GINGER Spice Girls Kini Bergelar Dr Halliwell-Horner, Terima Ijazah Kehormat Dari Universiti Ternama

Ketika menerima Ijazah Kehormat, bekas anggota kumpulan Spice Girls, Geri Halliwell-Horner menekankan betapa pendidikan adalah sangat penting dan mempunyai impak yang sangat besar dalam kehidupan seseorang.


Terkenal dengan panggilan Ginger Spice, dia yang kini bergelar Dr Halliwell-Horner menerima ijazah tersebut pada majlis graduasi Universiti Sheffield Hallam baru-baru ini.



“Saya suka belajar, satu perasaan yang sangat hebat berada di sini,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan graduan. Halliwell kini berusia 50 tahun.

Universiti Sheffield Hallam memaklumkan, pemilihan Halliwell adalah sebagai mengiktiraf komitmennya yang menjadi inspirasi kepada kanak-kanak serta golongan muda di samping memperjuangkan hak wanita. Halliwell juga sukses dan cemerlang dalam industri muzik sejak 25 tahun lalu.

“Universiti Sheffield Hallam adalah sebuah institusi yang menakjubkan dan inklusif.

“Apabila mereka menawarkan Ijazah Kehormat ini, saya rasa sangat berbesar hati dan berterima kasih,” kongsi Halliwell.

Halliwell turut menjelaskan biarpun tidak melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi dia sangat meminati subjek kesusasteraan Inggeris semasa di peringkat A-Level sebelum memilih untuk memulakan karier seninya bersama Spice Girls.

Untuk info penyanyi, penulis lagu, pengarang buku serta pelakon ini mula menempa nama dalam industri muzik sekitar era 90an bersama kumpulan terkenal Spice Girls.

Halliwell bagaimanapun mengundur diri daripada Spice Girls pada tahun 1999 untuk memulakan kerjaya solonya.

IKLAN
Share