Hero Banjir Malaysia, Abang Viva Tekad Terus Berbakti Selagi Badan Sihat, Ada Rezeki Lebih!

Abang Viva dan seluruh kesederhanaannya, menyentuh hati rakyat Malaysia. Pertolongan lelaki itu cukup menyedarkan kita bahawa pada saat bencana, nilai perhatian bererti masa, dan misi menyelamat nyawa lebih dari sebatas menerima arahan ketua.

Kini selepas kembali ke kampung halaman, hero banjir kesayangan Malaysia yang terkenal dengan panggilan Abang Viva, Azwan Omar sudi menerima panggilan Majalah Nona tentang aktiviti terbarunya.

Dalam perkembangan terbaru, Azwan kini mengakui sudah kurang sibuk berbanding waktu banjir melanda Selangor dan Pahang tempoh hari.

Hero banjir Malaysia

 

Potret keluarga Azwan Omar

 

“Alhamdulillah banjir di Melaka dah surut. Saya sekarang masih meneruskan misi bantuan sambil-sambil jumpa orang ramai yang berhajat untuk bertemu.” Azwan Omar

Suaranya yang mesra dan menyenangkan seperti memberi gambaran sifat happy go lucky yang dimiliki anak bongsu ini. Orangnya suka ketawa, sekaligus menjadikan perbualan kami lebih santai seperti kawan lama.

“Lepas ni saya akan teruskan lagi misi bantuan. Mungkin selagi badan sihat dan ada rezeki lebih. InsyaAllah.

Plan masa depan saya nak teruskan. Kalau boleh, saya nak ada sebuah team NGO sendiri, mungkin Kelab Abang Viva, untuk bagi bantuan waktu-waktu bencana alam begini.” Azwan Omar

Seorang yang merendah diri dan sentiasa bersederhana

 

Mendapat penghargaan APM

 

Tidak pernah menyangka viral sekelip mata, lelaki berusia 29 tahun itu cukup berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menghargai usaha ikhlasnya.

Jasa Abang Viva turut diberi penghargaan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Hujung tahun lalu, dia diberikan sijil penghargaan Adiwira Prihatin Musibah.

“Hanya ayat yang ringkas. Tapi ikhlas dari hati saya. Terima kasih.

Jujurnya saya sendiri pun macam tak percaya. Macam-macam saya fikirkan, bangga ada, takut pun ada.

Ketika bagi bantuan, saya tak terfikir langsung soal keselamatan diri dan kenderaan yang dibawa. Hanya terbayang nasib mereka yang terperangkap dalam banjir, kesejukan, mungkin ada anak kecil atau warga tua yang ketakutan.

Saya cuma tawakal dan redah. Dalam hati ini cuma berserah pada Allah Taala untuk jagakan keselamatan saya. Bila dalam misi menyelamat tu, yang saya fikir cuma pertolongan ini ibarat membantu ahli keluarga saya sendiri.” Azwan Omar

Foto: Sinar Harian

 

JIWA

Prihatin dengan bencana banjir yang melanda Shah Alam, bayangkan dia yang bekerja sebagai operator mesin sanggup memohon cuti kecemasan semata-mata mahu membantu mereka yang terperangkap banjir.

Berbekalkan sebuah kereta Perodua Viva hitam dan bot yang diikat pada bumbung kereta, Azwan meredah segala halangan demi menghulurkan bantuan sedaya-upayanya.

Dia berkali-kali meminta mangsa yang terperangkap supaya berkongsi lokasi, supaya dia dapat datang menyelamatkan dengan bot yang dibawa.

Antara mangsa banjir yang diselamatkan adalah pasangan warga emas termasuk suami yang lumpuh dan seorang ibu dengan bayi yang baru dilahirkan.

Sungguh, keprihatinan lelaki itu melangkau batas pangkat dan gelaran. Jiwanya amat luar biasa!

IKLAN
Share