
Tomok bukan lagi nama asing dalam industri muzik dan hiburan tanah air. Sejak usia remaja lagi dia sudah menempa populariti sebagai penyanyi menerusi kumpulan New Boyz yang dianggotainya sekitar tahun 1998. Kini pelantun lagu Sejarah Mungkin Berulang tersebut bergerak solo dan masih bertapak kukuh dalam industri.
Meskipun ramai pendatang muzik baharu namun Tomok atau nama penuhnya Shah Inderawan Ismail kekal relevan dan mempunyai sejumlah besar peminat hingga ke hari ini.
Memori Tomok Waktu Kecil

Bersandarkan popularitinya, dia berjaya mengadakan Konsert New Boyz 25th Anniversary Live in Kuala Lumpur pada 2024. Selain menerima pelbagai undangan nyanyian untuk pelbagai majlis termasuk menyertai program hiburan.
Baru-baru ini, dia mengimbau memori sewaktu kecil di media sosial miliknya apabila pertama kali menyertai pertandingan karaoke dan menyanyi di hadapan khalayak.
Dedah penyanyi berusia 42 tahun ini, “Saya tak pasti pernah cerita atau tak. Takpalah saya cerita juga. Lagu Suci Dalam Debu dari Kumpulan Iklim merupakan lagu pertama yang saya nyanyikan dalam pertandingan karaoke masa umur saya 8 tahun macam tu.”
Tambah Tomok, dia amat menghargai jasa ibu tersayang yang membawanya ke pertandingan tersebut pada tahun 1992.
View this post on Instagram

“Ibu sayalah yang bawa saya pergi pertandingan nyanyi di Tasik Permaisuri Kuala Lumpur. Kami jalan kaki dari rumah Flat Sri Kota ke sana.
Bermula dari situ impian untuk menjadi seorang penyanyi berkobar-kobar dalam diri. Alhamdulillah, saya masih berjuang hingga ke hari ini. Doa dari keluarga dan peminat sentiasa mengiringi.”
Kejayaan Tomok Dalam Seni, Bisnes & Kehidupan


Berkat doa, izin Allah dan semangat yang tidak pernah putus asa, adik kepada penyanyi Ismaliza ini makin sukses dalam karier seni. Malah dia juga merupakan seorang usahawan.
Dalam kesibukan sebagai anak seni, suami Ayu Abas berkenaan nekad menyambung pengajian dan berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada November 2023.
Tomok mendirikan rumah tangga dengan Ayu pada 1 Julai 2011. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Arrianshah Akid, Andrashah Iman dan Siti Khadijah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





