
Jadi tak keruan bila lalu di kaunter kosmetik. Lebih-lebih lagi di bahagian gincu bibir. Kalau ikutkan hati, semua warna hendak ada dalam koleksi peribadi. Disebabkan sudah rambang mata, ramai di antara wanita yang membeli gincu bibir lebih daripada apa yang diperlukan. Itu belum lagi yang tersalah beli sebab warna yang tidak sesuai dengan tona kulit. Sudahnya, hanya guna beberapa kali saja. Membazir betul!
Untuk mengelakkan anda daripada ulangi kesilapan sama, praktikkan tip ini setiap kali berkunjung ke kaunter kosmetik pusat membeli-belah.
- Matte
Warna yang terkuat kerana bertekstur matte. Ia mengandungi banyak pigmen. Tidak berkilat dan kurang berkesan memantulkan cahaya. Sapuan gingu matte bertahan lebih lama berbanding sapuan gincu tekstur berkilat. Tidak menyerlah apabila disapu tebal atau berkedut kerana ia tidak mengandungi formulasi pelembab berbanding gincu berkilat. Dapatkan pelbagai jenis warna gincu matte di NITA Cosmetics dengan harga yang berpatutan di sini.
- Krim
Gincu jenis ini biasanya pilihan di antara matte dan berkilat. Tektur krim mengandungi lebih lilin (wax) berbanding matte. Gincu jenis krim juga lebih melindungi bibir berbanding jenis lain. Bagaimanapun, penggunaannya penyebab bibir lebih kering.
- Berkilau
Juga dikenali sebagai mutiara (pearly) atau frost, gincu berkilau diperkaya formulasi partikel pantulan cahaya mica, silica, mutiara sintetik atau mungkin sisik ikan. Hari ini, gincu berkilat sering disapu untuk menyerlahkan bibir dengan rona warna lebih ringan ketika menghadiri majlis istimewa.
- Sapuan Tahan Lama
Masalah dengan semua gincu adalah kerana perlu disapu berulang kali kerana mudah pudar. Gincu jenis tahan lama merupakan pilihan terbaik jika malas untuk bersolek lagi. Adakalanya gincu kategori ini teksturnya sangat kering. Formulasinya berasaskan daripada dua kandungan iaitu bahan asas yang mengandungi minyak silikon untuk mengekalkan warna.
Apabila gincu mulai kering, sapuan berkilat yang tidak berwarna akan mengekalkan kilatan. Sapuan berkilat boleh disapu berulang namun warna asas kekal selagi tidak memadamkannya kecuali menggunakan penanggal solekan.
Bromodosis…Kondisi Boleh Buat Anda Hilang Kawan Jika Tidak Di Rawat.
Bromodosis atau kaki berbau adalah satu kondisi yang sering berlaku, baik pada wanita mahupun lelaki. Biasanya ia disebabkan peluh yang membawa kepada pembiakan bakteria. Hasilnya, kaki anda berbau busuk dan boleh menyebabkan pertumbuhan fungus pula!
Untuk memastikan masalah Bromodosis tidak berlaku, pastikan kaki sentiasa bersih dan kemas.
Penjagaan rapi
Gunakan sabun lembut dan berus skrub untuk mencuci kaki sekurang-kurangnya sekali sehari. Waktu terbaik adalah pada waktu anda mandi pagi atau petang. Pastikan kaki anda betul-betul kering. Berikan lebih perhatian pada celah-celah jemari kaki di mana di situlah bakteria mudah membiak.
Kuku sentiasa pendek
Jangan biarkan kuku kaki anda panjang sedepa baru nak potong! Sebagai wanita, bahagian paling tersembunyi adalah paling penting untuk dijaga.
Buang kulit kering
Skrub kaki dan buang kulit mati pada kaki. Kulit kaki yang kasar akan menjadi soggy ketika basah dan akan menggalakkan pertumbuhan bakteria.
Tukar stoking
Ada juga di antara para wanita yang hanya bertukar stoking seminggu sekali! Gunakan stoking bersih setiap hari, baik stoking kerja mahupun stoking yang digunakan ketika bersenam.
Kasut berbeza
Sebagai wanita, sepasang kasut tidak mencukupi. Idea untuk mempunyai lebih dari sepasang kasut sangat digalakkan agar anda boleh bertukar kasut berbeza setiap hari. Kasut yang basah menggalakkan pertumbuhan bakteria.
Pilih stoking terbaik
Stoking yang boleh menyerap kelembapan adalah pilihan terbaik termasuk material yang tebal, lembut dan diperbuat daripada fiber semula jadi.
Sepatu ikut musim
Jika cuaca panas, gunakan sandal yang lebih terbuka agar kaki anda tidak mudah berpeluh dan sebaliknya. Ini untuk memastikan kaki anda dilindungi daripada pertumbuhan bakteria.
Kasut longgar
Pilih kasut mengikut saiz sebenar. Jangan sarungkan kasut terlalu ketat.
Semburan anti-fungal
Semburan anti-fungal untuk kaki atau bedak berubat boleh membantu mengelakkan kaki berbau. Elakkan terkena bahagian luka atau tumit pecah.
Cuba pelbagai sabun
Sebelum anda mendapat sabun sesuai untuk kulit, anda perlu mencuba pelbagai jenis sabun anti bakteria untuk memastikan ia serasi dengan kulit kaki anda.
Rupanya Tak Susah Nak Miliki Rambut Sihat. 2 Langkah Ini Boleh Uji Jenis Rambut Dengan Mudah

Bila menyebut tentang penjagaan, ramai yang ambil mudah terutamanya jika mengenakan hijab. Persepsi itu sebenarnya perlu diubah kerana penjagaan rambut untuk wanita berhijab lebih penting memandangkan mereka mengenakan hijab seharian. Jadi, kesihatan rambut perlu diberi perhatian khusus.
Gaya rambut ikal kini kembali memikat penggemarnya. Tidak sekadar memberi impak glamorama, rambut yang dikemaskan dengan potongan menarik mampu menyalakan gelora cinta di hati jejaka.
Namun begitu, jika berkenan untuk menukar gaya selaras peredaran masa, pastikan ia dipotong kemas sempurna, agar rambut tetap mudah diurus meskipun ketika di luar kawalan anda!
Uji Sendiri Jenis Rambut
Tidak semua wanita dikurniakan rambut normal semula jadi. Perbezaan cuaca, gaya hidup, pemakanan dan peningkatan usia mampu menukar takdir rambut yang sihat kepada pudar tanpa tarikan.
Selain itu, penggunaan produk rambut yang bertentangan dengan jenis rambut anda juga mendorong pelbagai masalah seperti kelemumur, rambut gugur dan bercabang. Untuk mengetahui apakah jenis rambut yang anda miliki, cuba lakukan ujian mudah ini.
# Langkah 1
Sehari sebelum membuat ujian ini, syampu rambut anda seperti biasa.
# Langkah 2
Menggunakan sehelai kertas tisu, pedapkan ke akar/pangkal rambut di bahagian tengah kepala serta di belakang cuping telinga selama seminit.
Jika kertas tisu nampak berminyak, ini menunjukkan kondisi rambut yang terlebih lembapan, dan begitu juga sebaliknya.
Jenis-Jenis Rambut
(a) Normal
Rambut dari jenis normal begitu mudah diurus, bersinar dan tidak berminyak.
(b) Berminyak
Lazimnya rambut hanya cantik bermaya sehari dua selepas bersyampu. Tetapi bila masuk sahaja hari ketiga, ia mulai ‘berat’ dan berminyak-minyak. Biasanya rambut dari jenis ini sering berdepan masalah kelemumur.
(c) Kering
Rambut dari jenis ini sungguh sukar dikawal. Apalagi selepas bersyampu, ia tampak kusam dan terbelah di hujung. Kadangkala kepala terasa gatal, berkuping-kuping, begitu rapuh dan mudah putus.
(d) Kombinasi
Lahir dari kombinasi berminyak dan kering, rambut kombinasi mudah dikenalpasti kerana rona hujung rambut berwarna lebih cerah berbanding pangkalnya. Ini juga menunjukkan akar rambut anda berminyak tetapi bila sampai ke hujung, ia kering seperti akar kayu.
Jika jenis rambut anda ikal kerinting semula jadi, usah terlampau kerap meluruskannya dengan cara ironing. Ia menyeksa rambut, mengeringkan lembapan sambil menggalakkan kutikel menjadi kasar dan kusam. Dapatkan potongan sesuai bentuk wajah, melabur pada produk ‘anti-frizzy’ dan buatlah perawatan melembap sebulan sekali.
Trik Dandanan
Cuba ikat ponytail, berdiri tegak di depan cermin dan analisis bentuk wajah anda. Jika berwajah besar dan luas, elakkan menggaya fesyen rambut lepas kerana ia mencipta ilusi gempal. Gaya chignon (bun moden) dengan ‘fringe’ di atas kening merupakan pilihan paling tepat. Bagi anda yang berwajah kecil, gaya rambut ikal berombak di paras bahu mampu menyerlahkan penampilan anda.
Potongan ‘fringe’ menutupi dahi mencipta imej muda dengan segera. Hanya gunakan pengering rambut dan oleskan sedikit produk rambut yang ringan untuk gaya ringkas dan mudah.
Buat seketika, lupakan penyepit rambut untuk mencipta gaya sanggul segera. Terkini di lantai peragaan, gaya bun moden menyuntik kelainan kepada wanita yang mendamba kecantikan segera. Aksesori ‘hair sticks’, ‘headband’ dan pin berbatu kini sedang trend di pasaran.
Adakah rambut anda sering kusut dan mengurai degil? Cara paling mudah untuk mengawal rambut sukar diurus ialah ketika bersyampu. Selepas membilas sisa buih, lumurkan perapi dan pastikan anda menunggu mengikut masa yang ditetapkan. Rumusan perapi cukup berkesan untuk menjadikan gaya rambut anda sentiasa kemas dalam kawalan.
Sukarnya Singkir Jeragat, Tip Ini Boleh Bantu Cegah Masalah Jeragat

Masalah jeragat adalah masalah yang paling ditakuti oleh wanita kerana sukar untuk menyingkirkannya daripada kulit. Wanita Asia adalah paling terdedah kepada masalah jeragat kerana pendedahan cahaya matahari.
Jeragat atau melasma adalah sejenis penyakit kulit yang tidak bahaya tetapi menyebabkan kulit wajah seseorang kelihatan tidak sihat dan menjejaskan penampilan individu.
Jika anda mempunyai masalah jeragat, pasti anda tahu betapa sukarnya untuk berdepan dengan masalah tersebut. Kalau anda serius nak hilangkan jeragat anda, anda wajib tahu punca jeragat di muka terlebih dahulu sebelum mengatasinya.
Bila sudah tahu punca, senanglah anda mahu menyelesaikan masalah ini.
Cara rawatan jeragat bergantung kepada kedudukan jeragat tersebut di lapisan kulit. Jika kedudukan jeragat tersebut berada di lapisan luar kulit (melasma epidermal), hanya dengan produk kecantikan boleh menyingkirkan jeragat ini.
Tetapi, jika jeragat tersebut berada jauh di bawah lapisan kulit (melasma dermal) maka rawatan yang khusus perlu dilakukan untuk menjatuhkan jeragat tersebut.
*info
Apakah melasma: Melasma adalah gangguan biasa yang tidak diketahui punca yang menyebabkan bintik hitam (pigmentasi) terutama di bahagian wajah. Bintik hitam ini akan bertambah buruk jika berlaku perubahan hormon estrogen.
Punca Jeragat Di Kulit Wajah:
Terdedah kepada cahaya matahari terik
Pengambilan ubat-ubatan yang mengganggu hormon seperti pil perancang
Penggunaan kosmetik kulit tidak sesuai yang bersifat panas
Keturunan
Faktor kerja seperti tukang masak yang terdedah kepada bahang api
Hormon yang tidak seimbang
Faktor usia menyebabkan kolagen kurang terbentuk
Rawatan Untuk Jeragat
Rawatan yang dilakukan adalah untuk mengeluarkan jeragat dan menghalang jeragat baru terbentuk. Biasanya pakar estetik akan menganalisis terlebih dahulu yang kulit sebelum menentukan rawatan yang bersesuaian.
Pengelupasan kimia
Proses rawatan ini menggunakan larutan kimia untuk mengelupaskan dan menjatuhkan jeragat yang melekat di bahagian kulit. Biasanya rawatan ini hanya dilakukan kepada mereka yang mempunyai jeragat di bahagian luar sahaja. Namun, selepas rawatan memerlukan penjagaan kulit wajah yang rapi.
Rawatan laser
Rawatan laser sesuai untuk merawat jeragat yang berakar jauh di bawah lapisan kulit. Cahaya laser akan memancarkan pancaran-pancaran kecil menembusi kulit dan merangsang pengeluaran kolagen dan merangsang elastin.
Pengeluaran kolagen baru ini bertindak mengurangkan gangguan jeragat. Rawatan laser tidak menyakitkan dan boleh diumpamakan seperti cucukan pin kecil yang dirasakan kurang selesa bagi sesetengah orang.
Microdermabrasion
Microdermabrasion adalah teknologi untuk pengelupasan kulit. Rawatan ini telah digunakan oleh pakar-pakar kecantikan yang menggunakan sedutan vakum yang dikawal untuk menggerakkan mikro kristal yang telah disteril ke atas permukaan lapisan kulit mati untuk mengikisnya. Rawatan ini akan membuat kulit yang gelap akibat pigmentasi akan menjadi cerah serta kulit kasar akan menjadi halus.
Krim tabir suria
Bagi mengelakkan jeragat kembali berulang selepas melakukan rawatan perlu memakai krim tabir suria sebelum keluar rumah. Krim ini merupakan rawatan susulan selepas membuat rawatan.
Tip Menentang Kulit Jeragat
Setiap wanita perlu bijak memilih produk penjagaan kulit yang bersesuaian. Elak menggunakan produk yang boleh menghakis kulit. Sebaik-baiknya jangan berjemur terlalu lama di bawah cahaya matahari sehingga boleh menjadi punca kulit kering.
Jangan lupa sapu pelembap secukupnya setiap hari dan setiap malam. Kulit memerlukan tiga vitamin utama iaitu vitamin A, C dan E untuk kekal sihat. Masukkan elemen ini dalam penjagaan kulit anda. Pengambilan makanan seimbang serta pemakanan tambahan baik untuk mendapatkan kulit sihat.
6 CARA MENGHILANGKAN JERAGAT DI MUKA MENGGUNAKAN BAHAN ALAMI
1. MENJAGA KEBERSIHAN KULIT WAJAH
Cara menghilangkan jeragat di muka yang pertama ialah dengan menjaga kebersihan kulit wajah. Basuh muka sehari dua kali dengan pencuci muka.
Ini kerana jeragat berpunca dari lebihan minyak dan sel-sel kulit mati serta radikal bebas. Elakkan memakai mekap dalam jangka masa yang lama.
Dengan mencuci muka, dapat mengelakkan pembentukan sel-sel minyak. Pastikan pencuci muka yang dipakai sesuai dengan kulit wajah kita.
Elakkan pencuci yang mengeringkan kulit muka kerana ini mengundang penghasilan minyak yang lebih banyak sehingga terhasilnya jeragat.
2. ALOE VERA
Manfaat aloe vera untuk kulit muka memang banyak. Antaranya:-
– Mencerahkan wajah
– Melindungi dari sinar matahari
– Mengecut dan menghilangkan jeragat
– Mengatasi kulit kering dan berminyak.
– Menghilangkan jeragat.
– Memperbaiki sel-sel kulit yang mati
Caranya mudah:-
Campurkan jel aloe vera dengan madu
Biarkan selama lima ke 10 minit, lumurkan pada kulit muka. Selepas 20 ke 30 minit boleh bilas dengan air suam.
Lakukan setiap hari sekali sehingga mendapat hasil yang anda inginkan
3. LEMON
Lemon mengandungi asid sitrik yang membantu membersihkan kulit dari kotoran dan mampu menghilangkan jeragat.
Bukan sahaja sedap dibuat teh lemon ais, malah boleh menghilangkan bintik-bintik hitam di muka dengan berkesan.
Caranya ialah:-
Potong lemon (jangan terlalu nipis) Gosokkan pada kulit muka (pedih kalau ada luka) Biarkan 10 ke 15 minit dan bilas. Boleh juga dicampur dengan madu asli.
4. TEH HIJAU
Minum teh hijau adalah sangat baik untuk kesihatan badan. Teh hijau ini juga boleh menyelesaikan masalah jeragat.
Menurut kajian, teh hijau mempunyai faedah yang boleh mengurangi pengeluaran minyak dan juga boleh menghalang penyerapan androgen dalam kulit.
Cara menghilangkan jeragat di muka secara semula jadi dengan teh hijau adalah dengan masukkan beg teh hijau ke dalam air panas selama lima minit.
Angkat beg teh hijau dan gosok perlahan-lahan ke kawasan yang terjejas oleh jeragat.
5. OATMEAL
Tahukah anda oatmeal bukan hanya untuk dimakan sahaja tetapi juga adalah salah satu cara menghilangkan jeragat di muka? Ia bertindak sebagai agen pengelupasan semula jadi untuk menghilangkan kulit mati dan kotoran yang terkumpul. Di samping itu, ia menyerap minyak berlebihan dan membuka liang pori.
Caranya, campurkan dua sudu yogurt, satu sudu setiap jus lemon dan madu, dan empat sudu besar serbuk oat.
Anda juga boleh menambah satu sudu cuka epal cider. Lembapkan kulit anda dan jadikan masker di muka anda.
Biarkan selama 20 minit sebelum membilasnya. Anda boleh mencuba cara ini sehingga anda mendapat hasil yang diingini.
6. DIET PEMAKANAN SIHAT
Akhir sekali, cara menghilangkan jeragat di muka anda perlu mengamalkan diet pemakanan yang sihat. Kita sudah tahu bahawa minyak adalah punca utama terbentuknya jeragat dan jerawat, oleh itu jika kita hadkan pengambilan makanan yang berminyak adalah suatu perkara yang bagus.
Juga amalkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran serta meminum air yang banyak akan meningkatkan tahap kesihatan badan anda, dan badan yang sihat akan menyebabkan kulit juga menjadi sihat.
Sumber: https://www.maryjardin.co /Sinar Harian.