Tanggal 13 Mac 2019 menjadi memori terindah Mawar Rashid kerana pada detik itulah dia akhirnya bergelar seorang ibu. Waktu itu dia baru berusia 24 tahun dan selamat melahirkan bayi lelaki comel yang diberi nama Raden Muhammad Rafael secara normal. Mengakui kompas hidupnya berubah sejak kehadiran Rafael namun ibu muda ini positif
mendepani hari mendatang bersama suami tercinta, Raden Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Raf.
Kini setelah Rafael meningkat usia setahun barulah Mawar kembali aktif dengan kerjaya seni dan lakonan. Apatah lagi, suami tercinta sentiasa menyokong minat dan apa juga keputusan Mawar. Selain bakal membintangi sebuah telemovie, selebriti cantik ini juga dilihat semakin ligat merencana empayar kosmetik, Mawarose. Dalam diam rupa-rupanya Mawar sudah pun bergelar usahawan.
Ads
Teruja berkongsi perniagaan kosmetik yang diusahakan, dia berkata, “Mawar tengah dalam perbincangan untuk masuk berlakon balik. First lakonan saya selepas ada baby ini ialah Thank You, Kapten. Lepas habis cerita tu, Mawar ambil cuti sekejap untuk beri tumpuan menghasilkan produk Mawarose. So far, kami dah berjaya keluarkan produk lip and cheek serum Magic Rose. Istimewanya produk ini, ia turut dijual melalui vending machine. Jadi lebih mudah untuk pembeli mendapatkan produk Mawarose.”
Ditanya rutin harian sejak adanya Rafael, sambil tertawa Mawar membuka cerita, “Jujur, sejak ada anak Mawar tak pernah dapat tidur yang cukup. Katakan kalau balik dari shooting dan sebagainya pukul 3 pagi, dalam pukul 5 atau 6 pagi macam tu Mawar dah terjaga sebab Rafael jenis bangun pagi. Untuk pastikan rutin Mawar tidak terkejar-kejar, preparation dari segi masa sangat penting.
Waktu makan anak pun Mawar letak dalam phone sebab kadang-kadang terlupa sebab sibuk. Pendek kata, rutin harian dah bertambah. Tapi setakat ini walau sibuk macam mana pun dengan bisnes dan shooting, Mawar tetap ada masa untuk anak-anak, suami dan keluarga. Kalau rancang masa betul-betul, mesti kaum ibu di luar sana pun boleh buat.”
Sememangnya menjadi ibu pada usia muda bukan satu tugas mudah. Tanpa bantuan insan tersayang dan pengurusan masa yang bijak pastinya tugas tersebut tidak mampu dilaksanakan dengan sempurna. Pun begitu, Mawar sangat bertuah kerana sejak melahirkan Rafael, amanat menjaga anak kecil turut dibantu ibu kandung iaitu Marinee Abdullah dan ibu mentua, Datin Umi Kalsom.
Mawar Rashid mendirikan rumah tangga bersama Raf pada 9 November 2017. Sebelum berkahwin dengan Mawar, Raf mempunyai dua orang anak iaitu Raden Ahmad Rayyan dan Raden Seri Raysaa Chanela menerusi perkahwinan terdahulu.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Semoga Allah SWT mengurniakannya syurga tertinggi” Itu antara cebisan kata-kata menyentuh hati daripada figura terkenal, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin. Di sebalik kelembutannya tersirat satu perasaan sukar diungkap. Ustazah Fatimah Syarha merupakan isteri kepada Dr Farhan Hadi yang kini berjuang sebagai frontliner memerangi wabak COVID-19.
Selayaknya Ustazah Fatimah Syarha digelar isteri solehah yang sentiasa berdiri teguh di belakang suaminya. Bersama anak-anak, beliau yang kini berusia 36 tahun terus cekal mengharungi ujian ini bersama suami yang dikasihi.
Dr Farhan Hadi bertugas di bahagian kecemasan Hospital Pakar al Islam, Kampung Bharu Kuala Lumpur. Tugasnya, melakukan saringan pesakit-pesakit yang disyaki. Sekiranya didapati positif, Dr Farhan akan menghantarnya ke hospital kerajaan.
“Sebagai isteri seorang doktor, banyak perkara menyentuh hati saya. Sehari sebelum perintah PKP diumumkan, suami membuat perbincangan sama ada mahu menghantar saya dan anak-anak di kampung atau sebaliknya.
Sebagai frontliner suami mahu keluarga terselamat daripada risiko di mana seorang doktor mungkin membawa balik kuman dan virus setelah bertugas. Pada masa sama, suami juga mempertimbangkan saranan agama. Akhirnya, kami memutuskan untuk mengikut petunjuk agama agar tidak lari dari kawasan wabak.
Kami teguh di belakang perjuangan Abi (panggilan kepada suami) dan yang seangkatan dengan Abi! Saya lihat semangat suami untuk berbakti bukan hanya di hospital bahkan di rumah. Anak-anak juga faham erti kesabaran, menahan rindu terhadap Abi mereka.
Pernah menitis air mata saya melihat suami pulang lewat malam dalam keadaan menahan lapar. Katanya, sempat menjamah sedikit sahaja makanan hari itu. Sebelumnya, suami oncall semalaman, pulang sekejap waktu pagi dan tengahari masuk kerja lagi sampai tengah malam. Saya tak dapat bayangkan betapa penatnya dia. Di rumah, suami tak banyak berehat. Kerja bertali arus. MasyaAllah.
Sekarang ini suami bertolak ke hospital lebih awal daripada biasa dengan menaiki motorsikal bagi elak kesesakan jalan raya. Katanya, dia perlu menyiapkan diri dengan pakaian khas dan sentiasa dalam keadaan hygine. Kadang berhujan, kadang berpanas suami rempuhi jua. Katanya, “Abi perlu selamatkan nyawa“.
Apabila berinteraksi dengan ramai pesakit, suami perlu melalui proses saringan di hospital. Sebelum keputusan saringan keluar, suami banyak memencilkan diri di ruang pejabatnya di rumah kerana mahu elak risiko terhadap kami. Anak-anak sering bertanya, “Kenapa Abi tak macam dulu?” Saya jelaskan kepada mereka sambil ajak berdoa dan solat hajat bersama.
Suami berpesan kepada saya, “Kita perlu bersedia jika Abang kena kuarantin” Saya terus merasakan hakikat hidup ini sebentar cuma. Sekejap atau lama, cepat atau lambat, semua orang pasti akan diuji perpisahan. Hanya syurga tempat abadi yang tiada lagi kematian dan perpisahan.
Saya tak dapat bayangkan kerinduan anak-anak terutama yang berusia 6 dan 4 tahun andai ‘kuarantin’ itu benar-benar terjadi. Setiap malam mereka akan tercari-cari Abi. Mereka mahu tidur sambil dipeluk Abi. Kadang kala mereka menangis kerana ketiadaan Abi.
Syukur, keputusan saringan mengesahkan suami negatif COVID-19. Suami pernah memeriksa pesakit positif COVID-19 sehingga pihak hospital mempertimbangkan beliau untuk dikuarantin. Mujurlah saat itu suami lengkap berbaju khas. Risiko tetap ada namun boleh dikurangkan.
Bila saya mendengar rakan sejawatannya, seorang doktor wanita disahkan positif COVID-19 saya amat bersimpati namun pada masa sama menambah debaran saya setiap hari. Mujur ada Allah SWT tempat memohon perlindungan.
Anak-anak memang rapat dengan suami. Setiap kali dengar ekzos motor dengan pantas mereka akan berlari ke pintu dan menyangka itu Abi. Ketika pulang kerja, suami terpaksa menyorok mengikut laluan khas kerana bimbang diterkam anak-anak. Suami bimbang menularkan kuman kepada mereka. Selepas mandi sebersih-bersihnya dan menyiapkan diri, barulah suami akan luangkan masa bersama kami.
Saya kini dalam fasa akhir PhD, mengejar due date. Memandangkan tiada pembantu rumah, semua urusan rumahtangga kami buat bersama. Anak-anak yang besar (11 dan 9 tahun) tugasnya memajukan diri dan mendidik adik-adik. Tugas saya selain menyiapkan tesis PhD, perlu mengemas, menyapu dan memasak. Suami pula rajin uruskan kain baju walaupun sibuk di hospital. Bila memasak, suami selalu mahu turut serta memberikan sinergi. Ia menyebabkan saya sebak sendiri. Semoga Allah SWT memberinya syurga tertinggi.
PESANAN
Buat mereka yang pasangannya doktor seperti saya, ingatlah Allah Maha Pelindung, Maha Penjaga, Maha Pemelihara. Jaga zikir-zikir terpilih dalam al-Quran dan al-Sunnah seperti dalam al-Ma’thurat, Manzil atau Hisnul Muslim sebagai doa perlindungan pagi dan petang. Pujuk hati dengan keindahan maksudnya. Jadikan musibah ini asbab kita makin dekat dengan Allah SWT.
Saat Rasulullah SAW dipulau di perbukitan selama 3 tahun dalam keadaan lapar dan serba kekurangan isteri baginda, Khadijah menemani perjuangan dengan rela dan cinta. Kita cuma perlu berada di rumah, sabar sepanjang ketiadaan pasangan yang berjuang di barisan hadapan. Walaupun terpaksa menempuh kesukaran menguruskan anak-anak sendirian, insyaAllah inilah peluang kita meraih pahala syahid meskipun tidak mati, sebagai mana dikhabarkan dalam riwayat yang sahih.
Cipta bahagia di rumah bersama keluarga tersayang dan nikmati detik bersama. Rasai semua musibah ini, ada rahmat indah dari Ilahi. Biar pasangan pulang dalam keadaan bahagia dan terubat melihat anak-anak menerima jagaan dan pendidikan sebaiknya. InsyaAllah, kita juga sedang berjuang di medan kita.
Saya mohon dan merayu, patuhilah arahan PKP. Kasihani diri kita, insan yang kita sayangi dan insan lain yang mungkin terjejas. InsyaAllah, pelangi akan segera tiba andai kita sabar dan patuh dengan arahan ini.”
Ibu kepada 5 orang anak ini juga merupakan Jawatankuasa Majlis Perundingan Wanita, MAWAR YADIM. Ustazah Fatimah Syarha dan suami turut menguruskan syarikat penerbitan buku milik mereka iaitu Sebarkan Bahagia.
Kredit Foto: Instagram Ustazah Fatimah Syarha
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita mana yang tidak mahu bergelar ibu. Ia satu rezeki serta anugerah terindah daripada Allah SWT.
Begitulah juga harapan selebriti terkenal Fynn Jamal yang pernah berusaha untuk hamil demi mendapatkan zuriat sendiri. Namun, Allah Maha Penentu segalanya.
Biarpun belum dikurniakan zuriat, Fynn dan suaminya Tri Hadzir tetap bahagia dengan cara sendiri di samping membesarkan sepasang anak angkat, Juna dan Sakti.
Juna atau nama penuhnya Bakti Arjuna Fitri merupakan seorang kanak-kanak autisme yang kini berusia 11 tahun. Makin besar makin handsome Juna ni.
Suatu ketika dulu, kisah Juna pernah tular di laman sosial sehingga terciptanya lagu ‘Arjuna Beta’ ciptaan Fynn Jamal.
Lagu tersebut adalah curahan jiwa Fynn yang sanggup berkorban apa sahaja demi Juna.
Manakala anak angkat kedua ialah Sakti Kencana Fitri atau Sakti berusia lima tahun.
Sebagai seorang kanak-kanak normal, Sakti sangat aktif dan bijak. Comel pula tu! Suka tengok keletahnya.
Berikut temu bual eksklusif Majalah Nona bersama Fynn Jamal, pengalamannya yang pernah mencuba rawatan IVF.
“Masa tu kami dah dekat Prince Court Hospital, dah halfway dah. Nak try untuk IVF lah sebab masa tu duit pun dah ada and everything. Juna pun dah ada.
“Kononnya nak try buat IVF tu sebab nak ada anak sendiri pula. Orang pun selalu tanya, takkan tak pernah try IVF. Tak pernah usaha ke dan sebagainya. Jadi, kami pun cubalah.
“Lepas itu, tak tahu kenapa tiba-tiba kami saling pegang tangan dan berkata, anak sendiri atau tidak tetap anak juga.
“Sebab bagi saya, benda ni (IVF) satu gamble yang belum tentu lagi dapat. Saya pula bukan seorang yang boleh handle kegagalan.
“Kalau tak menjadi yang koyaknya (kecewa) saya. Dia (suami) boleh bersabar, tapi kalau saya boleh jadi drama (menangis).
“So kami tak jadi nak teruskan rawatan (IVF),” kongsi Fynn Jamal atau nama penuhnya Nur Affina Yanti Jamalludin, 41, yang sudah pun bergelar isteri kepada Tri Hadzir selama 15 tahun.
TIDAK TERTEKAN
Fynn Jamal dianggap bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan daripada kedua belah keluarga.
“Saya tak merasa tertekan bila tak buat IVF sebab keluarga termasuklah mentua sangat baik dan memahami.
“Sekali pun, mereka tak pernah nak buat penilaian. Mereka selalu cakap, ini semua rezeki Allah.
“Anak-anak angkat kami pun dilayan macam cucu sendiri.”
Kongsi Fynn, Juna dan Sakti diberikan susu badan sejak bayi.
“Dari situ pun dah rasa momen sebagai seorang ibu. Sakti dapat tiga bulan susu badan secara eksklusif. Juna sekejap sahaja sebab ada sakit jantung.”
Fynn Jamal dan suami saling menitipkan kata-kata penghargaan di atas pengorbanan masing-masing.
“Terima kasih kerana menjaga anak-anak. Terima kasih juga sebab banyak berjuang termasuk berdepan dengan masyarakat,” ungkap suami kepada Fynn.
Manakala Fynn pula meluahkan rasa syukurnya kerana dikurniakan seorang suami yang sabar dan sentiasa ada di sisi ketika susah mahupun senang.
Semoga Fynn Jamal dan suami kekal bahagia selamanya di samping anak-anak tersayang. Dimudahkan segala urusan sepanjang membesarkan dan mendidik Juna dan Sakti.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa sangka, kerjaya sebagai personal shopper mampu merubah kehidupan dan memiliki butik sendiri! Pengasas butik dalam talian dan fizikal, Sellection, Nor Rafidah Khairuddin kini memperluaskan empayar perniagaannya dengan memiliki butik sendiri yang terletak di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Berkat kesungguhan dan rasa cinta terhadap bidang yang diceburinya sejak sembilan tahun yang lalu, hujung tahun lalu butik Rafidah telah berpindah ke lokasi baharu dengan keluasan tiga kali ganda besar dari butik terdahulu yang terletak di Wangsa 118, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Mengukuhkan tagline ‘Embracing Confidence’ atau meraikan keyakinan dan #impianjadikenyataan dengan merealisasikan impian ramai wanita dan lelaki untuk memiliki barangan berjenama antarabangsa serta kekal bergaya dan berkeyakinan.
“Bagi saya kejayaan memiliki butik baharu yang turut menempatkan gudang dan pejabat ini dianggap sebagai peristiwa penting dalam perjalanan saya mengembangkan empayar serta legasi bisnes. Saya amat berterima kasih kepada pasukan saya dan tak lupa pelanggan setia.
“Bermula sebagai seorang personal shopper dan memiliki butik kecil sebelum ini, saya anggap sebagai pencapaian penting dan diharap boleh menjadi inspirasi kepada orang diluar sana. Walaupun bermula dari kecil, sesiapa sahaja boleh berjaya dan maju jika mahu. Syukur kini perlahan demi perlahan jenama ini mula dikenali ramai.
“Paling penting, jenama saya ini melebarkan pengaruh bukan dalam masa singkat. Ia sebuah perjalanan panjang yang menuntut kesungguhan, minat, keazaman dan komitmen tinggi diiringi dengan sepenuh jiwa. Cabaran datang tetap dilalui, namun lebih terkawal,” katanya.
Rafidah menambah misinya untuk membolehkan semua golongan wanita dan lelaki tanpa mengira status memiliki barangan berjenama dari Amerika Syarikat seperti Coach, Michael Kors, Kate Spade dan Fossil juga sudah menjadi kenyataan.
“Dulu orang selalu anggap jenama mewah hanya untuk golongan tertentu termasuk “mak datin”. Tapi kini sebaliknya semua golongan termasuk wanita bekerjaya, sektor kerajaan seperti guru, suri rumah dan peniaga indusri kecil dan sederhana (IKS) juga boleh memilikinya.
“Kami meraikan keyakinan semua golongan tanpa prejudis. Tambah pula, dengan pelan ansuran bayaran tiga ke enam kali kami perkenalkan. Lebih banyak peluang dibuka untuk merasai pengalaman bergaya. Hanya bayar deposit, terus dapat barangan diimpikan.
“Melalui siaran lintas langsung di media sosial Facebook Page kami, Branded Handbags by Rafidah, banyak “review”, tips fesyen dan pengayaan kami kongsikan buat pelanggan. Ia bukan sekadar menjual, tetapi berkongsi ilmu dalam pemilihan handbag yang tepat dan ideal.
Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu turut berbangga kerana sejak tahun lalu kerana jenamanya sudah memiliki aplikasi mobil sendiri iaitu Sellection.
“Biarpun sedar 80 peratus jualan diraih dalam talian www.sellection.com, kami cuba imbanginya dengan butik fizikal. Ada orang nak juga rasa barangan depan mata dan merasai memakai. Nak ‘walk-in’ ke butik amat dialu-alukan.
“Malah kehadiran aplikasi mobil, Sellection dilihat sebagai menyokong kecenderungan ramai membeli dalam talian. Pilihan lain untuk membeli, selain online atau walk-in ialah menghubungi Sellection Business Partner yang sah atau #TeamSellection untuk konsultasi.
“Komunikasi dan perkhidmatan hubungan pelanggan menjadi teras dan kunci ‘kekuatan’ kami. Hingga kini di laman sesawang saja kami mendapat sebanyak 4594 ulasan positif, selain di Google Review pula sebanyak 453 ulasan,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejarah tercipta di Switzerland apabila pemain skuasy nombor satu negara, S. Sivasangari merangkul kategori emas Grasshopper Cup 2026 pada 26 April lalu. Kejayaan itu diraih atlet wanita berusia 27 tahun berkenaan selepas menewaskan pemain ranking ketujuh dunia dari Jepun, Satomi Watanabe dalam aksi sengit selama 62 minit.