Inspirasi Dari Tanah Suci, Pereka Fesyen Amelia Hassan Reka Koleksi Khimar Untuk Mudahkan Solat

114

Fesyen Muslimah acapkali menyimpang daripada landasan sebenar apabila banyak pereka terkeliru antara tuntutan agama dan trend semasa. Berpakaian yang sesuai syariah Islam sebenarnya adalah berkhimar, atau dalam bahasa mudahnya bertudung labuh iaitu menutupi dada, longgar dan tidak telus menampakkan lekuk tubuh badan.

Inilah yang mendorong pereka fesyen terkenal, Datin Amelia Hassan untuk mengeluarkan koleksi khimar. Sebelum ini beliau banyak mereka pakaian baju kurung moden, busana pengantin, ready-to-wear dan custom made hingga dikenali ke peringkat antarabangsa. Agak mengujakan apabila tiba-tiba beliau hadir dengan koleksi khimar, kali ini.

Datin Amelia Hassan

Nona: Mengapa koleksi khimar?

Amelia Hassan: Idea khimar ni tercetus semasa saya mengerjakan umrah. Sebelum ni ada permintaan, tapi saya tak pernah serius untuk mengeluarkan himpunan koleksi khimar yang khas.

Tapi bila saya sendiri yang pakai, saya rasa selesa, mudah bergerak dan mudah untuk solat. Maka di situlah titik mulanya niat saya hendak keluarkan satu koleksi. Saya mahu menjadi founder produk yang saya sendiri rasa keselesaannya.

Nona: Sebagai orang fesyen, bukankah berkhimar itu nanti akan menghalang minat seseorang berfesyen? Komen Datin?

Amelia Hassan: Saya setuju dengan statement ni, mula-mula memang terasa ada limitation tapi bagi saya bila ada niat untuk istiqamah, pasti Allah bagi jalan.

Tapi zaman sekarang ni orang ramai dah mula ada kesedaran tentang agama dan fesyen. Jadi tak salah kalau kita berfesyen sambil mengikut tuntutan agama.

Nona: Selain tunai umrah dan haji, khimar ni sesuai dipakai ke mana/acara apa?

Amelia Hassan: Saya rasa khimar ni sesuai digayakan pada hari raya, majlis keramaian, open house, majlis berbuka puasa, malah boleh dijadikan pakaian harian kerana ia tidak terikat dengan apa-apa majlis. Tiada masalah untuk berkhimar pada bila-bila masa pun.

Salah satu koleksi Khimar By Amelia Hassan dalam warna hijau pudina
Tetap bergaya walaupun berkhimar, nampak sopan dan menyejukkan pandangan

Nona: Komen Datin tentang persepsi orang, bahawa khimar hanya sesuai untuk golongan berusia sahaja?

Amelia Hassan: Sebenarnya tidak, ramai golongan muda yang minat dengan fesyen khimar kerana majoriti pelanggan yang datang ke butik dan online adalah golongan muda. Tidak kurang juga golongan umur 50-an kerana koleksi saya ada banyak pilihan warna yang pastel dan sesuai untuk mereka.

Menariknya tentang koleksi Khimar by Amelia Hassan, material fabrik yang digunakan adalah lembut dan selesa, tapi tidak jarang atau melekap di badan. Khimar atau tudung labuhnya direka kemas serta mempunyai dua lapisan. Bahagian muka juga terbentuk cantik apabila dipakai. Pemakai disarankan untuk memakai inner ninja pelapik dagu untuk memudahkan bersolat.

Warna pastel membuatkan pemakai kelihatan lebih muda remaja
Sumber: Instagram @ameliahassanfd

Jangan Lupa Komen