Isteri Seronok Memasak, Suami Yang Duduk Hospital, Patutlah Ramai Muda-Muda Dah Hidap Diabetes!

Mengejutkan apabila melihat statistik terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tentang diabetes. Mengikut kajian, 1 daripada 5 orang dewasa di Malaysia menghidapnya bersamaan 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas.

Angka ini jelas menunjukkan bahawa penyakit diabetes atau kencing manis bukanlah satu penyakit orang tua. Malah kini sejak berkuat kuasanya PKPB, perubahan gaya hidup yang pasif disamping amalan kuat makan dan kurang bersenam meningkatkan lagi risiko diabetes.

Kalau diperhatikan, kebanyakan wanita di rumah gemar mengisi masa mereka di dapur. Ghairah mahu mencuba pelbagai resipi, masak lauk itu, bakar kek ini. Apa saja yang viral mahu dicubanya. Kesudahan cerita, siapa lagi yang akan menghabiskan semua makanan kalau bukan encik suami kita.

Maka tak hairanlah jika pada waktu pandemik ini, berat badan meningkat kerana terlalu banyak makan dan kurang bersenam. Gaya hidup sebegini sangat membimbangkan hingga terbukti dari kajian yang dilakukan oleh KKM.

Nona tertarik berkongsi celoteh pegawai perubatan paediatrik, Dr Redza Zainol ini. Katanya, individu umur 30 tahun ke atas dah patut mula jaga kesihatan dari sekarang. Ceritanya…

Kawan baik saya runsing sangat.

Umur baru 34 tahun, dah disahkan ada darah tinggi dan kencing manis. Saya tahu dia susah hati.

Dia mesej saya itu ini. Saya duk terbayang wajah dia. Berkerut dan tertekan. Dulu kami belajar sama-sama. Pergi kelas sama-sama. Makan sama-sama.

Di akhir mesej tu, dia cakap dia cuma nak berkongsi rasa kusutnya dengan seseorang. Apa yang saya syak rupanya betul.

“Isteri kau dah tahu ke?”

Dia cuba sembunyikan dari isterinya. Tak nak susahkan isteri. Tak nak buat dia bimbang.

Kawan-kawan, bila kita dilanda kesusahan begini keluargalah penyokong terbesar kita.

Jangan sembunyikan perkara sebesar ni dari keluarga. Biar pasangan tahu perkara sebenar.

Dari situ sama-sama usahakan gaya hidup yang lagi sihat. Dari segi rutin kerja, tidur, makan dan rehat, semuanya perlu dibaiki.

Dr Redza Zainol

Ada kala kita terasa susahnya hidup ni, waktu itulah pasangan tetap teguh menyokong kita. Ini sumber kekuatan yang tak dapat dibeli dengan wang ringgit.

  • Jika terasa diri tak sihat, dapatkan rawatan. Jangan biar melarat baru nak pergi ke klinik. Kawan saya ni asyik pening kepala dan cepat letih. Berbulan lamanya, baru nak ke klinik.
  • Apa saja rawatan yang dicadang, cubalah dulu. Jangan terus putus asa. Doa banyak-banyak.
  • Boleh saja kalau nak dapatkan pendapat dari doktor kedua atau ketiga. Itu hak kita.
  • Sentiasa maklumkan pasangan tentang situasi kesihatan kita.
  • Usia 30 tahun, dah perlu jaga makan dan minum. Sekarang kita rasa sihat, esok lusa belum tentu lagi. Selalu beringat pada anak yang masih kecil tu.

Kalau kalian rasa tulisan ni ada manfaat, bantu saya sampaikan peringatan yang sama pada kawan yang lain. Ini cerita benar. Ia boleh berlaku pada sesiapa saja termasuk diri saya.

Kredit: Dr Redza Zainol (klik sini)

IKLAN
Share