
Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuatkuasa 21 April lalu.
Dr Muhammad Radzi yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara baru-baru ini.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Dr Muhammad Radzi berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah; Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.
“Dr Muhammad Radzi juga pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi serta menjadi Pengerusi Pentauliahan bidang kepakaran ini dari tahun 2013 hingga 2021.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dklaksanakan secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, ini selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan Kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mampan.
Sumber: Astro AWANI
Pernah Menang Anugerah Nobel, Saintis Prof Dr Serena Nik-Zainal Terus Diiktiraf, Harumkan Nama Malaysia

Bijak, cantik dan memartabatkan nama negara. Inilah pakej lengkap wanita bernama Profesor Dr Nik Serena Datuk Dr Nik Zainal Abidin, seorang saintis Malaysia yang berpengkalan di United Kingdom.
Graduan perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, University of Cambridge di bawah tajaan Petronas itu sekali lagi mengharumkan nama negara selepas menerima anugerah Francis Crick Medal and Lecture 2022 atas sumbangannya terhadap kajian punca barah.
Anak kepada tokoh perubatan Allahyarham Datuk Dr Nik Zainal Abidin Nik Abdul Rahman itu sebelum ini pernah dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.
Hadiah yang turut dikenali sebagai ‘Hadiah Nobel untuk Kajian Kanser’ itu dianugerahkan kepada Prof Dr Serena secara bersama dengan rakan penyelidikan beliau, Dr Paul Calleja dan Dr Ignacio Medina dari University of Cambridge, di University of Bern di Switzerland pada tahun 2019.
Menerusi kenyataan di laman sesawang The Royal Society, anugerah tersebut diberikan kepada Prof Dr Serena atas kejayaan besar melalui analisisnya mengenai tanda-tanda mutasi pada genom barah, yang mana ketika ini telah diterapkan pada terapi barah.

Anugerah tersebut sekali gus menyaksikan Prof Dr Serena, yang kini bertugas sebagai doktor dan saintis di Penyelidikan Kanser UK, Universiti Cambridge bakal menerima pingat dan hadiah sebanyak £2,000 (RM11,568).
Menurut The Royal Society, anugerah The Francis Crick Medal and Lecture diberikan setiap tahun dalam apa jua bidang sains biologi. Keutamaan diberikan kepada bidang genetik, biologi molekul dan neurobiologi.

Sementara itu, Prof Dr Serena dalam kemas kini di laman Twitternya menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih atas penghormatan besar itu.


Kejayaan Prof Dr Serena itu turut mendapat perhatian Institut Penyelidikan Perubatan United Kingdom yang mengucapkan tahniah atas anugerah tersebut.
Untuk rekod, Prof Dr Serena menyambung pelajaran di Wellcome Sanger Institute (WSI) pada 2009 untuk meneroka kajian kanser payu dara menggunakan whole genome sequencing (WGS).
Beliau kemudiannya dianugerahkan CRUK Advanced Clinician Scientist Fellowship pada 2017 sebelum berpindah ke Universiti Cambridge.
Miliki Beg Tangan Chanel Sejak Usia 5 Tahun, Anak Multi-millionaires Rusia Ini Terkejut Hidup Miskin

Anak gadis kepada seorang multi-millionaires dari Rusia mengaku tidak pernah tahu tentang erti hidup susah sepanjang hidupnya. Maria mengaku ketika membayangkan kehidupan orang miskin adalah apabila tidak mahu menjaga diri sehingga kelihatan kotor.
Menggalas beg tangan jenama Chanel bermula usia 5 tahun dan membelanjakan hampir £8000 (RM43,000) untuk keperluan harian. Malah Maria Rimmer yang baharu berusia 21 tahun ini menghabiskan lebih £34,000 (RM183,000) untuk sebuah beg tangan.
Maria pernah menghabiskan beratus ribu ringgit pada barangan jenama terkenal seperti pakaian jenama Dolce & Gabbana (RM5,380), Stella McCartney (RM4,300) dan beg tangan daripada kulit buaya jenama Birkin (RM183,000).
Bukan itu sahaja, Maria juga kelihatan kerap bercuti dan dalam setahun empat atau lima kali dengan membelanjakan lebih £50,000 (RM267,000) untuk dua minggu percutian mewahnya.
Hidup dalam dulang emas sejak kecil membuatkan Maria tidak tahu menahu tentang kesusahan yang dialami oleh orang lain. Bagaimanapun persepsi kehidupan wanita yang kini menetap di United Kingdom ini berubah setelah menyertai sebuah rancangan realiti televisyen, Rich Kids Go Skint.
Rancangan ini memberi ruang kepada Maria untuk melalui sendiri pengalaman hidup bersama sebuah keluarga susah yang telah ditentukan oleh pihak penerbit. Nyata, program realiti ini telah membuka mata ibu kepada seorang anak ini tentang kehidupan orang yang tidak bernasib baik sekali gus membuka matanya untuk sentiasa bersyukur.
“Hidup saya mewah seperti di syurga, tetapi ada sahaja yang tidak mencukupi dan membuat saya sering merungut tentang kehidupan ini. Saya juga sering merungut betapa sukarnya menjaga anak dan dalam masa yang sama meneruskan pembelajaran di universiti,” katanya.
Maria benar-benar terkejut dengan kehidupan keluarga Becky Bouzguanda yang ditemui dalam program realiti tersebut. Becky yang tinggal dalam sebuah rumah kecil yang tiada bilik bersama suami dan dua orang anaknya.
Becky dan suaminya, Hama membelanjakan RM3,500 sebulan untuk perkara yang penting sahaja dan terpaksa bercatu makanan dengan membelanjakan RM270 sebulan. Becky juga telah berkongsi dalam program realiti tersebut membeli baju anak-anaknya di kedai jualan murah.
Maria yang tinggal bersama keluarga Becky selama seminggu telah melihat sendiri bagaimana keluarga itu menguruskan kewangan bagi memastikan mereka mampu bertahan selama sebulan.
Melihat kekurangan pada keluarga Becky telah menyebabkan Maria sebak dan telah berbesar hati menaja tiket penerbangan mereka pulang ke kampung halaman di Tunisia bagi membolehkan mereka menziarahi sanak-saudara yang sudah lama tak berjumpa. Becky tidak nampak menahan air matanya melihat kemurahan hati Maria.
Becky menyifatkan Maria seorang gadis kaya yang merendah diri. Hubungan mereka tidak terputus sebaik sahaja prog tersebut tamat malah telah mengaturkan pertemuan seterusnya.
Sumber: www.dailymail.co.uk
14 Tahun Besarkan 5 Anak Walau Bukan Dari Darah Daging Sendiri, Murninya Hati Wanita Ini!

Jujurnya, penulis kagum dengan naluri keibuan dan jiwa penyayang Sharifah Aminah Syed Mohssain ini. Bayangkan selama sembilan tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu seorang diri. Meskipun waktu itu, dia masih bujang!
Masuk tahun ini, sudah 14 tahun Sharifah Aminah atau mesra disapa Sha bergelar ibu dan membesarkan lima anak. Pada pandangan khalayak, dia sama seperti kaum ibu lain yang ada anak kecil dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Hakikatnya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sha sendiri. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang dijaga dengan sempurna oleh Sha sejak kecil lagi.
Murni sungguh hati insan ini kerana sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata mahu membesarkan anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 14 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 13 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 12 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 7 tahun.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi.
Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat.
Kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami waktu itu, Sha teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri. Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan!
Ibarat pelangi selepas hujan, tanggal 25 Disember 2017 tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa murni ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
Apatah lagi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Sha dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Shakyra Aareefa, 2 tahun dan anak bongsu yang mesra dengan nama panggilan, Deqbie Tyra setahun.
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sha juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri.
Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib anak kesayangan.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini bahagia di samping suami tercinta dan tujuh orang anak.