Hindari Kanta Lekap, Disaran Pakai Cermin Mata Cegah Virus Corona COVID-19

Dalam sekian banyak panduan untuk membasmi risiko jangkitan virus corona COVID-19, ada satu saranan penting untuk wanita yang menggemari kecantikan. Hindari penggunaan kanta lekap dan gantikan dengan pemakaian kaca mata.

Selain arahan duduk di rumah dan elakkan berhimpun di tempat awam, kita juga diingatkan berkali-kali supaya jangan menyentuh muka, terutamanya mata, hidung dan mulut. Ini bermakna, pengguna kanta lekap juga perlu menghentikan kebiasaannya kerana penggunaan tangan meningkatkan risiko infeksi virus COVID-19.

Menurut Dr. Sonal Tulis dari Akademi Oftalmologi Amerika dalam temu bualnya dengan The Sun, “Gantikan pemakaian kanta lekap dengan kaca mata untuk mengurangkan iritasi dan menghindari tangan daripada menyentuh mata.”

Tambahnya, pemakaian kaca mata juga boleh memberikan perlindungan tambahan apabila seseorang yang telah terjangkit virus, bersin atau batuk. Ia melindungi mata kita daripada terkontaminasi titisan cecair pernafasan yang keluar.

Walau bagaimanapun, ia hanya memberikan perlindungan yang minima kerana sebaik-baik langkah pencegahan ialah menjaga jarak sosial, kerap membasuh tangan atau memakai hand sanitizer.

Seorang pakar pernafasan di China, Wang Guangfa mendakwa, beliau mendapati dirinya dijangkiti virus corona dari seorang pesakit melalui mata ketika bertugas di klinik. Saat itu matanya mulai meradang diikuti pelbagai gejala lain, sebelum ujian diagnosis mengesahkan beliau terinfeksi COVID-19.

Pakar tersebut mengakui tidak memakai kaca mata pelindung untuk menghindari penularan virus melalui mata. Pun begitu, ramai pakar perubatan lain mengatakan bahawa penularan virus melalui mata cukup rendah.

Sebagai langkah berjaga-jaga, gunakan waktu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk merehatkan mata tanpa pemakaian kanta lekap. Dengan ini, kesihatan mata juga lebih terjaga dalam persekitaran sihat tanpa melihat skrin komputer terlalu lama.

IKLAN
Share