Nur Liyana Abdul Rahman dan Muhamad Hafiz Abdul Hamid merupakan orang kuat di sebalik jenama terkenal Leeyanarahman, memiliki sebuah empayar perniagaan pada usia yang masih muda bukan menjadi satu halangan kepada mereka berdua untuk terus menempa kejayaan.
“Kami memulakan perniagaan ini pada tahun 2012 yang mana ketika itu kami sama-sama menuntut di UiTM dalam peringkat ijazah srjana muda bidang kewangan. Ketika itu kami baru sahaja bercinta dan bukan bergelar suami isteri. Pemulaanya apabila Liyana sendiri mereka busana hari rayanya dan memuatnaik gambar tersebut di laman sosial, siapa sangka ramai yang bertanya dari mana Liyana membeli baju tersebut.
Dari situlah terdetik untuk mengeluarkan modal bagi menghasilkan busana untuk dijual. Kalau nak tahu modal yang kami keluarkan hanya sebanyak seribu ringgit dan berjaya menghasilkan 14 helai busana. Alhamdulillah semuanya laris dijual dalam masa sejam sahaja, dari keuntungan ini kami menggandakan jumlah busana yang dihasilkan sedikit demi sedikit, dari 14 menjadi 28 dan kemudian 36 sehinggalah kami mampu menjual dalam skala yang besar.
Selepas itu kami menghentikan rekaan ini dan bermula lebih serius dalam menghasilkan rekaan busana yang lain. Kalau nak tahu duit sebanyak RM1500 yang kami gunakan sebagai modal tadi adalah duit pinjaman pelajaran PTPTN yang kami terima sebenarnya, jadi saya menyumbang sebanyak RM900 dan Liyana pula sebanyak RM600.
Alhamdulillah dari hanya wang sebanyak itu kini jenama Leeyanarahman sudah memiliki bangunan sendiri,” ujar Hafiz menjawab soalan penulis. Liyana yang sedang disolek mengangguk setuju dengan setiap jawapan yang suaminya berikan.
Jadi sebagai pasangan yang sedang bercinta dan belajar dalam satu masa yang sama, bagaimana anda memajukan jenama ini, pasti banyak cabaran yang perlu dilalui bukan?
Ads
Jawab Liyana, “Memang susah pada mulanya namun kami anggap ini sebagai satu cabaran untuk berjaya. Bagi saya setiap satu perkara atau masalah boleh di atasi jika kena dengan caranya. Sebagai contoh apabila kami sudah menjalankan perniagaan secara atas talian secara serius pastinya jumlah busana yang diperlukan adalah dalam skala yang besar.
Kalau kami nak ke negara China bagi memilih fabrik yang diperlukan saya dan Hafiz masing-masing membawa ahli keluarga masing-masing, maklumlah ketika itu hubungan kami masih belum sah. Jadi ini sahaja cara kami untuk menguruskan perniagaan kami dan mengelak fitnah.
Akhirnya sebaik sahaja tamat belajar pada tahun 2014 kami melangsungkan perkahwinan, ini memudahkan lagi pergerakan kami untuk ke mana sahaja jika berdua terutamanya ke luar negara atas urusan kerja. Sebaik melangsungkan perkahwinan lebih kurang dua bulan kami membuka sebuah butik fizikal di Bangi Sentral di tingkat satu, di sana kami bertatih menguruskan perniagaan secara fizikal dengan serius dan menimba banyak pengalaman. Alhamdulillah dari hanya berada di tingkat satu, lebih kurang setahun kemudian kami berjaya memiliki ‘menara’ sendiri setinggi lima tingkat yang mana dari bawah ke atas bangunan adalah milik jenama Leeyanarahman.”
Ads
Sewaktu menjalankan perniagaan ini ketika masih di Universiti, pasangan ini pernah berhadapan dengan situasi yang mana mereka tidak dapat menyediakan tempahan para pelanggan tepat pada waktu dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
“Ini adalah satu perkara yang kami berdua tidak akan lupa sampai bila-bila. Memang betul-betul menguji kesabaran dan juga membuatkan kami terasa sangat sedih. Bayangkan sewaktu itu, kami membuat konsep pra-tempahan yang mana pelanggan boleh memilih rekaan mana yang mereka mahukan dan membuat bayaran. Baju tersebut akan dijahit secara khas mengikut saiz mereka.
Ads
Namun siapa sangka, langit tidak selalunya cerah dan malam tidak selalu berbintang, terdapat banyak baju yang telah dijahit oleh kilang mengambil tempahan terpaksa kami tolak kerana kualiti jahitan sangat teruk. Waktu itu kami benar-benar diuji dari segi kesabaran dan harus bangun membersihkan jenama Leeyanarahman.
Mana baju yang dijahit dengan sempurna kami serahkan kepada pelanggan dan mana yang tidak elok pula kami terpaksa menelefon pelanggan dan menerangkan situasi yang terjadi, maki hamun yang dihamburkan terpaksa kami telan. Semua harus kami lalui kerana itu adalah silap kami juga kerana terlalu percaya dengan tukang jahit, dan kami faham bahawa pelanggan kecewa kerana baju tersebut mereka perlukan untuk dipakai pada hari raya.
Waktu peristiwa ini terjadi kami masih lagi sedang belajar, wang yang bayaran yang diterima sudah kami gunakan sebagai kos membeli kain dan menjahit, jadi memang pahit rasanya memikirkan bagaimana untuk membayar balik setiap wang pelangan yang tidak memperoleh baju.”
Setiap orang yang berjaya memiliki ceritera mereka sendiri. Dan dalam menuju ke jalan puncak menuju kejayaan pasti banyak perkara yang telah ditempuhi. Seperti pasangan sama cantik dan sama padan ini mereka turut memiliki rencah sendiri dalam mencipta erti kejayaan.
“Dalam berniaga kita harus bersikap profesional dan realistik, paling penting kalau terlibat di dalam satu projek misalnya, pastikan semuanya perlu ada hitam dan putih agar tidak ditipu. Bagi saya perkara ini adalah satu tindakan utama yang harus dilakukan bagi menjamin kelancaran sesebuah perniagaan, lagipun ia amat penting untuk melindungi diri kita daripada kerugian.
Dari segi sikap yang realistik pula, bagi saya kita perlu jujur dengan setiap keputusan yang bakal dibuat, kalau kita rasakan sesuatu formula yang hendak dilakukan tidak menjadi baik jangan meneruskannya sebelum kerugian. Sikap ini penting supaya kita tidak terlalu berangan-angan dan berpijak dibumi nyata dan melihat kepada keadaan semasa,” ungkap Liyana mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kesusahan adalah kunci kepada kejayaan dalam mendidik jiwa anak-anak. Kesusahan juga dapat melahirkan seorang insan berjiwa kental. Sebaliknya, kesenangan dan kemewahan umpama racun yang mampu membunuh jiwa insan.
Perkongsian Pengurus Rumah Amal Limpahan Kasih Puchong, Rashidah Abdullah membuka membawa kita untuk melihat lebih dekat kehidupan anak-anak yatim di Rumah Amal Limpahan Kasih. Jelas terpancar raut wajah mereka yang bersih dan menenangkan jiwa.
Rumah Amal Limpahan Kasih, ia merupakan pusat kebajikan dan pendidikan yang menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan asnaf zakat yang beroperasi sejak Januari 2007 di atas tanah milik persendirian.
SUKARELAWAN SEPENUH MASA
Sejak kematian suami beberapa tahun lalu, Rashidah yang berusia 54 tahun ini menjadi sukarelawan sepenuh masa di Rumah Amal Limpahan Kasih. Rashidah amat bertuah kerana arwah suaminya juga seorang yang sangat menyokong tugas-tugas sukarelawan.
Atas alasan itulah Rashidah mengambil keputusan untuk membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di Rumah Amal Limpahan Kasih.
“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk berfikir kerana arwah suami sangat menggalakkan saya melakukan tugas-tugas sukarelawan. Memandangkan saya seorang ibu tunggal maka mudah untuk saya menyelami perasaan dan kehidupan anak-anak ini.
Naluri keibuan saya sangat kuat, maka mudah untuk menyemai kasih sayang dalam jiwa anak-anak di sini. Ada caranya untuk mendekati mereka yang sentiasa ingin dibelai dan dimanja.
Mereka kurang kasih sayang. Rasulullah SAW juga seorang anak yatim piatu, Baginda juga membela anak-anak yatim. Saya mengambil inspirasi daripada Rasulullah SAW.
Hubungan kami umpama ibu dengan anak. Mereka menggelarkan saya Ibu. Tiada langsung jurang sebaliknya kami lebih mesra dan rapat. Apa jua masalah mudah dikongsi kerana keselesaan dan kemesraan telah ada.
Selain saya, terdapat beberapa lagi kakitangan wanita di sini yang digelar Ibu,” jelas anak kelahiran Negeri Sembilan ini yang memiliki 4 orang anak.
CABARAN
“Untuk mendidik anak-anak ini tak boleh terlalu tegas atau terlalu berlembut. Perlu banyak bersabar dan berikan kasih sayang sepenuhnya buat mereka. Ini salah satu cabaran buat saya selain mendapatkan dana untuk pendidikan dan pentadbiran.
Selain usaha dan doa, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Alhamdulillah rezeki datang menjemput tanpa diduga. Apa yang penting jangan meminta. Itulah yang kami didik ke dalam jiwa anak-anak di sini.
Anak-anak juga perlu dididik agar seimbang rohaniah dan lahiriah. Anak-anak dilatih dengan ketabahan, kekuatan jiwa dan hubungan hati dengan Allah SWT. Usaha secara berterusan ialah mendapatkan rasa takut setakutnya pada Allah SWT dan rindu serindu rindunya pada Nabi SAW.
Segalanya dilakukan melalui disiplin ibadah solat, selawat dan aktiviti kerohanian. Juga melalui usrah yang dapat mengasah bakat kepimpinan, rasa tanggungjawab, meningkatkan kemahiran hidup dan keyakinan diri mereka. Semua penghuni dibantu sehingga mereka dapat merasai hidup umpama sebuah keluarga,” kongsi Rashidah.
RAMADAN
“Setiap kali menjelang Ramadan, selain memenuhi jemputan berbuka puasa di luar kami turut menjemput warga emas dan ibu tunggal untuk sama-sama berbuka puasa di sini. Maka dapatlah kami berkongsi rezeki bersama-sama di samping mengeratkan silaturrahim,” akhiri Rashidah.
Foto: Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Rupa paras yang jelita dengan penampilan serba elegan merupakan kelebihan luar biasa isteri TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib. Sejak berumah tangga dengan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, sikap beliau yang tidak kekok menyantuni rakyat jelas membuatkan wanita Syria ini makin disayangi.
Sempena ulang tahun kelahiran yang ke-39, Toh Puan Raghad memanjatkan kesyukuran atas nikmat usia dikurniakan-Nya. Dalam hantaran terbaharu beliau di media sosial, beberapa nama ini disebut sebagai ‘orang-orang penting’ yang membahagiakan dirinya serta sentiasa akan dihargai setiap masa.
A year older, a year wiser. My heart desires to be grateful always and to appreciate everyone in my life every other day.
Thank you, mommy and dad, for bringing such a wonderful gift in the world and for always showing me the way.
Dearest husband, I’m so grateful you’re in my life. Thank you for being my love and my best friend. I love you so much.
My children and wonderful family, all of you have been a blessing in my life. Thank you for making me feel loved and wanted.
And Thank You to all of you my friends for the messages and posts for my birthday! They are all very appreciated and absolutely made my day.
I’m a lucky person to have all these lovely people in my life. Thank you again for the birthday wishes. May every day of my life be filled with your love, blessings and good wishes!
Ibu bapa, suami, anak-anak, ahli keluarga serta rakan-rakan Toh Puan Raghad sentiasa menjadi sumber kebahagiaannya. Bertuah punya seseorang yang selalu mengenang orang-orang sekeliling, patutlah hatinya tenang dan gembira selalu.
Ruangan komen Toh Puan Raghad turut dibanjiri dengan ucapan selamat hari jadi daripada ahli keluarga, rakan-rakan serta rakyat jelata yang menyenangi dirinya.
Sebelum ini, keprihatinan Toh Puan Raghad terhadap pandemik COVID-19 turut mendorong beliau menyampaikan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada Hospital Umum Sarawak (HUS).
Sumbangan itu dibuat bagi menghargai jasa dan pengorbanan para petugas kesihatan yang telah bertungkus-lumus menangani wabak tersebut sejak awal Mac 2020. Baca laporan penuh Nona di sini.
Beliau sebelum itu kerap dilihat turun padang memberi bantuan kepada rakyat Sarawak yang memerlukan. Antaranya kepada golongan asnaf dan keluarga yang tidak berkemampuan.
Sedar atau tidak, bulan Ramadan berlalu pantas meninggalkan kita. Memasuki 10 malam terakhir, pastinya ramai yang berlumba-lumba mahu mendapatkan kelebihan Lailatul Qadar yang telah dijanjikan pahala berlipat kali ganda. Tapi bagaimana kalau tiba-tiba datang bulan, bolehkah wanita menikmati kelebihannya?
Usah risau wahai kaum wanita yang didatangi haid ketika 10 terakhir Ramadan kerana kita juga boleh berusaha untuk meraih pahala seperti mana mereka yang tidak uzur. Ini seperti yang dikongsi laman Twitter oleh Abu Aufa atau nama di laman Twitternya @AzlinMuhammad.
“Kalau kita ‘uzur’ pada 10 terakhir Ramadan, apa yang kita boleh buat untuk mendapatkan Lailatul Qadar?”
Jangan risau wahai golongan wanita. Walaupun anda tak dapat puasa, solat dan membaca Al-Quran pada 10 malam terakhir Ramadan, masih banyak amal kebaikan yang boleh dimanfaatkan.
√ Menyediakan makanan berbuka
Boleh sediakan makanan untuk sesiapa sahaja. Masak dan sediakan untuk ahli keluarga sendiri pun dah dapat pahala orang yang berpuasa dah.
Kalau tak sempat masak. Boleh beli sahaja. Berikan untuk orang lain berbuka puasa.
√ Menyediakan makanan sahur.
Selain mendapat pahala memberi makan orang lain, ia juga memberi peluang untuk turut menghidupkan waktu sahur untuk dengan qiamulail.
Qiamulail tak semestinya solat. Boleh dalam bentuk zikir, istighfar dan doa. Doa banyak-banyak, waktu mustajab ni.
√ Menjauhi larangan agama.
Jangan kerana tidak puasa, terus lalui hari 10 terakhir Ramadan dengan perkara yang lalai dan sia-sia.
Manfaatkan masa dengan kebaikan. Jaga mata, jaga telinga, jaga mulut dan anggota badan daripada perkara yang dilarang.
√ Banyakkan berdoa dan berzikir.
Sepanjang bulan Ramadan adalah waktu mustajab berdoa.
Lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka, waktu bersahur dan 1/3 malam. Sambil-sambil tolong siapkan makanan tu, banyakkan berdoa.
√ Mengingatkan ahli keluarga kepada kebaikan.
Ingatkan ahli keluarga yang lelaki supaya solat fardhu dan solat terawih berjemaah di masjid.
Jika ada ahli keluarga dalam kalangan anak kecil, tolong jagakan. Mudahkan ahli-ahli keluarga lain untuk beribadat.
√ Menyibukkan diri menuntut ilmu.
Manfaatkan masa dengan menghadiri majlis ilmu, mendengar ceramah agama, membaca buku ilmiah, mendengar bacaan Al-Quran, membaca tafsir Al-Quran dan sebagainya.
Yan penting, dapat menambahkan amala kebajikan dan manfaat buat diri.
√ Banyakkan bersedekah dan derma.
Nabi Muhammad SAW sendiri menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Rebutkan pahala berlipat kali ganda di bulan Ramadan dengan bersedekah.
Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir Ramadan. Perbanyakkan sedekah.
Kesimpulannya, Islam ialah agama yang mudah dan memudahkan. Kepada kaum Hawa, masih terbuka luas peluang untuk merebut pahala ibadat 10 malam terakhir Ramadan!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!