Sana-sini sedang heboh bercerita tentang penyampai berita RTM, Normazalina Mohd Nor yang dikatakan persis penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza. Sejak wajahnya menjadi viral di laman media sosial, Normazalina atau lebih dikenali sebagai Lina berjaya menaikkan rating Berita Nasional 8, apabila ramai yang ingin melihat persamaan unik tersebut.
“Macam tak percaya penangan viral ini buatkan telefon saya sampai jadi hang dengan panggilan dan mesej daripada rakan-rakan termasuk saudara mara. Kalau buka Facebook dan Instagram pula memang penuh dengan notifikasi dan beribu friend request. Ada yang tak sempat hendak approved sebab terlalu ramai. Begitu juga tawaran daripada beberapa rancangan televisyen yang mahu menjemput saya.
Maaf ya, bukan sombong tapi kekangan kerja.”
Mengenali Lina hampir lapan tahun lalu, kemiripan wajah wanita berusia 33 tahun ini sebenarnya sudah mula disedari sejak dia menjadi penyampai Berita Perdana pada tahun 2015. “Saya diterima masuk ke Bilik Berita RTM sebagai wartawan penyiaran pada tahun 2009 dan menjadi penyampai berita setahun kemudian walaupun niat utama untuk jadi deejay.
Selalunya lepas baca berita, ada saja kawan-kawan yang private message di FB dan usik wajah saya seperti Dato’ Siti. Penerbit berita juga ada bacakan Twitter mengenai perkara sama. Asalnya cerita ini sudah pun disensasikan salah seorang kenalan lama yang juga seorang ahli kelab Sitizoners, Aflan Syafiq dua tahun lalu.
Jujur saya rasa segan apabila disamakan seperti Dato’ Siti kerana beliau seorang wanita yang sangat cantik dan hebat. Realitinya memang ada kelainan antara kami cuma mungkin bentuk fizikal muka saya yang bulat macam Dato’ Siti. Tambah-tambah lagi bila pakai cermin mata.
Solekan jurumekap juga banyak mainkan peranan sebenarnya. Kadang-kadang, mereka sendiri yang mahu mengenakan teknik solekan ala-ala Dato’ Siti pada muka saya. Ada masa menjadi tapi ada juga yang tidak pun,” ujar Lina yang pernah menjadi deejay radio kampus PutraFM, UPM Serdang dan kini berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat.
Ditanya momen paling lucu dan tidak dapat dilupakan, anak kelahiran Paka, Terengganu ini membuka rahsia yang dirinya pernah menerima sepucuk surat istimewa daripada penonton setia RTM setahun lalu. “Memang terkejut dan lucu bila ingat balik isi kandungan surat itu. Tanpa segan, pengirimnya mahu melamar siap menyatakan jumlah belanja hantaran lagi!
Satu lagi insiden yang saya tak boleh lupa ialah ketika berada di airport suatu masa dulu dan ada dua orang perempuan tegur untuk bergambar kerana sangka saya Dato’ Siti. Sekarang ini pun adik-beradik dan anak-anak buah saya di kampung turut terkena tempias. Ada yang bertanyakan sama ada kami ada bau-bau bacang dengan Dato’ Siti Nurhaliza walhal tidak ada langsung.”
Diusik mungkinkah dirinya akan menjadi pilihan lelaki berstatus VIP kelak, sambil tertawa Lina menganggap ia sekadar gurauan. “Jodoh itu rahsia Allah. Saya masih seperti dulu dan tak ada ciri-ciri lelaki idaman tertentu yang saya letakkan. Cukuplah dia seorang lelaki yang matang, simple dan berfikiran jauh serta terima diri saya seadanya.”
Teringat lagi betapa besar kasih sayang Lina terhadap kedua-dua ibu bapanya hingga sanggup mengambil cuti panjang semata-mata mahu menjaga arwah bapa setiap hari di hospital lapan tahun lepas. Harapan Nona semoga Normazalina terus sukses dalam lapangan kerjaya yang diceburi. Khabarnya Lina akan baca berita esok! Jom kita tunggu depan TV.