Tersentuh dengan perkongsian Rita Rudaini di Instagram miliknya apabila dia menerima hadiah istimewa sempena Hari Ibu daripada anak-anak iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Dua video ringkas telah dimuat naik oleh pelakon cantik berusia 47 tahun ini yang berstatus ibu tunggal.
Dalam muat naik video pertamanya, kelihatan Rayyan yang masih belum sembuh dari kecederaan yang dialaminya menghulurkan kad ucapan yang dihasilkannya sendiri berserta hadiah buat ibu kesayangannya itu.
Ringkas sahaja ucapan Rayyan namun cukup menyentuh hati seorang ibu. Ia turut ditulis dalam dua versi iaitu rumi dan jawi.
“Semoga murah rezeki, panjang umur dan sentiasa bersama kita (Ryan, Juna).”
Sementara dalam video kedua pula, Rita berkongsi kad ucapan yang dihasilkan oleh Arjuna kepadanya.
Ads
“Hi Mommy! Happy Mother’s Day! I love you so much more than anything!
“Just remember I will always love you no matter what. Love you, Mommy!
“Semoga murah rezeki dan panjang umur! I love you Mommy!”tulis Arjuna yang amat menyayangi ibunya.
Rita turut berkongsi perbualan ringkasnya bersama Arjuna yang meminta izin untuk keluar membeli hadiah untuknya sempena Hari Ibu.
Arjuna : Mommy..boleh x nak g DIY?
Mommy : Nak beli apa pulak?
Arjuna : Mmmmm..nak beli benda nak bagi gift mother’s day untuk mommy.
Ryan : Alaa.. nape adik cakap..x surprise laaa
Ads
Arjuna : kalau adik xbagitau nanti mommy x bagi pergi..Mommy…tapi adik nak pinjam duit sebab adik lupa bawak wallet adik. Nanti adik bayar balik kat mommy…
Hati mommy cry malam ni..diorang ingat HARI IBU.. SELAMAT HARI IBU semua!
Semoga Rita terus kuat dalam membesarkan anak-anak. Didoakan agar Rayyan dan Arjuna menjadi anak-anak yang soleh, cemerlang seterusnya membanggakan keluarga.
Rita antara ibu tunggal contoh yang berjaya membesarkan anak-anak sehingga cemerlang dalam akademik.
Ads
Buktinya, baru-baru ini anak sulungnya Rayyan berjaya menerima Anugerah Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan.
Sekaligus, ianya turut menjadi hadiah harijadi Rita paling bermakna pada tahun ini.
Untuk rekod, Rita Rudaini pernah mendirikan rumahtangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan pada 2008 namun bercerai pada September 2013.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 14, dan Airit Qaqa Arjuna, 12.
Kredit Foto: Instagram Rita Rudaini
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum dengan kejayaan yang diraih wanita Muslim bernama Ginella Massa ini. Mana tidaknya, bukan mudah bagi seorang wanita beragama Islam untuk bekerja dan muncul di stesen televisyen terkemuka Kanada. Apatah lagi dengan penampilan berhijab! Kemampuan yang dimiliki Ginella sememangnya bukan calang-calang.
Dilahirkan pada 29 Januari 1987 di Panama, Ginella merupakan wanita Afro-Latin berjaya yang menjadi perhatian rakyat Kanada kerana kebolehannya menyampaikan berita. Ginelle bekerja keras untuk membina karier wartawan di depan kamera dan belakang tabir sejak 2010.
Bakatnya mula disedari ketika dia masih kecil dan tinggal di Toronto. Selepas memenangi pertandingan pengucapan di gred 3, ibu Ginelle mencadangkan anak perempuannya ini meneruskan kerjaya di kaca TV.
Bagaimanapun jelas Ginelle, untuk muncul di televisyen bukan sesuatu yang mudah. “Saya perlu merancang hala tuju kerjaya dengan cara sendiri. Apatah lagi saya tidak mempunyai network atau orang dikenali dalam industri ini.
Ibu bapa tiada cara untuk membantu saya berjaya dalam bidang kewartawanan walaupun mereka sangat menyokong. Jadi saya perlu menunjukkan kebolehan diri sendiri ketika mula bertapak dalam industri ini dan berusaha lebih keras untuk membuktikan yang saya layak berada di sini.”
Ginelle melakar sejarah tersendiri pada tahun 2015 apabila menjadi wartawan televisyen pertama di Amerika Utara yang mengenakan hijab semasa bersiaran ketika bertugas di CTV News di Kitchener, Ontario. Namanya terus menjadi bualan ramai selepas mengacarakan program di CityNews Toronto pada 2016.
Atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan Ginella, wanita berusia 34 tahun ini kemudian mencuri tumpuan dunia apabila menjadi penyampai berita berhijab pertama dalam sejarah Kanada ketika menyampaikan berita pada 17 November 2016.
Memetik laporan CBC Media Centre, Ginella ialah penerima Canadian Screen Award yang juga wartawan, penyampai berita dan hos sulung di Kanada yang memakai hijab.
Ginella sebelum itu pernah berkhidmat untuk pelbagai agensi berita termasuklah CTV News, CFRB dan Rogers Television. Pada tahun 2020, Canadian Broadcasting Corporation (CBC) mengumumkan Ginella sebagai salah seorang personaliti mereka dan dia menyertai stesen TV berkenaan sebagai pengacara untuk program utama di CBC News Network serta bertindak selaku koresponden.
Dengan pengalaman selama lebih berdekad dalam dunia penyiaran, Ginella turut berkhidmat untuk stesen berita tempatan dan kebangsaan termasuk di kaca TV dan radio. Dibesarkan di Toronto, Ginelle merupakan graduan Pengajian Komunikasi dari York University dan mempunyai Diploma dalam Kewartawanan Penyiaran dari Seneca College.
Ginelle mendirikan rumah tangga pada tahun 2018 di Toronto.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik dan bijak itulah aset utama yang dimiliki oleh si cantik manis Sarah Amanda Sahrudin anak keempat kepada bekas penyampai berita tersohor era 90-an, Azura Karim. Sarah Amanda yang mesra dipanggil Yaya tular sekelip mata kerana meraih kecemerlangan dalam pengajiannya di University of The West of England (UWE), Brisbol, United Kingdom sehingga menjadi bualan netizen.
Dua tahun bertungkus lumus dalam akademik akhirnya Yaya berjaya menamatkan pengajiannya pada 17 Julai lalu dan memperoleh kepujian dalam Bacelor Perakaunan & Kewangan. Rata-rata memuji gadis berusia 21 tahun ini sehingga diberi jolokan beauty with brains. Pastinya, ibu dan bapalah yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan Yaya.
“Tanpa doa dan sokongan mereka saya takkan berjaya. Sepanjang pengajian ingatan saya terhadap ibu ayah tak pernah luput walau sesaat. Merekalah pembakar semangat saya terutama ketika menghadapi detik-detik sukar ketika berseorangan di luar negara.
Kejayaan hanya diperoleh dengan usaha diiringi doa dan solat,” kongsi Yaya seorang anak muda yang rajin berusaha, peramah dan penyayang.
IBU WONDER WOMAN SEBENAR
“Kalau nak disenaraikan setiap pengorbanan ibu dari segi masa, wang dan kesihatannya terhadap anak-anak memang tak ternilai. Ibu dah buat yang terbaik dan lebih dari cukup. Ibu sentiasa dahulukan anak-anak berbanding dirinya sendiri.
Sebab itulah saya berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan saya tak setanding dengan pengorbanan ibu selama ini. Ibu selalu ingatkan saya sentiasa kuat walau apa jua dugaan yang datang. Saya dididik untuk berfikir di luar kotak. Kata ibu, ‘the sky is the limit’ and not just to make my parents proud but to make myself proud too and to prove myself that I can actually do the things that I thought I couldn’t.
Pesan ibu, jangan lupa asal usul dan jaga solat sentiasa menjadi pegangan saya. Semua rezeki datang daripada Allah SWT. Kita cuma merancang tapi Dia menentukan.
Antara superpower ibu ialah kemampuannya menguruskan kerjaya dan keluarga. Penat macam mana pun ibu tak pernah tunjuk depan anak-anak. Setiap kali balik kerja ibu sentiasa buat kami sekeluarga gembira. She is the real definition of wonder woman! Wanita inspirasi, cekal dan berdikari.
WARISI KEJELITAAN IBU
“Ramai yang kata saya beruntung kerana bergelar anak kepada selebriti popular. Sejujurnya saya tak pernah pun ‘berlagak’ dengan status ibu sebagai public figure sebaliknya bangga bergelar anak kepada seorang wanita hebat. I could never be as beautiful and as strong as my mom. She really is a superwoman!
Sejujurnya ibu memiliki kecantikan asli dan tak suka bersolek tebal-tebal. Ibu lebih gemar berbelanja untuk produk-produk penjagaan kulit yang bagus dan berkualiti.
Petua mudah ibu sentiasa fikir hal-hal yang positif. Jangan terlalu stres nanti cepat nampak tua,” ungkap Yaya yang telah ‘dilamar’ sebagai Audit Associate di firma audit antarabangsa KPMG Malaysia sekembalinya ke tanahair Julai lalu.
Yaya juga berhasrat untuk bekerja sambil belajar bagi memperoleh sijil Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA). Semoga segalanya dipermudahkan buat Yaya.
Kredit Foto: _sarahamanda
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anakanda sulung Perdana Menteri ketujuh ini sempat berkongsi bingkisan indah bersama keluarga tercintanya buat pembaca NONA. Di usia 61 tahun, rupa paras isteri kepada Tara Sosrowardoyo dan ibu kepada tiga cahaya mata, Ineza Roussille, Haga Tara dan Shaista Mayada itu masih manis rupawan dengan karakter seorang feminis yang pintar.
Terus saja persoalan tentang watak ibu bapanya di rumah diajukan, lantas disambut dengan senyuman lebar oleh Datin Marina. “Secara jujur, saya melihat kedua orang tua saya sebagai pasangan yang paling ideal di dunia. Mereka seperti ditakdirkan bersama. Amat mesra dan saling melengkapkan antara satu sama lain. Meskipun kedua-duanya tidak ekspresif melahirkan rasa cinta, namun ia terserlah melalui perbuatan dan pandangan mata. Saya juga kenal perangai Ayah saya yang sangat bergantung pada Mak. Kalau ada sesuatu yang mengganggu fikirannya atau waktu dia menjalani rawatan di hospital dahulu, hanya isterinya yang dimahukan untuk berada di sisi.
Semasa kami semua membesar di Alor Setar, Ayah seorang yang garang dan tidak banyak bercakap. Kalau kami tak pergi ke sekolah, macam buat satu dosa besar bagi dia. Saya juga pernah teruk dicubit dan dimarahi apabila tukang kebun kami mengadu saya menjelir lidah kepadanya. Berkali-kali Ayah tekankan betapa pentingnya sikap tertib dan adab sopan terhadap orang lain. Itulah yang saya pegang dan menjadi prinsip hidup sampai sekarang,” cerita wanita yang mesra disapa sebagai Marina itu kepada penulis.
Tun Dr. Siti Hasmah pula, akui Marina turut bersikap tegas kerana beliaulah yang menguruskan semua hal berkaitan pendidikan anak-anak. “Dia memang lemah lembut dan mesra dengan semua orang. Tapi sewaktu kami kecil, dia seorang enforcer kerana mahu melihat kami semua berjaya. Sekarang tidak lagi. Mak merupakan individu paling rajin untuk mengatur percutian keluarga dan dialah yang sentiasa membuatkan kami sekeluarga berhubung antara satu sama lain.
Kami selalu dididik bahawa hajat tak akan tertunai tanpa usaha. Dalam dunia ni tak ada yang percuma. Semua orang mesti bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Mereka juga selalu berpesan bahawa pendidikan itu sangat penting. Tak kisahlah kami mahu kerja apa nanti asalkan mesti habis belajar. Kerana tidak dipaksa, maka tak ada seorang pun di antara kami yang mengikut jejak langkah mereka dalam bidang perubatan. Mujurlah sekarang ada dua anak saudara yang menunjukkan minat sebagai doktor,” kata Datin Marina dengan mesra.
Kesibukan sentiasa menjadi halangan buat pemilik syarikat Mosaique Communication ini dan adik-beradik yang lain untuk selalu berjumpa ibu bapa di rumah. Sesekali tiba peluang berkumpul, itulah masanya untuk update hal keluarga masing-masing. “Percaya tak, kadang-kadang saya kena baca akhbar untuk tahu Mak dan Ayah berada di mana! Hakikatnya memang mereka berdua sibuk dengan pelbagai aktiviti di merata-rata tempat. Sebagai anak Perdana Menteri, kami dah biasa dengan situasi ini. Cuma kini agak risau kerana mereka sudah tua dan perlu banyak berehat.
Ayah sudah biasa bekerja. Sebenarnya kami sekeluarga sudah puas memujuk namun Ayah masih sayangkan perjuangannya. Sampai ke satu tahap, kami jadi putus asa. Selagi dia masih sihat, okaylah. Cuma jauh di sudut hati saya sangat kesian melihat Ayah kerana umurnya yang sudah meningkat,” kata Datin Marina dalam nada tertahan.
Tatkala Datin Marina atau ahli keluarganya yang lain dilemparkan pelbagai tohmahan, mereka sekeluarga mengambil inisiatif untuk saling menyokong satu sama lain. “Saya selalu menerima kritikan negatif tapi alhamdulilah semuanya diuruskan sendiri tanpa melibatkan Ayah atau sesiapa. Mungkin berkat pengalaman di bidang perhubungan awam dulu, saya jadi immune. Saya tak kisah apa orang nak kata. Mereka tak kenal saya tapi menilai dari media sosial saja. Di media sosial, golongan yang menghentam itu memang nampak hero tapi belum tentu mereka berani berdepan saya. Kita semua sama. Yang menghisab cuma Dia.”
Kini meskipun tidak lagi aktif dalam persatuan, kebanyakan masa Datin Marina masih lagi padat dengan pelbagai program seperti jemputan memberi ceramah di sektor korporat, universiti dan sekolah. Beliau juga masih memikul tugas ahli lembaga Yayasan Maybank dan ahli Asian University for Women (AUW) yang berpangkalan di Chittagong, Bangladesh.
Daripada pandangan mata penulis, sumbangan Datin Marina teramat besar dalam memperjuangkan hak asasi wanita. Beliau lantang menyuarakan pendapatnya walau ada kalanya disanggah beberapa pihak. Sebagai bekas Presiden Majlis AIDS Malaysia juga, Datin Marina giat membela nasib mangsa HIV/AIDS serta terkenal melalui Sisters In Islam kerana memperjuangkan keadilan serta menuntut kesaksamaan bagi wanita Islam
MERIAH
Ceritera Ramadan menyapa perbualan penulis yang seterusnya dengan Marina. Dibesarkan dengan gaya orang Kedah, Datin Marina sekeluarga biasanya akan mula berbuka dengan hidangan ringan seperti kuih-muih dahulu, sebelum bersolat Maghrib dan bersambung semula dengan menjamah nasi. “Amalan kami sama saja dengan keluarga lain. Saya sendiri berlatih berpuasa secara separuh hari. Sedikit demi sedikit, barulah pandai berpuasa sampai sehari dan alhamdulilah pada usia 8 tahun, sudah boleh berpuasa penuh di bulan Ramadan.
Bagi saya Ramadan adalah masa yang paling ideal untuk keluarga. Sambil itu juga, inilah masanya untuk merenung semula makna kebesaran bulan Ramadan dan to simplify our life. Kami sudah lama tak pergi berbuka puasa di hotel tapi cukuplah apa yang terhidang di atas meja saja. Inilah bulan yang paling quiet bagi saya, kurang bersosial, kurang marah-marah dan lebih masa untuk beribadah. Cukuplah menyibukkan diri pada bulan-bulan lain.
Sekarang bila keluarga dah bertambah besar dan ramai, kami sepakat adakan dua majlis wajib sewaktu bulan Ramadan. Semua ahli keluarga mesti berkumpul pada malam 1 Ramadan dan malam terakhir berpuasa. Masa inilah kami akan berbuka dan bertarawih sama-sama di rumah dengan keluarga,” imbau Datin Marina yang juga pernah menyambut Ramadan selama lima tahun di kota London.
Sewaktu negara di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir dulu, penulis teringat akan suasana meriah membuat persiapan raya sambil televisyen terpasang rancangan Perutusan Khas Aidilfitri daripada Perdana Menteri. Tatkala bercerita semula tentang kenangan itu kepada Datin Marina, beliau sebagai anak tentulah agaknya lebih teruja. Sambbil tertawa kecil. “Saya tidaklah sampai tertunggu-tunggu ucapan Ayah di depan TV. Bagi saya, itu biasa saja baginya yang sedang menjalankan tugas rasmi sebagai pemimpin.”
Mengakhiri perbualan ini, Datin Marina sempat berpesan kepada semua pembaca Nona agar jangan jemu menambah ilmu. “Pengetahuan adalah kuasa. Sebagai wanita, kita mesti tahu apa hak kita dan perkasakan diri dengan pengetahuan. Dengan itu kita lebih bersedia untuk menghadapi apa jua cabaran atau kemungkinan yang mendatang,” katanya bersungguh-sungguh.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.