dan menjalani kehidupan mewah namun Emine tetap mempamerkan sisi seorang muslimah yang hebat. Memiliki darah keturunan Arab, Emine Erdogan sentiasa membuka mata masyarakat khususnya dalam kalangan isteri pemimpin dunia dengan penampilannya yang sopan dan menutup aurat. Malah, beliau dilihat gemar mengenakan persalinan labuh, longgar serta bertudung litup. Aura Emine mampu membuatkan kaum wanita menoleh ke arahnya beberapa kali.
Terbaru, ketika kunjungan Emine dan suaminya ke Malaysia… beliau kelihatan selesa dan ramah bertemu Raja Permaisuri Agong, isteri Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri. Pakaian yang digayakan juga sederhana dalam segala segi. Antara isteri pemimpin dunia yang pernah menerima kunjungan Emine ialah bekas isteri Barrack Obama iaitu Michelle Obama, isteri Donald Trump; Melania Trump, Ratu Jordan iaitu Ratu Rania dan isteri Perdana Menteri Jepun, Akie Abe.
Selain memperjuangkan nasib golongan kanak-kanak dan wanita di negaranya, Emine juga lantang menyuarakan pandangan beliau terhadap isu penindasan umat Islam di seluruh dunia. Salah satu daripada ribuan kempen kanak-kanak dan wanita yang diadakan Emine ialah ‘Mothers and Daughters at School’ yang membuka peluang kepada golongan ini mendalami bidang akademik dan menguasai kebolehan membaca serta menulis.
Enggan berpuas hati dengan kejayaan itu, beliau seterusnya menyertai persidangan antarabangsa ‘Women in Business Life’ sebagai tanda sokongan kepada penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan dan politik.
Paling menyentuh perasaan adalah ketegasan beliau membela nasib dan mengekang penindasan terhadap umat Islam seperti yang berlaku di Gaza, Myanmar dan Pakistan. Terpanggil untuk membantu saudara sesama Islam, Emine dan Recep Tayyip Erdogan telah pergi ke Myanmar pada tahun 2012 semata-mata untuk memberi bantuan kemanusiaan
kepada etnik minoriti Islam Rohingya biarpun berdepan ancaman keselamatan di sana. Semoga Emine dan Presiden Turki ini terus menjadi suara pembela umat Islam di seluruh dunia dan diharapkan agar usaha serta kebaikan yang ditonjolkan menjadi suntikan inspirasi kepada semua.