
Wanita dan kereta, bukanlah gabungan yang ideal namun Alex Hirschi membuktikan yang sebaliknya. Wanita ini membuktikan, dunia automotif bukan hanya milik kaum lelaki semata-mata. Bahkan, kaum hawa juga mampu mencipta kejayaan dalam bidang tersebut.

Itulah cerita seorang wanita yang dikenali sebagai Alex Hirschi. Hirschi sebelum itu telah mencuba pelbagai pekerjaan, namun semuanya tidak memuaskan. Pun begitu, empunya diri yang mendapat gelaran Supercar Blondie enggan berputus asa. Minatnya terhadap kereta membuatkan beliau menyewa sebuah Bugatti dan memuat naik ulasan berkenaan kereta tersebut menerusi laman sosial.
Siapa sangka, video tersebut meraih perhatian ramai. Rata-ratanya melahirkan rasa kagum dan memuji kreativitinya.
Hari ini Hirschi menjadi satu-satunya wanita yang dicari oleh pengeluar kereta mewah seperti Bugatti dan Ferarri bagi mempromosikan model terbaharu syarikat mereka. Ketika mengisahkan bagaimana permulaan beliau berjinak-jinak dalam bidang automotif, wanita berkenaan berkata, pada mulanya beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri.

Beliau juga tidak lari daripada kritikan dan statusnya sebagai seorang wanita membuatkan banyak syarikat kereta menolak cadangan bekerjasama dengannya. Pun demikian, isteri kepada jurufoto dan mantan pegawai bank itu terus mengorak langkah.
Beliau antara lain menghasilkan satu video seminggu dan ia dilakukan selama 52 minggu berturut-turut. Hasil usahanya, Hirschi yang pernah bekerja sebagai penyampai radio dan pengacara untuk Dubai Eye 103.8 mempunyai 6.5 juta pelanggan YouTube manakala pengikut Facebooknya mencecah 39 juta.


Menurut beberapa media antarabangsa, beliau merupakan salah seorang pengulas kereta wanita paling popular di dunia dan telah memandu lebih 500 supercar. Dalam pada itu, menurut South China Morning Post, berdasarkan tinjauan pada tahun 2020, laman web perbandingan perkhidmatan kewangan British GoCompare, Hirschi dianggarkan mampu memperoleh AS$1.4 juta setahun daripada siaran media sosial yang mendapat tajaan. Sehingga tahun 2021, nilai bersih Supercar Blondie miliknya dianggarkan berjumlah AS$17 juta.
Sumber SCMP & Alhushairi Samsudin
***
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Ujian Ini Sangat Berat” Perniagaan Terjejas Angkara COVID-19, Emira Khan Cekal Hadapi Saat Getir

Usahawan muda berjiwa besar, Puteri Emira atau lebih dikenali sebagai Emira Khan akui turut terkesan dengan situasi yang sedang melanda Malaysia kini. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak COVID-19 sedikit sebanyak ia telah memberi kesan terhadap perniagaan.

Situasi itu turut dirasai oleh Emira. Pun begitu, Emira kekal positif dan berdoa agar segala kesulitan beransur pergi. Berbekalkan pengalaman pernah merasai jatuh dan bangun dalam perniagaan menjadikan Emira seorang yang sentiasa bersedia dan terus berjuang.
“Saya terlibat dalam industri fesyen. Kesannya memang sangat dirasa. Permintaan terhadap produk (pakaian) semakin kurang. Ketika ini orang lebih mengutamakan keperluan asas. Ujian yang sangat berat tetapi saya percaya ada hikmah di sebalik ujian ini.

Sebagai usahawan, masa itu emas. Setiap masa berharga. Kadang kerja sampai tak ingat dunia. Tapi sekarang dapat rasa nikmat dari segi masa. Bila PKP selain dapat meluangkan lebih masa bersama keluarga, saya juga dapat muhasabah diri termasuk membetulkan dan memikirkan strategi yang lebih mantap terhadap syarikat.
Selain itu, kesan lockdown terhadap China juga memberi kesan di mana saya tak boleh menempah kain-kain untuk menghasilkan baju. Jadi, saya hasilkan semuanya di Malaysia saja.
Sejak PKP, jadual juga terganggu apabila ada sesetengah kilang tak dapat nak jahit baju raya kami. Takut baju-baju tak sempat siap sebelum tarikh sepatutnya. Tambahan pula, baju-baju yang dah jahit tu tak tahu sempat jual atau boleh jual bila.
Dari segi Work From Home (WFH), ujian untuk syarikat saya juga. Ada staf yang tak boleh nak WFH kerana banyak kerja yang perlu hands on di HQ seperti jurufoto, juru video, pereka, bahagian operasi, dan sebagainya.
Jadi, ini ujian paling mencabar untuk saya fikir strategi dan handle staf yang WFH. Sementara staf yang tidak boleh WFH pula saya perlu fikirkan what their ends are sama ada nak diberi cuti tanpa gaji atau bantu department lain. Saya takut tak adil untuk mereka yang boleh WFH.
Dari sudut hubungan dengan pelanggan pula I get to communicate with my own customers. Selalu akan ada team untuk uruskan bahagian customer service. Secara tak langsung, it’s like bonding, ambil tahu tentang mereka yang mungkin kebanyakan usahawan terlepas pandang sebelum ini.

PERSEDIAAN
Raya sudah hampir, memang tak dinafikan banyak duit habis untuk stok raya. Working capital kurang. Tapi apa yang bagusnya bila kita buat retail business, stok baju tiada tarikh luput. Cuma dari segi rekaan baju, ye, kerana fesyen fast forward. Jadi saya kurangkan yang printed dan banyakkan rekaan plain and simple supaya lebih evergreen.
Seterusnya didik pelanggan untuk create demand. Bersamalah kita berdoa agar rantaian wabak ini berjaya diputuskan sebelum raya ini. Andai kata COVID-19 belum berakhir, kita wajib meraikan hari raya. Jadi kita perlukan juga baju raya. Apa yang saya lakukan ialah buat installment untuk customer. Mereka boleh bayar deposit untuk tempahan.
Saya juga memperkukuhkan lagi platform digital kerana itu adalah kunci kekuatan. Saya merancang untuk menjangkau pasaran ke tahap maksimum. Saya percaya kita tidak boleh memberi tumpuan hanya pada satu benda saja.
Perlu mencuba cabang-cabang perniagaan lain bagi menjana aliran pendapatan berganda. Wang yang datang dari pelbagai sumber memberi manfaat kepada usahawan kecil seperti saya agar aliran wang tidak terhenti.

NASIHAT BUAT GOLONGAN MUDA
Nasihat saya buat golongan muda yang mahu berjaya dalam bidang bisnes, jangan terburu-buru. Paling penting kumpul duit dulu dan cari mentor atau penasihat yang dapat membantu kita ke arah yang betul. Dunia bisnes tak selalunya indah, banyak liku dan cabaran yang perlu ditempuh.
Dalam bisnes juga perlu ada sokongan kuat sebab kita akan selalu kena ‘pukul’. Yang memukulnya ramai tapi kita kena bangun sendiri. Kena sentiasa kuat dan jangan mudah putus asa.”

Wanita berusia 27 tahun dan ibu kepada dua anak ini memiliki darah campuran Cina, Belanda dan Jawa. Hampir enam tahun anak kelahiran Johor Bahru ini membawa Losravelda menjadi antara jenama fesyen modest & modern terkenal di Malaysia.
Kempen Losravelda Raya 2020 bakal membawa mesej “Raya Cara Kita” dalam usaha melengkapkan keperluan sebagai Muslim, pada masa yang sama mengamalkan kesederhanaan ketika menyambut Aidilfitri. Walaupun dengan situasi sekarang, kita sebagai Muslim masih dapat menikmati hari raya dengan cara berbeza, cara kita. Koleksi Losravelda 2020 boleh dilihat di Instagram atau laman web Losravelda. #rayacarakita
Kredit Foto: Instagram Emira Khan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Azie ‘Pelamin Anganku Musnah’ Kini Suri Rumah & Usahawan Di Sarawak, Tetap Menawan Pada Usia 46

Masih ingat lagi dengan penyanyi cantik bersuara lunak, Azie Mustapha? Terkenal dengan lagunya Pelamin Anganku Musnah dan Kau Tetap Dalam Anganku. Inilah wajah terkininya, tak sangka dah mencecah usia 46 tahun.

Menjengah ke akaun Instagram miliknya, Azie kini rancak mengusahakan bisnes makanan dari air tangannya sendiri. Menggunakan tanda pagar #aziedapoanganku bisnes artis kelahiran Kuching, Sarawak ini dilihat semakin berkembang.

“Saya kini menetap sepenuhnya di Kuching, Sarawak bersama keluarga. Anak sulung dah berusia 22 tahun, anak kedua 19 tahun dan yang ketiga 13 tahun.
“Saya kini menjalani kehidupan sebagai seorang isteri, ibu dan suri rumah sepenuh masa sejak pandemik COVID-19. Apa pun saya yakin dengan rezeki.

“Sekarang ini saya bergiat dalam bisnes masakan dan baking secara online. Bisnes harian saya ialah menghasilkan Curry Puff Carbonara dan Popia Carbonara Goreng. Saya juga menerima tempahan frozen food.
“Manakala tempahan kek, kuih, hidangan minum petang, termasuklah menu untuk bersedekah pun saya terima. Bila perayaan saya turut menerima tempahan biskut-biskut terutama daripada regular customer.

“Sebagai peniaga kecil-kecilan, saya sentisa pastikan produk betul-betul fresh kerana saya tak suka simpan stok. Bila customer gembira ia satu kepuasan bagi saya.
“Alhamdulillah feedback yang diterima pun sangat memberangsangkan, selalu dapat repear order. Dengan adanya online business ini dapatlah juga penuhi masa lapang saya di rumah.”
23 TAHUN BERGELAR ISTERI
“Alhamdulillah usia perkahwinan saya dan suami genap 23 tahun. Antara rahsianya memahami antara satu sama lain, percaya dan saling bertolak ansur. Saya juga berpegang kepada nasihat ibu bapa. Kalau nak kekal bahagia dalam rumahtangga, setiap kali kalau suami marah isteri kena diam. Walau kita tak salah sekalipun kita diam saja.


“Bila keadaan kembali tenang kita boleh mula berbincang dari hati ke hati. Kalau kita tak salah kita boleh beri nasihat yang terbaik untuk suami. Cakap elok-elok dan berhemah. Dalam perkara ini saya sangat menitikberatkan pesanan ibu bapa. Biar ada ‘api dan air’ dalam sesebuah keluarga baru harmoni rumahtangga, Insha-Allah.”
MASIH ANGGUN
“Saya bersyukur, yang penting jaga kesihatan. Kaya macam mana sekalipun kita kalau tidak sihat tiada makna. Paling penting redha dengan kurniaan Allah SWT.
“Rutin harian saya untuk kekal sihat dan cantik ialah mengamalkan suplemen dan vitamin, serta minum air kosong secukupnya. Tidur kena cukup, makan minum kena jaga lebih-lebih lagi kalau dah berusia 35 tahun ke atas. Penyakit mudah nak ‘datang’.

“Saya juga jaga waktu makan. Paling penting sarapan jangan skip. Kalau tak makan tengahari sekalipun sekurang-kurangnya dah bersarapan kerana ia membekalkan tenaga.
“Sebagai suri rumah nak kena bekerja sepanjang hari. Kerja mesti selesai semuanya. Saya pula berbisnes jadi perlukan tenaga yang cukup. Saya sentiasa berdoa agar diberi kesihatan yang baik. Hati kena bersih. Bila dalaman bersih akan terserlah kecantikan sebenar di luaran.

Untuk info, pada 2018 Azie pernah merakamkan album single berjudul Anganku Terhenti Di Sini. Ia merupakan album kompilasi bersama empat lagi artis 90an. Sambutannya cukup hangat di kalangan peminat. Azie meluahkan rasa teruja dan terharu kerana setelah sekian lama akhirnya dia berpeluang merakamkan album single terbaharu.
Kredit Foto: Instagram Azie Mustapha
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Wanita Mahukan Perhiasan, Lelaki Pula Untuk Pelaburan” Datin Sri Zarida Noordin & Dato Sri Meer

Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Malah barang kemas menzahirkan rasa sayang dan cinta yang tidak berbelah-bahagi sama ada barangan kemas diperbuat daripada emas kuning, putih atau batu permata.
Pasangan pemilik jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Datin Sri Zarida Noordin dan Dato’ Sri Meer Sadiq Habib terus komited dan berjaya menempatkan diri kelasnya yang tersendiri dalam industri ini.
Selama hampir 60 tahun Habib Jewels menawarkan emas permata kepada pelanggan sudah tentu mempunyai resipi tersendiri dalam mengekalkan namanya di kalangan peminat barangan kemas.
“Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut.
Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida.

Membawa masuk jenama antarabangsa Pandora ke tanah air merupakan percaturan yang bijak buat pasangan ini. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah.
“Jenama Pandora sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store Pandora di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan Pandora dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik Pandora di Asia,” terang Pengarah Urusan Pandora Malaysia & Brunei ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan.
Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini. Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan.
Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.

Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu.
Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama. Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik.
Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurut ibu kepada Mirzan, Marissa, dan Mirsham ini, nilai teras yang sering diterapkan dalam diri pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan.
Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
Keadaan kewangan global yang tidak menentu turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pasaran emas juga mengalami pasang dan surut, namun Habib Jewels tetap berdiri kukuh tidak gentar dengan cabaran yang mendatang.
Dato’ Sri Meer yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd berkata, “Barang kemas adalah sesuatu yang diinginkan walaupun berada dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kalau wanita lebih mahukan perhiasan dan lelaki pula sebagai pelaburan untuk masa depan.
Kami bukan sahaja menjual barang-barang kemas tetapi membuat sendiri barangan kemas tersebut. Kelebihan yang ada pada kami diselaraskan dengan keperluan semasa. Jika harga emas melambung tinggi kami akan membuat rekaan yang menarik tetapi lebih ringan sedikit, begitu juga sebaliknya. Percaturan ini akan membuat orang ramai mampu membeli emas walau dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Lebih daripada 3 dekad berkecimpung dalam perniagaan emas ini saya boleh kenal pelanggan dari dulu hingga sekarang. Kami juga menyediakan platform yang mudah kepada para pelanggan.
Misalnya setelah membeli emas daripada kami, tiba-tiba mahu menggunakan wang dalam jumlah yang besar dengan segera. Pelanggan boleh berurusan dengan Ar-Rahnu Express milik Habib Jewel sebuah pusat pajak gadai yang berteraskan prinsip Syariah Islam,” jelas Dato’ Sri Meer yang menerajui Habib Group ini.
Dato’ Sri Meer turut menzahirkan rasa bangga apabila Habib Jewels menjadi syarikat barang kemas pertama di Malaysia tersenarai dalam Bursa Saham, pada tahun 1998. Menurutkan tersenarai dalam bursa saham ketika ekonomi sedang gawat adalah cabaran tersebar.
“Jika sebelum tersenarai untung rugi perniagaan ditanggung syarikat sendiri. Tetapi apabila sudah tersenarai saya perlu menjaga pelaburan yang telah dilaburkan oleh orang yang mempercayai kepakaran kita.
Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi keadaan yang mencabar itu dan seterusnya melakar nama di papan pertama pasaran Bursa Saham. Pada saya pencapaian ini lebih kepada menunjukkan kepada ibu dan bapa serta membuat mereka merasa bangga kerana mampu melakukan sesuatu yang berbeza selain daripada menjual barang kemas semata-mata,” terang Dato’ Sri Meer.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


