Fizi Woo antara jenama muda yang berjaya memetakan diri sebagai salah satu jenama kukuh di Malaysia. Terbaru koleksi musim bunga/panas 2018, Fizi Woo mengambil inspirasi daripada ketabahan wanita-wanita dari zaman perang ketika penjajahan Asia oleh negara-negara Barat dan mengubah cerita tersebut ke dalam bentuk elemen rekaan busana.
Menurut duo pereka ini, panggilan ‘Comfort Woman’ adalah gelaran yang diberikan oleh penjajah kepada wanita-wanita asia yang dipaksa terlibat dalam kancah pelacuran untuk memuaskan nafsu para tentera. Sejak dari itu wanita-wanita sering dilihat sebagai masyarakat kelas kedua dan ada pihak yang cuba mendiskriminasikan mereka biarpun perang sudah lama berlalu.
Diskriminasi yang tidak berubah ini telah membawa wanita dari era 70an untuk menentang ketidakadilan yang berlaku. Mengambil semangat mereka, Fizi Woo mencedok gaya era tersebut ke dalam koleksi terbaru ini. Jika dilihat dari segi siluet busana yang dipersembahkan di pentas peragaan, ia adalah gabungan gaya yang begitu santai dengan gaya yang beralun dan longgar dan ada pula yang direka berstruktur.
Gabungan gaya lembut dan keras ini mewakili sifat semulajadi wanita yang lembut manakala keras pula menjadi lambang kegigihan wanita yang tidak mahu tunduk menjadi objek yang dikotak katik. Warna-warna yang digunakan pula merangkumi spekturm yang luas dari rona lantang seperti hijau zamrud dan kuning kenari ke warna tanah seperti coklat cair dan merah bata.