“Ingat Arwah Ayah… Ingat Mak, Rindu!” DIRA ABU ZAHAR Sebak Sambut Ramadan Di Mekah!

Beruntungnya Dira Abu Zahar diberi kesempatan mengerjakan ibadah umrah dalam bulan suci Ramadan. Impian setiap insan yang beragama Islam tu! Mana tidaknya, bukan saja dapat peluang merasai suasana berbuka puasa dan bertarawih di Tanah Suci Mekah… setiap amal kebaikan yang dilakukan dalam bulan Ramadan juga diberi ganjaran besar.
Sebab itulah ramai Muslim berlumba-lumba kejar pahala terutamanya melalui sedekah.
Berangkat ke Tanah Suci sebelum Ramadan lagi, Dira tidak mampu menyembunyikan perasaan betapa bersyukurnya dia dapat kembali semula ke Mekah setelah sekian lama simpan niat untuk menjadi tetamu Allah sekali lagi. Baik Dira mahupun sesiapa saja, yang pernah bertandang ke Mekah pasti merindui momen dan suasana di sana sampai hendak datang berkali-kali.
Dalam kegembiraan tersebut… sebenarnya terbuku sebuah perasaan yang membuatkan ahli politik ini sebak. Kemas menyimpan rahsia hati daripada pengetahuan umum, Dira terdetik untuk berkongsi kenangan indahnya bersama arwah ayahanda tercinta sewaktu sama-sama mengerjakan umrah hampir dua dekad lalu.
Menerusi status Dira di IG, “Alhamdulillah… alhamdulillah… alhamdulillah. Lama berdoa nak datang lagi. Hampir 20 tahun menanti. Dulu ada mak dan arwah ayah. Kali ni berteman doa dan tawakallah. Syukur, Allah bagi yang cukup istimewa. Ramadan disambut penuh makna. Gembiranya hati sampai tak terkata.
Diam kejap, tenung sahaja apa yang ada di depan mata. Sambil dalam hati, bersyukur… bersyukur pada yang Maha Esa. Tak pernah tak berkaca mata tiap kali solat. Gembira, sebak, syahdu.
Arwah ayah Dira, Datuk Seri Abu Zahar
Ingat arwah ayah, rindu. Ingat mak, rindu. Ingat anak-anak, lagilah rindu. Mudah-mudahan ada rezeki nanti, kita kembali lagi ke tanah suci. Dengan anak-anak dan mak yang teramatlah aku cintai.”
Rupa-rupanya sudah enam tahun ayahanda Dira yang juga bekas Ketua Menteri Melaka telah meninggal dunia. Tidak hairanlah, Dira berkecimpung dalam arena politik… darah bergelar wakil rakyat mengalir deras dalam dirinya.
Daripada apa yang diceritakan Dira, jelas membuktikan peribadi Datuk Seri Abu Zahar Ithnin seorang bapa berjiwa penyayang.
“Ayah… dah 6 kali Ramadan tanpa ayah. Dulu datang Mekah buat umrah ayah ada. Ingat lagi selipar ayah hilang, balik hotel kaki ayam. Orang tanya kenapa, ayah senyum je jawab selipar kena curi.
Buat saei, ayah buat dengan cucu, Shahideen. Ayah je larat layan dia sebab time tu umur dia 10 tahun. Macam-macam perangai dia. Ayah je larat layan sebab sayang betul ayah dengan cucu yang sorang ni. Rindu umrah dengan ayah. Moga tenang, tunggu Ira. Al-fatihah.”
Hanya yang pernah merasai kehilangan orang tersayang saja memahami apa yang dirasakan Dira. Walau di kelilingi anak dan ahli keluarga lain… tapi, ada ketika rasa rindu terhadap mereka yang telah pergi datang menyapa dan membuatkan kita sebak mengenang kenangan ketika bersama. Lebih-lebih lagi bulan Ramadan dan Syawal tiba, memang terasa.
Moga Dira terus kuat dan kembali menyambung legasi politik yang pernah diterajui arwah ayahandanya suatu ketika dulu.
Kredit: Instagram Dira Abu Zahar

 

 

 

IKLAN
Share