Pengurus peribadi yang juga bekas kakak ipar kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak atau dikenali dengan gelaran Rozi Sangdewi baru saja meraikan ulangtahun kelahirannya yang ke-48.
Rozi bersama 3 anak kesayangannya.Genap usia 48 tahun, Selamat Hari Lahir!
Pada 11 Mei 2022, Rozi telah memuat naik posting pertamanya memaklumkan tentang bertambah lagi usianya tahun ini. Rozi meletakkan dua keping gambar dirinya yang manis berbaju kurung bersama tudung rona senada, tetap tidak menampakkan usianya yang dah mencecah lewat 40an.
“Hari ini bertambah angka dalam usia. Syukur di atas kurnia untuk hirupan nafas yang selalu melenyapkan jelaga untuk menerbitkan sebanyaknya cahaya.
Kalian, terima kasih kerana telah mengisi kehidupanku dengan setiap cara, bentuk hadir, asbab dan semuanya.
Di posting seterusnya, Rozi turut berkongsi satu video pendek di mana dia menerima beberapa biji kek dan hadiah daripada sahabat-sahabatnya termasuklah yang ditempah sendiri.
“Satu kek, hadiah daripada sahabat-sahabat dan satu lagi ditempah sendiri untuk meraikan.
Sambutan kecil bersama-sama sahabatku malam tadi, setelah dua tahun merayakan hari lahir sewaktu PKP” tulisnya.
Ads
Rozi juga bersyukur dan berterima kasih kepada anak-anaknya yang dibesarkan dengan cara tersendiri dan sederhana. Sambil mengharapkan agar dia dan anak-anaknya dapat menjalani kehidupan dengan baik.
Menjengah di akaun Instagram DS Siti Nurhaliza, beliau turut menitipkan kata-kata indah buat Rozi yang sudah dianggap sebagai kakak kandungnya sendiri. Banyak jasa dan pengorbanan Rozi dalam kariernya sejak 25 tahun yang lalu.
“Sannah helwah buat seorang insan yang seperti kakak kandung saya sendiri. Beliau menjaga saya lebih dari waktu menjaga anaknya, mengingati fakta tentang saya seperti perpustakaan bergerak. Insan yang saya sayang dan hormati.”
Perkongsian Rozi telah meraih tanda suka dan komen daripada para pengikutnya di Instagram. Rata-rata mendoakan kesejahteraannya di samping menitipkan ucapan ulang tahun kelahiran.
Hasil perkahwinan Rozi bersama abang DS Siti Nurhaliza iaitu Saiful Bahri Tarudin atau Ayie, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Semoga Rozi terus tabah mengharungi kehidupannya sebagai seorang ibu tunggal dan terus sukses dalam kerjaya serta perniagaan. Seterusnya, dapat membesarkan anak-anak menjadi insan yang berjaya di dunia mahupun akhirat. Tak lupa, kekal awet muda dan sweet selalu!
Kredit Foto: Instagram Rozi Abdul Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Cukup mewah dan ‘berjiwa’ di dalamnya, Bling Bling Raya 2025 kali ini tinjau kediaman konsep Chinoiserie Chic milik Maria Tunku Sabri.
Terletak di sebuah kejiranan eksklusif di Kuala Lumpur, tersergam indah banglo mewah milik personaliti TV ikonik, Maria Tunku Sabri yang terkenal menerusi program Jalan-Jalan Cari Makan. Namun, kali ini bukan tentang lokasi makan menarik yang ingin dikongsikan, tetapi kediaman beliau yang cukup memukau.
Konsep reka bentuk dalaman rumah ini digarap dengan tema Chinoiserie Chic, diinspirasikan daripada koleksi warisan arwah ibu mertua beliau. Meskipun menerapkan elemen perhiasan antik, namun Maria bijak menyuntik suasana moden ke dalam tata rias rumahnya.
Teruja dengar celoteh Maria, saksikan video penuh Bling Bling Raya ini…
Setiap sudut ruang tampak seperti galeri seni yang dihidupkan – dengan deretan pasu oriental, mangkuk antik dan bunga-bungaan segar yang dipadankan penuh rasa estetika.
Cukup mewah dan ‘berjiwa’ di dalamnya, Bling Bling Raya 2025 kali ini tinjau kediaman konsep Chinoiserie Chic milik Maria Tunku Sabri.
Malah, Maria turut memanggil flower stylist khas untuk menyusun gubahan bunga di seluruh rumah demi menjaga sentuhan eksklusif tersebut.
“Bunga menyerikan hidup saya, rumah saya… suami saya pun suka yang cantik-cantik, seperti isteri dia,” kata Maria berseloroh.
Kediaman ini bukan sekadar rumah, tetapi ruang berjiwa. Ia sering menjadi tempat curhat untuk sahabat karib beliau seperti Sheila Rusly dan Sharifah Shahora, Rumah Maria menjadi port lepak wajib setiap minggu, lengkap dengan karipap sardin kegemaran sahabat-sahabatnya.
Apa yang menjadikan rumah ini lebih istimewa adalah kehadiran KDYMM Tengku Ampuan Pahang yang pernah mencemar duli beraya di sini. Momen istimewa ini menjadi antara kenangan paling dihargai oleh Maria, yang sudah lama menjalin hubungan akrab dengan baginda melalui program memasak ‘Dari Istana ke Istana’.
Kediaman Maria Tunku Sabri bukan sahaja menggambarkan kemewahan yang berkelas, tetapi juga nilai kekeluargaan, spiritual, dan persahabatan yang tulus. Ia mencerminkan personaliti beliau sendiri—ceria, elegan dan penuh kasih sayang.
“Sekian lama menunggu kehadiran si buah hati. Allah Maha Mendengar, dan saya yakin Allah itu sentiasa bersama kita yang selalu berdoa. Jika tertekan dengan pendapat orang, balaslah dengan senyuman. Untuk hati yang sedang diuji kesabaran, itu memang pahit pada awalnya. Namun percayalah, ia akan manis di penghujungnya. Terima kasih Allah untuk anugerah yang tidak ternilai ini.
Pasangan bahagia, Ruzaini Jamil dan Ida.Handsome betul Rahil ni. Dah genap setahun umurnya.
Happy 1st Birthday “cukcham” Mak…Mak doa semoga Rahil menjadi anak yg soleh, penyejuk hati mak dan abah, berjaya bukan saja di duniawi tapi juga di ukhrawi..sebab ini negeri abadi kita tau nak. Nanti besar, solat jangan tinggal, hormat org tua, tolong orang yang susah, jangan sombong dan tinggi diri, sentiasa ingat Allah.Semoga Rahil sentiasa dalam Lindungan Allah. Mak sayangggg Rahil.”
Begitulah harapan seorang ibu buat zuriatnya yang baru meraikan ulangtahun kelahiran pertama. Nurul Hidayati Yahaya atau Ida, 37, isteri kepada pereka fesyen duo terkenal Rizmanruzaini iaitu Ruzaini Jamil berkongsi rasa gembira dan syukurnya di akaun Instagram.
Manakala Ruzaini juga berkongsi kesyukurannya bersama followers di Instagram dengan kapsyen berikut.
“Untuk Rahil, abah sangat sayang dengan Rahil. Hari ini tarikh hari lahir cheq, Abah doakan sentiasa menjadi khalifah yang terbaik didunia dan diakhirat. Panjang umur serta sihat selalu. Happy Birthday Wan Rahil.”
Rahil mewarisi raut wajah bapanya.
Majlis hari lahir Rahil diraikan dalam suasana sederhana namun meriah dengan kehadiran kenala rapat dan tak lupa Rizman serta isteri, Nurida Suraya dan anak mereka yang sangat adoreable, Rizqaa. Tema biru dipilih menjadikan majlis tersebut sangat sweet dan menenangkan jiwa!
Bersama sahabat sejati, Rizman dan isteri.
5 TAHUN MENANTI ZURIAT
“Alhamdulillah setelah lama menunggu hampir 5 tahun, kami dikurniakan rezeki yang amat berharga dan bermakna. Rutin saya memang berubah 360 darjah selepas kehadiran Rahil. Namun, Allah SWT dah susun cantik perjalanan kerjaya dan kehidupan saya setelah memiliki zuriat.
Sekarang setiap kali habis waktu kerja saya akan terus pulang ke rumah. Waktu lunch pun saya akan pulang untuk menjenguk Rahil. Kalau dulu saya sering tidur lewat kerana nak siapkan assignment atau kerja pejabat, kini memang tidur awal kerana perlu tidur sekali dengan anak. Saya kekalkan work life balance selepas kehadiran Rahil,” ungkap Ida yang berasal dari Perak dan bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sebuah Kementerian.
RAHIL DILAHIRKAN PRA MATANG
Rahil adalah bayi pra-matang kerana lahir awal iaitu pada minggu ke-33. Due date sebenarnya pada 10 Disember 2020 tetapi dia lahir pada 26.
Pengalaman melahirkan Rahil membuatkan saya insaf. Sampai terfikir bagaimana ibu saya menanggung sakit sebanyak 7 kali untuk lahirkan anak-anaknya dulu. Saya sangat bersyukur kerana di saat Allah SWT ‘ambil’ semula ibu ketika saya hamil 7 bulan, Allah SWT hadirkan ibu mentua yang sangat penyayang. Beliau menjaga menantunya ini seperti anak sendiri.
Saya percaya semua ibu bapa sentiasa mengharapkan anak mereka menjadi insan cemerlang dalam akademik serta memiliki sahsiah terpuji, kukuh pegangan agama dan mendapat kerjaya yang bagus kelak. Saya sendiri dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan soal agama dan akademik. Arwah ibu dan Abah tidak berkompromi bab solat, mengaji dan akademik. Semasa kecil, arwah Abah mewajibkan kami adik beradik solat berjemaah waktu Subuh, Maghrib dan Isya’. Saya juga khatam al-quran dengan arwah ibu.
Saya beritahu suami kalau boleh nak terapkan amalan solat berjemaah seperti arwah Abah ajar dulu. Kalau boleh juga, Rahil khatam al-quran dengan saya atau suami. Jadi, sejak mengandung kami mula belajar ilmu tajwid, bacaan dalam solat yang betul sebagai persiapan mendidik Rahil. Saat itu baru tersedar, banyak lagi kelemahan dan kekurangan. Benarlah, kadang kala teguran Allah tu dihantar melalui anak.
Begitulah jua harapan kami terhadap Rahil. Paling penting, doa kami agar Rahil membesar sebagai insan soleh dan berbakti bukan saja kepada ibu bapa atau keluarga bahkan buat masyarakat serta negara.
Kami akan memberikan pendidikan terbaik buatnya dengan sifat-sifat mahmudah yang dapat membentuk dirinya ke arah kesempurnaan hidup di duniawi dan ukhrawi. Kami juga sepakat untuk memberi kebebasan kepada Rahil untuk memilih minatnya sendiri dalam kerjaya,” kongsi Ida yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi.
Pasangan ini sememangnya serasi dengan rona biru. Cantik!
Ruzaini dan Ida bernikah pada 5 Februari 2016 serta memilih tema Bollywood dan tradisional Melayu untuk majlis resepsi.
Kredit Foto: Instagram @ida_deqda @ruzaini.jamil @rizmanruzaini
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berstatus ibu tunggal bukan halangan buat wanita jelita ini untuk melangkah maju dalam kerjaya. Satu persatu bidang diceburi dan setiap apa yang dilakukan Dr. Siti Khadijah Awang Amat ini pasti membuahkan hasil.
Mahu dikenali dengan panggilan Dr. Katalina, ibu kepada dua cahaya mata ini juga sudah mula melebarkan sayap dalam bidang lakonan tatkala membawa watak kaunselor penjara dalam drama bersiri Lara Aishah bersama gandingan pelakon hebat seperti Jasmin Hamid dan Dato’ Eizlan Yusof. Setahun lalu juga, Dr. Katalina telah melancarkan single pertamanya ‘Macam Faham’ di bawah naungan Warner Music.
Pernah menyertai program nyanyian bersama RTM Sabah ketika berusia 15 tahun, Dr. Katalina cukup optimis mendepani masa depan bersama dua anaknya, Sofea Adrianna dan Muhd Syafeeq Iskandar.
“Tak ada apa yang hendak saya sembunyikan tentang status ini. I’m alright with that. Lagipun, memang niat utama saya mahu bagi semangat kepada para wanita yang senasib supaya tidak takut menghadapi realiti hidup dan kejar impian. Itu yang harus ditekankan,” pintanya.
Keterbukaan Dr. Katalina mencerminkan keperibadiannya yang luhur dan tulus. Enggan mengingati kisah silam, anak kelahiran Sandakan, Sabah ini cekal mengharungi liku hidup bersandarkan semangat juang yang tinggi.
Dia yang akur dengan takdir Ilahi turut tidak menafikan kenangan lalu telah banyak mematangkan diri. Saat diminta mengulas tentang profesionnya, doktor berusia 34 tahun ini lantas membuka bicara.
“Masuk tahun ini sudah hampir tujuh tahun saya berkhidmat sebagai doktor perubatan. Awal perkhidmatan dulu saya telah ditugaskan ke Hospital Selayang selama tiga tahun.
Cukup tempoh itu, saya dipindahkan pula ke Klinik Kesihatan Bandar Mentakab untuk beberapa tahun sebelum dilantik sebagai salah seorang doktor peribadi kepada keluarga diraja.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana kurniakan saya kesihatan yang baik untuk meneruskan kelangsungan hidup dan berbakti di bumi Allah. Masa yang terluang itu saya isi dengan aktiviti seni dan memenuhi pelawaan sebagai duta produk.
Demi tanggungjawab sebagai doktor, saya sering turun padang untuk memberi ceramah berbentuk kesihatan dan kesedaran seperti pencegahan penyakit denggi, kebaikan susu ibu, pemakanan bayi dan sebagainya kepada masyarakat.
Kalau ada masa senggang, saya turut mengadakan home visit bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan khusus selain aktif menyertai program bantuan makanan dan keperluan kebajikan bagi golongan gelandangan di sekitar ibu kota.”
Bukan mudah bagi seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang lakonan untuk membawakan sesuatu watak dengan baik dan berkesan namun bagi Duta Kelab Lotus ini, penghayatan yang jelas tentang jalan cerita memudahkan dirinya untuk beraksi di depan lensa kamera.
“Saya tidak pernah ikut mana-mana kelas lakonan. Mungkin bakat berlakon memang sudah ada dalam diri. Ajaibnya, bila sudah berada di set penggambaran dan mendengar suara pengarah yang cuba menyampaikan mood scene terbabit, perasaan itu akan datang dengan sendiri. Hinggakan selepas habis scene pun saya masih menangis kerana terlalu mendalami watak yang diberikan.”
Biarpun sibuk dengan tugas doktor dan penggiat seni, masa bersama anak-anak tidak pernah dilupakan. Malah, dia turut sempat memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti lasak yang digemari.
“Menjadi wanita berkerjaya dan juga ibu tunggal, saya sememangnya amat menitikberatkan kepentingan kedua-dua tanggungjawab ini. Untuk mengelak masa berkualiti dengan keluarga tidak terganggu, saya akan buat jadual kerja dan mengatur temu janji seawal mungkin.
Biasanya, bila ada waktu terluang saya akan pergi bersukan atau beriadah di Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk sertai aktiviti lasak seperti jet ski dan go kart. Kalau dapat cuti panjang saya akan melancong bersama keluarga tidak kira di dalam mahupun luar negara,” luah peminat setia Tun Dr Siti Hasmah yang menyifatkan doktor wanita pertama negara ini sebagai seorang wanita dan isteri kepada mantan Perdana Menteri yang berjiwa besar. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!