Celine Dion nyata seorang wanita dan ibu yang berjiwa kental. Sejak mula berkahwin dengan Rene Angelil, Celine sudah merancang untuk memiliki anak ramai. Mana tidaknya, dia dilahirkan dalam keluarga besar dan sebagai anak bongsu daripada 14 orang beradik Celine sentiasa mendapat tumpuan dan perhatian keluarga.
Meskipun secara luaran, Celine disifatkan sebagai seorang wanita yang sukses, kaya, ternama dan mampu memiliki apa saja yang diinginkan namun hakikatnya perjalanan hidup penyanyi berkelas dunia ini tidak berjalan begitu lancar.
Terutamanya apabila melibatkan soal anak. Menghadapi kesulitan untuk hamil, Celine dan suami tercinta akhirnya dikurniakan anak lelaki sulung ketika berusia 33 tahun selepas menjalani rawatan kesuburan IVF.
Baik Celine mahupun Rene, kedua-dua tidak menyangka akan menghadapi masalah untuk mempunyai anak. Selepas bertahun-tahun ikhtiar dan cuba pelbagai kaedah untuk hamil, mereka masih menemui jalan buntu dan usaha pasangan ini untuk timang cahaya mata tetap gagal.
Pada tahun 1999, Rene disahkan menghidap kanser tekak dan sebagai langkah pencegahan, lelaki kesayangan Celine ini nekad membekukan sperma miliknya kerana khuatir kualiti terjejas akibat kesan kemoterapi.
Ads
Sementara itu, Celine pula melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesuburan di New York pada Mei 2000 dan menjalani dua pembedahan kecil sebagai usaha meningkatkan peluangnya untuk hamil.
Pada 25 Januari 2001, anak sulung mereka bernama Rene-Charles selamat dilahirkan secara pembedahan.
Selepas kelahiran Rene-Charles, suami isteri ini menyimpan hasrat untuk menambah anak dan mereka sekali lagi menjalani rawatan kesuburan IVF.
Ads
Pun begitu, Celine mengalami keguguran pada tahun 2009 dan setelah enam kali berusaha akhirnya pada percubaan ketujuh, Celine disahkan hamil anak kembar lelaki ketika usianya mencecah 42 tahun pada 2010.
Dia terpaksa melahirkan bayi kembar Nelson dan Eddy secara pembedahan ketika usia kandungan baru mencecah 33 minggu. Bagaimana pun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan selamat.
Ads
Hasrat Celine untuk menimang cahaya mata perempuan tidak kesampaian apabila Rene dilaporkan meninggal dunia akibat kanser yang dihidapi pada tahun 2016.
PENGALAMAN yang dilalui oleh Nadiah (bukan nama sebenar) ini memang agak memilukan. Sudahlah ditinggalkan suami, dirinya pula seperti disingkirkan oleh keluarga. Dengan anak-anak seramai enam orang dan dia pula tidak mempunyai pekerjaan.
Apa yang memilukan, sepanjang tempoh itu, keluarganya langsung tidak ambil kisah. Tanpa sebarang pekerjaan dan kemudian setelah bekerja, ditipu pula. Pun tidak ada siapa yang ambil tahu walau pun dia tinggal menyewa di sebelah rumah ibunya yang tersergam. Tetapi keadaan menjadi kecoh dan seluruh keluarga menjadi gempar apabila Nadiah mengambil keputusan menjadi isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan.
Luahan rasa Naidah…
SAYA datang dari sebuah keluarga besar. Dari segi perangai, saya memang agak berbeza berbanding dengan adik beradik yang lain. Seorang yang agak ‘reserve’ dan mempunyai sedikit kelebihan dari segi rupa dan pelajaran. Kemudian saya juga bertemu jodoh dengan seorang yang agak berkedudukan.
Saya tidak pernah meninggi diri dengan kelebihan yang saya miliki itu. Namun saya sedar, ada di antara adik beradik yang cemburu. Apa lagi, setelah berkahwin suami pula tidak suka saya terlalu bergaul dengan adik beradik. Semuanya gara-gara dia tidak berkenan dengan sikap mereka termasuk ibu saya yang kononnya ‘busy body’, cakap lepas dan macam-macam lagi.
Saya tidak menafikan kata-kata suami itu. Namun walau apa pun, bagi saya mereka tetap keluaga saya. Kerana itu setelah berkahwin, saya minta tinggal berhampiran dengan keluarga. Dan saya hanya bertemu mereka ketika suami tiada di rumah. Kerana itu tidak hairanlah apabila kehidupan saya lebih banyak tertumpu kepada rumah tangga. Saya tidak pernah bersama adik-beradik duduk bersembang-sembang di rumah ibu pada waktu petang.
Selepas melahirkan anak pertama, saya berhenti kerja. Sejak itu, saya benar-benar bergantung hidup pada suami. Namun suami tetap memberi wang untuk saya berikan kepada ibu. Kerana suami saya tidak kedekut dari segi wang ringgit. Malah boleh dikatakan agak boros.
Suami memang mahukan anak yang ramai kerana dia merupakan anak tunggal. Namun saat melahirkan anak ke enam, bermulalah episod duka di dalam hidup saya. Saya ditinggalkan kerana dia telah mempunyai orang lain.
Sebenarnya saya tidak tahu apa yang dia cari. Kerana bukan saja perempuan itu lebih tua daripadanya (suami 11 tahun lebih tua daripada saya) tetapi mempunyai latar belakang yang tidak baik. Tapi apakan daya, itu pilihannya.
Saya diceraikan sewaktu suami dipecat atas tuduhan pecah amanah. Kemudian kami membuka butik. Tetapi bankrap kerana ditipu. Dia bekerja pula di sebuah syarikat pengiklanan. Ketika itulah saya dengar cerita dia bertemu dengan perempuan itu dan saya diceraikan… Ketika saya diceraikan, tidak ada apa yang mampu saya tuntut kerana dia memang tidak mempunyai apa-apa sudah.
Dia memang sedang jatuh teruk. Kalau dulu kami mempunyai tiga buah kereta, tetapi kini basikal anak pun telah dijual. Bahkan banyak barang-barang berharga di rumah yang telah dijual dan wang simpanan juga tepaksa dikeluarkan ketika bankrap dulu.
Dalam keadaan ‘tidak ada apa-apa’ itulah saya terpaksa hidup bersama enam orang anak. Sedangkan dia terus menghilangkan diri. Dari menyewa rumah besar, saya terpaksa berpindah ke sebuah rumah tanpa bilik. Mana barang-barang yang boleh dijual telah saya jual semuanya kerana ingin menampung kehidupan kami anak beranak.
Akhirnya saya mendapat pekerjaan. Ibu mahu menjaga anak-anak saya yang belum bersekolah tetapi saya perlu membayar sebanyak RM300 seorang. Mana nak cari duit sebanyak itu? Akhirnya hanya anak yang kecil saya hantar sementara yang lain (yang belum bersekolah) tinggal di rumah. Jiran sebelah yang tolong tengok-tengokkan.
Hanya tiga bulan pertama, saya menerima gaji. Bulan-bulan berikutnya, gaji mula tersekat-sekat. Bahkan tak pernah lagi dapat cukup. Apabila ditanya, syarikat kata ada masalah. Saya cuba minta kerja di tempat lain. Dengan usia yang dah banyak, bukan mudah untuk mencari kerja. Dalam pada itu, ramai pula yang mengambil kesempatan atas status janda saya.
Dalam terkapai-kapai itulah saya diperkenalkan dengan Sham (bukan nama sebenar). Pada peringkat awal, saya tidak menganggap apa-apa terhadapnya. Lagi pun saya tidak terfikir untuk berkahwin lagi. Apa lagi, dia sudah mempunyai dua isteri. Bagi saya berkahwin lagi bererti saya mencari masalah. Lagi pun siapalah yang jujur hendak mengahwini janda beranak enam?
Perkenalan itu berjalan biasa-biasa saja. Sering juga kami keluar makan tetapi saya pastikan bukan berdua. Banyak kali juga dia menghulurkan wang kerana tahu keperitan hidup saya. Tapi semuanya saya tolak dengan baik.
Suatu hari, saya didatangi seorang wanita yang walau pun telah agak berumur tetapi masih cantik dan bergaya. Berderau darah saya apabila dia mengenalkan dirinya sebagai isteri Sham. Saya sangka wanita itu ingin menyerang saya. rupa-rupanya tidak. Sebaliknya dia menyuarakan hasrat untuk melamar saya sebagai madunya.
Sekali lagi saya terkedu. Bala apakah yang datang ini? Enam bulan saya mengambil masa untuk berfikir. Dalam pada itu, sering juga isteri Sham (termasuk isteri mudanya) bertemu dengan saya. Ada juga beberapa kali mereka menjemput saya dan anak-anak makan-makan bersama. Waktu itu saya sedar, isteri mudanya kurang senang dengan kehadiran saya. Maklumlah, usianya belum pun menjangkau 30 sedangkan saya sudah 37 tahun.
Melihat keikhlasan Sham dan isterinya, akhirnya saya nekad untuk menerima lamaran itu. Tetapi seperti yang diduga, ibu dan seluruh adik beradik menentang sekeras-kerasnya. Saya dituduh menjatuhkan maruah keluarga, merampas suami orang, perempuan gatal dan tak tahan nak berlaki dan macam-macam kata nista lagi.
Saya benar-benar sedih. Untuk pengetahuna semua, sepanjang saya susah selepas ditinggalkan suami, tidak ada seorang pun adik beradik yang menghulurkan bantuan. Walhal mereka tahu saya tidak bekerja dan setelah bekerja tidak dibayar gaji pula. Ibu ada beberapa rumah sewa, tetapi langsung tidak menawarkan sebuah untuk saya. Sanggup dia melihat saya dan anak-anak menyewa di rumah yang sempit dan usang begitu. Ketika anak-anak sakit, jiran dan rakan-rakanlah yang membantu.
Kini telah hampir dua tahun saya menjadi isteri ketiga Sham. Dan selama inilah juga, saya hidup tersisih daripada keluarga.
“Aku tidak ada anak yang sanggup merampas suami orang. Aku tak ada anak yang hidup bermadu. Kau dah gatal, kau ikutlah lelaki tu,” itulah kata ibu ketika saya bersalam sengannya selepas bernikah dengan Sham.
Dan setiap kali saya pulang ke rumah, ibu hanya buat tak kisah. Begitu juga dengan adik beradik yang lain. Bukan hanya pada saya, bahkan juga pada anak-anak. Saya terlalu rindukan ibu dan adik beradik yang lain kerana sejak kecil kami memang tidak pernah berpisah. Tapi apakan daya.
Namun saya masih tetap bersyukur kerana mempunyai suami dan madu-madu yang baik. Hidup saya kini seperti orang terbuang dalam keluarga sendiri. Hanya madu-madu itulah yang kini menjadi saudara saya di dunia dan akhirat hingga kini…
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Puan Sri Datin Seri Normala Samsudin rai hari jadi ke-62 dalam suasana penuh bermakna apabila anak kesayangannya, Dr Ruhila Roslan, menitipkan ucapan menyentuh hati yang meraih perhatian ramai di media sosial.
Nama Puan Sri Datin Seri Normala Samsudin bukanlah asing dalam industri penyiaran tempatan. Sebagai bekas penyampai berita, pengacara televisyen dan pelakon yang pernah mencipta fenomena, beliau kekal dikenang sebagai antara personaliti wanita paling berpengaruh di negara ini. Walaupun kini sudah berusia 62 tahun, pesona dan karisma yang dimiliki masih kekal terserlah.
Dilahirkan pada 4 Jun 1964 di Johor, beliau melalui perjalanan hidup yang penuh warna-warni dan berjaya membina nama yang cukup dihormati dalam industri media. Kini, kehidupan beliau lebih tertumpu kepada keluarga dan menikmati peranan baharu sebagai nenek yang penyayang.
Sempena hari istimewa tersebut, Dr Ruhila Roslan meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan seorang ibu yang sentiasa menjadi sumber kekuatan dan inspirasi dalam hidupnya.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, Dr Ruhila mendoakan agar ibunya sentiasa diberikan kesihatan yang baik, ketenangan jiwa, kebahagiaan serta dilimpahi rahmat dan keberkatan dalam setiap fasa kehidupan.
Ucapan yang penuh makna itu turut menyentuh soal pengorbanan seorang ibu yang tidak pernah berkira dalam memberikan kasih sayang, perhatian dan sokongan kepada anak-anak. Kata-kata yang ditulis jelas menggambarkan penghargaan mendalam terhadap segala pengorbanan yang telah dilakukan sepanjang membesarkan keluarga.
Ramai pengikut media sosial turut meninggalkan ucapan hari lahir dan mendoakan kesejahteraan buat tokoh yang pernah mencetuskan inspirasi kepada jutaan rakyat Malaysia itu.
Kehidupan Puan Sri Datin Seri Normala Samsudin kini semakin bermakna dengan kehadiran cucu sulung lelaki, Aamin Yusuf yang dilahirkan pada 15 Jun 2022. Kehadiran cahaya mata pertama kepada Dr Ruhila dan suaminya, Majid Nazli itu membawa sinar baharu dalam kehidupan keluarga mereka.
Beliau juga selesa membahasakan dirinya sebagai ‘Tok Mama’, satu panggilan yang cukup mesra dan dekat di hati ahli keluarga. Momen bersama cucu sering dikongsikan dan menjadi antara kenangan paling berharga dalam kehidupannya ketika ini.
Salah satu perkara yang sering menjadi perhatian ramai ialah penampilan beliau yang masih kekal anggun walaupun sudah memasuki usia enam dekad. Wajah yang sentiasa berseri serta gaya hidup sihat yang diamalkan membuatkan ramai kagum dengan kecergasan yang dimiliki.
Beliau percaya bahawa penjagaan kesihatan yang konsisten memainkan peranan penting dalam memastikan tubuh badan kekal sihat dan bertenaga. Selain menjaga pemakanan, beliau turut mengamalkan gaya hidup aktif yang membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan mental.
Berbeza dengan tanggapan bahawa usia persaraan adalah masa untuk berehat sepenuhnya, beliau memilih untuk terus aktif menjalani pelbagai aktiviti luar yang mencabar.
Menerusi perkongsian di media sosial, beliau sering memuat naik aktiviti berbasikal bersama rakan-rakan selain menyertai pendakian ke beberapa lokasi terkenal. Antara gunung yang pernah didaki termasuk Gunung Tahan, Gunung Kinabalu dan Gunung Batur di Indonesia.
Semangat luar biasa yang ditunjukkan membuktikan bahawa usia bukanlah penghalang untuk seseorang terus aktif, sihat dan menikmati kehidupan dengan penuh bermakna.
Selain dikenali kerana kerjaya cemerlang dalam dunia penyiaran, beliau juga sering berkongsi pandangan yang memberi inspirasi kepada golongan wanita. Baginya, kecantikan sebenar bukan hanya terletak pada rupa paras, tetapi turut melibatkan ilmu pengetahuan, akhlak yang baik dan kekuatan iman.
Beliau percaya setiap wanita mempunyai potensi tersendiri untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Pendidikan, kebijaksanaan serta keupayaan mengurus kehidupan merupakan aset penting yang mampu membantu wanita menghadapi pelbagai cabaran pada masa hadapan.
Menurutnya, wanita yang berilmu bukan sahaja mampu membina keluarga yang lebih baik, malah berupaya berdikari dan menghadapi sebarang situasi dengan penuh keyakinan.
Sebagai bekas pengacara, wartawan penyiaran, penyampai berita dan pelakon yang pernah mewarnai industri media negara, Puan Sri Datin Seri Normala Samsudin meninggalkan legasi yang cukup besar. Program Nona yang pernah dikendalikannya masih menjadi antara program televisyen yang diingati sehingga hari ini.
Pada usia 62 tahun, beliau membuktikan bahawa kecantikan sejati hadir daripada hati yang baik, kehidupan yang seimbang serta jiwa yang sentiasa bersyukur. Sambutan ulang tahun kelahiran kali ini bukan sahaja meraikan pertambahan usia, malah menjadi penghargaan terhadap perjalanan hidup seorang wanita yang telah memberi inspirasi kepada ramai rakyat Malaysia sepanjang beberapa dekad.
Kejelitaan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sememangnya memukau pandangan. Sejak bergelar Pembaca Berita sehingga ke saat ini, ramai yang mengagumi kecantikan baginda. Tambahan pula, Tengku Permaisuri Selangor seorang wanita yang penuh dengan sifat kelembutan dan tidak lekang mengukir senyuman kepada rakyat.
Terbaru, penampilan baginda ketika menghadiri satu majlis rasmi kembali mencuri perhatian ramai. Bertempat di Istana Alam Shah, Klang… DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyantuni lawatan ahli-ahli Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Wanita Permata Selangor. Seperti yang dilaporkan menerusi laman media sosial rasmi Selangor Royal Official, majlis tersebut berlangsung sekitar empat hari lalu iaitu pada tanggal 27 Februari 2020.
Anggun menyarung persalinan tradisi rona putih bercorak bunga-bungaan hijau, kemunculan Tengku Permaisuri Selangor nyata dinanti-nantikan ahli PERKIM yang turut mengenakan pakaian rasmi mereka dari rona senada. Ceria menyambut lawatan mereka ke Istana Alam Shah, DYMM Tengku Permaisuri Norashikin kelihatan tidak putus-putus menguntum senyuman dan beramah mesra bersama mereka.
Memilih gaya minimalis dengan menggayakan aksesori subang mutiara dan sebentuk cincin di jari manis, kejelitaan baginda bagaimana pun tetap menyerlah. Malah, rata-rata rakyat yang melihat penampilan baginda mengakui terpikat dengan kesederhanaan Tengku Permaisuri Norashikin dalam menjaga penampilan. Nampak tidak keterlaluan, namun cukup manis dipandang.
Bahkan ruangan komen media sosial Selangor Royal Official turut dihujani dengan kata-kata pujian daripada rakyat yang menyenangi peribadi Tengku Permaisuri Selangor.
Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan cenderahati kepada ahli PERKIM selain meraikan mereka dalam majlis santapan tengahari. Pastinya momen bersua muka bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin meninggalkan kenangan manis buat seluruh ahli PERKIM terlibat.
Sumber: Selangor Royal Official
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Idy Chan kembali mencuri perhatian pada usia 66 tahun apabila penampilannya yang anggun dan awet muda tular di media sosial. Ketahui kisah pelakon ikonik Bibi Lung yang memilih kehidupan sederhana selepas bersara.