Kehilangan ibu mentua umpama kehilangan ibu kandung. Hilang separuh jiwa apabila sosok yang sering mendoakan dalam diam kini pergi buat selama-lamanya.
Hanya kenangan indah bersama jadi ingatan di kala rindu menjelma.
Begitulah yang dirasai oleh usahawan dan penyanyi, Mila Jirin. Baru-baru ini, Mila baru sahaja kehilangan ibu mentuanya, Nooriah Omar, yang cukup rapat dengannya.
Kenangan Indah
Di Instagram peribadi, Mila berkongsi kenangan manis bersama arwah ibu mentuanya. Turut dimuat naik beberapa gambar mesranya bersama arwah ibu mentua yang menjadi kenangan abadi buatnya.
Tak dinafikan, Mila mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan arwah ibu mentuanya.
“Saya kenal ibu mertua hampir 16 tahun. Mama, itulah panggilan kami padanya. Seorang ibu mertua terbaik, lembut dan penyayang,” tulis Mila.
Arwah Gemar Memasak
Mila turut mendedahkan, arwah ibu mentuanya itu juga gemar memasak dan sering meluangkan masa di dapur.
“Selepas saya berkahwin pada tahun 2015, Allah rezekikan Mama tinggal bersama kami. Mama suka sangat memasak, sampai saya masuk dapur pun Mama akan cakap, ‘Mila sambung kerja, biar Mama masak.’
“Kadang saya endahkan dan masak juga temankan Mama. Sebab masa tu lah kami dapat bersembang dan saya belajar resepi Mama,” kongsi Mila.
Ads
Dia juga menyatakan bahawa dia sangat sukakan air tangan arwah ibu mentuanya antaranya nasi tomato ayam masak merah, kuih lompang dan karipap buatan tangan Mama.
Mila turut mengimbau kenangan terakhirnya bersama arwah ibu mentua ketika menyambut Hari Raya Haji yang lalu.
“Raya Haji lepas, itulah kali terakhir Mama masak untuk kami. Walau tak kuat seperti dulu, Mama tetap gagahkan diri. Katanya, ‘bosan tak buat apa-apa,’” tulis Mila lagi.
Namun siapa sangka, itulah masakan terakhir daripada arwah ibu mentuanya yang kini hanya tinggal kenangan.
Ads
Detik Terakhir Sebelum Pemergian
“Minggu terakhir sebelum Mama pergi, saya dan suami terlalu sibuk. Ulang alik ke Melaka dari Puchong hampir seminggu. Sampailah malam Sabtu, Mama telefon, sakit dada. Kami ke hospital dan doktor sahkan serangan jantung.
“Mama tenang saja… seolah tahu masa hampir tiba.
“30 September, waktu Subuh, saya dengar suami jawab telefon, jantung Mama berhenti 6 minit.”
Mila dan suami bergegas ke hospital. Doktor memberi peluang kepada mereka untuk bersama arwah buat kali terakhir.
“Petang sebelum tu, Mama sempat senyum dan ucap ‘InsyaAllah…’ bila saya kata, ‘Jumpa esok, Mama.’ Rupanya itu ‘insyaAllah’ terakhir Mama.
Ads
“Allah ambil Mama dengan penuh kasih. Saya sendiri mandikan jenazah Mama, dan kami bawa pulang ke Pulau Pinang seperti yang Mama selalu sebut, ‘Nak balik kampung…’”
Luah Rasa Sunyi
Sejak pemergian arwah ibu mentua tercinta, Mila meluahkan rasa sunyi terutama ketika berada di rumah.
“Balik ke rumah, terasa sunyi. Tiada lagi sambutan ‘Waalaikumsalam’ bila buka pintu. Di bilik Mama, ada gambar Arif di sisi katil dan Al-Quran kesayangannya tertulis catatan: ‘Tarikh Nooriah khatam Quran.’
“Tahun ini sahaja Mama dah khatam Quran dua kali. Mama sangat menjaga solat, rajin puasa sunat, dan hari sebelum pergi pun Mama sedang berpuasa.”
Pesanan Terakhir Arwah
Mengakhiri hantarannya, Mila menitipkan pesanan yang ditinggalkan arwah ibu mentuanya yang pasti akan diingati sampai bila-bila.
“Pesan Mama yang saya akan ingat selamanya. Baca Al-Mulk tiap malam. 10 ayat awal & akhir Al-Kahfi, jangan tinggal.
Wenanita Angang, gadis berusia 26 tahun dari Sabah dinobatkan Miss World Malaysia selepas menewaskan 15 peserta lain di pertandingan ratu cantik tersebut yang berlangsung di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu, semalam. Penyandang gelaran Miss World Malaysia 2021, Dr Lavanya Sivaji turut hadir menyerahkan mahkota tersebut kepada acara gilang gemilang tersebut yang dihoskan oleh Jimmy Pamo dan Melisha Lin.
Wenanita Angang yang kini sedang menyambung pengajian di Sunway University, Subang Jaya, juga merupakan seorang penerbit persidangan antarabangsa. Selain itu, Wenanita juga seorang penyokong kepada usaha hippotherapy kanak-kanak autistik.
Untuk pengetahuan, Hipoterapi merupakan sejenis terapi fizikal, pekerjaan ataupun pertuturan yang mana ahli terapi menggunakan pergerakan kuda untuk membekalkan input motor dan deria secara bertingkat-tingkat, dengan pelbagai kegiatan seharian untuk mewujudkan suatu asas untuk meningkatkan fungsi neurologi dan pemprosesan deria.
Ketika ditanya pada pusingan Beauty With Purposes, Wenanita berhasrat untuk menubuhkan pusat program hippotheraphy di Hospital Bukit Padang di Kota Kinabalu. “Kemajuan kanak-kanak ini pasti dapat dilihat dalam tempoh yang singkat sekiranya mereka diberi peluang mengadakan program yang mampan”.
Semasa pusingan itu, dia memberitahu pada pihak juri masalah geografi menyukarkan memberitahu pihak hospital menyediakan program tersebut. “Ia adalah projek yang mudah dan semestinya tidak mustahil, yang pasti boleh membentuk dunia kanak-kanak ini,” katanya yakin.
Wenanita juga bukanlah pendatang baru dalam dunia pertandingan ratu cantik kerana dia sebelum ini pernah mewakili Malaysia di Miss Planet 2016 di Batumi City, Georgia, dan menyandang tempat kedua. Dia juga pernh memenangi Miss Sabah Model of the Year Musim 6.
Wenanita akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Miss World 2022, yang akan berlangsung hujung tahun ini.
Selepas memenangi pilihan raya tahun 2013, Erna Solberg telah dilantik menjadi Perdana Menteri Norway. Wanita yang lahir pada 24 Februari 1961 ini merupakan wanita kedua yang menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Norway selepas Gro Harlem Brundtland.
Wanita lulusan University of Bergen dalam jurusan sosiolagi, sains politik, statistik dan ekonomi ini juga telah didiagnos disleksia ketika usianya 13 tahun. Kejayaan Erna Solberg memegang jawatan sebagai Perdana Menteri telah membuktikan bahawa pengidap disleksia mampu berjaya sehingga ke tahap yang tertinggi.
Namun setelah 8 tahun memegang tampuk negara Norway, Erna Solberg terpaksa mengundur diri ekoran kekalahan Parti Konservatif di bawah pimpinannya dalam pilihan raya parlimen pada 13 September lalu. Erna Solberg dikatakan telah menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Raja Norway, Raja Harald V dalam satu pertemuan di istana Kerajaan itu.
“Raja Harald V menerima surat peletakan jawatan saya dan meminta saya untuk meneruskan tugas sementara kerajaan baharu dibentuk,” kata Erna Solberg dalam satu sidang media selepas pertemuan itu, lapor Xinhua. Parti Buruh di bawah pimpinan Jonas Gahr Stone bakal membentuk kerajaan baharu Norway.
Erna telah berkahwin dengan suaminya, Sindre Finnes seorang ahli perniagaan pada tahun 1996 dan dikurniakan dua orang cahaya mata. Wanita yang berusia 60 tahun ini juga digelar ‘Iron Erna’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masih segar dalam ingatan, tragedi yang menimpa Allahyarham Achik Spin akibat kemalangan maut di Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn Bhd (LEKAS) pada 17 April 2010.
Biarpun tragedi yang menggemparkan industri hiburan tanah air itu sudah 15 tahun berlalu namun lagu-lagu popular arwah masih menjadi siulan ramai hingga kini.
Untuk rekod, Achik atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md Shari merupakan vokalis kumpulan Spin.
Achik juga pernah menjadi pasangan duet Siti Nordiana menerusi lagu Paling Comel dan Bola Bola Api sehingga pernah mencetuskan fenomena dalam industri muzik tanahair.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, H.M Rose Zaitul Suriani Wati Maarof atau Tasha bersama dua anak perempuan yang kini menginjak ke usia remaja.
Anak sulung mereka, Puteri Rania meninggal dunia pada 2007.
Kehidupan Terkini
Menjengah ke Instagram peribadi Tasha, dia sering berkongsi kehidupan terkininya termasuk momen-momen bersama dua anak perempuannya yang semakin cantik dan bijak.
“Seperti ibu-ibu tunggal yang lain, kehidupan saya sekarang alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Anak-anak pun dah boleh biasakan diri hidup tanpa ayah di sisi. Kalau rindu, saya akan bawa mereka ziarah pusara arwah bapa mereka.
“Anak sulungnya, Safiyya bersekolah harian berhampiran dengan rumah mereka. Tahun ini Saffiya berusia 17 tahun.
“Manakala adiknya, Putri Nursumayya berusia 15 tahun dan belajar di Sekolah Sains Tuanku Aishah Rohani Seremban.”
Tasha kini bekerja sebagai pegawai kewangan di salah sebuah hospital swasta sekitar Seremban.
“Sayalah Ibu, Sayalah Ayah”
Menurut Tasha, saat paling mencabar sepanjang bergelar ibu tunggal ialah ketika anak-anak masih kecil.
Hanya Allah SWT saja yang tahu betapa mencabarnya detik itu terutama jika anak-anak sakit.
“Terlalu penat kerana semuanya saya kena buat sendiri. Sayalah ibu, sayalah ayah.”
Pun begitu, Tasha bersyukur kerana kehidupannya kini semakin baik dan teratur.
Cantik Pada Usia 40-an
Melihat kepada fizikalnya yang kecil molek dengan raut wajah yang manis, tak sangka rupa-rupanya Tasha sudah mencecah usia 40an. Bila bersama anak-anak nampak seperti kakak dan adik pula.
“Tiada apa-apa petua pun. Mungkin sebab saiz badan kecil beri kelebihan kepada saya nampak macam kakak bila dengan anak-anak. Mungkin juga sebab saya lahir bulan Disember itu yang nampak awet muda kot..” kata Tasha sambil berseloroh.
Rapat Dengan Kembar
“Riana merupakan kakak kembar saya. Ketika dilahirkan, beza masa kami cuma 10 minit. Hubungan kami memang rapat, maklumlah kembar. Setiap hari kami akan saling berhubung dan berjumpa.
“Kalau bergaduh atau berselisih faham, dalam setengah jam kami dah berbaik semula. Kami memang tak boleh berpisah, lagi-lagi dalam tempoh yang lama.”