Hati perempuan mana yang tidak terkesan apabila hubungan yang diharap akan membawa ke jannah putus di tengah jalan. Namun, usahawan kosmetik ini tidak mahu mengalah dengan perjalanan hidupnya. Meskipun mengharapkan perkahwinan ketiganya berjalan lancar namun terpaksa akur dengan ketentuan jodoh untuknya.
Cerita wanita yang mesra disapa Joy Revfa tentang perkahwinan ketiganya, “Ya, memang benar, saya putus tunang. Kami merancang untuk berkahwin waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Semua persiapan sudah dah siap. Tapi, bila majlis perkahwinan asyik tertangguh lama-lama timbul rasa tak sesuai. Jadi bila rasa tak serasi dan rasanya elok saya meluahkan untuk tidak meneruskan hubungan,” tutur wanita yang pernah berkahwin dengan Hafiz Hamidun ini.
Kagum dengan semangat Pengasas MERVE Group Holdings Berhad ini yang tidak patah semangat dan terus merencana kehidupannya terutama dalam perniagaan dan anak tunggalnya. “Sedih memang lah sedih. Tapi, saya putus secara baik dan tidak timbul pergaduhan di antara kami. Bekas tunang seorang lelaki yang baik tapi mungkin kerana perkenalan kami terlalu singkat dan belum sempat kenal hati budi masing-masing,” kata wanita yang mudah mesra ini.
Wujud istilah serik untuk berkahwin lagi? “Dua kali gagal dalam perkahwinan dan kini putus tunang pula, sebenarnya saya setakat ini belum tertutup lagi pintu hati untuk menerima lelaki yang bergelar suami. Nak kata serik tu kadang-kadang serik juga, tapi bila masuk perkahwinan kali ketiga, saya kena betul-betul memilih siapa calon suami. Saya mencari yang sesuai dengan diri ini dan satu kepala,” bicara Joy Revfa.
Tambahnya lagi, “Kebanyakan circle saya adalah terdiri daripada lelaki yang berjaya dan berduit. Jadi saya bukan memandang lelaki yang kaya, berharta atau pun berkerjaya. Apa yang penting calon suami saya nanti dapat membimbing, memahami saya dan yang paling penting adalah keserasian.
Bagaimana mahu mencari keserasian? Sebab itu kita kena kenal dalam tempoh setahun atau dua tahun. Baru boleh tahu keserasian tersebut,” ujar ibu kepada seorang anak lelaki yang berusia 6 tahun ini. Semoga Joy Revfa dipertemukan dengan calon suami yang mempunyai husband material idamannya.
Terserlah sifat keibuan dalam diri Tunku Kaiyisah saat berbicara tentang dua orang putera kesayangannya. “Menjadi seorang ibu banyak mengajar saya erti perkataan sabar. Mungkin dulu kita cepat melatah ketika muda, tetapi sebaik sahaja menimang cahaya mata kesabaran benar-benar diuji. Bayangkan sudah biasa tidur lena tiba-tiba jururawat datang bawa masuk bayi kita untuk menyusu.
Itu adalah antara cabaran saya apabila masuk ke usia 30an dan dianugerahkan menjadi seorang ibu. Sudah tentu nikmat bergelar seorang ibu hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Bila anda bukan bergelar seorang ibu sukar hendak mengekspresikan perasaan ini.
Kadang-kadang timbul rasa bersalah apabila sering keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan mereka di rumah tetapi teknologi telekomunikasi membuat kehidupan lebih mudah dan kita sebagai ibu boleh berkomunikasi dengan anak-anak bila-bila masa sahaja. Anak-anak merupakan sumber inspirasi saya dalam hidup ini.
Apabila ada hari tertentu saya rasa down, all I have to do is sit with them. Apabila bermain bersama anak-anak dan bergelak-ketawa bersama, hilang semua masalah,” bicara Tunku Kaiyisah, merupakan anakanda sulung YAM Tengku Puteri Seri Kemala Pahang Hajah Tengku Aishah Binti Sultan Ahmad Shah.
Tunku Kaiyisah bersama sepupu, Natasha Ozeir, menubuhkan PrettySuci merupakan laman membeli-belah atas talian yang menjadi hab produk kecantikan dan penjagaan diri halal pertama di dunia. Sebagai seorang wanita yang mempunyai beberapa perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama menyandang gelaran sebagai isteri dan juga ibu terdetik untuk bertanya tentang pengurusan masanya.
“Sebagai seorang isteri dan ibu serta mempunyai kerjaya kena pandai membahagikan masa untuk menyeimbangkan tugasan tersebut. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang sangat bertolak-ansur dan memahami. Suami mengizinkan saya melakukan apa sahaja yang saya mahu tetapi kena bijak mengagihkan masa.
Kadang-kadang ada satu hari saya mempunyai tugasan di luar dan malam baru balik ke rumah suami tidak pernah menghalang dan bertindak menjaga anak-anak di rumah. Namun saya juga memberi kebebasan kepada suami jika ada program yang mahu diikutinya, saya pula akan bergilir menjaga anak-anak.
Kemudahan teknologi sekali lagi memudahkan kerja saya. Walaupun berada di rumah, tapi saya masih boleh mengakses, membuat laporan mahupun pembentangan kertas kerja. Ada juga masanya saya akan memberitahu rakan perniagaan untuk bekerja dari rumah untuk meluangkan lebih masa bersama anak-anak dan juga suami,” tutur Tunku Kaiyisah yang merupakan isteri kepada Wan Putera Shahril dan ibu kepada YM Tun Putera Shakeel Abdullah Shah, 4 tahun, serta YM Tun Putera Khyrie Ahmad Shah, 2 tahun.
Walaupun sibuk menguruskan perniagaan sendiri namun Tunku Kaiyisah secara diam-diam menyimpan hasrat untuk menjadi Pereka Hiasan Dalaman. “Kalau ada rezeki dan masa memang saya mempunyai impian untuk menjadi pereka hiasan dalaman. Ini kerana saya suka perabot, kemasan dinding, fabrik dan apa sahaja yang melibatkan hiasan dalaman. Saya merealisasikan impian tersebut dengan mereka hiasan dalaman kediaman sendiri. Saya suka, walaupun mengambil masa yang lama bagaimana nak susun perabot, garapan warna hiasan dan segala-galanya tetapi saya puas melihat hasil tangan diri sendiri,” ujar Tunku Kaiyisah yang menggemari kediaman berkonsepkan moden kontemporari juga penerima anugerah Nona Royal Award di malam gilang-gemilang Nona Superwoman Awards baru-baru ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Comel sungguh Abeer Widad, satu-satunya anak tunggal Ustazah Sharifah Khasif yang cukup terkenal dengan kemerduan suaranya tatkala mengalunkan kalam suci Al-Quran.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 5 tahun sangat rapat dan manja dengan Ustazah Sharifah Khasif. Apa yang paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah yang hebat suatu masa nanti.
Sebagai ibu pastinya menjadi impian Ustazah Sharifah Khasif untuk melihat Abeer menjadi seorang anak yang solehah dan berjaya di dunia mahupun akhirat. Apatah lagi, besar cabarannya apabila bergelar ibu tunggal. Atas faktor itulah wanita berusia 37 tahun ini mahu memberikan yang terbaik demi Abeer.
KEKAL POSITIF
“Selama bergelar ibu tunggal, alhamdulillah saya sentiasa dikurniakan nikmat kesihatan yang baik. Mungkin Allah SWT tahu yang saya perlu sihat untuk menjaga Abeer dan dan keluarga. Setakat ini masih diberikan kekuatan mental dan fizikal. Saya sentiasa positif dan bersangka baik dengan Allah SWT di samping menjaga pemakanan dan kesihatan.
Kalau nak dikenangkan momen-momen menyentuh hati tu memang banyak. Lebih-lebih lagi bila Abeer tanya “Kenapa kita dua je Ummi? Kenapa ayah tak ada?” Hal-hal macam ni lah saya kena jelaskan betul-betul kepadanya. Paling penting jangan meracuni fikiran anak, itu konsep saya.”
IBU SEBAGAI CONTOH TERBAIK
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
Kita cari akhirat dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran, Allah SWT akan beri rezeki dan kehebatan yang luar biasa.
Saya menjadikan ibu sebagai contoh dalam mendidik anak. Ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anaknya. Ibu seorang yang tak banyak cakap, pendiam namun jujur. Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
LAYAN ABEER SEPERTI SAHABAT
“Tahun ini Abeer dah dihantar ke tadika. Untuk meluangkan masa bersamanya saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana selalunya selepas waktu persekolahan saya akan bersama Abeer. Hubungan kami memang sangat rapat dan saya memanggilnya Kakak. Selain manja, Abeer juga seorang anak yang suka bercakap, mudah mesra dan suka senyum.
Saya suka membawa Abeer ke taman. Biasanya kami akan bersenam bersama-sama atau pun ke shopping mall untuk makan-makan sambil bercerita hal-hal sekolah dan juga hal semasa. Saya layan Abeer macam orang dewasa, macam sahabat. Adakalanya kami melawak dan adakalanya serius, tapi bertempatlah.
Saya juga ada mengadakan kelas khas yang saya atur untuk Abeer bersama 10 kanak-kanak lain bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran Al Quran sejak kecil.
Mengaji satu kewajipan untuk anak-anak kecil seperti Abeer. Namun saya tak terlalu menekan kerana saya menerapkan gaya santai dan fun. Ini jugalah pendekatan yang saya gunakan untuk kelas anak-anak di Akademi of Sharifatuna Quranic Arts (ASQA). Alhamdulillah mereka seronok tapi syaratnya tak boleh ponteng kelas.
Saya juga suka bercerita dengan Abeer seperti tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
IMPIAN
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Skill saja perlu diasah lagi. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.
Saya turut bersyukur kerana Akademi of Sharifatuna Quranic Arts(ASQA) milik saya kian mendapat sambutan ramai sejak dibuka tahun lalu di Rampai Business Park Setapak Kuala Lumpur. Akademi ini mencari bakat-bakat baru dalam meneruskan legasi sebagai qari dan qariah masa depan. Satu lagi cawangan ASQA ialah di Damansara Perdana. Kelas diadakan pada setiap jumaat malam.
Impian saya seterusnya ialah ingin membuka ASQA di Melbourne pula. Niat saya untuk approach international market supaya dakwah dapat dikembangkan dengan lebih meluas, insyaAllah. Doakan yang terbaik untuk saya.”
Bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan luar dalam, Ustazah Sharifah Khasif mengamalkan jamu sejak usianya remaja di samping tamar dan air zam-zam yang sentiasa ada di rumahnya.
Kredit Foto: Instagram Sharifah Khasif
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Apabila berada di tanah suci Mekah tiada lagi perbezaan darjat mahupun pangkat. Semua yang ada sama di sisi Allah SWT.
Pengalaman kali pertama menunaikan umrah pada Mac 2019 telah membawa perubahan besar dalam kehidupan Surina Mohd Zain sekaligus mengajar dirinya menjadi seorang yang reda dengan takdir Allah SWT.
Surina kini bertugas sebagai Pengarah Projek di Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Lebih membahagiakan wanita ini apabila niatnya untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah sebelum usia 40 tahun termakbul.
“Setiap kali selesai solat saya sering berdoa dan berniat semoga suatu hari nanti saya dapat ke tanah suci sebelum usia 40 tahun. Alhamdulillah doa saya dimakbulkan apabila pada Mac tahun lalu saya berpeluang menunaikan umrah untuk pertama kalinya pada usia 39 tahun.
Sejak dulu saya memang dah berniat, sebelum umur 40 tahun mesti ada turning points ke arah kebaikan termasuk tujuan hidup. Objektif hidup saya ialah berjaya di dunia dan akhirat.
Saya ke tanah suci pada 20-30 Mac 2019 diuruskan oleh agensi pelancongan berdaftar iaitu Qalesya Travel & Services Sdn Bhd.”
PENGALAMAN DI TANAH SUCI
“Memandangkan ini pengalaman pertama saya, segala persiapan dilakukan sebaik mungkin. Sewaktu menjejakkan kaki ke tanah suci perasaan saya berlainan sekali, tidak seperti beberapa trip yang pernah saya pergi sebelum ini. Ia cukup membahagiakan dan menenangkan jiwa. Tak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Saya berpeluang menunaikan solat di Hijir Ismail selama 30 minit. Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad dengan pertolongan dua wanita dari Indonesia termasuk menjejakkan kaki ke Raudah. Saya dapat bersolat dan berdoa dengan selesa. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan atas izin-Nya.
Cuma saya tidak berkesempatan untuk melakukan tawaf wida’ kerana tiba-tiba datang haid. Selepas makan ubat, haid berhenti dan saya dapat meneruskan ibadah semula di Madinah.”
PERISTIWA MENAKJUBKAN
“Peristiwa ini terjadi ketika saya berniat hendak membawa kerusi wakaf masjid ke hotel kerana mahu menggunakannya atas sebab tertentu. Nak dijadikan cerita ketika saya hendak mengambilnya di masjid, kerusi itu sudah tiada di tempatnya. Lantas saya berniat untuk mencarinya semula esok selepas Subuh. Saya solat Isyak di masjid kemudian kembali ke hotel.
Sebaik tiba di hotel berlaku satu peristiwa yang sangat menakjubkan! Saya terkejut apabila melihat kerusi wakaf itu tiba-tiba sahaja sudah berada di hadapan pintu bilik. Bukan hanya terkejut, saya juga terkedu kerana memikirkan siapa pula yang membawa kerusi itu? Subhanallah!”
TERUS ISTIQAMAH
“Pengalaman ke tanah suci telah menjadikan saya seorang yang lebih reda dengan takdir Allah SWT. Saya percaya kita mesti berbuat baik dalam apa jua perkara mahupun keadaan demi mendapatkan ganjaran kebaikan dari Allah SWT. Semuanya kerana Dia.
Bagi saya segala yang dilakukan mahupuan kejayaan adalah untuk dunia dan akhirat. Ia perlu selari dan berpandukan ajaran serta undang-undang Islam. Secara tak langsung saya dapat menjaga penampilan dan kelakuan dengan baik. Saya akui sebelum ini saya jahil..
Impian saya selepas ini ialah untuk menunaikan ibadah haji pula. Never say good bye to Kaabah and Mecca. I will come back. Rindu sangat!”
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.