Guna Duit PTPTN Untuk Modal Bisnes, Kini Jenama LEEYANARAHMAN Dah Ada Bangunan Sendiri!

Nur Liyana Abdul Rahman dan Muhamad Hafiz Abdul Hamid merupakan orang kuat di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, memiliki sebuah empayar perniagaan pada usia yang masih muda bukan menjadi satu halangan kepada mereka berdua untuk terus menempa kejayaan.

“Kami memulakan perniagaan ini pada tahun 2012 yang mana ketika itu kami sama-sama menuntut di UiTM dalam peringkat ijazah srjana muda bidang kewangan. Ketika itu kami baru sahaja bercinta dan bukan bergelar suami isteri. Pemulaanya apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuatnaik gambar tersebut di laman sosial, siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut.

Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Kalau nak tahu modal yang kami keluarkan hanya sebanyak seribu ringgit dan berjaya menghasilkan 14 helai busana. Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja, dari keuntungan ini kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit, dari 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar.

Selepas itu kami menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Kalau nak tahu duit sebanyak RM1500 yang kami gunakan sebagai modal tadi adalah duit pinjaman pelajaran PTPTN yang kami terima sebenarnya, jadi saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.

Alhamdulillah dari hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri,” ujar Hafiz menjawab soalan penulis. Liyana yang sedang disolek mengangguk setuju dengan setiap jawapan yang suaminya berikan.

Jadi sebagai pasangan yang sedang bercinta dan belajar dalam satu masa yang sama, bagaimana anda memajukan jenama ini, pasti banyak cabaran yang perlu dilalui bukan?

Jawab Liyana, “Memang susah pada mulanya namun kami anggap ini sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh apabila kami sudah menjalankan perniagaan secara atas talian secara serius pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.

Kalau kami nak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan saya dan Hafiz masing-masing membawa ahli keluarga masing-masing, maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan kami dan mengelak fitnah.

Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014 kami melangsungkan perkahwinan, ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja. Sebaik melangsungkan perkahwinan lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral di tingkat satu, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman.”

Sewaktu menjalankan perniagaan ini ketika masih di Universiti, pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi yang mana mereka tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.

“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan sewaktu itu, kami membuat konsep pra-tempahan yang mana pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.

Namun siapa sangka, langit tidak selalunya cerah dan malam tidak selalu berbintang, terdapat banyak baju yang telah dijahit oleh kilang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat teruk. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman.

Mana baju yang dijahit dengan sempurna kami serahkan kepada pelanggan dan mana yang tidak elok pula kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi, maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semua harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit, dan kami faham bahawa pelanggan kecewa kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya.

Waktu peristiwa ini terjadi kami masih lagi sedang belajar, wang yang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit, jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar balik setiap wang pelangan yang tidak memperoleh baju.”

Setiap orang yang berjaya memiliki ceritera mereka sendiri. Dan dalam menuju ke jalan puncak menuju kejayaan pasti banyak perkara yang telah ditempuhi. Seperti pasangan sama cantik dan sama padan ini mereka turut memiliki rencah sendiri dalam mencipta erti kejayaan.

“Dalam berniaga kita harus bersikap profesional dan realistik, paling penting kalau terlibat di dalam satu projek misalnya, pastikan semuanya perlu ada hitam dan putih agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan, lagipun ia amat penting untuk melindungi diri kita daripada kerugian.

Dari segi sikap yang realistik pula, bagi saya kita perlu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat, kalau kita rasakan sesuatu formula yang hendak dilakukan tidak menjadi baik jangan meneruskannya sebelum kerugian. Sikap ini penting supaya kita tidak terlalu berangan-angan dan berpijak dibumi nyata dan melihat kepada keadaan semasa,” ungkap Liyana mengakhiri perbualan.

IKLAN
Share