Alangkah baiknya jika ada produk solekan yang mampu bertindak seperti produk penjagaan kulit. Blusher yang menghapuskan jerawat, eyeshadow yang merawat dark circles dan gincu yang… eh?
Terkejut pun ada apabila hari ini Nona diperkenalkan dengan dua produk terbaru Avon iaitu True Color Perfectly Smooth Lipstick dan Supreme Length Nourishing Mascara yang menjanjikan fungsi merawat yang kita idam-idamkan.
Percaya tak gincu ini dihasilkan dengan kebaikan balm bibir? Warnanya bukan saja cantik, malah ia membantu melembap bibir kering dan kusam dalam satu masa. Bagusnya!
Ads
Ia didatangkan dalam 8 warna dan diadun dengan minyak jojoba, madu dan lilin lebah yang terbukti baik untuk mengembalikan lembapan serta hidrasi bibir. Bila dioles ke bibir, memang terasa lembut dan licin tau!
Ads
Kalau bulu mata anda pendek dan jarang, sapuan maskara ini pula bagus untuk memanjangkan dan menyihatkan bulu mata. Ia diperkaya dengan khasiat minyak kelapa dan minyak argan yang bernutrisi supaya bulu mata kekal panjang, berkilat dan menawan sepanjang hari.
Ads
Produk dwifungsi seperti ini bukan saja menjimatkan masa, malah berpatutan dan terbukti berkesan. Sungguh praktikal digunakan oleh wanita berkerjaya dan kesuntukan masa seperti kita. Cubalah! Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jaringan hatrik Kylian Mbappe di Piala Dunia 2022 nyata luar biasa! Kelincahan superstar bola sepak Perancis ini beraksi di padang bukan hanya menggentarkan lawan. Malah mengundang reaksi kagum dalam kalangan peminat sukan.
Pada perlawanan final menentang Argentina, Mbappe tampil memukau dengan tiga jaringan yang menyaksikan dua gol daripadanya diperoleh Perancis menerusi sepakan penalti. Walau pasukannya tidak bernasib baik dalam penentuan sepakan penalti pada babak akhir namun ‘kilauan’ bakat Mbappe menjadi bualan.
Sebaris nama pemain ternama dunia seperti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, Kylian Mbappe atau nama penuhnya Kylian Adesanmi Lottin Mbappe melakar pencapaian tersendiri apabila menjadi pemain bola sepak yang menerima bayaran termahal di dunia pada usia 24 tahun!
Laporan Forbes tahun 2022 menganggarkan Mbappe meraih pendapatan USD110 juta dalam karier bola sepak. Selain pendapatan tambahan melalui endorsement bersama Nike, Dior, Hublot, Oakley, Panini, EA Sports dan Sorare berjumlah sekitar USD18 juta.
Sekaligus mengungguli carta teratas dengan USD128 juta diikuti Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Mbappe mula mencipta nama selepas berjaya membantu Perancis bergelar juara kejohanan tersebut empat tahun lepas setelah pertama kali memenanginya pada tahun 1998. Lebih mengagumkan Mbappe ketika itu baru berusia 19 tahun dan dinobat pemain muda terbaik.
Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar ini sudah tentu menjadi platform terbaik buat pemain kelahiran Perancis ini meningkatkan populariti, potensi diri dan pendapatan.
Atas prestasi cemerlang di atas padang, kontrak Mbappe bersama pasukan Paris Saint-Germain dilanjutkan lagi selama tiga tahun.
Dilahirkan pada 20 Disember 1998 di kawasan pinggir bandar Bondy, Mbappe ialah anak kepada pasangan Wilfried Mbappe dan Fayza Mbappe Lamari. Bapanya berkhidmat sebagai jurulatih bola sepak. Manakala ibu Mbappe pula bekas pemain bola baling.
Mbappe berketurunan Nigeria dan Cameroon dari bapa serta Algeria dari ibu tersayang.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sana-sini sedang heboh bercerita tentang penyampai berita RTM, Normazalina Mohd Nor yang dikatakan persis penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Sejak wajahnya menjadi viral di laman media sosial, Normazalina atau lebih dikenali sebagai Linaberjaya menaikkan rating Berita Nasional 8, apabila ramai yang ingin melihat persamaan unik tersebut.
“Macam tak percaya penangan viral ini buatkan telefon saya sampai jadi hang dengan panggilan dan mesej daripada rakan-rakan termasuk saudara mara. Kalau buka Facebook dan Instagram pula memang penuh dengan notifikasi dan beribu friend request. Ada yang tak sempat hendak approved sebab terlalu ramai. Begitu juga tawaran daripada beberapa rancangan televisyen yang mahu menjemput saya.
Maaf ya, bukan sombong tapi kekangan kerja.”
Mengenali Lina hampir lapan tahun lalu, kemiripan wajah wanita berusia 33 tahun ini sebenarnya sudah mula disedari sejak dia menjadi penyampai Berita Perdana pada tahun 2015. “Saya diterima masuk ke Bilik Berita RTM sebagai wartawan penyiaran pada tahun 2009 dan menjadi penyampai berita setahun kemudian walaupun niat utama untuk jadi deejay.
Selalunya lepas baca berita, ada saja kawan-kawan yang private message di FB dan usik wajah saya seperti Dato’ Siti. Penerbit berita juga ada bacakan Twitter mengenai perkara sama. Asalnya cerita ini sudah pun disensasikan salah seorang kenalan lama yang juga seorang ahli kelab Sitizoners, Aflan Syafiq dua tahun lalu.
Jujur saya rasa segan apabila disamakan seperti Dato’ Siti kerana beliau seorang wanita yang sangat cantik dan hebat. Realitinya memang ada kelainan antara kami cuma mungkin bentuk fizikal muka saya yang bulat macam Dato’ Siti. Tambah-tambah lagi bila pakai cermin mata.
Solekan jurumekap juga banyak mainkan peranan sebenarnya. Kadang-kadang, mereka sendiri yang mahu mengenakan teknik solekan ala-ala Dato’ Siti pada muka saya. Ada masa menjadi tapi ada juga yang tidak pun,” ujar Lina yang pernah menjadi deejay radio kampus PutraFM, UPM Serdang dan kini berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.
Ditanya momen paling lucu dan tidak dapat dilupakan, anak kelahiran Paka, Terengganu ini membuka rahsia yang dirinya pernah menerima sepucuk surat istimewa daripada penonton setia RTM setahun lalu. “Memang terkejut dan lucu bila ingat balik isi kandungan surat itu. Tanpa segan, pengirimnya mahu melamar siap menyatakan jumlah belanja hantaran lagi!
Satu lagi insiden yang saya tak boleh lupa ialah ketika berada di airport suatu masa dulu dan ada dua orang perempuan tegur untuk bergambar kerana sangka saya Dato’ Siti. Sekarang ini pun adik-beradik dan anak-anak buah saya di kampung turut terkena tempias. Ada yang bertanyakan sama ada kami ada bau-bau bacang dengan Dato’ Siti Nurhaliza walhal tidak ada langsung.”
Diusik mungkinkah dirinya akan menjadi pilihan lelaki berstatus VIP kelak, sambil tertawa Lina menganggap ia sekadar gurauan. “Jodoh itu rahsia Allah. Saya masih seperti dulu dan tak ada ciri-ciri lelaki idaman tertentu yang saya letakkan. Cukuplah dia seorang lelaki yang matang, simple dan berfikiran jauh serta terima diri saya seadanya.”
Teringat lagi betapa besar kasih sayang Lina terhadap kedua-dua ibu bapanya hingga sanggup mengambil cuti panjang semata-mata mahu menjaga arwah bapa setiap hari di hospital lapan tahun lepas. Harapan Nona semoga Normazalina terus sukses dalam lapangan kerjaya yang diceburi. Khabarnya Lina akan baca berita esok! Jom kita tunggu depan TV.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Tanpa mengira sesiapa pun sama ada orang itu kaya atau miskin tetap akan ada ujiannya. Setiap ujian yang dihadapi dalam kehidupan ini mampu menjadikan seorang insan itu lebih kuat dan tabah.
Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Cuma yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima. Mungkin bagi sesetengah orang melihat ujian yang menimpa orang lain itu tidaklah dianggap ujian besar, namun orang yang melalui ujian itu yang lebih mengetahui.
NONA prihatin terhadap keadaan semasa adik Wan Muhammad Naail Wan Aslam atau mesra dipanggil Naail, bayi berusia sembilan bulan yang mengalami mengalami masalah Spinal muscular altrophy (SMA) Type 1. SMA merupakan penyakit genetik yang berlaku mutasi pada gen neuron motor survival 1 (SMN1) iaitu protein penting pada saraf tunjang yang berfungsi mengawal otot badan.
Si kecil sukar untuk bernafas atau menelan air liur dengan menggunakan kudratnya sendiri. Malah si kecil juga mudah terdedah dengan risiko jangkitan pada paru-paru.
Menurut ibu Naail, Siti Norraihan Mohd Amin berkata, penderitaan Naail membuatkan dirinya semakin cekal, malah kasih dan sayangnya kepada anak istimewa itu semakin menebal. Berusia 30 tahun, SMA yang merupakan penyakit jarang jumpa itu dikesan oleh pakar selepas usia Naail mencecah empat bulan.
“Naluri seorang ibu, sememangnya amat kuat mengatakan ada yang ‘berlainan’ apabila melihat keadaan Naail. Ketika dia berusia dua bulan, nafas Naail laju, padahal ketika itu dia tidak demam, selesema atau batuk. Tidak sedap hati, saya membawanya berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
“Doktor beritahu ada jangkitan pada paru-paru dan terdapat kahak pekat yang sudah terkumpul lama di situ,” katanya yang menetap di rumah sewa di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.
Meskipun masalah yang dinyatakan itu sudah berjaya diatasi, namun keadaan Naail masih lagi tidak pulih sepenuhnya. Bahkan, pergerakan pada otot kaki semakin lemah. Ujian genetik melalui sampel darah turut dijalankan bagi mengenal pasti punca penyakit sebenar.
Pada masa sama, pakar sudah memberikan bayangan bahawa simptom yang dialami Naail serupa dengan pesakit SMA. Segala yang diramal menjadi kenyataan. Saat itu, akui Siti Norraihan, beliau sekeluarga sudah reda dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Naail terpaksa bergantung sepenuhnya dengan mesin pernafasan dan air liur atau kahak perlu disedut secara manual selang tiga jam bagi mengelakkan risiko jangkitan paru-paru daripada berulang.
Mengulas mengenai kos perubatan yang perlu dibiayai, Siti Norraihan mengakui, harga ubat yang diperlukan terlalu mahal.
“Setahu saya, nilainya mencecah lebih kurang RM9 juta hanya untuk satu suntikan sahaja,” katanya.
Disebabkan tidak mampu menampung kos tersebut, pasangan yang memiliki dua lagi anak yang masih kecil memilih untuk mendapatkan ubat risdiplam berharga RM40,400. Ubat tersebut bagaimanapun, hanya mampu bertahan untuk tempoh satu hingga dua bulan sahaja.
“Memang doktor ada cakap, jangka hayat pesakit SMA paling panjang pun dua tahun. Itupun jika tidak dibantu ubat sokongan yang disarankan. Sebab itu, kami memohon sumbangan ramai untuk membantu mencukupkan kos ubat,” katanya.
Menyedari keadaan Naail yang memerlukan penjagaan yang rapi, Siti Norraihan dan suaminya berusaha menyediakan kemudahan bilik dengan kelengkapan terbaik buat Naail bagi memastikan risiko jangkitan kuman pada paru-paru dapat dielakkan sebaik mungkin.
Jika anda ingin membantu pasangan ini menampung kos pembelian ubat, sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 512334355235 atas nama Siti Norraihan Binti Mohd Amin.
Sumber: Sinar Plus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.