Isteri Dato’ Menteri Besar Selangor Kongsi Petua Hilangkan Bau Durian Yang ‘Meraung’ Kat Tangan

Musim Raja Buah kembali, cuma kali ini tiadalah nikmat kendurian atau makan secara terbuka di tepi jalan. Baunya yang harum sudah memanggil-manggil, penggemar durian tentu dah tak sabar nak menjamah isi durian yang lemak manis.

Satu suasana yang menarik dan tidak terdapat di mana-mana negara lain selain Malaysia, adalah kecintaan rakyat kita terhadap buah tempatan ini.

Nona tertarik dengan perkongsian isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad tentang ilmu makan durian.

Ibu kepada enam orang anak ini tidak lokek berkongsi petua menghilangkan bau durian yang melekat di tangan.

“Kalau makan durian mesti tangan berbau durian, payah nak hilang. Saya kongsikan petua bagaimana nak hilangkan bau durian…”

“Ambil pangsa durian, letakkan air di dalam dan cuci tangan menggunakan air itu. Kemudian untuk menghapuskan baunya dengan lebih berkesan lagi, cuci tangan dengan menggunakan air lemon atau sabun aroma limau.”

Jadi pada yang berhajat nak makan durian dengan famili, sekarang tak perlu risau dengan bau tangan yang kuat. Ikut je petua tu. Datin Seri Masdiana ni hebat tau, tengoklah teknik beliau kopek sendiri buah ni.

TIP LAIN

Bau durian yang kuat juga boleh melekat di dalam kereta apabila dibawa pulang. Tak kira apa pun cara yang dipilih untuk menyimpan durian; sama ada dalam bekas kedap udara, beg Ziploc atau plastik cling wrap, bau durian tetap ‘meraung’ di mana-mana.

Tip mudah hilangkan bau durian:

(1) Bancuh secawan kopi dan letakkan di atas meja dapur atau di ruang makan. Hasilnya bau durian yang kuat akan berkurangan dalam masa yang singkat.

(2) Pastikan buah durian dibawa pulang dengan tangkainya sekali. Caranya, patahkan tangkai durian dan belah sedikit di bahagian tengah. Selitkan tangkai pada jejaring hawa dingin di dalam kereta seperti anda meletakkan car freshener.

(3) Letakkan beberapa keping roti putih di atas meja dan biarkan beberapa hari. Roti dikatakan dapat menyerap bau-bauan yang tidak enak dengan berkesan.

(4) Selepas makan durian jangan buang pangsanya. Simpan satu pangsa, isikan air dan berkumur dengan air tu kerana ia boleh menghilangkan bau mulut. Ada juga yang akan minum air dari pangsanya kerana dikatakan dapat menghalang sakit tekak akibat terlalu banyak makan durian.

Kedengarannya memang tidak saintifik, tetapi petua ini sudah bergenerasi diamalkan orang dan ada yang percaya ia mujarab.

Selamat mencuba!

IKLAN
Share